Tuesday, November 12, 2019

Tanjung Piai: Dr Mahathir perlu buat kejutan

Suasana di satu simpang jalan ke Serkat Tanjung Piai. 
PIRAKE TANJUNG PIAI

KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memanggil Najib Razak untuk membela diri ke atas ketujuh dakwaan menyeleweng dalam perbicaraan syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta tidak banyak mempengaruhi mood pengundi di Tanjung Piai. 

Pun begitu keputusan mahkamah itu tidak begitu menggegarkan Tanjung Piai.
Mereka yang menganggap kes Najib itu terasing daripada suasana pilihan raya itu, melihat bahana diterima Najib itu tidak memberi apa-apa kesan pun. 

Selagi Najib berada di luar penjara dan bebas bergerak dengan memakai baju "T" tertulis boosku malu apa,  (memang orang Umno tak tahu malu) maka bekas PM itu tidak dilihat bersalah. Apa lagi ada anasir yang membuat psywar bahawa Najib difitnah dan dianiaya dengan segala pertuduhan itu.

Bagaimana pun ia ada sedikit kesan kepada mereka yang terbuka akalnya dan sebelum ini menanti penuh minat perbicaraan Najib dalam kes itu. Terutamanya mereka menanti apakah perbicaraan awal itu yang bakal menentukan nasib Najib ada bukti atau tidak. 

Apabila perbicaraan itu membawa natijah Najib perlu membela diri, bermakna pertuduhan ke atas Najib ada kebenaran dan asas-asas yang kuat untuk beliau dijatuhi hukuman dan dikirimkan ke penjara. Menurut Anwar Ibrahim biliknya di Sungai Buloh dahulu sudah dibersihkan dan masih kosong.

Bukan dianiaya.

Pemanggilan membela diri itu bermakna Najib bukan sengaja dianiayakan dengan bukti-buktikan dan hujah-hujah tidak bertanggungjawab. Begitu juga saksi dikemukakan bukan saksi-saksi yang direkayasa. Jauh sekali ia adalah campur tangan Dr Mahathir Mohamad seperti mana didakwa Lokman Noor Adam. 

Mereka yang waras akan mula mengatakan Najib perlu bertanggungjawab ke atas setiap apa yang dilakukan kerana ia membabitkan wang rakyat berbillion ringgit.

Anak-anak muda dan juga mereka yang celik politik sudah dapat membuat perkiraan dan menghitung akan kesalahan Najib itu serta apakah implikasinya dihujung perbicaraan nanti. Bahana dan angkara Najib yang bersekongkol dengan pengkhianat Jho Low itu menyebabkan negara jadi porak peranda. 

Tidak dapat dinafikan sebahagian besar beban negara dipikul kerajaan kini adalah angkara perbuatan Najib dan Jho Low.

Tidak mengubah minda Umno tegar.

Pun begitu kes mahkamah ke atas Najib itu tidak kuat untuk mengubah minda politik bangsa Umno di Johor terutamanya dalam kawasan pilihan raya Tanjung Piai. Kes Najib itu belum cukup mengubah suasana di Tanjung Piai atau boleh merombak simpulan terhadap tuduhan buruk ke atas kerajaan PH. 

Kalau ia boleh merubah sudah tentu ceramah BN di Tanjung Piai yang masih mengangungkan Najib akan dipulaukan rakyat.

Orang Melayu, bangsa Johor yang masih yakin dengan adu domba pemimpin Umno yang berminat untuk mengundi calon MCA atas prinsip tertentu dan juga bagi mengajar kerajaan PH. Fatwa baharu dikeluarkan oleh Pam yang menghalalkan orang Muslim yang selama ini didoktrinkan sebagai najis mengundi kafir sebelum ini juga menjadikan mereka tidak melihat dan apa diterima Najib itu mengesankan kepada mereka. 

Serangkai pantun yang dijual oleh Abdul Hadi Awang ada yang menelan dan mengelusnya di Tanjung Piai.

Justeru itu untuk melihat perubahan mood di Tanjung Piai sebelum tiba hari mengundi 16 November ini, PH perlu melakukan sesuatu untuk mengubah simpulan dan tanggapan itu. Dalam hal ini ada dua perkara yang saya lihat boleh merombak simpulan politik kolok dan usang yang diikat oleh Umno dengan Pam terhadap bangsa Melayu Umno di Tanjung Piai khasnya itu. 

Anwar menjinjing tangan Tok Imam
Karmaine calon pilihannya.
Pertama ialah mengumumkan calon PH, Karmanie Sardini sebagai bakal diangkat jadi timbalan menteri apabila menang kelak.

Pengumuman ini akan memberi kejutan dan membawa impak besar. Pengumuman ini boleh dilakukan oleh Dr Mahathir semasa datang berceramah di Tanjung Piai nanti, esok. 

Walaupun sudah ada bayangan yang Karmaine akan diberi perananan dalam kerajaan sebagai mengganti Allahyarham Md Farid Md Rafik, tetapi ia akan jadi sahih dan diyakini apabila diumumkan  sendiri oleh Dr Mahathir.

Sebenarnya tanpa menyebut perkara itu secara berterus terang itulah juga apa yang diingini oleh rakyat Tanjung Piai khasnya dan amnya rakyat Johor. Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub yang juga merupakan warga asal Tanjung Piai sudah pasti bersetuju dengan pandangan ini. Namun tidak sesuai untuk beliau mengutarakannya. Saya yakin hal ini akan dibisikkan Salahuddin kepada Dr Mahathir nanti.

Satu hal perlu difahami rakyat Tanjung Piai sangat terasa dengan kehilangan bekas wakil rakyat mereka Allahyarham Md Farid Md Rafik. Allahyarham yang dilantik menjadi Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri sangat bermakna buat mereka. 

Salahuddin antara pemimpin PH yang rajin
menemui rakyat tanpa mengira masa. 
Kenapa tidak, baharu menjadi wakil rakyat dan dilantik menjadi timbalan menteri, dalam tempoh 15 bulan Allahyarham Md Farid telah berjasa dan menjaga rakyat membawa pelbagai projek pembangunan untuk Tanjung Piai bernilai lebih RM7 juta.

Paling dirasai oleh penduduk Tanjung Piai yang kebanyakan hidup sebagai nelayan adalah pembinaan dan penambah baik pulih tiga buah jeti pendaratan ikan di Tanjung Piai. Sudah pasti khidmat dan perjuangan Allahyarham Farid sangat didambakan oleh penduduk Tanjung Piai dan ia perlu diteruskan oleh penggantinya yang setanding kedudukan dengannya.

Manakala satu lagi tarikan untuk pengundi khasnya yang melihat kerajaan PH masih terkial-kial melaksanakan pembaharuan serta mengubahkan stail pentadbiran PH yang tidak banyak beza dengan kerajaan BN sebelum ini, Dr Mahathir mengumumkan tarikh pengundurannya untuk beri laluan kepada Anwar. \

Dr Mahathir wajar untuk memegang jawatan sehingga tamat tempoh dua tahun, tetapi beliau perlu ikhlas untuk menentukan tarikh pengunduran agar ia tidak menjadi teka teki dan dijadikan isu oleh pihak lawan.

Kalau beliau membuat dua "kejutan" itu; umum Karmanie sebagai bakal timbalan menteri dan tarikh pengundurannya, ia memberi impak besar yang boleh mengubah mood dan sikap pengundi Tanjung Piai. Sekaligus juga pengumuman itu akan merombak simpulan bida'ah yang dibuat oleh Umno dan juga Pam di Pirake itu. Pengumuman tarikh pengunduran itu memberi keyakinan kepada pengundi terutamanya dari kalangan pengundi muda dan bukan Melayu. 

Waktu ini PH masih memerlukan kira-kira 5% hingga 10% undi Melayu, sementara kekalkan undi Cina yang dimiliki PH waktu ini sekitar 75% hingga 80% undi Cina. Pengumuman dua perkara itu kelak akan dapat menambahkan lagi lonjakan undi untuk PH. Saya yakin dan pasti mood dan senario pengundian di Tanjung Piai akan berubah 360 darjah kalau Dr Mahathir lakukan itu.

Apakah Dr Mahathir sedia melakukanya? Dengan mengenali Dr Mahathir seorang bukan mudah untuk mendengar bisikan dalam situasi terdesak sebegitu, ia agak sukar. Dr Mahathir juga bukan seorang yang sanggup memancing rakyat dengan sesuatu berunsur bodek. 

Bagaimana pun ditegaskan kalau PH mahu mengekalkan kemenangan di Tanjung Piai sekaligus mengganggu momentum BN untuk pulih kembali setelah meraih kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih itulah yang perlu dilakukan Dr Mahathir Mohamad walaupun ia tetap masih dianggap sebagai bermuka-muka dengan politik. Faham ke.

Harap-harap Dr Mahathir mendengar ini. [wm.kl.9:44 am 12/11/19]

No comments: