Friday, June 12, 2020

Politik balas dendam dan Piraum 15 siapa untung siapa rugi? (Akhir)

RENCANA 

SAYA bercadang untuk "pause" menulis dan mengupas soal atau isu-isu politik, sekurang-kurangnya menjelang sehingga Piraum (pilihan raya umum) akan datang. Keadaan politik dan cara politik yang digerakkan pada waktu ini sangat mendukacitakan dan tidak "semakan" dengan jiwa saya, menyebabkan saya benci, menyampah dan meluat dengan dunia politik.

Semacam sesia saja berbicara soal politik, menghabisi lebih separuh usia dengan politik yang mengulangi hal yang sama dan bergelumang dengan perkara kebusukan sama; bermain politik di Malaysia seperti membongkar tong sampah atau memasuki tempat pelupusan sampah yang busuk dan hanyir.

Ia juga seperti kisah wanita diceritakan dalam al Quran yang kerjanya memintal-mintal tali, kemudian merombaknya kembali. Kerja yang tidak ada kesudahan dan sesia. Kerja saya dalam menulis hal politik persis kerja wanita berkenaan.

Lantaran itu mempeduli dan memberi makan anjing liar dan kucing kurap di jalanan rasanya lebih baik dan lebih mulia daripada terbabit membicara politik Malaysia hari ini yang bukan sahaja liar tetapi tidak bertamadun dan jahiliah.

Rasa mual ini, bukan semata-mata kerana berlaku pengkhianatan merampas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tempoh hari, tetapi disebabkan makin meluas dan huduhnya politik tidak bermoral, politik yang tidak ada landasan dan politik yang langsung tidak tertakluk dengan sebarang hukum dalam semua sudut dan keadaan, baik dengan lawan maupun juga sesama sendiri. Seakan-akan tidak ada "gundal" dalam dunia politik mereka yang jujur, ikhlas dan tulus.

Apa yang terpamer hari ini, politik untuk mengejar kedudukan dan kuasa, bukan lagi politik digunakan untuk membela rakyat dan membangun negara seperti dilaung-laungkan. Semua yang dilaung dan dijanjikan itu tidak ubah seperti modal dagangan semata-mata, siasah materialisme.

Melihat kepada suasana dan rona politik hari ini, bagi saya seperti politik jahiliah yang tidak pernah tersapa angin ketamadunan, menyebabkan ia batil dan merugikan masa saja. Melihat percakaran dalam dunia politik jahiliah ini lebih buruk daripada kehidupan dunia binatang dalam belantara yang memikirkan soal tembolok sendiri dan sanggup melakukan apa sahaja, tanpa hukum dan peraturan, sedikit pun tidak memikirkan soal komuniti dan solidariti. Politik apa kalau macam itu?

Jadi untuk apa kita (saya) terus bermain di laman politik, apa lagi kerana kita tidak ada cita-cita untuk mengejar apa-apa habuan, kuasa dan kedudukan dalam politik. Berbeza dengan mereka yang memasuki dunia politik kerana memasang niat untuk mendapat sesuatu, jawatan dan kuasa, politik bukan profesyen tetapi sumber cari makan. Mungkin mereka betah dengan tempat pelupusan begitu.

Kita hanya ahli kelab penyokong seperti penyokong kelab bola sepak, yang dapat gaji dan elaun dan menjulang piala kemenangan mereka, kita hanya melihat dari jauh tumpang bergembira, tumpang memberaikan air mata atas kejayaan mereka yang kita rasanya ada saham kita di situ. Hanya sekadar itu "kita-kita" ini.

Bagaimana pun disebabkan saya masih ada hutang dengan penjengok blog ini khususnya, maka saya terpaksa memaksa diri menulis rencana ini sebagai sambungan catatan bahagian pertama lalu. Ini adalah hutang janji saya dengan anda sekalian.

Selepas ini mungkin saya tidak lagi kerap atau acap menyentuh hal politik dan mengulas setiap apa yang berlaku saya kira ia sia-sia dan merugikan masa. Melayan hal-hal sebegitu menjadi makin bodoh. Untuk apa dan buat apa kita bercakap tentang sesuatu yang terus menjumud?

Dalam artikel sebelum ini saya mencemuhi permainan angka untuk merebut semula kerajaan PH yang dicuri itu. Saya menyatakan permainan itu sia-sia sahaja dan tidak lebih daripada mendedahkan kebusukan diri dalam berpolitik.

Apa yang saya sarankan, pihak PH lupakan usaha untuk merampas kuasa itu sebalik tumpukan kepada penyusunan barisan untuk menghadapi pilihan raya. Apa lagi kalau usaha itu sama saja dilakukan oleh golongan khianat yang bermuafakat melakukan kudeta itu. Tidak harus kita membaca dan menghafal sifir sama, 2 kali 5, 5 kali 2. Biarlah Pandir menjadi Pandir dengan dirinya sendiri jangan kita terikut dan makan dengan teorinya.

Sebelum pada itu saya juga sudah menulis, menyifatkan kehilangan kerajaan PH yang baru berusia 22 bulan itu sebagai satu kifarah, balasan atas kecuaian, kesombongan dan kebebalan penanggungjawab kerajaan PH. Pada saya walaupun ia mengilankan, tetapi kejadian itu adalah pembalasan setimpal. Tidak perlu saya membangkit balik apakah kebebalan-kebebalan dan kelemahan nyata di pihak PH itu.

Baiklah, apa yang hendak saya paparkan dalam tulisan ini ialah menyuluh apa yang akan berlaku pada Piraum ke-15 nanti. Suluhan atau bacaan ini mungkin "deraf awal skripsi" dengan mengambil kira senario yang berlaku kini.

Rata-rata pemerhati berasakan kalau Muhyiddin Yassin dapat mempertahankan dirinya sebagai PM sampai habis penggal, yakni dua setengah tahun lagi, kerajaan PN ini akan dapat dikekalkan pada Piraum akan datang. Dalam pada itu ia menjadi masalah kepada PH. Inilah yang merisaukan pembangkang hari ini dan juga mereka (rakyat) yang mengidamkan perubahan setelah menantinya lebih 60 tahun.

Sebalik saya tidak melihat begitu, Piraum ke -15 memberi kelebihan kepada PH dengan beberapa faktor yang saya gariskan. PH tidak perlu gundah untuk menghadapi Piraum ke-15. Sebab, bagi saya usaha untuk PH menebus kekalahan mereka bukan dengan membalas dendam merampas kerajaan PN di tengah jalan, sebaliknya tunggu pilihan raya. PH perlu bersabar dan mempersiapkan diri untuk menghadapi penghakiman daripada rakyat. Cara itu lebih praktikal, munasabah dan bermoral.

Sekurang-kurang ada tiga senario (faktor) kenapa saya kata PH mempunyai peluang baik untuk menguasai Piraum ke 15 itu.

1. Keadaan dalam kerajaan PN hari ini.

Kerajaan PN itu jelas tidak diikat dengan satu persepakatan yang kemas dan mantap. Kumpulan dan entiti yang bermuafakat melakukan kudeta tidak diberkas dan diikat dengan tali emas. Mereka sekumpulan perompak yang bertemu di tengah jalan dan bermuafakat melakukan rompakan untuk survive. Muafakat itu longgar dan rapuh.

Nasib Muhyiddin dan partinya masih belum tentu arah ke mana. Perebutan wadah bernama PPBM atau Bersatu masih berlaku. Pihak Dr Mahathir Mohamad telah membawanya ke mahkamah. Manakala Muhyiddin menggunakan segala mekanisme tanpa memperdulikan ia halal atau haram lagi.

Manakala pihak Umno dan Pas - Muafakat Nasional (MN) pula memberi gambaran mereka mahu kekal secara berdua sahaja untuk berhadapan dengan PH. Mereka tidak mahu dalam pilihan raya nanti Muhyiddin (Bersatu) bersama dalam MN apa lagi menjadi terasnya. Bagaimana pun penolakan dan ketidaksetujuan ini masih bersifat subjektif.

Beberapa pemimpin tertinggi Umno telah memberi isyarat untuk tidak menerima Bersatu sebagai sekutu dalam MN. Pun begitu saya tidak mengira ia satu keputusan muktamad kerana sikap dan sifat orang politik itu penuh hipokrasi. Bila terdesak dan terpaksa, mereka boleh bergabung laksanakan manusia lapar ketiadaan makanan halal, daging babi pun dimamahnya.

Lantaran itu kedudukan Muhyiddin sebagai PM tidak terjamin kerana Bersatu akan jadi tunggak atau tulang belakang. Secara logiknya Umno tidak akan bersedia untuk membiarkan Muhyiddin kekal sebagai perdana menteri kerana mereka juga mengimpikan jawatan itu. Tambahan lagi Umno tentu masih ingat bahawa antara orang memainkan peranan menumbangkan kerajaanya ialah Muhyiddin.

Pendirian serta sikap Umno dalam ini hal berbeza dengan Pas yang cukup hanya setakat menjadi kerajaan tanpa bercita-cita untuk memimpin kerajaan itu. Bagi Pas menjadi sebahagian kerajaan adalah kemenangan kubra buat mereka sebagai parti yang tidak ada matlamat dan tujuan yang tetap. Pas hanya ingin kemenangan yang bersifat untuk menunjukkan kepada bekas rakan mereka bukan ikhlas mengisi perjuangan dengan idealismenya.

Masalah.
Umno dan Pas yakin kalau MN dikekalkan, ia memudahkan untuk berhadapan dengan PH. Masalah pembahagian kerusi tidak timbul kalau MN hanya dua komponen itu sahaja. Secara dasarnya Umno bertanding disemua kerusi tradisinya manakala Pas bertanding di kawasan kubunya. Atas prinsip atau konsep itu Pas dan Umno tidak jadi masalah. Kerana masing-masing sudah ada kawasan fundamental. Jadi bagi mereka tidak masalah pembahagian kerusi di antara keduanya tidak timbul.

Sebaliknya kalau MN itu menerima Bersatu, ia akan menjadi masalah. Konsep atau persefahaman asal itu sudah berubah. Umum tahu yang kerusi-kerusi dimiliki Bersatu kini dan kerusi yang dipertandingkan semasa dalam PH lalu (sebanyak 52 kerusi) adalah kerusi tradisi Melayu yang diwakili Umno.

Jika Bersatu dibawa masuk ke dalam MN secara rasmi menyebabkan berlaku pertelingkahan.

Sebagai rakan utama Pas, Umno sudah pasti mahukan kerusi lebih kerana mereka mahu menjadi tunggak kerajaan MN nanti seperti mana ketika BN dahulu. Sesuatu yang tidak dapat disembunyikan Umno sedang menyimpan dendam kesumat kepada mereka yang menjatuhkan kerajaan mereka, dan salah seorang yang jadi "kepala halian" ialah Muhyiddin Yassin.

Pertikaian kerusi ini bukan sahaja dengan bersatu, tetapi dengan sekumpulan lagi, yakni kumpulan serpihan PKR pimpinan Azmin Ali (Minrit) juga akan menjadi masalah. Kesemua 10 kerusi parlimen yang disandang oleh wakil PKR yang kini murtad itu adalah kebanyakan kerusi campuran, atau yang peratus Melayunya sekitar 55 peratus ke atas. Apakah kalau mereka bertanding atas tikit selain PH mereka akan mendapat sokongan seperti dalam Piraum lalu?

Dan sudah pasti kumpulan ini akan jadi perebutan dengan satu puak lain dalam MN yakitu MCA, MIC. Apakah MCA dan MIC dengan rela akan menyerahkan kerusi mereka itu kepada kumpulan serpihan PKR itu?

Kesimpulannya perebutan dan pertindihan kerusi tidak dapat dielakkan, ini masalah besar PN. Dengan berlaku perebutan itu nanti menjadi MN tidak akan harmoni seperti menghadapi beberapa Pirake sebelum ini. Sejauh mana anggota komponen yang tidak sekata itu dapat berkorban atau sedia untuk bertolak ansur semasa sendiri? Kegagalan dalam perkara ini ia bakal memberi kelebihan kepada PH. Mereka bersatu dan bersefahaman hari ini disebabkan kerana ada habuan.

Mereka umpama ayam itik yang jinak dan bermuafakat sewaktu dilambakan makan, sebaliknya bila  makanan sudah hampir habis mereka akan berlawan menggunakan kekuatan untuk untuk menafi sesama sendiri menguasai makan.

2. Kemarahan rakyat kepada kerajaan PN.

Pembentukan kerajaan PN menimbulkan kemarahan kepada rakyat khasnya pengundi di atas pagar dan golongan profesional. Mereka yang sebelum ini mengundi calon-calon PH dalam Piraum dengan satu tujuan untuk melihat perubahan kerajaan Malaysia, mahu melihat suatu reformasi menyeluruh, marah dan kecewa dengan apa yang berlaku itu.

Walaupun tindakan itu ada alasan daripada "penkudeta", tetapi mereka tidak dapat menerima dan menganggapnya satu pengkhianatan kerana ia berlaku di luar garis normal demokrasi, tidak melalui pilihan raya. Apa lagi alasan melakukan kudeta itu tidak dijelas dan kabur.

Selama alasan kudeta itu tidak diterangkan dan dapat diterima, selama itu ia dianggap sebagai pengkhianatan, atau dibuat atas gelodak nafsu ingin berkuasa dan menjadi perdana menteri. Kudeta itu bukan atas kepentingan dan maslahat umah dan negara.

Oleh kerana itu mereka yang mengundi PH untuk menukar kerajaan UBN sebelum ini akan setia kepada PH. Orang-orang Cina diyakini akan tetap memberi sokongan kepada PH. Apa yang ditunjukkan di Pirake Tanjung Piai tempoh hari bukan petunjuk sebenar perubahan pengundi Cina.

Perubahan undi Cina di Pirake itu dilihat lebih kepada concern mereka kepada calon BN yang meletakkan Cina. Perubahan itu hanya satu isyarat untuk PH membaiki kelemahan dan kepincangannya dan bukan satu protes sehingga bermaksud mahukan kerajaan PH hilang. Saya percaya pengundi Cina di Tanjung Piai menyesal dengan apa yang berlaku kini.

Kaum Cina yang pegangan politiknya lebih terbuka dan gentleman serta banyak melihat keuntungan kumpulan mereka, akan membalas atau menumpahkan kemarahan atas pembentukan kerajaan PN itu dengan undi mereka. Sehingga kini kerajaan PN atau Muhyiddin belum memberi apa-apa habuan besar kepada orang Cina.

Keadaan itu ditambah dengan adanya unsur atau elemen kononnya pembentukan kerajaan PN itu berdasarkan semangat agama (Islam) dan kaum (Melayu) yang mana elemen itu dicemuhi oleh mereka dan para pendukong semangat Malaysia sebagai satu bangsa. Selamanya politik perkauman dijadikan cagaran untuk mendapat hak.

Golongan cerdik pandai dan menerima Malaysia sebagai satu bangsa dan mereka dapat menilai pembaharuan kerajaan PH berbanding dengan BN juga akan marah. Melihat kepada pembentukan dan pengisian kerajaan PN hari ini menyebabkan mereka menjadi anti kepada semangat yang mereka dukongi itu.

Tegasnya undi Cina akan berpihak lebih besar lagi kepada PH. Apabila pengundi Cina tidak sedia membahagikan kuasa mereka, maka harapan kerajaan PN atau mengekalkan kedudukan mereka sangatlah tipis sekali.

3. Cabaran tersendiri.

Dalam pada itu kedua-dua pihak PH dan PN menghadapi cabaran yang hampir sama untuk memastikan apakah mereka dapat menguasai Piraum akan datang atau tidak, cabaran itu ialah sejauh mana perpaduan dan keeratan kerjasama dalam gabung masing-masing.

Masalah PH ialah untuk memupuk dan memadu balik kekuatan dan kepaduan PH seperti menghadapi Piraum ke-14 lalu. Apakah gabungan personaliti Dr Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim akan berlaku lagi atau pun tidak. Sekiranya gabungan ini tidak wujud dan terus retak, PH akan menghadapi masalah.

PH tidak cukup dengan gabungan tiga buah parti PKR, DAP dan Amanah. Gabungan peribadi dalam parti-parti itu tidak cukup kuat dan mengesankan. Anwar, Guan Eng dan Mohamad Sabu, tidak sama dengan keberadaan Dr Mahathir. Kelebihan yang ada kepada Dr Mahathir ialah menarik perhatian parti di Sabah khasnya Warisan serta golongan veteran berusia 70 tahun ke atas yang masih bernostalgia dengan kehebatan bekas PM dua kali itu.

Hubungan baik dan penghormatan tinggi Shafie Apdal yang memimpin gelombang baru di Sabah kepada Mahathir memungkinkan Warisan bersama PH. Sekiranya Dr Mahathir tidak ada dan memainkan peranan penting, Shafei tidak begitu berminat dengan PH atas sebab-sebab tertentu.

Manakala bagi PN pula cabaran besar mereka ialah dalam masalah pembahagian kerusi. Sekiranya masalah kerusi dan pertindihan kawasan tidak dapat diselesaikan ia akan memporak perandakan gabungan tersebut. Hari ini kita tidak dapat menduga apa yang berlaku kerana gabungan itu belum lagi melalui sebarang sejarah pilihan raya umum. Ia juga tidak diikat atau terikat secara rasmi, belum digam dengan kukuh.

Dari segi gabungan personaliti, dalam PN berbanding dengan PH lebih kurang sama sahaja. Dalam PN ada Muhyiddin Yassin, Abdul Hadi Awang, Azmin Ali dan lain-lain daripada UBN. Bagi Umno Zahid Hamidi adalah peribadi daripada Umno yang tidak memberi banyak benefit dan tidak bernilai lagi. Begitu juga dengan Najib Razak.

Dari segi pengaruh dan populariti, mereka itu tidak dapat menandingi Anwar dan Mahathir, kecuali Hadi Awang menjadi ikonis menjumudi dalam kawasan Melayu, itu pun tidak mencukupi kerana peribadi Abdul Hadi tidak dapat menarik perhatian pengundi bukan Melayu.

Satu hakikat PN jika berharap kepada suara Melayu semata-mata mereka tidak dapat memperolehi majoriti walaupun majoriti ramping. Kemenangan tanpa mendapat majoriti dua pertiga menjadikan kerajaan goyah.

Dari dua faktor tadi ia memberi kelebihan kepada PH untuk menguasai Piraum - 15. Cuma ketika ini PH ada sedikit masalah yakni mengenai kehilangan Bersatu yang telah dibawa lari oleh Muhyiddin. Bagaimana pun faktor Dr Mahathir masih ada. Aura Dr Mahathir ini walaupun dilihat mengecil tetapi ia masih ada dan memberi signifikan tersendiri.

Kesimpulannya berdasar gambaran itu, PH tidak perlu takut untuk menghadapi pilihan raya ke-15 dan hendaklah segera melupakan angan-angan untuk menguasai kerajaan secara merampas. Burung sudah terlepas janganlah terlalu lama merenung sarang kosong.

Mereka lebih afdal menumpukan perhatian menyusunkan organisasi untuk menghadapi Piraum ke-15. Kekalahan dalam berhadapan dengan pilihan raya lebih bermaruah daripada mendapat kerajaan secara curi dan merompak seperti dilakukan Muhyiddin. Cis. Itupun bagi mereka yang mementingkan maruah dan nilai hidup. [wm.kl. 9:30 am 12/06/2020]

Glossori:

1. Kepala halian = ketua, atau kepala utama.
2. Semakan = tidak sebulu, tidak serasi.
3. Gundal = tunggal, tersisa, tertinggal. 

No comments: