Showing posts with label Tok Guru Nik Aziz. Show all posts
Showing posts with label Tok Guru Nik Aziz. Show all posts

Friday, March 1, 2013

Aku dan Tokguru: Pertemuan 24 Februari

Catatan Bertemu Tokguruku (1)                                                                      

Bagi saya berjumpa dan berbicara dengan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan satu tuah dan peluang keemasan.  Walaupun sudah acap kali saya dapat bersamanya dalam keadaan eksekusif – ada kalanya dari satu waktu solat membawa ke solat lain, tetapi bukan bermakna saya sudah puas. Jauh sekali terasa istimewa malahan terasa makin sayup pula dengannya selepas sesuatu pertemuan itu.

Agak lama tidak berfoto seperti ini dengan Tokguru.
Setiap kali bertemu dengannya kepuasan tidak akan berlalu malahan ia menjadikan diri saya terus haus dan ternanti-nati peluang sebegitu. Bilakah lagi dan bilakah lagi... hati pula diladumi kekangen yang tidak pernah ada perhentiannya.

Sebab itu tatkala saya diberikan ruang, saya guna sepenuhnya. Saya manfaatkan sebaik mungkin agar masa itu tidak akan sia-sia dan terbiar begitu saja. Hatta hidangan yang disajikan saya enggan menjamahnya kerana tidak mahu membazirkan masa.

Sunday, June 24, 2012

Huraian Mustaqim

Mana Pemimpin Pas Lain Yang Zuhud
Tok Guru Sudah Terlebih Famous

Tidak dapat dinafikan lambakan gambar atau foto Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dalam pelbagai fesyen dan suasana menyerlahkan realiti kehidupan diri dan keluarganya banyak tersebar dalam internet baik di  Fb, twitter, ruang blog dan sebagainya. Gambar itu memberi gambaran akan keistimewaan dan keunikan beliau sebagai Menteri Besar dari rahim ulamak di mana perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Ertinya boleh dibilang dengan jari ulamak yang menjadi ketua umarak, MB atau menteri.

Salah satu foto Tok Guru menunjukkan kesahajaannya.
Gambar yang disebar itu dalam berbagai viarasi, baik semasa beliau di pentas politik, di podium kuliah di kerusi rasminya, atau pun di masjid dan surau. Gambar-gambar aktiviti ibadat dan perjuangan beliau sungguh mengugah perasaan. Gambar beliau sedang makan, mendirikan solat atau pun melakukan tahalul - cukur rambut atau upacara membelah mulut bayi memberi impak dan sentuhan jiwa yang tinggi untuk mengasihinya.

Tidak cukup itu gambar beliau bermesra dengan anak isteri dan keluarga dan juga gambar beliau sedang dipicit atau diurut belakang dan kaki oleh anak-anak murid dan orang yang menyayanginya memberi dan menerbit perasaan tersendiri pada perenungnya. Benarlah kata orang gambar memberi seribu makna.


Penyebaran gambar itu menyebabkan orang ramai mengenali hati budi dan sejauh dalamnya 'kausar' beliau, dapat menilai tahap kerendahan dan kezuhudan dirinya. Mengenai dirinya menjadi buah mulut, di mana-mana saja orang bercakap mengenai diri dan juga stail kepimpinannya. Kerana itu semua beliau menjadi ikon dan dijadikan maskot politik negara ini.

Tidak terlampau kalau saya sebutkan keterkenalan Tok Guru Nik Aziz sebagai seorang Menteri Besar dan ulamak sudah melangkau ke seluruh benua. Mana-mana negara yang boleh akses internet pasti akan menemui gambar beliau dan mengetahui syaksiahnya. Inilah hebat dan berkesannya internet dalam mempropangdakan sesuatu.

Penyebaran foto beliau itu sesuatu yang baik dan bagus serta satu strategi ampuh bagi politik Pas. Ia menjadi satu medium atau saluran dakwah bagi Pas. Di samping ia boleh mengenalkan beliau kepada dunia tetapi ia juga dapat mengenalkan beliau sebagai seorang pemimpin bertaraf ulamak yang berilmu dan mempunyai pendekatan yang tersendiri dan khusyusi. Ini semua menguntungkan Pas dan sekaligus Islam yang dijadikan ideologi oleh Pas.

Pas sesungguhnya berbangga memiliki sosok seperti itu. Kerana itulah kehebatan, sebutan mengenai Nik Aziz bukan saja bergema di seluruh negeri Cik Siti Wan Kembang malahan kehebatan dan keistimewaannya mengimbau ke seluruh negara. Bukan saja anak-anak Tadika dan Pasti tetapi juga pentadbir, politician bukan saja dari Pas bahkan dari Umno juga. Hakikat inilah menyebabkan Umno khasnya mencari seibu jalan dan menggunakan seribu senjata (termasuk fitnah) untuk membunuh keperibadian agama dan politik Nik Aziz.

Mengenai anugerah ini saya tampak Pas menggunakan secukupnya modal dan aset yang ada satu ini. Bahkan bagi Pas Kelantan seolah parti itu tidak ada modal lain lagi selain Nik Aziz. Nik Aziz dan Nik Aziz. Tidak salah kalau Pas meletakkan Nik Aziz sebagai ikon dan maskot politiknya kerana ia wajar di atas kehebatan dan keilmuan Nik Aziz dalam agama dan politik. Kandati beliau sudah tidak ada lagi di dunia ini pun kehebatan dan keistimewaan serta keunikan beliau itu akan disebut-sebut dan diingati serta dijadikan pendorong meneruskan perjuangan. Beliau akan disebut seperti para salahfusoleh yang berjasa kepada Allah seumpama Fadzil Noor yang kehebatan dan kebijaksanaan politiknya terus disebut.

Bagaimana pun dalam hal ini Pas semasa sudah terlebih dalam menggunakan Nik Aziz untuk perjuangannya. Cara Pas mengidola dan mengkultuskan Nik Aziz sudah sampai keperingkat yang perlu membuat ralat. Maksudnya di sini bukan kehebatan dan keilmuannya, tetapi cara Pas menjadikan Tok Guru sebagai aset dan modal politiknya tanpa memperhitungkan keadaan sekelilingnya. Kerana mereka meletakkan Tok Guru terlalu besar menyebabkan pemandangan sesetengah ahli dan penyokong Pas sehinggakan mereka tidak nampak benda lain lagi dan merasakan Tok Guru akan ada selama-lamanya. Sikap dan persepsi ini sesuatu negatif. 

Apabila menyedari akan keterlaluan ini menyebabkan timbul dalam minda saya, apakah hanya Tok Guru  yang berhak mendapat pujian dan sanjungan begitu? Maksudnya kenapa Pas dalam masa sama tidak meletakkan pemimpin pengiring kepada beliau? Walaupun Nik Aziz sendiri tidak menyebut secara pasti siapa selepas beliau tetapi Pas perlu memberi isyarat dan kenyitan mata akan pemimpin yang akan mengambil alih tempatnya. Sepatutnya ahli dan penyokong Pas dapat membaca sir dan maknawi yang terpendalam di dalam kalbun Nik Aziz.

Dalam soal ini saya ingin mempersoalkan tentang sikap taksub atau pun sanjungan berlebihan kepada Nik Aziz yang pada saya tidak seimbang. Bahkan ada kalanya sampai ke peringkat elemen khurafat. Maksudnya kenapa hanya Tok Guru sahaja ditonjolkan sebagai pemimpin zuhud, tawaduk, bersifat qana'ah dan mudah basa. Apakah tidak ada lain-lain pemimpin dalam Pas yang mewarisi sifat-sifat itu? Apakah Pas terlupa? Sikap terlupa seperti ini menyebabkan Pas akan berhadapan dengan kekosongan selepas ini apabila Tok Guru tiba-tiba sudah tiada lagi.

Kekosongan inilah yang perlu difikir oleh Pas khasnya oleh rakyat yang kini terlebih ghairah  mendaulatkan Nik Aziz sebagai ikon dan idola mereka? Sudah sampai masanya para pengidola dan penyanjung ini urut sama menjaja nama-nama lain yang bakal menerajui Pas di masa depan. Apa yag hendak ditegaskan ialah para pendokong perlu mempamikir dan menjualkan akan kehebatan pemimpin lain, baik dari segi karektor, sifat, perwatakan, kebolehan dan sebagainya dan bukan saja Nik Aziz.

Perkara ini penting didedahkan misalnya mengenai latar belakang, fikrah perjuangan, wawasan dan juga kebolehan mereka dalam mentadbir dan mengolahkan politik secara kreatif. Sesiapa yang memiliki sifat-sifat ini perlulah didedahkan seluas-luasnya kepada rakyat agar mudah rakyat membuat penilaian dan pemilihan. Harus difahami seorang yang bakal menjadi pemimpin bukan saja setakat mampu menjadi syeikh di majlis tahalil atau pun menjadi iman solat hajat dan bermunajat.

Saya sangat berharap selepas ini akan ada foto-foto mereka yang disenaraikan akan menjadi pemimpin masa depan akan ada foto-foto mereka yang beraksi atau bersahaja seperti foto-foto Tok Guru itu dipamirkan dalam dada Fb atau twitter. Hendaknya para penyokong masing atau orang perseorang dapat mengudp-datekan foto-foto ini untuk renung bersama.

Apakah apabila tiada gambar-gambar ini - tokoh selain Nik Aziz, disebabkan tiada tokoh yang seiras Nik Aziz? Mungkin? Sebab gambar-gambar bersahaja begini yang nilainya tinggi tidak boleh dibuat-buat atau pun dilakonkan. Ia hendaklah bersahaja. Manakala gambar yang bersahaja pula akan muncul dari tindakan yang bersahaja dan tidak dibuat-buat.

Alangkan ruginya bagi Pas atau mana-mana juga jemaah kalau hanya mengagung atau memberi air time yang berlebihan kepada seseorang saja apa lagi yang sudah terlebih famous?  Sekiranya memang tidak ada tokoh yang bersikap dan bersifat seperti Nik Aziz untuk diambil gambar ini bermakna bahawa selepas Nik Aziz ini Pas menghadapi masalah.  Nik Aziz sendiri mungkin boleh disifatkan gagal kerana selama 22 tahun menjadi MB tidak berjaya melahirkan seorang murid yang hampir menyamai murbbinya, atau pun muridnya gagal menghayati ajaran gurunya.

Sekali lagi diharapkan selepas ini hendaknya akan ada gambar pemimpin Pas baik wakil rakyat atau sesiapa yang diposting dalam Fb dan blog menunjukkan keserdahnaan hidup mereka. Tetapi dalam pada itu jangan pula mengada-ngada masukkan gambar lakonan seperti wakil rakyat sedang memotong rumput di kawasan rumah sendiri, menarik lembu, menziarahi orang sakit dan sebagainya. Walaupun foto sebegitu ia satu promosi yang baik tetapi gambar seperti itu menyebabkan orang akan kata kita masuk bakul angkat sendiri. [wm.kl.7:48 pm 24/06/12]

Monday, August 1, 2011

Susupan Petang

Kunjungan Anak Hero Umno, Atas Urusan Peribadi

Sukacita saya hendak membuat sedikit penjelasan berhubung ada bau-bau yang tidak enak yang cuba diharumkan dengan motif tersendiri bersabit kunjungan anak-anak hero Umno ke atas Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat di rumah Kelantan Jumaat lalu.

Pihak yang mencari untung mudah di sebalik laporan kunjungan itu telah membuat dakwaan melulu yang kononnya kunjungan itu sebagai satu pertemuan sulit di antara mereka dengan Nik Aziz. Kunjungan itu dimanipulasikan kononnya Tok Guru sedia untuk menerima cadangan supaya Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Anwar Ibrahim.

Peristiwa kunjungan Tamrin Ghaffar, Mazlan Harun, Rahim dan Nik Azmi itu telah dieksploitasikan oleh pihak yang kini 'sakit lutut' bagi mengharu birukan perpaduan kekuatan Pakatan Rakyat. Saya rasa usaha itu tidak berhasil kerana baik Nik Aziz dan Anwar serta Lim Kit Siang sangat memahami sejauh manakah keintiman dan rahsia perpaduan mereka.

Perpaduan atau kerjasama politik di antara mereka bertiga bukan diikrarkan oleh mereka, tetapi rakyat yang tidak 'ambuh' dengan UBN yang telah membuat ikrar. Ikrar rakyat bukan mudah diusaikan kerana ia tersimpul mati seolah-olah formulanya telah hilang.

Kecualilah kunjungan itu dibuat ke atas Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang sebelum ini dikenali pasti antara pemimpin yang mahukan kepada perpaduana - unity government. Mungkin lain dan ada kebenaran tuduhan sebegitu!

Tetapi kunjungan atau perjumpaan dengan Nik Aziz yang sudah jelas dan tegas dengan keputusannya. Apa yang sudah dikunci olehnya tidak mungkin akan terbuka lagi. Makanya tidak timbul kalau Nik Aziz sedia menerima cadangan menggantikan Anwar dengan Tengku Razaleigh. Untuk apa? Kalau untuk meletakkan Tengku Razaleigh di kerusi nombor satu, anak raja Kelantan itu itu mempunyai asetnya tersendiri sekiranya seluruh rakyat kenal hati budi Tengku Razaleigh.

Kebetulan saya ada di rumah Kelantan dan mengetahui maksud kunjungan itu. Kunjungan mereka itu adalah kerana peribadi. Mereka tidak pun menyentuh dan mempersoalkan mengenai Anwar seperti mana ditimbulkan oleh agen-agen sakit lutut.

Soal peribadi itu tidak perlu rasanya untuk saya dedahkan. Sesiapa pun boleh mengunjungi Nik Aziz secara peribadi baik sebagai orang politik, tok guru atau apa. Tetapi Nik Aziz bukan mudah untuk merombak kesetiaan dan apa yang disimpulkan. Kelebihan inilah kehebatan beliau.

Seperti mana katanya usaha untuk menggantikan Anwar dengan Tengku Razaleigh tidak timbul sama sekali. Dalam pada itu beliau tidak akan menolak sesiapa juga yang hadir untuk memperkasakan Pakatan Rakyat atau lebih tepatnya berjuang untuk membebaskan rakyat dari kezaliman dan kekejaman.Kalau beliau mengira Tengku Razaleigh adalah pengganti terbaik Anwar apa salahnya.

Lagipun buat masa ini tidak timbul soal Tengku Razaleigh Hamzah akan menggantikan tempat Anwar kalau berlaku sesuatu kepada Anwar. Pakatan sendiri tidak 'kasik' dengan pemimpin dan mereka boleh mencari pengganti dari kalangan mereka. Kecualilah Tengku Razaleigh sudah sedia untuk berkerat rotan dengan Umno dan menyertai Pakatan Rakyat menerusi Ngo Amanah yang semakin mendapat perhatian itu. Kalau ini berlaku mungkin senarionya menjadi lain Tengku Razaleigh bukan saja setakat menjadi ketua pembangkang tetapi Perdana Menteri negara ini.

Sekali lagi ditegaskan angan-angan untuk menggantikan tempat Anwar bukan mudah. Seseorang yang bersih peribadi dan politik pun sukar untuk menjadi penggantinya kerana 'kebiasaan' dan kehebatan Anwar begitu tinggi dan berdarjat di mata rakyat.

Bukan kerana terlalu taksub dengan keharuman setanggi dan minyak attar Tok Guru, kalau Anwar berhajat untuk diganti atau terjadi sesuatu kepadanya mungkin Tok Guru boleh mengambil alih sementara untuk menjadi ikolis kepada Pakatan Rakyat. Dan kalau tertakdir Amanah yang dipimpin oleh tokoh penuh berintegriti itu bersama Pakatan tidak mustahil kalau Tengku Razaleigh akan dinobat menjadi PM.

Manakala kononnya ada maklumat dalaman Pakatan mengatakan usaha itu sedang dilakukan ternyata ia dibuat oleh orang sudah tidak ada kerja yang ketiduran sehingga mereka bermimpi dan mengigau yang bukan-bukan. Apakah dakwaan orang mengigau boleh dipercayai? [ttdi.kl. 4:26 pm 01/08/11]

Saturday, July 30, 2011

Diulik Hujan Pagi

Anak Hero Umno Kunjungi Tok Guru

LAMA saya tidak mengunjungi rumah Kelantan yang terletak di Jalan Stonor, berhampiran KLCC. Petang semalam saya tersasar ke situ untuk menemui Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Bukan apa untuk bersalam dan mencium tangannya. Sejak beliau balik dari mengerjakan umrah bulan lepas belum berkesempatan untuk menemuinya dan menghidu sisa-sisa stanggi di jubahnya! (Tentu si otak kemetot marah dengan ayat ini).

Syukur sisa-sisa wap stanggi masih lagi berbau, dan kewangian itu semakin bergumpal di dalam hati apabila kedatangan saya disambut dengan kemesraan kata-kata yang sangat saya sukai; ini wartawan... dia akan tulis jaga baik-baik," begitulah ucapan Tok Guru tatkala memperkenalkan saya kepada tetamu.

Ketika saya sampai beliau sudah didepani dengan sekawan tetamu, di ruang luar rumah berkenaan. Wah... rumah Kelantan sudah berubah rupanya. Ada sedikit pengubahsuaian menampakkan rumah itu cerita dan muda. Iya lah setelah 20 tahun Pas memerintah Kelantan perlu ada perubahan kepada rumah kerajaan negeri itu.

Kalau tidak silap saya, satu masa dulu rumah itu hendak dimajukan. Kedudukan yang strategik di kawasan yang bernilai tinggi perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjana kewangan kepada kerajaan. Kalau tidak salah Husam Musa pernah menyuarakan agar rumah itu dirobohkan dan diganti dengan bangunan baru yang lebih komersial.

Ada benarnya juga, kalau rumah Kelantan itu dirobohkan. Mungkin appartment lima tingkat bertaraf hotel lima bintang boleh dibangunkan. Disamping ia terus dijadikan rumah transit MB dan pegawai kerajaan semasa mereka berada di Kuala Lumpur, ia boleh disewakan atau dipajak. Cara itu ia boleh membantu menambahkan kewangan negeri.

Tetapi entah kenapa cadangan itu tidak menjadi kenyataan. Mungkin ada masalah ataupun ada yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, menjadikan rumah itu masih kekal seperti sedia kala. Mungkin tidak ramai yang mengetahui sejarah rumah berkenaan. Rumah Kelantan itu asalnya rumah bapa Syed Hamid Albar, Syed Jaafar Albar. Ia dibeli oleh kerajaan Kelantan yang ketika itu MBnya ialah Mohamed Yaacob (Allahyarham).

Berbalik kepada tetamu yang sedang menghadap Tok Guru tadi, saya mengenali sekawan tetamu itu. Sebaik saya menjenguk di muka pintu salah seorangnya menggamit saya suruh masuk. Beliau lalah Mazlan Harun, anak bekas MB Selangor, Harun Idris. Ada sama Tamrin Ghafar, Rahim dan juga Nik Azmi salah seorang pegawai berkerja di rumah Tengku Razaleigh.

Nampak cara mereka sudah lama berdepan dengan Tok Guru. Butir ceritanya tidak diketahui sangat oleh saya. Tetapi apa yang boleh diagakkan mungkin mereka memberi maklumat terperinci kepada Menteri Besar Kelantan itu mengenai Ngo yang baru dilancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah, Angkatan Amanah Merdeka.

Pada agakan saya Amanah akan bekerja sama dengan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang. Luahan ucapan yang disampaikan oleh Kadir Sheikh Fadzil pada hari perlancaran memberi gambaran yang Amanah ini begitu kecewa dengan kerajaan yang ada kini.

Biarlah apa yang mereka sampaikan kepada Tok Guru atau ingin meminta apa-apa projek untuk dilaksanakan di Kelantan, tidak menjadi masalah. Tok Guru Nik Aziz bukan macam pemimpin Umno mendiskriminasi dalam menerima tawaran projek. Apa yang penting di sini kita merasa bangga dengan kunjungan tetamu itu yang terdiri dari anak-anak wira Umno kepada tokoh Pas parti yang pernah menjadi sasaran mereka dulu.

Yang peliknya kenapa mereka mencari Nik Aziz bukan Mahathir Mohamed? Inilah kelebihan dan keistimewaan yang ada kepada Tok Guru. Politik yang dibawanya bukan politik permusuhan. Kalau beliau tidak memiliki sesuatu tarikan musathil anak-anak pemimpin besar Umno sedia menemuinya dan bertukar maklumat mengenai politik. Kerana dari segi moral politik ia menjejaskan Umno.

Saya tidak mahu meramalkan apa-apa mengenai kunjungan itu. Mungkin ia ada agenda politik yang besar di samping agenda peribadi untuk mendapatkan projek di Kelantan. Tetapi satu pertanyaan saya hendak lepaskan di sini, kalau mereka berhajat untuk menyertai Pas, sertailah tetapi jangan cuba menuntut apa-apa yang lebih dari sepatutnya. Kata orang kalau hendak memakan pisang hendaklah menanam pisang terlebih dahulu jangan mencuri pisang yang sudah diperam dalam guni.

Kunjungan kepada Tok Guru hendaklah menggembirakan beliau bukan menyusahkan. Biarlah kisah yang lampau menjadi iktibar dan sudah cukup untuk membuktikan bagi mu akan kemuliaan Tok Guruku itu. [wm.kl.9:30 am 30/07/11]

Wednesday, December 8, 2010

Lintas Langsung Dari Pulau Melaka

Tok Guru Sudah Pulih Dari Demam Urat

KEADAAN Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang 'demam urat' semalam semakin pulih. Baru sekejap tadi Sdr Rushdan Mustapa yang menziarah beliau melaporkan Tok Guru sudah sihat dan sudah boleh mengimani solat Asar sekejap tadi.

Dengan mengenakan baju gumbang berwarna hijau beliau turun ke masjidnya yang terletak berkembar dengan rumahnya.

"Ana baru lepas sembahyang Asar bersama Tok Guru sekejap tadi. Dia kelihatan ceria dan berbual seperti biasa, ini gambar terbaru ana dengan dia, dia kirim salam pada enta," tulis Rushdan dalam SMS yang disertakan gambar beliau bersama Tok Guru.

Gambar ini (sebelah) katanya diambil sewaktu Tok Guru turun dari rumahnya untuk ke masjid. Di sebelah kiri Rushdan ialah Pegawai Akhbarnya, Ahmad Fadzli.

Gambar ini menafikan laporan blog liar sebelum ini mengatakan Menteri Besar Kelantan itu sakit tenat dan terlantar di hospital.

Adalah diharap gambar ini akan menceritakan segala hakikat sebenar dan menimbuskan segala cerita palsu sebelum ini yang sengaja disebarkan untuk menggemparkan suasana. Terima kasih kepada Sdr Yie yang mengirimkan gambar ini. [ttdi kl 5L10 pm 08/12/10]

Pemakluman Pagi

Tok Guru Sihat, Cuma Sakit Urat..

ALHAMDULILAH ternyata Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat masih menjadi pujaan dan disayangi ramai. Sejak tengah malam tadi hingga ke saat ini telefon saya tidak habis berdering untuk bertanya khabar tentang keadaan Tok Guru. Semuanya berpunca dari laporan blog liar mengatakan Tok Guru sakit dan kini terlantar di hospital.

Dalam perjalanan ke pejabat tadi (eik ada opis pulak), bekas orang kuat Umno Kelantan yang baru berhijrah untuk mencari lemah baru, Sabree Shafii telefon dengan nada bimbang bertanya fasal Tok Guru. "Betul ke Tok Guru tenat?" tanya beliau cemas.

"Tenat apa?" tanya saya menawarkan perasaan beliau. Layan tak layan saja sebab sedang pulas stering kereta.

"Kata dia sakit, masuk sepital?" kata dan tanyanya.

"Sapa kata?" tanya saya sedikit tidak terkudis dengan pertanyaan itu.

"Ada dalam blog?" jawab beliau.

"Blog mana?" tanya saya. Saya sudah tahu apa-apa blog yang menyiarkan berita bohong mengatakan Tok Guru masuk hospital.

Beliau menyebut nama blog. "Ohh.. itu blog Umno...dalam blog Merah Tinta ada?" runggut dan tanya saya.

"Tak ada," katanya.

"Jadi kalau Merah Tinta tak ada anggaplah apa yang dikatakan itu sebagai bohong saja." balas saya melegakannya.

Tetapi beliau nampak tidak mudah hendak tenangkan dia minta saya hubungi orang dalam Tok Guru. Dapat saya rasanya Sabree ini mula sudah jatuh kasih kepada Tok Guruku. Baru ini dia ada bertemu Tok Guru meminta Tok Guru mendoakan kesejahtraan hidup beliau dan anak beranaknya. Sabree ini walaupun dulu orang kuat Umno tetapi dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata busuk dan buruk kepada Tok Guru.

Pertemuan selepas Subuh itu juga sungguh mesra dan membawa seribu makna buatnya.

Sesampai di opis beberapa lagi call masuk bertanyakan hal yang sama.

Saya menghubungi orang dalam Tok Guru termasuk anak-anaknya. Tiada jawaban, mungkin mereka sedang bersiap sedia untuk mendirikan solat Dhuha. Baru sekejap tadi salah seorang keluarganya menghubungi saya dan meminta agar membuat sikit pengumuman.

"Enta jelas sikit dalam blog, kata Tok Guru sakit tenat tu tak betul," minta anggota famili Tok Guru berkenaan. Beliau lantas menjelaskan; semalam ayah ada mengurut dengan tukang urut baru. Entah guana (macam mana) dia urut kuat ba'kali mungkin kerana tak serasi tangan, ayah sakit urut. Dia jadi tidak boleh bergerak... tetapi Alhamdulilah pagi tadi sudah solat Subuh tetapi tak jadi tok imam."

Oh rupanya Tok Guru sakit urat sahaja bukannya tak sihat seperti mana lapor blog. Mudah-mudahan blog yang merlaporkan Tok Guru sakit tenat dan kini terlantar di hospital itu bukan blog celaka. Dan bila orang tahu yang Tok Guru dilaporkan sakit menyebabkan orang ramai akan menandah tangan memohon kepada Allah minta Tok Guru jadi lagi kuat. Yalim lim ya limmm lim yalim..[ttdi kl. 10:00 am 08/12/10]

Thursday, December 2, 2010

Susupan Petang

Nik Aziz Membina Projek Akhlak Di Kelantan

SAHABAT dan kawan sezaman dengan saya, Ramli Abdul Halim menulis dalam blognya - Meli Kapak Jangak bertanya dan mencari apakah jasa-jasa Tok Guru Nik Nik Mat sebagai MB Kelantan. Walaupun saya cuba memahami maksud tersirat di sebalik tulisan beliau itu, tetapi kali ini ilmu saya gagal merungkai apakah maksud sebenarnya di sebalik pertikaian itu. Apakah kawan saya itu sengaja melambung persoalan itu untuk dijawab beramai-ramai. Itukah hikmahnya?

Kerana itu yang diperolehi, saya rasakan Meli cuba merendahkan pencapaian Nik Aziz sebagai MB yang sudah masuk ke tahun 20. Dalam melihat Nik Aziz sebagai MB Meli mengasingkan Nik Aziz sebagai tok guru.
Awal penulisannya, Meli cuba membandingkan Muhammad Nasir dengan Nik Aziz sebagai MB Kelantan. Muhammad Nasir adalah gurunya dan dalam sejarah politik Kelantan orang selamanya mengenagkan Muhammad Nasir sebagai oknum yang mengisbatkan Kelantan jatuh ke tangan UBN tahun 1978.

Meli membuka kisah bagaimana pengorbanan dan jasa-jasa Muhamamd Nasir dalam hidupnya, banyaknya sebagi MB. Kata Meli, Muhammad Nasir membeli 30 ekar tanah rang di kampugnya, Rong Chenak, Pasir Mas dan membuka sekolah agama, Balaghulmubin dan di sekolah itulah Meli belajar dan celik jawi, serta tahu baca Quran, hadith dan kitab agama.

Terus terang, di sini saya bukan hendak berlawan dengan sahabat saya itu atau menyinggung beliau kerana diterheret oleh polemik beliau dengan penjenguk blognya. Saya tidak pun membaca catatan (yang menimbulkan polemik itu), melainkan yang ini. Tetapi saya merasakan tulisan beliau itu agak berlebih-lebih sedikit. Secara peribadi saya bersetuju kalau pembangunan fizikal projek mega tidak terlaksana di zaman Nik Aziz jadi MB selama sudah 20 tahun. Dan saya juga setuju kalau Meli malah sesiapa mengkritik Nik Aziz. Saya juga berbuat demikian tetapi biarlah konstruktif dan sedia meralat kalau kritikan kita tidak tepat.

Kalau dibanding dengan Mohd Asri Muda (Allahyarham) saja sebagai menjadi MB, Nik Aziz kalah dari segi membawa pembangunan fizikal di Kelantan. Misalnya di zaman Asri dibuka tanah rancangan untuk menempatkan rakyat Kelantan yang tidak bertanah. Peneroka di zaman Asri membuka tanah dengan kudrat iradatnya sendiri. Mereka hanya bertemankan kapak dan beliung saja untuk meruntuhkan hutan menjadi kampung halaman. Nah, hari ini hasil pandangan jauh dan ikhtiar Asri itu peneroka itu sudah kaya raya dan setengahnya ada yang memiliki tanah sampai 50 ekar.

Selain tanah rancangan, pembinaan jambatan Sultan Yahya Petra yang merentangi sungai Kelantan juga adalah idea dan usaha Asri. Begitu juga pembinaan pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri yang kini menjadi Akademik Pengajian Islam Universiti Malaya, adalah hasil usaha beliau. Setidak-tidaknya projek pembangunan itu menjadi legasi politik Asri dan rakan-rakannya di Kelantan.

Mungkin benar Nik Aziz tidak ada ikon material seumpama itu di zamannya. Legasi pembanguann fizikal agak berkurangan. Tetapi kalau kita cuba menjernihkan diri dan melihat pembangunan itu dalam skop lebih luas, (hakiki sebagai umat Islam) tidak dapat tidak kena diakui juga Nik Aziz turut membawa pembanguan dan merubah landskap politik Kelantan. Banyak perubahan dan pembaharuan (tajdid) yang tetes dalam tempoh 20 tahun.

Satu perkara yang jelas dan ini menunjukkan beliau ada sumbangan dan jasa apabila pentadbiran dan pemerintahannya di terima. Kemampuan kerajaan Pas Kelantan bertahan selam 20 tahun (dan insyaAllah akan kekal selepas pilihan raya k 13 nanti) adalah bukti paling jelas yang tidak dapat disangkal oleh mana-mana penganalisa politik termasuk dari London sekali pun mengenai kehebatan Nik Aziz dan Pas.

Apakah erti dan signifiken kehebatan Pas itu? Itu adalah kehebatan yang dijelmakan oleh Nik Aziz. Kalaulah kehadiran Nik Aziz tidak disenangi dan ia membawa 'sia-sia yang lapar' kepada Kelantan, nescaya rakyat Kelantan tidak akan sanggup bermenteribesarkan Nik Aziz selama 20 tahun.

Kehebatan dan keagungan beliau dalam soal ini perlu dilihat dan dijadikan perbandingan kejayaan beliau secara insaf. Cuba panjangkan leher dan bulatkan (wokankan) mata untuk melihat kehebatan ini yang belum tentu dapat dicabar oleh sesiapa. Saya berani mengatakan sukar untuk sesiapa baik dari kalangan Pas sendiri atau Umno untuk memadam pencapaian Nik Aziz itu.

Kemajuan yang berlaku di zaman Nik Aziz adalah pembangunan jiwa, pembangunan rohani dan pembangunan insan. Nik Aziz telah membangunkan akhlak politik di Kelantan. Beliau telah meletakkan rakyat Kelantan dalam neraca politiknya sendiri yang ikut berfikir dan mengambil berat tentang dosa dan pahala, syurga dan neraka.

Hanya mereka yang sengaja membutakan mata saja tidak akan nampak pembanguann akhlak dibina Nik Aziz. Dalam kata lain Nik Aziz berjaya menginstitusikan politik sebagai instrument untuk membawa manusia ke dua destinasi sekaligus, ke panggung wayang dan masjid. Beliau adalah pemaking kepada perjuangan Pas pada masa kini, seorang ahli politik yang versatile atau anjal yang mampu mengikut rentak politik tanpa meninggalkan Quran dan Hadith.

Dalam hal ini salah satu yang paling manrik bagi saya, Nik Aziz berjaya menghapuskan sikap politik kolot dan jumud sesetengah orang Pas di Kelantan yang dibawa oleh regim lama, iatu menimbulkan politik kafir mengkafir dan bergaduh sesama sendiri. Selepas Nik Aziz mengemudi Pas Kelantan isu kafir mengkafir sudah berkurangan dan kini hampir tidak melatas lagi. Masalah ataupun fenomena ini berjaya dihapuskan kerana stail dan pendekatan politik beliau.

Saya rasa Meli sendiri menyedari hal ini dan kertas catatan mengenai betapa buruknya politik kafi mengkafir yang pernah terjadi di Kelantan dulu masih ada dalam simpanannya.

Perubahan dalam sistem pentadbiran juga berlaku di bawah Nik Aziz. Nik Aziz berjaya membawa islah dalama sistem pentadbiran. Nik Aziz menjadikan Quran dan sunnah sebagai kaedah atau paduan untuk merubah pentadbiran dan sikap manusia bernama penguasa. Perubahan ini berjaya. Buktinya hasil didikan serta penekanan kepada akhlak dan moral, tiada pegawai kerajaan atau ahli politik Kelantan yang ditangkap kerana rasuah, atau pun telah menyalahgunakan kausa secara melampau. Saya percaya pihak UBN telah berusaha mengorek ke lubang cacing untuk mencari kesalahan para pemimpin Pas tetapi tidak ketemu.

Dengan akhlak politik yang dibangunkan Nik Aziz itu jugalah memungkinkan kerajaan Kelantan berusia panjang. Rakyat terus memberi kepercayaan. Kita selalu dengar Pas akan kalah kalau tidak ada Nik Aziz. Kenapa keluar dendangan dan ratib demikian? Jawabnya kerana kehebatan Nik Aziz.

Kalau dibandingkan usia pentadbiran bekas Menteri Besar lain dengan Nik Aziz, nampaknya 'panggil tida dengar.' MB sebelum ini hanya berkhdimat antara lima tahun dan tujuh tahun sahaja. Ishak Lufti Omar jadi MB selama lapan tahun saja. Asri jadi MB enam tahun manakala Muhamamd Nasir pula empat tahun saja. Tetapi Nik Aziz 20 tahun secara marathon. Huh... bukankah hebat namanya itu...

Bila bercakap pembangunan di era Nik Aziz, sesiapa pun akan kecewa kalau mahu melihat terbina menara 100 tingkat di Kelantan. Ataupun lapangan terbang terpanjang Malaysia di Kelantan, atau pun apa-apa yang maha hebat dan maha besar. Harus difahami kekuatan membina akhlak dan mengubah sistem kerajaan ini bukan senang untuk dilakukan. Pentadbiran akan berubah bila akhlak manusia berubah. Hanya manusia yang mempunyai sifat seperti Mahatama Ghandi saja yang boleh berbuat demikian. Di sini saya bersetuju kalau ada orang melebelkan Nik Aziz sebagai Mahtma Ghandi baru.

Selalunya orang yang marah dan keliru mengenai Nik Aziz kerana berada jauh darinya. Tidak merasai lembut jabatan salamnya dan menghidu harum bak kasturi nafas kemanusiaanya. Mereka yang berada jauh akan tidak dapat menghidu kemuliannya sebagai tok guru dan ahli politik. Sila hadir dan bersimpuh di depannya untuk merasai kelunakan itu semua. Bila berdekatan dengannya akan nampaklah ketinggian darjatnya, kerendahan budinya.

Kemajuan dan pembangunan yang dicipta dan dibangunkan Nik Aziz tidak terpandang oleh mata zahir tetapi sangat indah untuk ditilik mata batin. Sila berada di belakangnya menjadi makmum solat nescaya akan dapat dirasailah sebuah kenyaman dari payung seorang tok guru dan pemimpin negeri.

Sebab itu orang bukan Islam; Cina, India, Siam, Orang Asli senang mendampingnya kerana pembangunannya meninggal keinsafan dalam jiwa mereka. Dalam kata mudah Nik Aziz tidak membina jambatan terpanjang Malaysia di Kelantan merentang mana-mana sungai, tetapi dia menguntai doa dan munajat terpanjang untuk rakyat Kelantan dengan ilmunya.

Nik Aziz tidak membina lampangan terbang terbesar, tetapi dia membina lebuh raya lebar menuju ke kehidupan abadi dengan jawatan yang diamanahkan Allah kepadanya. Nik Aziz tidak membina bangunan pencangkar langit tetapi dia membina ketinggian akhlak dan budi menjejaki sunnah Rasulullah. Dia menghimbaukan tamadun Madinah di Kelantan.

Kalau hendak dikira jasa Nik Aziz sebagai hamba, sebagai da'i dan tok guru tidak terhitung. Tok Guru mana di Kelantan hari ini yang masih terus mentarbiyah ummah secara berterusan. Apa yang berlaku di Dataran Ilmu setiap Jumaat menjelaskan akan kehebatan dan pengorbanan atau jasa beliau. Sejak lebih 30 tahun beliau mengajar, (secara percuma) sudah berapa puluh ribu manusia yang mendapat manfaat darinya. Yang datang setiap Jumaat menadah telinga untuk mendengar syarahan agamanya bukan saja dari Kelantan tetapi dari luar juga.

Tidak ketinggalan dalam politik pula Nik Aziz berjaya memunculkan beberapa tokoh baru Pas di Kelantan yang akan mewarisi tahkta kekuasaan di Kelantan. Nama-nama seperti Husam Musa, Mohd Amar Nik Abdullah, Takyuddin Hassan, Nasaruddin Daud, Zulkifli Mamat dan putranya sendiri Nik Abduh serta lain-lain adalah anak-anak didik yang lahir dari Madrasah Siasah Nik Aziz yang akan menerus dan memikul tanggungjawab politik dan agama di hari muka.

Saya rasa kepda mereka yang kabur mengenali politik dan juga jasa Nik Aziz di Kelantan akan celik dengan apa yang saya paparkan ini. Sekali lagi ditegaskan pembangunan Nik Aziz bukan pembangunan jasmani saja tetapi yang lebih penting baginya ialah pembangunan rohani menerusi projek pembentukan akhlak dan syaksiah politik. Jangan lupa basuh mulut kalau makan pulut. [wm.kl. 7:00 am 02/12/10]