Friday, September 11, 2026

Tiada Apa Dalam Ucapan Dasar Zahid Hamidi

ULASAN

SELAMA satu jam 15 minit Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan dasar di PAU sekejap tadi. Saya menunggu apakah punch line, tetapi gagal. Ucapan presiden Umno itu tidak banyak beza dengan ucapan dasar beliau sebelum ini, menghiburkan tetapi tidak berkualiti. 

Penuh dengan lelucon, gurau senda dan sindiran yang berlapis maknanya.

Apa yang dinantikan dari ucapan Zahid ialah bayangan "pementerian" kerjasama Umno dengan Pas. Orang mahu lihat
sejauh mana kesungguhan Umno untuk menerima huluran tangan Pas kembali semula untuk bersahabat dengan Umno, setelah Umno dikhianati.  Pas yang kini terhegeh-hegeh menjual muka buruknya dengan Umno, nampak lebih gila. 

Sebagai balas basan kehadiran wakil Umno ke muktamar Pas, parti agama itu hantar empat pimpinannya ke perhimpunan Umno pagi ini yang diketuai oleh Naib Presidennya Idris Ahmad. Bila Pas hantar Idris Ahmad sebagai ketua delegasi tahulah kita sejauh mana penting dan mustahaknya rancangan untuk bekerjasama semula itu. Dalam Pas Idris lebih kurang sekandang sahaja dengan Sanusi Mohamad Nor dalam politik.

Yang ditunggu pemerhati apakah ketegasan dan jaminan Zahid dengan kerjasama itu. Orang mahu tunggu ketegasan Zahid dalam hal ini, tanpa beliau perlu mengingati apa yang pernah berlaku. Apabila Zahid mengulang UBN masih terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana pihak, ini menyebabkan kerajsama UBN dengan Pas masih terawan-awannan. 

Dapat difahami UBN belum menutup pintu serapatnya daripada bekerjasama dengan PH. Tanpa Zahid mengunci pintu itu ia sedikit mengecewa mereka yang mahu melihat Pas dan Umno terus bergelumang dalam selut bendang padi yang hanyir.

Tanpa kehadiran Abdul Hadi Awang atau timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man di perhimpunan itu sebagai tertamu kehormat dapat ditafsirkan agenda kerjasama itu tidak begitu bersungguh. Hari ini orang mahu menyaksikan satu adegen ciuman pipi di antara pemimpin Pas dengan pemimpin Umno. Tengku Razaleigh Hamzah yang juga hadir sebagai perwakilan bahagian mungkin ikut teruja dengan peristiwa itu.

Zahid menggariskan lapan perkara dalam ucapan dasar itu, namun tidak ada yang jelas kepada saya. Apa difahami beliau mahu membawa sesuatu yang lebih baik daripada Kerajaan Madani kini sekiranya rakyat beri peluang kepada Umno memerintah semula Malaysia.

Ada sesekali beliau sindir dan ejek juga Anwar dalam ucapan itu. Namun bagi mereka mengenali Zahid dan tahu makrifat hubungannya dengan Anwar, ejekan itu hanya permukaan sahaja, sekadar mengambil hati atau untuk memenuhi kehendak jiwa mereka yang benci kepada Anwar. Lebih tepat sindiran dan gurau itu untuk menghibur hati wakil Pas Idris, semata-mata, dan sebagai buah tangan untuk dikirimkan kepada Tok Dor. 

Apa yang dilempar dan dicatuk ke atas Anwar hanyalah sekadar seperti catukan parang gelebek atas tunggul sahaja, ia tidak memberi apa-apa bekas. Bagi Anwar dan sebahagian orang mengenali siapa dia Zahid Hamidi yang selalu menjadikan sumpah atas nama Allah sebagai modal meyakinkan orang, tahu akan tajam tumpul golok yang dihala kepada Anwar.

Kesimpulannya ucapan dasar Zahid Hamidi tiada yang baharu membuka minda dan menyentuh hati hanya mengulangi frasa frasa ucapan dasar sebelum ini dengan pembaikan ayat serta tambahan frasa baru serta koreksi ejaan semata-mata. 

Selama satu jam 15 minit itu berlalu begitu sahaja tanpa disisi dengan sesuatu yang signifikan yang dihadirkan dari sebuah perhimpunan sebesar itu.  Ia tidak lebih sebagai satu majlis menyambut kepulangan dua pemimpin mereka yang baru dilepaskan dari lokap SPRM dan akan menghadapi pendakwaan atas tuduhan menyangkau tidak lama lagi. [wm. kl. 11:53 am 11/09/2026]

No comments: