Thursday, December 18, 2008

Susupan Malam

Belas Hati Dengan Nasib Dialami MB Terengganu

DALAM siaran Buletin Utama TV3 sekejap tadi Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said terkial-kial menjelaskan berhubung laporan media eltronik berkenaan yang didakwanya tidak betul dan bertujuan menjatuhkan imejnya.

Ahmad menafikan laporan TV3 semalam yang didakwanya tidak benar berhubung penutupan beberapa syarikat milik kerajaan negeri.

Melihat visual di tv tadi semacam Ahmad Said menjelaskan itu ketika berada dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu!

Menurut MB itu, TV3 memang berniat buruk kepadanya. Katanya sudah lama tv itu tidak 'kenan' (tidak sukakannya) dan membuat laporan buruk mengenai dirinya.

Katanya semasa isu perlantikan MB Terengganu selepas pilihanya raya lalu, tv itu telah menyiarkan berita mengatakan Adun Kijai disiasat oleh BPR. Laporan itu dakwanya jelas untuk memburukkan namanya.

Kata Ahmad juga beliau tahu siapa yang mengirimkan berita tersebut kepada tv itu supaya menyiarkan berita itu. "Saya masih simpan sms yang dihantar pukul 12 tengah hari," jelasnya sungguh kesal.

Sebenarnya apa yang dirasai oleh Ahmad itu sudah lama dihadapi oleh pihak pembangkang. Bagaimana berita beliau diputarbelitkan dengan tujuan tertentu begitu jugalah dengan berita di pihak pembangkang yang sering diputarbelitkan.

Untuk pengetahuan Ahmad, baik TV3 , RTM1,2,3, dan beberapa lagi serta media arus perdana biasanya akan menjadi gila dengan tiba-tiba bila menjelang pilihan raya. Mereka akan jadi tidak siuman dan tidak rasional dengan melapor dan memanipulasikan berita dengan tujuan memburuk pihak tertentu biasanya di pihak pembangkang.

Saat ini tv dan media tidak akan peduli lagi kepada kod etika dan juga profesionalisme dan kebebasan bersuara.

Apa yang diutamakan dan dipastikan agar pihak atau individu yang disokongnya menang dan berpuas hati dengan laporan itu. Soal benar atau tidak, tidak perlu dipedulikan lagi.

Kalau MB itu tidak percaya perhatikan apa yang akan berlaku menjelang pilihan raya kecil Kuala Trengganu tidak lama lagi. Bermacam-macam berita pelik, ganjil dan tidak masuk akal mengenai pembangkang akan dilapor dan disiarkan. Paling menarik dan tidak akan pernah dilupakan berita mengenai ribuan penyokong atau ahli pembangkang akan mengistyharkan diri menyertai Umno.

Tetapi Ahmad Said tidak perlu risau dan dukacita dengan apa yang dilakukan media eletronik negara Malaysia itu. Sebab rakyat sudah tahu dan sedar mengenai kredibiliti dan intergriti mereka. Rakyat sudah tahu agenda dan matlamat mereka. Mereka adalah alat kepada satu pihak. Apa yang dinamakan maruah dan intergriti sudah tidak ada lagi buat mereka.

Misalnya di Trengganu itu apa yang menimpa ke atas Ahmad itu sudah diketahui rakyat umumnya. Ahmad tidak mendapat layanan wajar dari media kerana beliau tidak merupakan calon MB yang dipersetujui oleh parti atau bukan calon dari Perdana Menteri. Ahmad adalah calon MB dari pihak istana.

Sebagai alat dan propaganda kerajaan tv berkenaan akan berpihak kepada calon MB yang disukai oleh tuan-tuannya saja. Ini biasa dan bukan satu yang anih di negara ini.

Hal begini sudah biasa sebenarnya. Makanya Ahamd Said tidak payah risau, sedih dan sebak dengan keadaan itu. Apa yang penting lakukan untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat. Allah tahu apa yang baik dan ia tidak payah pun diheboh-hebohkan. Lagipun Ahmad Said adalah MB Terengganu bukannya MB Umno!

Apa yang mengkagumkan saya tatkala mendengar ulasan Ahmad di DUN Terengganu seperti mana yang disedut oleh TV3 sekejap tadi apabila beliau tekad, tidak rela dan tidak reda penyelewengan berlaku di Terengganu.

Tegasnya beliau tidak akan peduli kepada penghinaan keatasnya dan akan bertindak mendedahkannya tanpa mengira siapa. Mudah-mudahan Ahmad akan mengotai kata-katanya. Biarlah Ahmad tidak popular dari kalangan media tetapi asalnya beliau disukai dan disenangi oleh rakyat Terengganu seluruhnya. [d.kota kl 9:00 pm 18/12/08]

Maklumat

Pemakluman khas

BUKU SUDAH DIPOS
Diharap ambil perhatian kepada penempah buku Perang Salid: Najib - Anwar yang budiman sekalian. Buku berkenaan diposkan mulai hari ini. Insyallah penempah akan menerimanya selewat-lewat Selasa depan untuk Semenanjung dan Isnin minggu depan bagi Sabah, Sarawak dan Singapura. Di minta penempah bernama, ZAHURI MARISMAN berhubung dengan saya seberapa segera untuk mendapatkan alamat pengiriman sdr.

Atas kelewatan penghantaran saya pohon maaf ini kerana kelewatan berlaku di pencetakan.

Kepada penempah budiman diucapkan berbanyak terima kasih. Di maklumkan naskah tempahan khas sebanyak 200 naskah telahpun kehabisan!

Salam hormat,

MSO.

Wednesday, December 17, 2008

Celoteh Murai 20

Lantik Saleintia Jadi Presiden Bebas Perkasa

PILIHAN RAYA kecil Kuala Terengganu turut menarik minat bekas calon bebas Parlimen Rantau Panjang, Isma Airfath Hasanuddin yang juga seorang taukeh sekerap atau pot getah. Beliau menawar diri bertanding kerana ingin membersihkan dirinya yang dituduh telah mengambil upah untuk bertanding bebas dalam pilihan raya lalu.

Beliau nak bertanding untuk membuktikan dia ada duit untuk bayar deposit sebanyak RM10,000 dan apa yang dilakukan dulu adalah atas kehendaknya dan bukan disuruh dan diupah oleh sesiapa. Demikianlah manusia sanggup menghabiskan duit poket untuk menyucikan diri!

Wa Mun atau Maimun Yusuf bekas calon bebas pilihan raya lepas juga ingin bertanding lagi. Katanya dia cadang nak buka blog untuk cari duit. Yalah Wa Mun.... zaman ini zaman dapatkan duit melalui internet katakan...

Begitu juga Hanafi Mamat yang bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh dan hanya dapat 96 undi turut sama menyatakan hasrat untuk ikut sama. Jadi kalau Hanafi, taukeh pot dan Wa Mun bertanding ini bermakna ada lima calon nanti campur dengan Pas dan BN yang akan berentap di pilihan raya kecil itu.

Maka meriah sakanlah pilihan raya berkenaan.

Bila mengenangkan telatah hidup manusai ini, Murai tidak terkata apa-apa. Tersenyum tidak ketawa pun tidak. Negara ini bebas dan mengamalkan demokrasi. Sesiapa pun boleh bertanding dan menyertai mana-mana pilihan raya. Sebab syarat-syarat yang ditetapkan bagi melayakkan seseorang calon ialah, tidak gila, (tidak termasuk gila babi), tidak muflis, tidak hilang warganegara atau kerakyataan negara ini. Ada penyokong dan pencadang dan duit deposit cukup boleh jalan...

Syarat-syarat lain tida temasuk misalnya suka melompat, cakap bohong, hipokrit, rasuah, gedebe dan seumpamanya. Bahkan kalau kita bukan ahli sesebuah parti pun tetapi boleh juga bertanding atas lambang atau simbol parti lain. Ini dah pun berlaku dan terjadi di negara ini.

Malahan kalau menang kita boleh tidak menyokong parti yang mensedekahkan simbolnya itu sebaliknya boleh pula mengkritik parti berkenaan atas dasar profesional atau kebebasan kononnya. Perubatan itu tidak menjadi kesalahan mengikut piawaian SPR negara ini melainkan ianya akan dikeji oleh orang ramai saja. Manakala bagi orang yang mempunyai intergriti tentu sekali tidak tergamak melakukannya kerana ianya sungguh buruk dan busuk.

Jadi kepada ketiga mereka itu bertandinglah kalau sudah cukup wang pertaruhan sebanyak RM10,000. Jangan peduli apakah kita layak, relevan, mampu atau sebagainya.

Cuma di sini Murai ingin mencadangkan. Kalau sudah ada lebih daripada satu calon bebas elok kalau ditubuhkan pakatan bebas bagi memastikan bebas menang atau jangan sampai hilang deposit. Untuk tujuan ini misalnya boleh melantik Salientia untuk menjadi presidennya. Pakatan itu nanti boleh dinamakan pakatan Bebas Perkasa.

Lagipun kalau sudah ada pakatan itu bolehlah Saleintia ikut sama berkempen nanti pada pilihan raya itu. Tidaklah nanti ia akan meracau dan bercakap dan mengomen itu tidak betul ini tidak betul dan hanya dirinya saja betul di serata kedai kopi semasa pilihan raya itu kelak.

Dengan adanya pakatan itu Saleintia boleh jadikan flatform untuk beliau bersyarah dan berceramah serta melepas gian politiknya. Manalah tahu berkat kepimpinannya yang mendakwa dirinya profesional, telus, jujur, ikhlas, berani itu salah seorang calon bebas itu akan menang dan dapatlah pula menjadi rakannya di Parlimen.

Murai: Sudah tempah tiga bilik di Kuala Terengganu.

Tuesday, December 16, 2008

Spekulasi Calon

Peluang BN dan Pas Tipis
Kalau Tidak Calonkan Wan Farid dan Mustafa

KHABARNYA BN akan mengumumkan calon mereka di pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada Sabtu depan. Pas pula akan mengumumkan calonnya selepas itu. Dalam konteks ini BN lebih berani daripada Pas. BN dakwa mereka sudah pun ada calonnya, sudah sampai ke peringkat akhir. Nama itu berada dalam genggaman Mohd Najib Razak yang akan membuat pengumuman.

Beberapa nama disebut akan diletakkan oleh Umno. Nama-nama itu sudah pun dikenal pasti dan dikaji potensi kemenangannnya. Dari beberapa nama itu nama Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Wan Farid Wan Salleh adalah terkedepan.

Untuk beberapa jam atau hari sebelum ini nama Wan Farid kekal sebagai calon yang sudah pasti akan diletakkan. Bagaimana perkembangan terbaru yang berlaku pada diri Timbalan Menteri Dalam Negeri itu dimana beliau telah dilantik semula sebagai Senator oleh DUN Terengganu menyebabkan ‘kepercayaan’ Wan Farid menjadi calon sedikit tergugah.

Timbulah nama bekas Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafei. Kebetulan juga tempoh perlantikannya sebagai Senator tidak dilanjutkan untuk penggal kedua dan ini menguatkan lagi Nordiana akan dicalonkan. Kedudukan beliau sebagai bekas Ketua Puteri juga diambil kira boleh menarik simpati pengundi wanita.

Perkembangan diri Wan Farid ini menarik? Sekiranya Wan Farid tidak mahu bersusah payah untuk mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Menteri beliau menerima sahaja perlantikan sebagai Senator untuk penggal kedua itu tanpa menyertai pilihan raya.

Sebaliknya yang mungkin memberi sedikit kesukaran kepada Umno untuk mendapat calon yang setanding dengan Wan Farid. Dalam soal ini Umno terdesak untuk menang pada pilihan raya kecil itu. Pilihan raya itu akan menjadi indikator pertama untuk masa depan kedua parti itu selepas selesai pilihan raya umum ke 12 lalu.

Walaupun sudah berlaku piliihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu tetapi itu bukan boleh dijadikan penanda aras yang baik kerana di situ adalah kubu Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Pilihan raya tempoh hari tidak adil dari segi pengaruh cuma kelebihan kepada BN ialah kerana ia berlangsung secara terasing bukan dalam pilihan raya umum di mana advantagenya banyak kepada BN.

Sebaliknya pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini ada signifikennya tersendiri. Kalah menang akan memberi kesan kepada kedua parti berkenaan. Bagi Pas setidak-tidaknya kalau kalah ia memberi bekas Pas yang akan merasa malu dengan pencapaian cemerlang PKR di Permatang Pauh tempoh hari. Dalam hal ini Pas kena kaji setiap sudut untuk memastikan kemenangan.

Kepada Umno pula kalau kalah ia menunjukkan pengaruh dan keyakinan rakyat Terengganu kepada Umno semakin bermasalah. Kekalahan akan mengesahkan gelora dalam Umno Terengganu yang ini dibahagikan kepada dua kabilah, bekas MB, Idris Jusoh dengan MB kimi, Ahmad Said semakin nyata. Lantaran itu pemerhati melihat pilihan raya kecil itu juga sebagai bayangan kepada pertandingan dua puak di Terengganu.

Selain itu ia memberi kesan tersendiri pula kepada Najib Razak yang akan mengambil alih kuasa dalam parti itu pada Mac depan. Kesimpulan boleh dibuat sekiranya BN kalah ia menunjukkan peralihan kuasa yang dirancang itu menggambarkan tidak mendapat restui rakyat.

Justeru itu Umno kena letakkan calon yang dikira mempunyai peratus kemenangan tinggi. Dalam hal ini Wan Farid memiliki kelebihan itu berbanding dengan Nordiana Shefei atau seorang lagi nama iaitu timbalannya, Sabri Alwi ataupun ketua Peneranganya, Zumber Embong.

Pada hemat saya sekiranya BN tidak memilih Wan Farid parti itu kemungkinan besar tidak mudah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Selain Wan Farid adalah Timbalan Menteri beliau juga ada beberapa keistimewaan lain yang tidak ada kepada lain-lain calon.

Berbalik kepada Pas pula semakin hampir dengan pengumuman calon, nama Naib Presiden Pas Mohamad Sabu makin terpinggir. Seperti dikatakan sebelum ini petunjuk dari blog tidak menggambarkan petunjuk dari Kuala Terengganu dan dipedulikan oleh Pas Terengganu. Masalah orang luar orang dalam terus menjadi isu dan mengenepikan nama Mohamad Sabu.

Kempen awal dilakukan Dewan Pemuda Pas Terengganu yang mahukan calon dari Terengganu naMpaknya diterima dan sekaligus melenyapkan seruan Mursyidul Am Pas yang berminat kepada Mohamad Sabu. Rasanya perkembangan ini tidak perlu difikir oleh Pas, sebab bagi Pas sesiapa saja yang diletakkan menjadi calon ia disokong.

Tinggal dua nama kini, Dr Khazani Abdullah dengan Mustafa Ali. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja. Bagi spy Umno kalau mereka mahukan laporan kekuatan calon bolehlah buat kajian dan penyelidikan ke atas kedua nama ini saja.

Dalam pemerhatian saya Mustafa Ali masih mempunyai kelebihan kerana kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu. Dari risikan beliau tidak ada menghadapi apa-apa masalah di Kuala Terengganu kecuali dengan seorang individu yang sedang mencari populariti dan menatahkan diri untuk menjadi pemimpin di situ. Setakat ini tidak ada apa-apa protes daripada mana-mana pihak Pas Kuala Terengganu.

Semua Dewan Pemuda, Ulama, Muslimat tidak kedengaran menimbulkan apa-apa isu di sekitar diri Mustafa. Walaupun Mustafa tidak popular di luar Terengganu ekoran beberapa tindak tanduk dan kenyataan politiknya yang songsang dalam beberapa perkara, namun tokoh veteran itu masih dihormati di Terengganu. Suasana ini cukup baik kerana selalunya dalam pilihan raya kecil tumpuan kepada isu setempat menjadi utama.

Apapun sekiranya Mustafa mahu membenarkan pengakuannya untuk berundur dari arina politik – menyertai pilihan raya sudah pasti Dr Khazani akan menerima tanggungjawab untuk menjadi calon. Sebelum ini Mustafa pernah menyebut bahawa pernyertaan beliau dalam pilihan raya lalu adalah yang terakhir. Namun sekiranya parti meletakkan tanggungjawab itu kepadanya, apakah beliau sanggup menolaknya? Kalau beliau sanggup ini bermakna Dr Khazani Abdullah akan turun membawa harapan baru kepada Pas Terengganu dan Pakatan Rakyat seluruhnya.

Dari segi semangat orang muda dan politik kontemporari Khazani adalah pilihan terbaik berbanding dengan Mustafa Ali dari segi body tetapi bukan dari segi pesejarahan politik Terengganu yang mana dalam bab ini kelebihannya kepada Mustafa Ali! [wm.kl 5:45 pm 16/12/08]

Sedutan Parlimen

Pembangkang Sokong Abdullah Kekal Jadi PM

SEKURANG-KURANGNYA dua orang ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan mereka kepada Abdullah Ahmad Badawi supaya terus mengekalkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri selepas Mac depan.


Ahli Parlimen Batu, Tian Chua (foto) ketika membahas rang undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Parlimen pagi ini menjelaskan Perana Menteri tidak perlu merasaka terhalang oleh pelan peraliahn kuasa dalam Umno Mac depan untuk membawa perubahan dalam bidang kehakiman.

Menurutnya, rang undang-undang berkenaan perlu dibahas atau disediakan dalam keadaan tidak tergesa-gesa dan bukan kerana dibatasi oleh suasana tertentu.

Menurutnya ada beberapa perkara yang perlu dimasukkan ke dalam rang undang-undang berkenaan bagi menyempurnakannya. "Bagi saya rang undang-undang tidak berapa lengkap kerana ia dibuat kerana semacam ingin mengejar sesuatu," jelasnya.

"Saya berharap Perdana Menteri tidak merasa terhalang oleh apa-apa keadaan untuk melakukan refom dalam undang-undang atau apa-apa reform lain," tegasnya lagi dalam memberi sokongan kepada Perdana Menteri.

Menurutnya beliau memberi jaminan sekiranya Perdana Menteri itu ingin membawa perubahan, reform, pembangkang akan memberi sokongannya dalam Parlimen.

Pandangan Tian Chua itu disokong oleh ahli Parlimen, Balik Pulau Pinang, Yusmadi Yusuf yang mengharapkan Abdullah tidak akan berudnur pada Mac depan.

Kata Yusmadi rang-rang undang itu juga perlu mendapat pandangan semua pihak dan mereka yang akan dilantik menjadi ahli jawatan kuasa dalam beberapa jawatan berhubung perkara itu perlulah diambil dari semua pihak baik kerajaan dan pembangkang.

Pandangan kedua ahli Parlimen itu menjelaskan pembangkang bersedia untuk memberi sokongan kepada Abdullah dalam usaha melakukan beberapa inisiatif dan memberi isyarat mereka bersedia menyokong Abdullah untuk terus menjadi Perana Menteri.

Secara umnya juga rang undang-undang SRPM itu disokong oleh pembangkang dan mengalu-alukan agar Abdullah terus memegang Perdana Menteri. Keadaan ini agar kontra dengan ahli Parlimen Kerajaan yang menyokong dan memberi tahniah kepada Abdullah tetapi tidak seorang pun meminta agar Abdullah mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri!

Jelas di sini ahli Parlimen BN menerima pelan peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Mohd Najib Razak seperti mana dirancangkan pada Mac depan dan mereka rata-rata bersikap munafik dalam menyatakan sokongan berkenaan. [wm. kl 1:00 pm 16/12/08]

Monday, December 15, 2008

Lurahan Jiwa

Agenda Perihatan Yang Tercemar Dengan Kasut!

KELMARIN (14 Disember) saya 'memohon cuti' kepada saya sendiri untuk berihat sekejap. Musim cuti sekolah anak-anak minta untuk dibawa bercuti. Sebenarnya hampir seluruh masa hidup sebagai penulis kira-kira hampir 30 tahun lalu, saya tidak ada masa untuk bercuti atau membawa anak-anak bercuti di luar Kuala Lumpur melainkan ke Kelantan. Itupun semasa hari raya atau hari-hari tertentu seperti bila ada kenduri kendara keluarga di kampung.

Masa banyak dipenuhi atau digunakan menghadiri berbagai program politik, mengikuti demonstrasi yang tidak pernah ada masa senggang dan sebagai kegiatan 'makbapa' lainnya lagi di ibu kota Kuala Lumpur. Barangkali itulah nasib penulis masanya hanya menjadi miliknya dan tidak dapat dikongsikan dengan sesiapa, hatta anak dan isteri.

Jadi kebetulan juga pejabat Siasah mengadakan hari keluarga di Pulau Pangkor, Perak selama tiga hari hari pada 13 hingga 15 Disember. Jadi saya ikut sama mengambil peluang untuk merasai bagaimana bercuti dengan anak dan isteri di sebuah pulau peranginan!

Sekali lagi kebetulan juga.. sepanjang hidup saya hanya sekali menjejaki kaki ke Pulau Pangkor itupun lebih 15 tahun lalu. Sebelum era reformasi katakan! Kerana sudah lamanya kedatangan itu menyebabkan saya tidak tahu lagi bagaimanakah wajah Pulau Pangkor khasnya persekitaran jeti Lumut. Sudah kabus dalam ingatan. Segalanya berubah dimamah masa.

Bukan sombong, tetapi hakikatnya saya lebih banyak mengenali tempat lain daripada tempat - pelancungan dalam negara sendiri. Sebenarnya banyak yang saya tidak tahu mengenai keindahan alam sekitar negara kita yang mana keindahan dan keunikannya tidak terkalah dengan lokasi pervisataan di tempat-tempat lain.

Apabila bercuti apa yang saya fikir sebaik sampai di pulau itu saya akan tenang, dapat rihat sepenuhnya. Saya sengaja tinggalkan 'senjata' (alatan penulisan) di tanah besar dan tidak membawa kesemuanya. Saya mahu istirihat sambil mencari ilham; merenung ke dalam diri melihat nasib bangsa, orang Melayu, kepentingan Melayu dan juga bagaimana untuk memperbetulkan orang Melayu agar berpolitik secara benar. Itu yang diharapkan.

Tetapi rupa-rupanya kalau penulis tetap juga penulis, di mana dia berdiri dan berada dia akan bertugas dan berperanan sebagai sifatnya itu. Kepala tidak boleh rihat seperti mana diharapkan. Tatkala melihat gelombang laut, teringat kepada gelombang nasib bangsa. Melihat perahu kecil teroleng-oleng dihempas ombak teringat kepada nasib bangsa diperkotak katikkan atau direndah-rendahkan dengan pelbagai cara sepanjang masa.

Melihat lambaian gemulai dedaun kelapa yang kesayupan di hujung tanjung atau kuala teringat
kepada semangat bangsa yang layu dan semakin melemah dan tandus.

Melihat bueh-bueh yang berpusaran diburitan feri berbusar-busar dan kemudian hanyut dan hilang, terfikir apakah begitu akhirnya akan jadi kepada bangsa Melayu. Ianya nampak hebat dan kuat seperti bueh-bueh itu tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa kekuatan dalam mengejapkan keduduannya di permukaan laut itu. Begitukah?

Dan apabila melihat resort yang indah, vila yang nyaman dan mewah berdiri di sekeliling pantai di pulau itu yang begitu kontra keadaannya dengan pondok nelayan yan

g buruk dan naif, terfikir pula betapa kehidupan ini diasing-asing atau dicaing-caingkan oleh kebendaan dan ego manusia yang sukar dileburkan. Yang kaya menjadi begitu kaya, manakala yang miskin pula tersangat miskin dan tertindas.

Realiti itu mengimbaukan kepada masa depan di Mahsyar yang akan dilalui setiap manusia, di mana begitu jugalah terasingnya antara mereka yang beriman dengan mereka yang engkar dan menyekutukan Allah s.w.t. Sebenarnya gambaran dunia ini adalah gambaran di akhirat!

Tegasnya, segala yang terlihat di Pulau Pangkor menyebabkan kepala jadi berdenyut. Hati menyumpah, sakit dan terkenang-kenang kepada sesuatu yang macam akan sirna serta merta dari atas bumi ini. Di sinilah ruang yang dikosongkan sebelum menjejak kaki ke pulau itu mulai sedikit demi sedikit dipenuhi dengan persoalan demi persoalan dan pertanyaan demi pertanyaan.

Lantas diri terus jadi bermonolog sendirian bila melihat kehidupan masyarakat Melayu nelayan di pulau itu masih tidak berubah. Masih memecah ketawa musim lama dikedai kopi dengan pakaian comping camping yang siap untuk turun ke laut. Perkampungan tradisi nelayan masih lagi diwarisi oleh generasi ke generasi tanpa perubahan yang menunjukkan kemajuan dan seolah gambaran itulah status yang diperjuangkan selama lebih setengah abad merdeka. (Catatan lanjut mengenai penderitaan dan sukaduka Pangkor akan menyusul kemudian.)

Semua pemandangan di sana menganggu ruang kosong untuk berihat. Bila sudah demikian maka mula diri tidak dapat diam dan terus mencari maklumat dan perkembangan semasa. Apabila surat khabr dicari, internet dibuka maka tangan pun menjadi ganas dan merayau jauh menekan laman demi laman dan blog demi blog. Lalau masa untuk cuti pun terus ternoda sama sekali.

Paling teruja tatkala membaca berita keberanian seorang anak muda bernama Muntadar al-Zeidi yang membalingkan kasutnya ke muka George W Bush, serta merta hasrat untuk rihat dan bertenang-tenangan di Pulau Pangkor rosak binasa. Betapa keberanian anak muda remaja itu dalam membela maruah bangsanya dengan balingan kasut itu memberi suntikan semangat juang yang tiba-tiba datang mencabar diri.

Iya, saya menjadi malu kepada anak muda itu. Malu bukan kerana ia mencemari profesyen sebagai wartawan di mana perbuatan itu tidak selayaknya berlaku, tetapi malu kerana keberaniannya membaling kasut selamat tinggal kepada seorang Presiden Dunia yang diumpama anjing itu.

Malu kerana jika dibandingkan keberanian yang ada dengan keberanian dan kesediaan Muntadar menghadapi risiko dari perbuatan itu ia seolah perbandingan itu antara busut dengan sebuah gunung yang tinggi. Rasanya tidak ada siapa dari kalangan kita sanggup berbuat demikian terhadap seseorang pemimpin yang kita marah dan benci. Apa lagi bila berdepan dengan seorang Presiden seperti Bush itu kita mungkin terus pengsan bukan setelah melakaukan pembalingan hina seumpama itu tetapi apabila sebaik saja berniat untuk berbuat demikian.

Bukan tidak ada pemimpin di negara ini yang mewarisi sifat-sifat Bush, menzalimi dan mengurung insan tidak berdosa secara melampau, ada. Tetapi kita takut untuk melakukan demikian atas beberapa penilaian yang subjektif. Barang kali... barangkali adalah baik juga kalau sesekali ada antara kita bersikap biadap untuk mengajar pemimpin yang kurang ajar.

Kepada Muntadar walaupun perilaku anda menganggui perihatan saya, namun saya secara peribadi saya mengucapkan syabas atas keberanian anda. Mungkin bukan juga saya sebaliknya seluruh mereka yang membenci Bush akan memaafi atas sikap biadap demikian. Sikap biadap itu sewajarnya berlaku kepada seorang yang jauh lebih biadap seperti mana Bush lakukan ke atas dunia khasnya umat Islam dan bangsa anda sendiri itu. [wm.kl. 10:00 pm 15/12/08]

Sunday, December 14, 2008

Tahniah

Mingguan Konsep, Selamat Dilahirkan

MENJELANG tengah malam tadi sebuah lagi surat khabar tabloid lahir negra ini. Kali ini akhbar berkenaan lahir di Kota Bharu Kelantan. Nama akhbar itu ialah Mingguan Konsep. Akhbar yang mengulas isu semasa dan terkhusus kepada politik itu dilahirkan oleh penerbitan milik sahabat saya Ramli Abdul Halim.

Beberapa jam sebelum akhabr itu dicetak malam tadi Ramli menghubungi saya meminta agar melihat dan memberi komen wajah muka depan akhbar berkenaan. "Demo tolong tengoklah sikit anak kawan hak baru akan lahir malam ni!" begitulah kata Ramli bangga.

Saya jadi terkejut dengan kata-katanya. Anaknya? "Iya anak... bernama Konsep...," begitulah jelas Ramli meredakan rasa bingung saya.

Diam-diam Ramli yang memang terkenal gigih dengan melahirkan majalah dan akhbar baru telah berjaya menerbitkan sebuah lagi akhbar. Sebelum ini sudah bermacam-macam akhbar yang diterbitkan oleh Ramli, termasuklah Wasilah, Fajar Islam dan sebagainya.

Penerbitan Mingguan Konsep ini adalah gantian kepaa Fajar Islam yang tidak disambung permitnya oleh KDN atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan. Mingguan Fajar Islam hanya sempat diterbitkan beberapa isu saja.

Sebenarnya Konsep bukan nama baru. Ia pernah wujud sebelum ini dalam rupa bentuk sebuah majalah eksklusif berkala, bulanan. Selepas itu bentuk dan saiz Konsep ditukar kepada bentuk digest.

Menurut Ramli, akhbar itu dijual dengan harga RM3.00 senaskah dan mempunyai 48 muka surat hitam putih. Hari ini akhbar edisi pertamanya sudah mula beredar di sesetengah daerah di Kelantan dan sebahagian Terengganu.

Jelas Ramli Minggu Konsep yang akan beredar ke seluruh negara akan mengikuti perkembangan abang-abangnya Wasilah, Siasah, Watan lain-lain.

"Saya berharap Konsep akan menjadi wadah baru yang tampil dengan konsep dan caranya tersendiri," ujar Ramli sambil menambah beliau sangat mengharap sokongan para pembaca bagi memastikan penerbitan berterusan.

Untuk keluaran pertama sebanyak 15,000 naskah dicetak. Permintaan pengedar kini menurut Ramli sebanyak 45,000. "Permintaan dari pengedar menggalakkan tetapi kawan tak leh nak layan lagi, buat sikit-sikit dulu," begitulah katanya.

Tahinah diucapkan kepada Ramli atas kelahiran cahaya barunya itu. [p pangkor 6:00 pm 14/12/08]

Friday, December 12, 2008

Analisa Calon

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu
Pas Pertaruhkan Siapa?

KALAU BN ada tiga hingga lima calon untuk diletakkan bertanding dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada 6 Januari depan, Pas pula ada tiga calon yang menjadi sebutan dan sandaran untuk merampas kerusi berkenaan. Di sini saya tidak bercadang untuk mengulas dan menganalisa calon-calon BN, dan hanya akan menyorot calon-calon Pas sahaja.

Tiga nama disebut-sebut akan diletakkan oleh Pas, ialah Naib Presiden, Mohamad Sabu yang juga calon Pas di kerusi berkenaan dalam pilihan raya umum lalu, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mustafa Ali dan seorang ahli perniagaan Prof Khazani Abdullah.

Ketiga calon ini realtifnya berbeza antara satu sama lain. Mohamad Sabu dikenali sebagai pekerja parti yang lantang dan rajin di dalam Pas. Pekerja yang pandai mengulas isu dan membuat humor ketika bersyarah. Beliau juga menjadi daya penarik kepada majlis ceramah Pas.

Kerana kehebatan itu beliau saya sifatkan sebagai calon berlabel nasional. Mustafa Ali pula pemimpin veteran dalam Pas yang berpengalaman. Saya namakan sebagai pekerja lama parti. Manakala Khazani tokoh muda Pas yang masih belum dikenali calon amatur dan harapan masa depan. Pekerja baru parti.

Walaupun Pas Terengganu tidak ‘kasik’ calon dan masih ada serangkaian calon lain, seperti Wan Mutalib Embong, Abu Bakar Chik dan lain-lain, tetapi itulah tiga nama yang dikira akan disenaraipendekkan oleh Pas Terengganu untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama.

Rasanya elok juga untuk melihat populariti calon-calon berkenaan berdasarkan poll yang dibuat oleh beberapa portal berita dan juga blog persendirian termasuk blog saya. Perbandingan ini hanya tertumpukan kepada dua nama saja, Mohamad Sabu dan Mustafa Ali kerana Khazani tidak disenaraikan dalam mana-mana poll.

Ada empat orang nama yang disenaraikan dalam poll berkenaan, iaitu Mohamad Sabu, Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong dan Syed Azman Syed Ahmad. Jelas sekali dari segi popular menurut poll-poll itu, Mohamad Sabu menjadi pilihan utama berbanding dengan Mustafa Ali.

Misalnya poll yang dibuat oleh KL.Pos yang dikutip jam 11:00 pagi ini (11 Disember 2008) Mohamad Sabu mendapat sokongan sebanyak 89%, Mustafa 4% dan Wan Mutalib sebanyak 7%.
Manakala poll dari blog pinkturtle pula yang dikutip pada waktu sama daripada 430 pengundi, sebanyak 68% atau 291 undian diberikan kepada Mohamad Sabu, Syed Azman 27% atau 115 undian, Wan Mutalib dan Mustafa masing-masing 3% atau kira-kira 11-13 undi saja.

Poll dari blog saya pula yang dikutip pada masa sama, daripada 216 pengundi Mohamad Sabu menerima 122 undian atau 56%, Syed Azman 43 undi atau 19%, Wan Mutalib menerima 6 undi atau 2% dan Mustafa menerima 21 undi atau 9%. Saya turut meletakkan pilihan ‘calon-calon lain’ yang menerima 24 undi atau 11%.

Saya mengagakkan mereka yang membuat pengundian menerusi poll dalam ketiga blog berkenaan adalah hampir 90 % orang yang sama dan kebanyakan mereka adalah pelayar dari luar Kuala Terengganu. Jelas dari poll itu Mohamad Sabu menjadi calon popular dengan mengatasi calon-calon lain dari ketiga poll berkenaan.

Ada beberapa sebab kenapa Mohammad Sabu popular, antaranya kerana nama beliau sudah disebut awal-awal oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu diberikan peluang bertanding sekali lagi. Sedikit sebanyak pandangan Nik Aziz itu mempengaruhi pengundi terutamanya pengundi yang taksub dengan cara politik beliau (Nik Aziz).

Selain itu ialah kerana Mohamad Sabu dilihat popular berbanding dengan nama-nama lain di kalangan masyarakat bawahan dan mereka yang meminati politik berbentuk ceramah.

Persoalannya kini apakah Pas Terengganu akan mengambil kira trend yang ditunjukkan oleh poll berkenaan ataupun suara pemerhati dan peminat politik Pas di luar Terengganu itu? Kalau Pas memperlakukan ini sudah tentu Mohamad Sabu adalah calon paling layak.

Sebaliknya sekiranya Pas Terengganu ada kriteria dan indikatornya sendiri, populariti berdasarkan poll dan ukuran orang awam itu tidak akan diterima pakai dan memungkinkan Mohamad Sabu tidak akan diturunkan semula.

Dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini apa yang paling diutamakan kemenangan. Pas perlu menang untuk membuktikan bahawa pengaruh Pas masih kuat di negeri itu. Kemenangan itu juga akan menjadi petunjuk untuk masa depan Pas – pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Manakala dalam konteks Pakatan Rakyat pula kemenangan itu sangat penting bagi meyakinkan rakyat untuk meneruskan projek terbengkalai untuk menumbangkan kerajaan BN yang diilhamkan oleh Anwar Ibrahim.

Justeru calon yang dianggap benar-benar mampu memberi kemenangan akan dipilih dan diberikan keutamaan.

Seperti disebutkan tadi nama Khazani tidak dimasukkan ke dalam poll. Jadi beliau tidak mendapat petunjuk apakah beliau mampu atau tidak. Namun Dewan Pemuda Pas Terengganu beriya mahu menonjolkan Khazani sebagai calon dalam pilihan raya berkenaan sambil menafikan yang Pas Terengganu kekurangan calon tempatan.

Berdasarkan latar belakang pendidikan akademi Khazani yang luas dan cemerlang itu beliau berkelayakan. Tetapi bila diukur kepada pengalaman dan penglibatan dalam politik ia masih mentah dan muda.

Mari kita tinjau satu persatu potensi yang ada kepada ketiga calon berkenaan.

Mohamad Sabu – memang beliau orang luar dan pertama kali bertanding di Kuala Terengganu. Beliau pernah menang di luar negerinya, iaitu di Kelantan selama dua penggal. Mohamad Sabu adalah tokoh yang tersendiri dalam Pas dengan anutan, fahaman dan aliran pemikiran sendiri. Beliau dilihat seorang pejuang Islam yang percaya kepada kekuatan semangat, iltizam yang ampuh dan bukan bersujud kepada kebendaan.

Mohamad Sabu bukan seorang pengamal politik kebendaan. Kehidupannya sendiri sedarhana. Kepercayaan dan dasar politiknya, Hadith dan Quran. Beliau seorang yang tertarik dengan pendekatan Islam secara jema’i.

Dari segi dakwah menerusi ceramah memang ada kepada beliau. Mohamad Sabu juga mempunyai semangat perjuangan yang kental dan tidak cair dengan ugutan. Pendeknya Mohamad Sabu seorang pejuang Islam tulen dalam Pas dan sudah teruji keimanannya.

Bagaimana pun statusnya sebagai orang luar memberi sedikit masalah kepadanya. Pilihan raya kecil menyebabkan pengundi akan melihat kepada isu-isu local dan dalam hal ini sebagai orang luar beliau tidak mempunyai kelebihan berbanding dengan calon setempat. Apa lagi pengundi di Kuala Terengganu itu sendiri kuat semangat kedaerahannya dan melihat calon yang ada pertalian persaudaraan dengan mereka.

Mustafa Ali – adalah tokoh veteran Pas Terengganu yang banyak pengalaman. Beliau sudah tidak popular dan sedang menghadapi kesuraman cahaya politiknya. Di luar Terengganu beliau sudah ditolak dengan politiknya yang kurang tegas dan play save. Kelebihan yang ada kepadanya ialah beliau calon tempatan. Mustafa mempunyai banyak pertalian persaudaraan dengan pengundi di Kuala Terengganu.

Khazani Abdullah – Beliau tokoh muda yang belum dikenali. Dalam erti kata lain beliau tidak mempunyai apa-apa aset semasa melainkan mempunyai latar belakang pendidikan dan kerjaya yang baik.

Berdasarkan kepada huraian dan dapatan itu Pas kini hanya mempunyai dua calon sahaja iaitu Mohamad Sabu dan Mustafa Ali. Sekrianya pengundi Terengganu masih berpegang kepada tradisi dan politik 'semangkuk' (tempatan) maka Mustafa Ali lah calonnya.

Kesimpulannya bagi saya sebelum Pas memutuskan calon, Pas harus melihat apakah yang diharapkan daripada kemenangan pilihan raya kecil kecil itu. Sekiranya Pas mahu menjadikan kemenangan itu sebagai modal meneruskan projek terbengkalai 16 September, Pas harus memilih calon yang boleh menyambungkan projek berkenaan. Sebaliknya jika Pas merasakan projek itu perlu terbengkalai maka Pas boleh memilih calon yang hanya membawa kemenangan tetapi tidak akan merubah suasana politik nasional. [wm.kl 10:30 11/12/08]

Thursday, December 11, 2008

Celoteh Murai 19

Syabas Khairy Jamaluddin

PETANG tadi sambil baring atas katil Murai mengikuti sidang Parlimen yang sedang membahaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pindaan 2008. Sempatlah Murai mengikuti perbahasan beberapa orang ahli Parlimen.

Dunia kini cukup canggih.. sidang Parlimen boleh diikuti sambil tidur dan di mana-mana saja. Inilah kecanggihan IT yang tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Makanya sesiapa yang mengabaikan IT akan ketinggalan dan mundur seperti saleitia di bawah tempurung.

Perbahasan itu disiarkan menerusi web tvpas.com. Banyak faedah dan gunanya siaran tv ini membei laporan penuh kepada peminat Parlimen. Webtv ini lebih baik dan bebas daripada RTM yang menyiarkan persidangan berkenaan. RTM hanya siar 20 minit sahaja sebalik web tv ini menyiarkan dari mula sidang jam 10:00 pagi hinggalah sidang ditangguhkan pada setiap hari.

Terima kasih Murai ucapkan kepada webtvPas dan pengendalinya yang rajin atas inisiatif menyediakan siaran langsung ini. Semoga pihak ahli Parlimen Pas akan menambah elaun mereka.

Perbahasan mengenai Auku memang dijangka hangat. Akta ini sama hebat dan sama popular dengan akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau ISA dianggap musuh kepada rakyat Malaysia yang rindukan kebebasan, Auku pula dianggap rantai besi kepada mahasiswa dan kakitangan akademik.

Sudah berdekad akta ini dibahas dan diperkatakan. Sudah beribu protes dan demonstrasi dilakukan untuk menghapuskan akta ini. Sudah berbelas menteri dan timbalan menteri Pendidikan atau Pelajaran bertukar ganti, namun ia tidak memberi apa-apa hasil. (Terima kasihlah kepada Menteri Pengajian Tinggi, Mohd Khalid Nordin kerana peka dan berani membuat pindaan). Kerajaan tetap mempertahankan akta ini sebagai relevan atas maslahat kebaikan seperti mana ISA. Bagaimana pun mereka yang terhalang dan terkena merasakan ia zalim dan tidak adil. Menganggap akta berkenaan mengongkong, memandul, memondan dan berbagai me... lagi terhadap mahasiswa dan tenaga akademik.

Antara beberapa ahli Parlimen yang membahaskan pindaan Auku ini ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin. Ada sesuatu yang menarik dan menyerlahkan realiti sebenarnya tentang politik dan perjuangan Khairy di sini. Ternyata menantu PM ini lain daripada ahli BN yang lain dan mempunyai pandangan politik yang bebas dan bersikap gentleman. Beliau benar-benar rasional, berani dan sedia bertanggunjawab.

Tidak salah kalau Murai katakan, inilah watak, peribadi, bakat dan minda (cara berfikir) yang diperlukan oleh Pemuda Umno untuk memimpin sayap kanan parti itu.

Betapa tidak, tadi Khairy memberi pandangan yang akademi dan berbahas secara profesional berhubung dunia pendidikan. Khairy mempunyai pandangan jauh dan tidak terikat dengan tradisi dan pemikiran sesetengah pemimpin partinya yang kolot dan primitif. Beliau juga mempunyai maklumat terhadap apa yang beliau ingin perkatakan.

Dan paling mengejutkan Murai ialah apabila beliau menyatakan persetujuannya kalau mahasiswa dibebaskan dari ikatan Auku itu. Dalam erti kata lain beliau mahu mahasiswa berkecimpungan dalam politik dan berikan ruang sepenuhnya untuk mahasiswa terlibat dalam politik. Mahasiswa katanya tidak perlu disekat dengan akta itu. Realiti hari ini bahawa politik berlaku dalam kampus walaupun ada Auku.

Katanya kerajaan tidak perlu takut kepada penglibatan mahasiswa dalam politik. Hadapilah secara profesional dan secara terbuka. Alasannya mahasiswa sudah matang dan dapat berfikir dan menilai baik buruk dan tidak wajar ianya disekat. Beliau sendiri sanggup turun padang bagi menghadapi fenomena itu. BN tidak perlu bimbang katanya.

Jarang ahli BN yang berfikir dan bersikap terbuka macam Khairy. Pendebat lain dari BN masing-masing beselidung disebalik bayangan ketakutan yang dangkal dalam mempertahankan akta berkenaan agar ianya dikekalkan dengan pindaan yang dianggap lebih ketat itu. Kebanyakan mereka juga berdebat untuk menjaga kedudukan dan periuk nasi yang berlagak sokong membawa rebah.

Syabas Murai ucapkan kepada Khary atas keterbukaan dan rasional beliau dalam melihat isu yang membelit mahasiswa itu. Seharusnya wakil rakyat BN yang sudah tua, 'mamba' dan kehabisan idea patut belajar dan berkursus pencambahan minda dengan menantu PM ini.

Melihat kehabatan itu maka wajarlah kalau Mahathir takut dan bimbang kepada Khairy kerana penampilannya boleh menenggelamkan kehadiran anaknya Mukhriz Mahathir. Sekali lagi syabas untuk Khairy.

Murai: Mengikat diri dengan hukum hakam.

Coretan Hitam

Membaca motif Abdullah
Rang Undang-undang Kehakiman dan Rasuah Mahu Cekup Siapa?

SEMALAM Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengotakan janjinya untuk melakukan reformasi ke atas badan kehakiman dan pencegahan rasuah negara ini dengan membentangkan rang undang-undang bernama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu bagi meminda atau memansuhkan Akta Pencegahan Rasuah (1971) yang sedia ada manakala rang undang-undang Suruhanjaya Kehakiman bagi menyediakan prosuder baru perlantikan Kehakiman.

Sebelum ini Abdullah berjanji untuk membuat perubahan (reform) ke atas kedua badan itu sebagai legasi selaku Perdana Menteri. Usaha itu juga termasuk antara beberapa inisiatif beliau sebelum bersara paksa pada Mac depan.

Secara relatifnya kedua rang undang-undang itu untuk menambahbaikan lagi serta menjamin keberkesanan badan kehakiman (proses perundangan) dan pencegahan rasuah di negara ini. Suruhanjaya Kehakiman memberi peluang kepada pembentukan sebuah Suruhanjaya untuk melantik hakim. Manakala Suruhanjaya Rasuah itu pula memberi kebebasan dan kuasa lebih kepada badan pencegah rasuah tanpa dibayangi mana-mana kuasa untuk betindak atas maklumat dan laporan jenayah berkenaan.

Abdullah serius untuk melakukan perubahan dan mengembalikan intergriti badan kehakiman. Badan kehakiman negara ini rosak dan damage apabila berlakunya krisis kehakiman di zaman Mahathir Mohamad jadi Perdana Menteri dipertengahan tahun 80-an. Dalam krisis itu bertujuan menyelamatkan politik Mahathir itu, lima Hakim termasuk Ketua Hakim Negara dipecat. Sejak itu intergriti dan penghormatan umum kepada badan hakim menjadi pertikaian dan isu.

Manakala pembentukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula perlu memandangkan amalan dan perbuatan rasuah di negara ini sudah berleluasa dari segenap peringkat. Sedangkan mekanisme pencegahannya tidak berkensan. Jika tidak ada undang-undang yang ketat membendungnya ia dibimbangi akan merosakan jentera pentadbiran dan kerajaan yang akhirnya menyebabkan kerajaan akan lumpuh.

Antara intipati suruhanjaya itu ialah untuk menggalakan intergriti dan kebertanggungjawaban pentadbiran awam dan swasta dengan menubuhkan badan pencegahan rasuah yang bebas dan bertanggungjawab. Rang undang-undang itu juga memberi perlindungan penuh kepada pemberian maklumat rasuah.

Kesimpulannya pembentangan kedua rang undang-undang suruhanjaya itu tepat dan kena pada masanya dan perlu disokong semua pihak.

Bagaimana pun bekas PM, Mahathir Mohamad kurang setuju dengan langkah Abdullah itu dan meminta supaya Abdullah meninggalkan masa depan negara (apa-apa perubahan) kepada bakal penggantinya Mohd Najib Razak. Tindakan Mahathir itu seolah beliau gerun dan ada sesuatu yang boleh menganggu emosinya dengan kedua rang undang-undang suruhanjaya berkenaan. Ini satu keanihan di mana sepatutnya bekas PM itu menyokong.

Mungkin ramai yang menerima langkah Abdullah itu sebagai satu peninggalan beliau kepada negara tanpa mengirakan tujuan dan motif lain. Justeru tidak ramai yang cuba mencari apakah motif Abdullah dan menerimanya sebagai satu lambaian terakhir Abdullah sebelum meninggalkan Parlimen!

Apakah begitu? Jika diibaratkan persediaan undang-undang atau akta baru (suruhanjaya) oleh Abdullah itu umpama persediaan sarang oleh seorang pemikat burung sebelum dia pergi memikat, ini bermakna Abdullah ada tujuan dengan tindakannya itu. Seolah beliau ingin melihat dan memerangkap sesuatu dengan kedua Suruhanjaya itu dalam tempoh terdekat. Abdullah tentu ada target dengan pembentangan suruhanjaya itu.

Kalau Abdullah tidak ada niat itu untuk apa beliau bersungguh mahu segera membentangkan suruhanjaya itu terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membolehkan badan pencegahan rasuah lebih telus, bebas untuk bertindak ke atas sesiapa saja tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah itu akan berkuatkuasa pada 1 Januari depan.

Di sinilah bagi mereka yang dapat membaca kilau dalam kilat, Abdullah ada niat lain di sebalik tindakannya itu. Dalam hal ini ada yang melihat tindakan Abdullah itu sebagai benteng untuk beliau mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Samada benar atau tidak, ada yang mengandaikan akta pencegahan rasuah baru itu kononnya akan memberkas jerung-jerung yang terlibat dengan rasuah di mana kejayaan ini akan memberikan markah dan nilai untuk Abdullah dan seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai PM.

Antara orang yang dikatakan bakal disiasat menerusi akta rasuah baru itu ialah bakal Perdana Menteri, Mohd Najib Razak dan beberapa menteri? Sejauh manakah kebenaran walahualam, tetapi ini hanya andaian saja. Tetapi kalaulah ianya benar ini bermakna Abdullah boleh terus tinggal dan memegang jawatan PM untuk satu janga waktu. Beliau tidak boleh menyerahkan atas alasan kerana Najib sedang disiasat BPR.

Apakah andaian dan gossip atau teori ini benar? Sekiranya ianya benar ini bermakna peralihan kuasa yang dirancangkan pada Mac ini tidak akan menjadi kenyataan. Kegagalan itu tentulah bukan disebabkan kedegilan Abdullah untuk tidak menyerahkan kerusi PM tetapi disebabkan orang bakal memilikinya sedang berhadapan dengan masalah kerana disiasat. Dan adalah kurang molek kalau seseorang yang sedang disiasat disyaki melakukan jenayah untuk diangkat menjadi Perdana Menteri? Kebijaksanaan Abdullah ini mungkin tidak terfikir oleh banyak orang! [wm.kl 8:15 pm 11/12/08]