SUARA SENJA
Tahap kefahaman orang bukan Islam di negara "tigatujuhkosong" terhadap hak dan kewajiban orang Islam kepada agamanya masih jauh dan cetek lagi. Lantaran itu agama masih menjadi penghalang kepada solidariti sebenar di negara ini. Walaupun negara ini sudah merdeka lebih 57 tahun dan keberadaan orang bukan Islam terutamanya Cina dan India di negara ini hampir 100 tahun, tetapi ia tidak memberi markah tinggi ke arah kefahaman itu.
Sebaliknya jarak itu nampak seperti kefahaman dan budi tolak ansur semakin rumit dan payah. Perkara ini semakin jelas apabila bukan Islam mula merasai mereka juga berkuasa ke atas negara ini menerusi perikatan politik. Penubuhan Perikatan pada tahun 1951 dan didaftar 1957 tidak memberi kelebihan kepada umat Islam negara ini dalam memartabat dan mendaulatkan hak agama mereka. Perikatan itu tidak diguna sepenuhnya oleh orang Islam (Umno) untuk mentarbiah rakan bukan Islam mereka.
Sepatutnya perikatan itu diambil kesempatan oleh parti Umno untuk memberi kefahaman kepada bukan Islam mengenai hak-hak dan kewajiban mereka sebagai parti milik orang Melayu beragama Islam. Ia tidak perlu diletakkan diatas bahu raja dan sultan semata-mata, kerana raja dan sultan itu sudah pun diperlembagakan. Atau pun Pas yang wujud tahun 1951 iaini kira-kira lebih 60 tahun lalu memainkan peranan memberi kefahaman Islam kepada bukan Islam. Pas lebih bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja badan siasah tetapi gerakan dakwah.