Wednesday, December 14, 2022

Ismail Sabri perlu diberi peranan dalam kerajaan Perpaduan

ULASAN PETANG

Anwar sambut kunjungan Ismail Sabri.
BEKAS perdana menteri Ismail Sabri Yaakob telah menafikan kononnya beliau terlibat dalam satu
grand design untuk mengganggu kerajaan Perpaduan nasional. Laporan liar berupa ciapan mengatakan beliau berada di Jakarta dan bertemu dengan beberapa orang ahli politik termasuk Mahiaddin Yassin untuk projek berkenaan adalah satu laporan palsu dan bersifat fitnah. 

Ekoran itu Ismail Sabri dilaporkan telah mengarahkan peguamnya supaya mengambil tindakan.

Berita itu sengaja direka-rekakan yang diambil kesempatan atas ketidakhadiran Ismail Sabri di mesyuarat MT Umno. Ketiadaan Ismail Sabri itu sudah "diceduk" untuk membuat fitnah terhadapnya kononnya berliau ketika itu berada di Jakarta. Satu print skrin mengenai laporan itu sempat menjadi kecur. 

Dalam penjelasannya, menurut Ismail Sabri pada tarikh beliau dikatakan berada di Jakarta, beliau sebenarnya berada dalam kawasannya di Bera menyantuni rakyatnya. 

Laporan itu jelas untuk memburukkan Ismail Sabri sebagai seorang ahli politik. Berita palsu berkenaan seperti bertujuan untuk memisahkan Ismail Sabri dengan kumpulan partinya yang telah menyokong Anwar sebagai perdana menteri. 

Secara logiknya kita tidak fikir kalau Ismail Sabri jadi semudah itu untuk dikaitkan melakukan perbuatan jijik itu. Perlu diketahui bahawa beliau berbeza sifat dan statusnya dengan ahli parlimen lain yang tidak pernah menjadi pedana menteri. Atas kedudukan yang istimewa itu Ismail Sabri sama sekali tidak akan mecemarkan maruahnya.

Baguslah kalau Ismail Sabri tidak terlibat dengan apa-apa gerakan bagi merosakkan kerajaan yang ada kini. Walaupun beliau tidak memberi sokongan secara terbuka diawalnya atas sebab-sebab tertentu cukup kalau beliau mengambil sikap berdiam.

Apa yang pernah berlaku ke atas bekas perdana menteri sebelum ini patut ditiru oleh Ismail Sabri.  Ada dua versi atau pun jenis berkas perdana menteri sebelum ini. Versi pertama ialah Tunku Abdul Rahman dan Dr Mahathir Mohamad. 

Kedua perdana menteri ini tidak diam selepas beliau tidak menjadi perdana menteri. Dr Mahathir walaupun sudah jadi PM 22 tahun namun masih bergerak aktif dalam parti. Paling mendukacitakan  dengan melakukan gerakan menjatuhkan perdana menteri selepas beliau, Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak yang beliau sendiri merestui pelantikannya. 

Cara Dr Mahathir itu berbeza dengan dua bekas PM Hussein Onn dan Abdullah Ahmad Badawi. Kedua mereka ini selepas tidak jadi PM, terus mendiamkan diri dan menjalani kehidupan sebagai seorang negarawan. Mereka tidak lagi bercakap mengenai politik hanya sesekali mengulas jika perlu. 

Ternyata kedua mereka ini lebih terhormat berbanding dengan Dr Mahathir Mohamad yang seperti hilang kehormatan di mata umum kepadanya. Paling menyedihkan lagi Mahathir terpaksa menghadapi kekalahan sehingga hilang wang deposit dalam pertandingan terakhirnya?

Ismail Sabri boleh menimbang dan menilai kedua sikap dan versi bekas perdana menteri itu. Apakah beliau mahu jadi seperti Mahathir ataupun kekal menjadi seperti Hussein Onn dan Abdullah Badawi hidup sebagai negarawan yang dihormati hingga kini. 

Seperkara lagi sekiranya Ismail Sabri ada hasrat untuk bangkit semula dalam politik, beliau perlu sedar keupayaan yang dimilikinya. Beliau relatif tidak mempunyai pengaruh dan kekuatan seperti Mahathir Mohamad. Apakah beliau mampu?

Beliau tidak perlu terpengaruh dengan ajakan atau naratif yang dibuat oleh mereka yang kecewa dan tertekan. Ismail Sabri harus memilih jalan lebih terhormat. 

Paling baik ialah beliau mengikut jejak dilalui Abdullah Badawi dan Allahyarham Hussein Onn. Melalui kehidupan sehariannya sebagai negarawan dan melayani fanili. Walaupun Ismail Sabri jadi PM hanya beberapa bulan sahaja, tetapi peluang dan itu tuah besar baginya. Tidak semua ahli politik hatta yang sudah menjadi timbalan perdana menteri bernasib baik sepertinya. 

Dalam hal ini, elok juga kalau perdana menteri Anwar Ibrahim mencadangkan untuk beri penghormatan kepada Ismail Sabri sebagai tanda beliau seorang yang profesional dalam politik. Tidak pernah mengkesampingan sesiapa yang pernah berjasa kepada negara walaupun sekejap. Khidmat Ismail Sabri juga boleh diguna pakai kalau pun tidak dalam kabinet tetapi dalam aspek lain bagi mengukuhkan kerajaan Perpaduan. 

Juga sebagai penghormatan sesuai dengan amalan sebelum ini, elok kalau Ismail Sabri disokong dan dicadang untuk dianugerahkan gelaran tertinggi negara yang membawa gelaran Tun seperti mana diterima Abdullah Badawi, Hussein Onn dan Mahathir Mohamad. [wm.kl.7:39 pm 14/12/2022]

No comments: