Tuesday, June 15, 2021

Pelan pengukuhan diri bukan negara?

ULASAN

Mahidaddin bentang pelan
kukuhkan kedudukan diri bukan negara.
SEMUA orang sudah dengar perutusan khas Mahiaddin Md Yassin membentangkan pelan, (saya panggil "peler") pemulihan negara sekejap tadi. Mahiaddin membuat perutusan itu kurang 24 jam Raja-Raja Melayu dan Yang diPertuan Agong berjumpa di Istana Negara esok untuk "berbincang-bincang" masalah negara.

Perjumpaan esok ramai yang salah anggap sebagai persidangan Majlis Raja-Raja (MMR). Bukan, ia perjumpaan luar biasa antara Raja-Raja Melayu dengan Agong. 

Perjumpaan itu ekoran Yang diPertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Billah Shah memanggil menghadap ketua-ketua parti politik dua tiga hari lepas. Gambarannya perjumpaan itu penting dan mustahak? 

Mungkin ada keperluan dan suatu kebijakan untuk baginda memaklum atau menerima pandangan balas daripada Raja-Raja Melayu berhubung pertemuan baginda dengan ketua-ketua parti politik. Perjumpaan esok sebenarnya bukan keperluan terdesak atau penting yang seharusnya ditangani oleh Raja-Raja walaupun ada harapan rakyat kepada baginda. 

Perjumpaan besok ia tidak lebih bagi menunjukkan bahawa Raja-Raja Melayu mengambil berat dan cakna ke atas apa yang sedang berlaku sekarang ini. Sebagai Payung Rakyat, maka baginda seharusnya peka dan prihatin kepada segala masalah. Tetapi dari konteks Raja Berperlembagaan baginda tidak dapat berbuat lebih daripada kuasa yang ada. Kuasa baginda terbatas dan terhad.  

Perlu difahami, apa yang ada dalam benak Raja Raja berbeza dengan apa yang ada dalam benak orang politik. Baginda berfikir untuk kesejahteraan rakyat umum, orang politik lebih berfikir untuk kepentingan diri dan puak. Ini "farak" antara Raja dengan orang politik.  

Tetapi kerana masalah negara kini yang dilihat penat dan celaru di bawah Mahiaddin, ramai yang menaruh harapan kepada Raja Raja Melayu ikut sama memikir dan bertanggungjawab serta menuntaskan permasalahan mereka. Rakyat meletakkan kepercayaan kepada Raja-Raja untuk menyelesaikan masalah mereka apabila kerajaan (perdana menteri) dilihat lemah, lembab dan gagal. 

Justeru kerana berfikir demikian, maka ramai yang menganggap perbincangan esok akan memberi natijah yang positif memenuhi kehendak orang ramai ketika ini. Rakyat menanti akan ada pengumuman atau pengisytiharan sesuatu daripada hasil perbincangan itu. Sebab itu peristiwa esok ditunggu-tunggu.  

Lantaran itu pada awalnya saya sendiri menduga perbincangan esok penting menyebabkan orang akan berdebar-debar menunggu hasilnya. 

Tetapi apabila hari ini Mahiaddin membentangkan "peler" pemulihan negara yang mempunyai empat fasal, menjadikan hasil perjumpaan Raja-Raja esok seperti anti klimaks. Rasanya tidak ada apa yang lebih penting yang mungkin akan dicapai dalam perbincangan itu melainkan membuka sidang parlimen, serta bercerita fasal tempoh darurat. 

Kerana dua subjek inilah yang menjadi pokok masalah diutarakan oleh ketua-ketua parti ketika menghadap Yang diPertuan Agong selain daripada masalah pandemik, bahkan kelemahan dan kegagalan dalam sudut-sudut tertentu dalam menangani Covid-19 disebabkan dua perkara itu. 

Namun tadi dalam perutusannya, Mahiaddin sudah bayangkan parlimen akan dibuka pada bulan Oktober depan setelah fasal pemulihan memasuki ke fasal ke empat. Tidak ada tanda-tanda parlimen akan dibuka dalam waktu terdekat walaupun secara hibrid, walaupun keperluan itu diharapkan.  

Sepatutnya Mahiaddin embargo dahulu pelan berkenaan, semolek-moleknya beliau serahkan kepada Yang diPertuan Agong biarlah dapat perkenaan daripada Agong baharulah perjumpaan Raja-Raja esok ada signifikan. Memang beliau tidak perlu mendapat perkenan, tetapi sebaik-baiknya. 

Ataupun beliau sudah sembahkan pelan berkenaan kepada Agong dan sudah diperkenan. Kalau sudah sembah apa makna perjumpaan dengan Raja-Raja esok? Namun selagi belum tiba besok, kita tetap berharap ada sesuatu saguhati untuk rakyat daripada Raja-Raja.

Fasal-fasal yang dirangka oleh Mahidaan itu agak meragukan kerana ia bergantung kepada perkembangan pandemik, turun naik ke dan juga tahap vaksinasi semata-mata. Ia tidak mengambil kira perkembangan ekonomi dan emosi rakyat.

Seakan sengaja fasal itu berpandukan kepada benchmark berkenaan. Perangkaan mengenai Covid hanya milik atau pihak kerajaan sahaja boleh menyebut sahaja, dimana ia boleh dimanipulasikan untuk politik. Dakwaan beberapa pihak yang meragui angka dan data digunakan tidak dijawab dengan tuntas. 

Kesimpulannya kepada mereka yang mengharap PKP dimansuhkan, darurat tidak disambung selepas 1 Ogos nanti dan parlimen dibuka segera untuk bersidang, tampaknya berbalam-balam belum ada cahaya di hujung terowong. "Peler" pemulihan yang diumumkan tadi lebih kepada langkah mengukuhkan kedudukan Mahiaddin dan kerajaan PN daripada negara keseluruhannya.  

Sekali lagi Mahiaddin bertegas dengan pendiriannya sendiri tanpa mengambil kira langsung pandangan orang lain, walaupun beliau mengatakan beliau konsisten akan tegas dengan prinsip demokrasinya, itu hanya alasan semata-mata. Peler dibentangkan itu tidak lebih daripada petunjuk bahawa dia semakin syok dengan jawatan disandangnya itu. [wm.kl.6: 31 15/062021]

No comments: