Thursday, October 3, 2013

Apakah New York mempertemukan Najib dengan Anwar?

SPEKULASI                                                                                          

Sepanjang mengikuti perbahasan rang undang-undang Pencegahan Jenayah (pindaan dan perluasan) PCA 2013 timbul pertanyaan di dalam kepala saya kenapa ketua pembangkang, Anwar Ibrahim tidak ada dalam dewan? Bukankah rang undang-undang berkenaan penting dan patut diberikan perhatian wajar untuk memastikan rang undang-undang berkenaan yang kini sudah menjadi akta dibahas secara serius dan memuaskan?

Najib dan Anwar, ini bukan di New York.
Sebagai ketua pembangkang pandangan dan kupasan Anwar Ibrahim berhubung perkara berkenaan sangat penting. Walaupun ahli dewan lain dapat memberi bahasan yang baik tetapi ia tidak sama dengan suara yang dilontar oleh Anwar. Tetapi kenapa Anwar tidak ada?

Apakah Anwar tidak dimaklum mengenai pembentangan rang undang-undang berkenaan? Sebagai ketua pembangkang adalah mutahil kalau Anwar tidak memaklumi atau dimaklumkan rang undang-undang berkenaan. Mengikut amalan biasa deraf rang undang-undang itu diberikan awal-awal lagi kepada semua ahli dewan untuk semakan dan penelitian.

Anwar tidak mengambil bahagian langsung dalam apa-apa perbahasan, baik pada peringkat dasar, jawatan kuasa atau pada bacaan kedua dan peringkat akhirnya. Beliau memasuki dewan selepas rang undang itu diluluskan dengan majoriti dari pihak kerajaan.
  
Anwar baru memberi komen terhadap rang undang-undang itu dihari akhir sidang dewan dalam sidang akhbar khas di parlimen. Dalam sidang itu beliau memberi jaminan akta itu akan ditentang. Kempen akan dilakukan untuk menentang akta pencegahan berkenaan yang bagi pembangkang ia merupakan akta yang zalim dan bertentangan dengan perlembagaan negara. 

Tetapi dalam masa sama Anwar sepakat dengan parti Pakatan Rakyat untuk tidak mengadakan bantahan secara demonstrasi seperti mana selalunya. Pendekatan dan sikap ini sesuatu yang anih dan ganjil serta menimbulkan pertanyaan. Kerana sebelum ini apa-apa saja isu yang bertentangan dengan naluri pembangkang akan dieksploitasikan untuk kepentingan politik, walaupun ia berharga murah.

Kerana kegajilan itu menyebabkan saya berfikiran lain mengenainya. Maafkan saya kalau saya membuat kekhilafan didalam menilai apa yang berlaku itu. Saya merasakan ketiadaan Anwar di dalam parlimen kerana ada urusan lebih penting di luar sana? 

Umum tahu seminggu lepas perdana menteri Mohd Najib Razak berada di Amerika Syarikat kerana menghadiri persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York City. Pemergian Najib adalah jelas kerana tugas dan tanggungjawab kepada negara. 

Pada masa ketiadaan Najib dalam negara itu, ketika inilah juga Anwar tidak ada di Malaysia. Khabarnya Anwar juga berada di New York. Ikut bersama ialah isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail. Khabarnya pemergian Anwar dan isteri ada perkara mustahak di sana. Apa dia?

Tidak diketahui apakah program Anwar di New York? Tetapi yang pastinya beliau dan isterinya sama-sama tidur di New York ketika juga Najib dan Rosmah Mansor tidur di sana. Yang pastinya sebagai ahli politik negara, kedua-dua pihak mesti mengetahui di antara satu sama lain. Di New York juga ramai rakyat Malaysia yang kebetulan menjadi sahabat mereka. Tidak mustahil kalau rakyat Malaysia (sahabat mereka itu) memaklumkan kehadiran di antara satu sama lain atau mengajak mereka bertemu dan bersantai.

Juga adalah tidak mustahil kalau mereka sempat makan malam atau minum kopi bersama di New York. Kalau di dalam negara mereka boleh minum tea tarik bersama, apa lagi di New York. Di sana lebih aman kerana jauh dari pandangan Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini Najib dan Anwar gagal berjumpa dan bersemuka di Jakarta. Kelewatan Najib selama 15 minit menyebabkan pertemuan itu gagal. Namun agenda pertemuan berkenaan masih belum padam. Pada 16 September lalu sempena hari Malaysia, Anwar membuat satu seruan politik yang lunak (ceasefire) iaitu bersedia untuk berdilog dengan kerajaan bagi kepentingan nasional.

Saya melihat pernyataan Anwar itu bukan disengajakan atau diada-adakan. Ia mesti ada sesuatu motif dan tujuannya. Sebagai pemimpin yang ada prinsip dan maruah Anwar tidak mengentuk pintu 'gedung' untuk bertanya apakah ada orang atau tidak di dalamnya melainkan sesudah dia ada suara orang di dalamnya baru beliau mengetuknya.

Apakah kehilangan mereka di Malaysia saat pembentangan rang undang-undang pencegahan jenayah (PCA) 2013 itu kerana mereka berjumpa di New York? Mungkin bagi mereka akta baru itu diterjemahkan bukan sahaja pencegahana jenayah untuk membenteras penjenayah berat bagi mengamankan Malaysia, tetapi ia juga merupakan akta 'pencegahan pergaduhan' di kalangan bangsa Melayu kerana masalah politik yang maksudnya juga untuk mengamankan Malaysia. [wm.kl.8:52 pm 03/10/13]

No comments: