Saturday, May 9, 2020

Mengenang hari kemenangan & hari kekalahan PH

NOSTALGIA

HAMPIR terlupa hari ini 9 Mei 2018 atau tepat dua tahun lalu, hari tumbangnya kerajaan UBN yang dianggap kerajaan keramat dan dilumuri dengan pelbagai mitos karut dan bi'daah. Ia dianggap keramat lantaran usianya mencecah 61 tahun, lebih setengah abad masih kekal dan mencatat sebagai satu-satu kerajaan demokrasi di Asia yang bertahan selama itu.

Kerajaan yang diungguli oleh Parti United Malay Organisation (Umno) dianggap keramat. Sesiapa pun tidak pernah terfikir ia akan jatuh seburuk itu. Saya pernah menggambarkan nasib parti itu tidak akan dapat menongkat lagi sampai kapan pun. Raja-Raja Firaun yang memiliki kerajaan terkuat di zaman silam pun akhirnya jatuh dan tersembah juga. Itu hujah saya dalam buku "Nyawa BN dihujung pedang."

Hukum alam, sesuatu yang naik pasti akan turun, hanya menunggu masa sahaja. Ternyata apa yang digambarkan itu tepat. Akhirnya Umno tumbang hari ini pada tahun 2018.

Mitos telah ditanam dalam kepala orang Melayu bahawa Umno sahajalah boleh membela mereka kerana itu ia dipercayai tidak akan tumbang. Mitos itu ditempel dengan propaganda dan dakyah menakutkan secara kotor, seperti dimainkan sentimen perkauman dan bangsa demi mempengaruhi sokongan. Maka berpegang dan mempercayai itulah sebilangan penyokongnya khasnya orang Melayu yakin bahawa Umno tidak boleh dikalahkan, bahkan kalau parti itu kalah akan berlaku sumpah alam.

Tetapi pada pilihan raya umum ke-14 kerajaan keramat itu jatuh tergolek. Kejatuhan secara normal, tidak pun mencetuskan huruhara seperti digemburkan sebelum itu, kononnya kalau Umno tumbang negara akan bergolak. Bukan sahaja tidak satu nyawa pun tidak melayang tetapi setitik darah pun tidak tumpah.

Sebagai penggantinya wujudlah kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Democrat Action Parti (DAP), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Parti-parti ini masing-masing dikepalai oleh Anwar Ibrahim, (yang digerakkan oleh isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana beliau masih dalam penjara), Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan lain-lain.

Disambut gembira.
Kejatuhan kerajaan UBN itu disambut oleh rakyat dengan penuh gembira dan syukur. Maklumlah mereka sudah lama menunggu lahirnya sebuah kerajaan baru. Bukan apa, mereka mahu bandingkan dan mencari apa-apa perbezaan nanti di antara kerajaan baru (PH) dengan kerajaan usang (BN). Dari segi demokrasi apa yang berlaku itu satu proses ghalib yang positif. Tidak bagus juga kalau sesebuah kerajaan itu dibiarkan berakar umbi.

Serentak itu satu harapan diletakkan kerajaan baru akan membawa dimensi baru buat mereka dan wujudnya landskap politik baru negara. Reformasi secara keseluruhan dijadikan asas perjuangan dan dasar kerajaan. Melalui agenda itu akan melahirkan negara Malaysia baru yang corak pemerintahannya lebih telus, adil dan saksama dan good government.

Bagaimana pun malangnya, usia kerajaan PH tidak kekal lama. Ia mati atau lenyap, atau dapat bertahan selama 22 bulan sahaja. Bagaimana pun kejatuhannya berbeza dengan kejatuhan kerajaan UBN, PH jatuh disebabkan pengkhianat dalaman gabungan itu sendiri bukan ditolak oleh rakyat seperti nasib diterima BN. PH jatuh kerana khiant oleh sebilangan pemimpin yang diangkat oleh rakyat secara jujur.

Peristiwa 25 Februari 2020 tarikh dimana bermulakan kerajaan PH lenyap akan dikenang oleh rakyat negara ini yang peka sejarah. Lebih banyak rakyat menyumpah daripada yang menyanjung kerajaan baru itu. Mungkin mereka yang gilakan kuasa, gilakan pangkat sahaja bergembira dan senang dengan kerajaan baru itu. Mereka yang sekongkol menyokongnya adalah mereka yang tidak bermaruah. Tetapi bagi mereka yang mahu melihat mandat mereka digunakan sebaik mungkin akan marah dan memberontak.

Nama-nama yang terlibat dengan pengkhianatan itu tetap akan dikenang dan nama mereka akan ditulis sebagai golongan JAHAT dan KHIANAT atas kertas hitam yang tebal lagi kematu.

Muhyiddin Yassin, Azmin Ali (Minrit),  Hamzah Zainuddin, Jaaffar Kamaruddin akan diletakkan dibaris atas sebagai nama-nama penjahat dan pengkhianat. Ia akan dituruti dengan nama-nama Takiyuddin Hassan, Annuar Musa, Abdul Hadi Awang.

Mungkin agak pelik kenapa sosok yang sebelum ini diserang oleh PH, Najib Razak dan Zahid Hamidi tidak berada disenarai atas mengikut perhitungan saya? Ini kerana mereka tidak terlibat atau menjadi penanggung-jawab atas kejatuhan kerajaan PH. Mereka hanya jadi pemerhati dari jauh sahaja.

Dibungkus kenangan 
Tidak mengapa, apa yang berlaku itu menjadi sejarah dan dibungkus kenang. Tetapi walaupun usia kerajaan PH hanya 22 bulan tetapi ia kejayaannya tetap akan dipanggung dan dijunjungkan sebagai satu peristiwa bersejarah buat rakyat negara ini khasnya pencinta demokrasi tulen. Pembentukannya membawa signifikan tersendiri. Ia akan dianggap sebagai kerajaan rakyat yang suci hasil muafakat yang murni. Ia dinaikkan bukan berbambukan kebendaan dan dilumur wang ringgit.

Pembentukan kerajaan PH itu atas tetes keringat dan air mata rakyat yang rindu sebuah kerajaan baru. Ia boleh dianggap hasil evolusi politik demokrasi. Kejayaan PH membentuk kerajaan itu juga menunjukkan bahawa tidak ada batas atau benteng yang boleh mempertahankan sesuatu kerajaan sekebal BN. Wang ringgit tidak berfungsi lagi apabila rakyat marah. Amarah rakyat bisa memusnahkan segala dan bertukar menjadi api membakar seluruh ringgit dan tawaran kebendaan. Dan pilihan raya ke-14 itu membuktikan kenyataan itu.

Kedua mereka membuat kenyataan bersama
menolak dan tidak iktiraf kerajaan PN
Padahal Najib telah menggunakan berbillion ringgit untuk mempengaruhi rakyat. Beliau percaya bahawa cash is king. Tetapi ternyata The King ialah rakyat. Dan rakyat tidak sedia untuk menelan wang ditawarkan Najib dengan tukaran menggadai kuasa mutlak mereka bagi meneruskan Najib bersama kerajaan kleptokrasinya.

Kalau rakyat boleh menumbangkan kerajaan yang bergelumang dengan wang dan sudah memerintah selama 61 tahun, tidak hairan untuk masa-masa akan datang kejayaan itu akan diulang lagi. Umno yang sudah jatuh itu telah sirna keramatnya. Mitosnya juga sudah tak wajar disebutulang lagi sementelahan ia karut dan bi'daah semata-mata.

18 Mei, sembilan hari lagi akan diadakan sidang dewan Parlimen. Di situ bakal menjadi medan penentuan apakah hulubang rakyat yang dipilih dalam pilihan raya itu akan mengheret dada untuk berusaha merampas balik kerajaan yang hilang atau tidak? Apakah ada sebahagian lagi daripada mereka berpaling tadah tergiur dengan tawaran kebendaan?

Kenyataan bersama Dr Mahathir dan Anwar sebagai mengingati hari kemenangan dua tahun lepas, bahawa mereka tidak ikhtiraf kerajaan PN hari ini membuka mata kita semua dan memberi pengertian bahawa mereka masih ada naluri untuk bersama membela diri dan mencari sesuatu yang sudah hilang. Kenyataan itu menunjukkan kedua sosok itu terkilan dengan apa yang berlaku dan tidak merelakannya. Dan kenyataan mereka itu adalah setitik penawar dikala mengenang hari yang malang itu.

Jadi tidak mustahil kalau mereka bergabung sekali lagi untuk membela maruah dan mengapai semula kerajaan yang dicuri itu. Justeru sidang 18 Mei penting dan sungguh mengsuspenkan. Bagaimana pun dalam tanda tanya itu alang baiknya kalau diam-diam Mahathir menyata dan melakukan sesuatu yang tidak terfikir oleh semua semisalnya, sekiranya usul menjatuhkan Muhyiddin itu berjaya beliau akan mempersilakan Anwar untuk jadi PM. ??????.

Tidak perlu menangis.
Rakyat yang bersama kerajaan PH tidak perlu menangis kerana kehilangan kerajaan itu. Tangisan tidak boleh mengembalikan sesuatu yang hilang melainkan makin meranumkan kerinduan kepadanya. Ingat dan kenang dan menjadikannya sebagai ibrah. Yang terbaik adalah memasang nekad untuk membinanya semula sesuatu yang runtuh diluar dugaan.

Kemenangan kedua dan seterusnya tidak mustahil apabila sudah ada kemenangan pertama. Kemenangan dan kejayaan pertama adalah perintis kejayaan seterusnya, manakala kekalahan pertama selepas menang adalah papan tanda mahal untuk diingat kesilapan dan kesalahan sehingga terjongkit jatuh. Jatuh sambil menyebabkan kesakitan tetapi menghadiahkan pengalaman.

Kepada PH selamat mengingati hari kemenangan dan hari kejatuhan. [wm.kl.6:44 pm 09/05/2020]
* Beberapa keping gambar himpunan PH sebelum pilihan raya.

No comments: