Friday, May 8, 2020

Pisau untuk "pancung" Perdana Menteri PN sudah ditangan

REAKSI

Tiga sosok ini; Mahathir, Mohamad Arif dan
Muhyiddin jadi perhatian jelang sidang parlimen.
WAP panas menjelang sidang parlimen 10 hari lagi, pada 18 Mei ini kian meruap dan merembas dada orang-orang politik dan juga pemeriksa politik. Kehangatan wap ini seakan dapat menolak rasa bimbang dan gerun kepada Covid-19 yang menyerang negara lebih sebulan lalu.

Tentunya bagi pihak kerajaan, mereka lebih takut kepada sidang itu daripada berhadapan dengan wabak yang sudah mulai mengendur itu. Jika boleh dielakkan, mahu sidang itu ditiadakan sampai habis penggal parlimen ke-14 bagi memastikan kedudukan kerajaan PN selamat?

Apa yang menjadi tumpuan pada sidang 18 Mei yang dihadkan diadakan hanya sehari sahaja itu, ialah berkenaan dengan notis-notis usul yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Arif Md Yusof untuk dinilai bagi dibahaskan. Berbagai spekulasi dan cakap-cakap mengenai notis-notis usul berkenaan sejak 72 jam lepas.

Sejak notis memanggil mesyuarat Parlimen ke-14 pertama penggal ke-3 dikeluarkan pada 17 April, pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat menerima empat notis usul.  Notis usul itu masing-masing diterima daripada ahli Parlimen Batu Sapi, (Liew Vui Keong), ahli Parlimen Semporna (Mohd Shafie Apdal) dan ahli Parlimen Langkawi (Dr Mahathir Mohamad).

Ahli Parlimen Batu Sapi (Liew Vui Keong) mengemukakan usul dibawah Peraturan Mesyuarat 18 mengemukakan resolusi agar sidang membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli Yang Berhormat.

Selain itu, wakil tersebut juga mengemukakan usul membuat ketetapan bahawa ahli Parlimen Langkawi  (Dr Mahathir Mohamad) mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Satu lagi usul dikemukakan ialah meminta persidangan dilanjutkan daripada sehari kepada lapan hari.

Bagaimana pun ketiga-tiga notis usul ahli Parlimen Batu Sapi itu ditolak kerana sebahagiannya tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Negara.

Usul daripada MP Semporna.
Usul daripada ahli Parlimen Semporna (Mohd Shafie Apdal) pula berbunyi hampir sama dengan notis usul ahli Parlimen Batu Sapi itu mengemukakan resolusi membuat ketetapan kedudukan ahli Parlimen Langkawi yang mendapat majoriti. Bagaimana pun ia juga ditolak atas alasan ia tidak selari dengan Perkara 43 Perlembagaan Negara. Usul itu sebagai mencabar hak Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kuasa melantik perdana menteri.

Manakala dua usul lagi dikemukakan oleh Ahli Parlimen Langkawi, (Dr Mahathir Mohamad), yang mengemukakan usul agar mengekalkan Yang di Pertua Dewan Rakyat yang ada (Mohamad Arif Yusof) dikekalkan sehingga dewan dibubarkan. Usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 4.

Manakala satu lagi usul dikemukakan ahli Parlimen Langkawi itu, membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak mempunyai keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen. Usul itu dikemukakan dibawah Peraturan Mesyuarat 27(3).

Usul meminta dewan mengekalkan Mohamad Arif sebagai Yang di-Pertua Dewan sehingga habis penggal ditolak, manakala usul meminta ketetapan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ahli Parlimen Pagoh tidak ada keyakinan majoriti ahli-ahli Parlimen DITERIMA.

Dengan penerimaan usul tersebut bermakna kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri akan dibahas dan diambil ketetapan dalam sidang parlimen. Nasib Muhyiddin akan terserah kepada parlimen. Bagaimanapun sama ada ia akan dibahas dalam sidang sehari itu atau tidak, tidak dapat dipastikan.

Melihat kepada gelagat dan belang ditunjukkan oleh pihak kerajaan tidak mungkin ia akan dibahaskan pada sidang sehari itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perjalanan parlimen Takiyuddin Hassan siang-siang sudah memberi isyarat sidang itu hanya akan menyelesaikan urusan kerajaan sahaja.

Pokoknya apa terpenting apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat sudah menerima notis usul yang membawa maksud untuk mengadakan undi tidak percaya kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Muhyiddin kini sedang berhadapan dengan keputusan maha hebat buat dirinya. Walaupun mungkin ia sudah diduga tetapi tetap mendebarkan.

Usul yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Langkawi dan telah diterima itu sepertilah ia sebilah pisau yang sudah terpegang ditangan untuk melibas leher Perdana Menteri dan melumatkan kerajaan PN bila-bila masa sahaja. Bersedialah perang akan bermula. [wm.kl.4:50 pm 08/05/2020]

No comments: