Thursday, May 7, 2020

Antara politis dan abid merebut "lailatul qadar" berbeza

LAYANG RASA

RAMADHAN sudah masuk ke separuh penggal. Alhamdulilah walaupun dalam suasana kurang kondusif kerana Coronavirus dan berlakunya PKP, kita dapat menjalani ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain dengan baik. Sebenarnya kesempurnaan ibadah itu tidak bergantung kepada suasana dan tempat. Untuk mendapat solat yang khusyuk atau melakukan ibadah yang sempurna tidak semestinya dalam masjid yang lapang atau tempat berhawa dingin.

Dalam surau kecil ataupun ditempat terpencil lain yang tidak ada kemudahan dan prasarana pun boleh menghadirkan kita keadaan untuk beribadah yang tenang dan sempurna. Di rumah juga boleh. Pokok pangkalnya ia terletak kepada diri kita sendiri sepanjang menghayati ibadah berkenaan dan bagaimana kita mengolahkan diri dengan suasana setempat sesuai dengan keberadaan Tuhan itu dimana-mana sahaja.

Dan dalam suasana Ramadhan yang sedikit berlainan tahun ini, ia tetap memberikan berbagai pengalaman dan kebaikan buat kita. Yang sudah pastinya, pertama kali kita berterusan mendirikan solat tarawih dan membaca Quran bersama keluarga di rumah. Keadaan ini bagi setengah orang pengalaman pertama yang cukup mengisafkan. Inilah hikmat terbesar di sebalik PKP, dan jika kita mengkaji dan mencarinya banyak lagi hikmatnya.

Dan menjadi satu kebiasaan dan menjadi rebutan pula bila di bulan Ramadhan, yakni "lailatul qadar" sebab lalaitu qadar ini hanya adalah pada bulan Ramadhan sahaja. Malam ini dikaitkan dengan spiritual merupakan malam teristimewa daripada seribu malam. Ia menjadi rebutan kerana keberkatan yang ada.

Macam-macam tafsiran dikaitkan dengan malam ini, setengah berbaur di antara batil dan hak. Saya tidak mahu menyebut dan mengulasnya di sini berhubung malam istimewa itu. Bagi abid yang ikhlas dan memperhambakan diri kepada Allah tidak pernah menanti apa-apa ganjaran secara fizikal sebaliknya berserah dan redha kepada ketentuan-Nya.

Lailatul qadar menjadi rebutan para abid, ahli ibadah. Tetapi ahli ibadah yang suci dan ikhlas tidak pun menjadikan lailatu qadar itu sebagai dambaan yang dikejar untuk mendapat kurniaan zahir. Ada pun tidak apa, tak ada pun tidak apa. Bagi saya lailatu qadar hanya sebagai satu rangsangan untuk terus beramal ibadah sungguh-sungguh dan sekuat-kuatnya.

Sepanjang Ramadhan ini sepatutnya semua orang fokus kepada itu, kemuliaan lailatul qadar. Perbanyakan amal ibadat atas rangsangan itu bukan kepada imbalannya. Tetapi tidak bagi ahli politik. Inilah perbezaan di antara dua golongan ini yang hendak saya sebutkan di sini. Ahli politik masih mencari apakah "lailatu qadar" politik mereka walaupun di bulan mulia ini.

Sepanjang Ramadhan ini orang politik terus membicarakan hal politik menghitung dan membuat spekulasi setiap apa yang berlaku. Ramadhan seolah-olah tidak menjadi sempadan sedikit pun. Ertinya perbicaraan mereka kepada kerjaya atau medium ini tidak pernah berkurangan.

Kandati pun Ramadhan, ada beberapa yang sedang "dikedap" atau diintai oleh orang politik pada sepanjang Ramadhan ini, apakah akan berlaku dan bakal membawa untung kepadanya atau sekurang-kurangnya dapat memuaskan nafsunya.

Yang sangat menjadi perhatian ialah pada 18 Mei nanti dimana pada tarikh itu akan diadakan sidang parlimen. Sidang itu adalah pertama setelah terbentuknya kerajaan "curitokrasi", Pakatan Nasional yang belum didaftarkan itu. Sejak awal-awal lagi sidang itu dinanti-nantikan ekoran ada ura-ura ia bakal menjadi neraca untuk menimbang apakah untung nasib perdana menteri curitokrasi, Muhyiddin Yassin.

Apa lagi pembangkang sejak mula menanti saat sidang dewan untuk "mempelupoh" Muhyiddin di kerusi itu. Kononnya mereka akan "membalas dendam" membela diri atas kehilangan kerajaan mereka kerana dikhianati. Mereka akan membalas dan mengajar sang pencuri di sidang itu?

Umum tahu bekas kerajaan (PH) mempertikaikan cara Muhyiddin jadi PM dan juga angka bilangan MP yang menyokongnya. Ada dakwaan Muhyiddin dan kumpulan perompak bermain silat mata dengan jumlah angka yang dipersembahkan kepada Yang diPertuan Agong. Makanya, sidang parlimen itu akan menjadi neraca penting untuk membuat perkiraan sebenar jumlah sokongan itu.

Situasi ini menyebabkan sidang itu ditunggu dengan penuh debaran dan penuh minat oleh penyokong gemulah kerajaan PH dan pemerhati juga. Keghairahan itu timbul apabila Muhyiddin seakan tidak berani untuk berhadapan dengan pembangkang di sidang itu apabila ia menghadkan diadakan sehari sahaja.

Mengadakan sidang sehari itu menyebabkan ia diterjemahkan ketakutan yang sedang menyelubungi Muhyiddin kini. Ada yang berpendapat kalau bukan terdesak dengan tempoh, sidang itu tidak pun diadakan. Jadi sidang itu diadakan hanya untuk memastikan penggal parlimen ke-14 tidak terbubar dengan sendirinya.

Menurut peraturan dan ketetapan sidang perlu diadakan dalam tempoh enam bulan dari sidang terakhirnya bagi mengelakkan ia terbubar dengan sendiri. Justeru kerana hendak memastikan dewan hidup, maka ia diadakan walaupun sehari dalam keadaan mencemaskan Muhyiddin. Dengan suasana ketidak-tentuan di pihak kerajaan kini sekiranya ia boleh elak daripada diadakan sidang tentu ia akan ditunda. Tetapi undang-undang tidak membenarkan. 

Kerana keadaan itu menyebabkan perhatian orang ramai begitu besar kepada sidang dewan itu. Ini ekoran timbul berbagai spekulasi di sebalik sidang itu nanti. Apa yang sangat ditunggu-tunggukan apakah sidang itu menjelmakan satu kejutan berlakunya usul undi tidak percaya ke atas Muhyiddin?

Kemungkinan itu ada besar sekali, dan inilah yang melengguhkan Muhyiddin. Walaupun beliau sudah membuat persiapan mempertahankan diri, mengukuhkan kedudukan tetapi ia tidak menyakinkan. Dalam usaha ini Muhyiddin telah memastikan kesemua 112 (sekurang-kurang) ahli parlimen yang dipercayai memberi SD kepadanya tetap akan menyokongnya. Sebahagian mereka sudah dilantik menjawat menteri dan timbalan menteri. Sementara yang selebihnya dilantik dengan pelbagai jawatan memegang jawatan dalam syarikat GLC dan juga selaku pengerusi perbadanan dan sebagainya.

Walaupun begitu ia tidak menjamin kedudukannya selamat dan tidak tergugat. Apa sahaja boleh berlaku. Dalam pada itu mungkin Muhyiddin mempunyai keyakinan sendiri. Soal angka hanya menjadi rahsianya. Kita di luar ini tidak dapat mengesahkan apakah ia cukup atau lebih. Selagi ia tidak dikira semua tidak ada sesiapa boleh menentukan. Justeru kiraan semula dengan cara mengadakan usul sama ada undi percaya atau tidak percaya baru dapat disahkan dan ia sangat penting dikala ini.

Yang paling penting kini apakah ada usul undi tidak percaya nanti. Dan sekiranya ada apakah pembangkang boleh sepakat untuk menyetujui usul itu? Ini satu persoalan dan menarik untuk dianalisa kerana pembangkang kini pula dalam keadaan celaru. Kedudukan Dr Mahathir Mohamad dan beberapa ahli parlimen Bersatu bersamanya setelah tidak bersama Muhyiddin masih belum pasti ke arah mana. Apakah mereka akan bersama PH yang sahih mempunyai 92 kerusi ataupun ke mana?

Dengan mengandaikan Dr Mahathir dan juga Warisan di Sabah bersama PH angka yang dikehendak masih belum mencukupi lagi. Ia masih memerlukan sekurang-kurang enam orang MP lagi. Apakah angka itu mencukupi, dan kalaupun sebelum ini ada jaminan daripada beberapa ahli parlimen, menggenapkan 114 angka diperlukan, apakah mereka istiqamah dengan sokongan itu?

Sebelum ini PH pernah mengemukakan SD 114 orang ahli parlimen menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir setelah Yang diPertuan Agong memperakui angka dipihak PN dan menamakan Muhyiddin sebagai PM. Yang mengsuspenkan kini, apakah angka 114 itu masih utuh? Tidak mustahil dalam tempoh sepanjang Ramadhan ini dan sebelumnya ada usaha dipihak Muhyiddin untuk "mencopok" beberapa ahli parlimen termasuk dalam kumpulan 114 itu.

Sehingga kini masih belum ada tanda-tanda yang ada usul tidak percaya akan dipohonkan dalam sidang 18 Mei nanti. Belum ada kenyataan daripada mana-mana pihak. Cuma kalau pun ia boleh menghangat keadaan sedikit, ada satu surat yang mengatakan ada permintaan daripada seorang ahli parlimen meminta Yang diPertua Dewan Mohamad Arif Md Yusuff mempertimbangkan untuk dikemukakan usul membuat resolusi kononnya seorang ahli parlimen mempercayai beliau mempunyai angka mencukupi untuk dipilih sebagai perdana menteri.

Bagaimana pun sejauh mana surat itu boleh dipertanggungjawab tidaklah dipastikan. Ia masih dalam khabar angin dan surat itu berstatus tangkap layar sahaja. Boleh jadi juga surat itu sengaja disebarkan untuk dijadikan ugutan kepada pihak-pihak tertentu dengan motif tertentu untuk mendapat sesuatu yang diingininya.

Seandainya ia benar, apakah kalau tiba-tiba Muhyiddin memanggil penulis surat itu dan mengadakan rundingan? Apakah ia tidak akan berubah hati dan menarik balik surat itu, kalau ia benar? Apa sahaja boleh jadi dalam politik dan modal sandaran dan cagaran dalam perniagaan politik ini boleh dilakukan dengan apa sahaja, termasuk menggadaikan ladang khinzir atau kilang arak kepada bank untuk dijadikan modal, pun boleh.

Kesimpulannya di sepanjang Ramadhan ini ada dua harapan yang kontradik, oleh dua kumpulan manusia, sang abid dan politis. Kedua mereka mengharapkan "lalaitu qadar" dalam dua bentuk berbeza. Sang abid mahu kerahmatan dan keberkatan-Nya, ahli politik mahu kepada kekuasaan duniawi.  [wm.kl.12:14 pm 07/05/2020]

No comments: