Tuesday, January 13, 2015

Zahid Hamidi perlu letak jawatan

ULASAN PAGI                                                                                                 

Apakah Zahid bertindak sendiri?
[terkini] Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Amad bersama naib AMK Fahmi Fadzli akan membuat laporan polis terhadap Zahid Hamidi berkenaan surat beliau kepada FBI pada petang ini, demikian menurut satu email yang dikirimkan kepada blog ini. 

Persoalannya beranikah polis menyiasat bos mereka?  


Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kata dia tidak tahu menahu surat yang ditulis oleh Zahid Hamidi kepada Biro Penyiasatan Persekutuan FBI yang bertujuan menjelaskan raja judi (bela) Paul Phua yang ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat. Kerana itu menurutnya surat Zahid itu tidak dibincang dalam kabinet.

Agak ganjil sedikit penjelasan Muhyiddin itu, masakan seorang timbalan perdana menteri tidak tahu menahu komunikasi menteri kabinetnya dengan negara asing (Amerika Syarikat). "Kodi" sangatlah seorang perdana menteri yang senantiasa berada dalam radar maklumat.

Apakah Najib Razak sedar atau sudah diberi maklumat mengenai surat yang ditulis oleh Menteri Dalam Negeri itu?
Sekiranya Najib juga tidak mengetahui mengenai surat berkenaan dan ia dibuat atas pandai-pandai Zahid Hamidi sendiri maka jelas menteri kabinet berkenaan telah pecah amanah kerana surat seumpama itu bukan sembarangan implikasinya kepada negara ini.

Membela atau cuma memberi sokongan bagi melepaskan seorang raja judi sangatlah keji perbuatannya. Tambahan Zahid menteri yang mengawal polis yang bertanggungjawab membasmi perjudian.

Kalau surat sebegitu ditulis oleh Perdana Menteri ia tidak menjadi kemusykilan kerana PM mempunyai kuasa prerogetif. Biasa bagi seseorang PM melakukan apa-apa yang sulit atas kehendaknya sendiri. Apakah Zahid sudah merasakan dia hampir ke jawatan nombor satu itu?

Apa lagi pihak PDRM juga terkilan dan kurang senang dengan cara dan surat Zahid itu, ertinya surat Zahid itu benar-benar menimbulkan kekalutan dan masalah kepada pentadbiran Najib. Dr Mahathir Mohamad belum mengulas mengenai isu ini dan mungkin sedang mengumpul maklumat. Atau pun sudah ada kompromi antara bekas PM dengan menteri KDN itu?

Biasanya Mahathir mudah bingkas dalam hal-hal seperti ini tetapi apabila beliau membisu ada kemungkinan beliau mengetahuinya dari sumber risikannya sendiri dan menanti masa untuk bercakap mengenai motif surat berkenaan.

Apa pun Najib perlu menjawab persoalan ini dan tidak boleh melindungi apa yang beliau tahu di sebalik surat ditulis Zahid itu. Tanpa penjelasan masyarakat umum akan mengaitkan Najib sama-sama bersekongkol dengan Zahid Hamidi yang kini dikatakan sebagai batang kayu membenteng kuasanya dari dirempuh. Apa lagi alasan Zahid sebelum ini ada menyebut surat tersebut bersangkutan dengan keselamatan negara.

Bagaimana pun sekiranya Najib membisu dan tidak terlibat maka wajar sangat kalau Zahid Hamidi bertanggungjawab dengan surat berkenaan bukan saja setakat menafikan dan memohon maaf atas perbuatannya itu yang dianggap melanggar "konvensyen" tetapi beliau harus berundur dari kabinet kerana perbuatannya sungguh sangat tidak berintegriti.

Sama ada surat itu ditarik balik atau tidak yang jelas Zahid sudah melakukan "pecah amanah". [wm.kl.11:14 am 13/01/14]

No comments: