Sunday, October 11, 2020

Kenyataan Takiyuddin memerangkap Pas?

SOROTAN MALAM

TIDAK sampai 20 jam saya melepaskan artikel berjudul "Anwar perlukan Hadi bina Malaysia", https://msomelayu.blogspot.com/2020/10/anwar-perlukan-hadi-untuk-bina-malaysia.html#more Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan telah mengeluarkan satu kenyataan yang memberi tahu kesemua 18 orang ahli parlimen Pas berdiri teguh di belakang Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri. 

Dalam kenyataan itu Takiyuddin berkata (Pas) tidak terkesan dengan langkah Anwar Ibrahim untuk menghadap Yang diPertuan Agong untuk memaklumkan yang beliau sudah mempunyai sokongan bagi mengambil alih kerajaan.

Takiyuddin menyifatkan apa dilakukan Anwar itu sebagai langkah seorang yang desprados yang dilakukan oleh orang yang sama untuk kepentingan diri dan perbuatan menangguk di air keruh.

Menyedari kenyataan segera Takiyuddin selepas tulisan saya itu memberi gambaran seperti ada sesuatu yang menganggu minda Pas dengan projek misteri Anwar itu sehinggakan Pas segera membuat kenyataan akhbar. Kenyataan itu pula menunjukkan Pas seperti tidak sehaluan dalam menanti peristiwa penting pada hari Selasa itu. 

Dari sisi lain apa yang saya cadangkan itu seperti ditakuti oleh Takiyuddin dan segelintir yang lain dalam Pas. Apakah sesuatu mustahil kalau Abdul Hadi Awang bergabung dengan Anwar untuk membangun Malaysia. Apakah rasa ragu itu disebabkan bimbang kedudukan peribadi terjejas kalau perkara itu menjadi realiti. Sepatutnya semua orang meletakan agenda peribadi di belakang dan utamakan agenda nasional.

Timbul juga persoalan kenapa Abdul Hadi Awang selaku prrsiden tidak mengeluarkan sendiri kenyataan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin itu. Apakah Abdul Hadi lebih berhati-hati dan dengan natijah yang berlaku selepas ini? 

Walaupun Takiyuddin ada autoriti selaku Setiausaha Agung adalah lebih tepat dan gagah kalau Hadi sendiri membuat kenyataan menegaskan pendirian Pas itu. Pastinya suara Hadi lebih diyakini oleh Muhyiddin Yassin berbanding Takiyuddin. Ahli parlimen Pas khususnya lebih menghormati dan taat kepaada Hadi daripada sesiapa individu dalam Pas.  

Dari segi keperluan apakah penting dan wajarnya kenyataan dibuat Takiyuddin itu, kerana ia tidak akan memberi apa-apa kesan pun sekiranya Anwar benar-benar mempunyai jumlah mencukupi. Sebaliknya kenyataan itu memerangkap Pas seandainya Anwar benar-benar cukup nombor kelak. Di sini menjelaskan kenyataan itu dibuat tanpa penelitian dan tanpa hikmah tetapi lebih kepada bertolak daripada emosi. 

Semasa Anwar membuat sidang akhbar mendedahkan beliau sudah mempunyai bilangan cukup, ia tidak termasuk ahli parlimen Pas pun. Pengakuan Anwar itu terjawab dengan sendiri dan tuntas apabila presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa beliau dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno menyokong Anwar dan beliau tidak boleh menghalangnya. 

Di sini Anwar tidak memerlukan ahli Parlimen Pas justeru Pas tidak payah susah-susah membuat kenyataan pendirian ahli parlimen Pas. Kecuali Takiyuddin ada maklumat yang ada ahli parlimen Pas akan menderhaka dan melanggar bai'ah? 

Sepatutnya Takiyuddin mendalam dan memehami kenyataan Zahid itu. Dari kenyataan Zahid itu sudah jelas MP atau sokongan diperolehi Anwar adalah daripada Umno bukan daripada ahli parlimen Pas. Dengan kedudukan itu sikap diambil Pas seperti dinyatakan Takiyuddin itu tidak membawa apa-apa erti lagi.  

Juteru kenyataan Takiyuddin hari ini bukan satu kenyataan bijaksana melainkan kenyataan boleh memerangkap diri Pas sendiri. Seandainya kenyataan Takiyuddin dibuat atas ilham dan ideanya sendiri barang kali elok bagi Abdul Hadi sebagaiu presiden melihat sejauh mana kearifan dan strategis Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung. 

Dalam berhadapan dengan isu usaha mengambil alih kerajaan PN ini, pendirian dan ulah Takiyuddin selari dengan pendirian dan sikap Annuar Musa. Annuar juga dilihat bertindak sendiri tanpa akur serta membelakangi kehendak presiden partinya Zahid Hamidi. Apakah Takiyuddin dan Annuar sudah mengatur strategi politik peribadi lebih jauh menerusi parti masing-masing? 

Apabila Takiyuddin sudah membuat kenyataan sedemikian, Pas ia tidak boleh undur ke belakang lagi dan situasi itu tidak kondusif buat Pas. Kalau pun ada cadangan untuk Pas turut menyokong Anwar sebagai perdana menteri ia tidak lagi dialu-alukan. Kenyataan dan sikap dibuat Takiyuddin itu sudah mematikan langkah Pas dan meletakkan Pas dalam liang lahad. 

Dalam pada itu ada makluman Pas yang sampai ke telinga saya, Abdul Hadi telah dinasihati lebih berhati-hati dengan episod yang berlaku 13 Oktober nanti. Hadi dinasihat tidak terlebih dayung sebaik-baiknya melihat riak dan gelombang terlebih dahulu. 

Mungkin kerana faktor inilah maka Hadi dilihat tenang dan tidak gelojoh dalam menyerang Anwar yang dianggap retorik dan gimik itu. Apakah Hadi ada menerima cadangan lain berhubung peralihan kuasa dalam kerajaan PN itu. Semisalnya beliau juga menanti atau tidak mengharapkan kepada Muhyiddin seratus peratus tetapi ada yang lain? Atau apa sebenarnya? [wm.kl.7:52 pm 11/10/2020]

No comments: