Tuesday, October 15, 2019

JENGOK JEPUN 

PERJALANAN selama kira-kira 120 jam di negeri Matahari Terbit, Jepun pada 19 - 24hb September lalu memberi banyak pengalaman dan menyuntik banyak ilmu baru khasnya mengenai bangsa dan rakyat negara itu.

Biasalah apabila kita menapak ke sesuatu tempat atau wilayah baru akan menemukan kita dengan berbagai ragam, resam dan budaya kehidupan penghuninya yang asing bagi kita sebelum imi.


Walaupun kita mungkin ada membaca daripada buku-buku dan melihatnya daripada media massa, tetapi ia tidak sama dengan apa yang kita lihat secara langsung. Sebab itulah Islam menggalakkan pengembaraan dan berhijrah. Tuhan sendiri menyuruh kita mengimbau ke segenap penjuru alam untuk melihat kehebatan dunia dan ciptaan-Nya.

Benarlah kata pepatah, banyak berjalan luas pandangan, lama hidup banyak cabaran. Dan ada pepatah Cina yang diberi tahu oleh seorang kenalan berbangsa Cina, berbunyi "membaca seribu buku itu tidak sama dengan berjalan seribu batu."

Ertinya perlu diadunkan keduanya, membaca dan berjalan barulah bertambah dan berkesan ilmu itu. Benar, sesuatu apa yang kita bayangkan mengenai sesuatu tempat itu tidak akan sahih selagi kita tidak mendatanginya. Sejarah sesuatu tempat itu lebih berkesan jika kita membaca ditapaknya, negara atau negeri berkenaan atau lokasi berlakunya sejarah itu.

Barangkali kalau kita membaca seribu buku sambil melangkah seribu batu, makin banyak ilmu menimbun diri kita?

Berbalik kepada perjalanan saya ke negara di hujung benua Asia itu memberi banyak pengalaman baru. Apa yang tertengok dan ditemui di Jepun pada sepanjang permusafiran itu benar-benar mengejutkan. Ada yang berbeza daripada apa dibayangkan selama ini.

Kekejaman Jepun.
Sebelum ini saya sering mendengar cerita-cerita daripada mereka yang pernah ke Jepun atau bekerja atau melancong disana; yang negeri Jepun sebuah negeri yang indah dengan alam semula jadinya yang mengkagumkan.

Paling terkenal dan disebut dan menjadi idaman pelawat ialah tentang Sakuranya. Bila tiba musim bunga, negara itu akan dipenuhi dengan Sakura yang berbagai warna dan wangian, menjadikan negara itu diselimuti Sakura.


Namun yang menarik dan merujakan saya bukan keindahan fizikal itu, tetapi yang indahnya akhlak atau pun pekerti bangsa itu.

Kebersihan negerinya serta ketinggian budi bahasa orangnya menjadi sebutan dan perbandingan. Apa yang sering didengar ialah, negara Jepun menjadi negara yang mempraktikan akhlak yang diajarkan oleh Islam. Kita mendengar orang berkata, Islam disyariatkan di tanah Arab tetapi ajarannya dipraktikan di Jepun dan di Barat.

Bila menyebut ini teringat saya kepada sebuah hadith (tidak sahih) menyebut Islam itu akan wujud di sebelah Timur. Hadith ini dikatakan di akhir zaman, Islam akan berdaulat di sebelah Timur. Bagi golongan kerohian berbangsa Melayu mereka mendakwa bahagian Timur itu adalah di negeri-negeri kepulauan Melayu.

Namun apa yang dapat saya merumuskan mengenai kebangkitan ini, apabila melihat sendiri ialah tentang akhlak bangsa Jepun. Jadi negeri Timur dimaksudkan itu ialah Jepun. Memang akhlak dan ajaran Islam bersih dan berdisiplin itu sudah dipraktikan di Jepun.

Cuma yang cacat atau pun janggal adalah, bangsa Jepun tidak mempunyai taufik dan hidayah. Nur iman tidak jatuh di negara itu.

Ketinggi budi pekerti, disiplin dan kelestarian  alam sekitar itu agar sukar untuk diterima jika tidak melihat sendiri. Pengalaman yang dilalui generasi terdahulu bersama Jepun, terutamanya oleh ayah dan datuk nenek kita menjadikan kita ragu-ragu untuk menerima apa yang diceritakan mengenai orang Jepun kini. Phobia kerana keganasan tentera Jepun menyebabkan kita berfikir banyak kali untuk mempercayai cerita orang Jepun baik.

Generasi terdahulu mengenali dan merasai sendiri bagaimana kejam dan zalimnya bangsa itu tatakala mereka menguasai negara ini selama tiga tahun, (1942 hingga 1945) selama mereka menduduki negara ini apabila berjaya mengusir kolonial Inggeris (British).

Cerita-cerita daripada orang tua kita menunjukkan betapa bangsa itu (askar)nya bertindak zalim ke atas bangsa kita. Pengalaman pendudukan Jepun itu cukup memerit dan mengenalkan kita dengan bangsa tersebut. Bacalah buku-buku sejarah dan cerita mengenai kerakusan Jepun semasa bangsa itu memerintah Tanah Melayu.

Apabila mengingatkan itu dibandingkan dengan apa yang berlaku sekarang ini, ia semacam tidak munasabah. Ia sebagai dongengan. Tetapi itulah yang saya katakan apabila kita melihat sendiri apa yang berlaku di negara berkenaan ia sangat kontras dengan apa yang kita ketahui itu.

Inilah pentingnya sesuatu itu kita lihat sendiri dengan mata kepala, bukan hanya mendengar cerita atau menonton gambar atau filem. Apa yang kita perolehi dengan melihat sendiri, berbeza dengan maklumat yang disampaikan atau yang kita baca dan tonton. Tidak rugi kalau kita mengambil inisiatif sendiri untuk mengembara dan menyinggahi di sesuatu tempat dan negeri. Bersambung. [wm.kl.11:50 am 15/10/19]

No comments: