Friday, June 18, 2010

Ulasan Berita

Beranikah Najib Minta Speaker Kosongkan Kerusi Parlimen Batu?

SECARA tektikal dan perundangan sama ada kerusi Parlimen Batu kosong atau tidak terletak di tangan Speaker Parlimen, Pendikar Amin Mulia. Itulah peruntukan undang-undang seperti mana dimaktubkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Negara. Tetapi hakikatnya keputusan itu bergantung kepada budibicara Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri, Najib Razak.

Mengikut proses mahkamah sudah jelas kerusi itu menjadi kosong bilamana wakilnya, Tian Chua (foto) dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman denda ke atasnya RM3,000 dikurangkan kepada RM2,000.

Seperti mana kata peguam terkenal Karpal Singh jelas menurut perlembagaan hukuman RM2,000 atau lebih menyebabkan Tian Chua hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Beliau merujuk kepada kes yang menimpa Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Ting pada 1975 yang dijatuhi denda RM2,000 ekorana kesalahan di bawah Akta Hasutan menyebabkan Fan Yew hilangan kelayakan.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nampaknya tidak berani membuat apa-apa kenyataan berhubung keputusan mahkamah itu. Ini tidak seperti biasa selalunya SPR cepat dalam membuat ulasan dan pendiriannya. Kali ini SPR menyerahkan kepada Speaker Parlimen. Apakah ini menggambarkan SPR yang selama ini dilihat condong kepada parti memerintah kurang berani dan bersemangat kali ini?

Kita maklum kenapa sebab musababnya. Keadaan berlaku mungkin kerana kawasan Batu bukan kawasan selamat untuk BN kalaupun diadakan pilihan raya kecil. BN mungkin merasa 'rohok' untuk menang. Dalam pilihan raya lalu Tian Chua yang bertanding atas tikit PKR menang dengan majoriti 9,455. Beliau dapat memperolehi 29,785 mengalahkan Lim Sin Pin (BN) yang meraih sebanyak 20,330.

Walaupun kuasa memutuskan kedudukan Tian Chua itu terletak kepada Speaker, saya tidak percaya kalau ia tidak dirujuk kepada Perdana Menteri. Kini terpulang kepada PM. Kalau beliau yakin dengan kajian Merdeka Centre yang beliau kini mendapat sokongan 72% tidak ada sebab untuk Najib tidak menasihati Speakar agar mengistyharkan kerusi itu kosong.

Tetapi Najib harus ingat berdepan dengan kawasan Parlimen Batu, bukan sama dengan Hulu Selangor atau Kuala Terengganu, apa lagi Bagan Pinang di Negeri Sembilan. Batu adalah kawasan bandar di mana sikap pengundinya sukar dibentuk.

Jadi jalan selamat dan untuk tidak memenatkan badan elok kalau Najib menasihati Speaker supaya jangan istyharkan kerusi Parlimen Batu kosong dan biarlah Tian Chua kekal sebagai anggota dewannya. Sebaliknya kalau Najib teringin mengujui sejauh mana penerimaan rakyat terhadap pentadbirannya serta slogan 1 Malaysia di Batu silakan.... bisa saja! [wm.kl. 9:00 pm 18/06/10]

Susupan Pagi

Benar Kata Nazri, Perkasa dan Gertak Hidup Kerana Mahathir

SAYA bersetuju dengan pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamad Nazri Aziz yang mengatakan Perkasa dan Gertak akan lenyap kalau tidak dengan sokongan Mahathir Mohamad. Kewujudan Perkasa yang dipimpinan oleh Encik Ibrahim Ali jelas ianya idea dan ilham Mahathir. Malahan mungkin perbelanjaan untuk menubuhkan Perkasa peringkat awal disponsor sepenuhnya oleh Mahathir?

Dari mula lagi saya menyedari bahawa Perkasa akan menjadi platform untuk Mahathir melemparkan pandangan, mengkritik pembangkang dan juga kerajaan di samping bagi dijadikan ruang riadah akalnya. Jadi Encik Ibrahim Ali orang yang taksub kepada Mahathir sampai ku punggung, menyediakan wadah berkenaan. Setelah menyedari itulah maka saya dan beberapa rakan lain yang terlibat dalam peringkat awal penubuhan Perkasa mengundur diri Perkasa.

Mahathir begitu terdesak untuk mendapat ruang bagi beliau bergerak. Pergerakannya ketika itu terhad bila mana beliau di halang oleh kerajaan dan partinya sendiri. Justeru bagi membuka ruang untuknya terus berpolitik maka perlu difikirkan satu platform bagi membolehkan dia jadikan pentas untuk bernostalgia dan mengacam orang lain.

Ibrahim lalu mengambil inisiatif menghimpun mereka yang tersisih dari Umno. Di carinya beberapa orang dari pelbagai profesional untuk mencerminkan Ngo itu sebuah badan yang profesional dan bersemangat Melayu. Dalam soal membodek dan mengajak orang ini, Ibrahim memang pintar.

Setelah ia berjaya ditubuhkan Ibrahim mengambil kesempatan atas penubuhan itu untuk mempamerkan dirinya sebagai hero Melayu. Itu saja. Para pengikut Perkasa kebanyakan mereka yang berminat dan suka dengan stail politik Mahathir. Rata-rata mereka ini yang diketepikan oleh Abdullah Badawi dan tidak berapa dipeduli oleh Najib Razak.

Mengenai penjelasan Nazri kerajaan tidak terbabit dengan penubuhan Ngo itu juga benar. Memang kerajaan khasnya Umno tidak ada kena mengena dengan penubuhan Perkasa. Yang terhingin dan yang tersengih lapar kepada Umno ialah Perkasa, bukannya Umno. Bagi Umno bila ada perkakasan tambahan sangatlah disuakinya.

Yang jelas presidenya Encik Ibrahim yang menggunakan Perkasa untuk menunjukkan kekuataan dan pengaruhnya. Kononnya beliau sama hebat dengan Anwar Ibrahim. Ibrahim sudah lama mengidam untuk jadi macam Anwar. Berbagai cara dilakukan tetapi tidak menjadi. Ibrahim tetap Ibrahim yang tidak akan mencapai standard Anwar. Dalam percakapan mengenai jatuh bangun dalam politik Encik Ibrahim selalu menceritakan dia adalah mangsa dengki dan kebencian. Orang dengki kononnya kerana dia hebat! Katanya Anwar juga pernah dengki dengannya?

Malang juga bagi Ibrahim sampai kini Najib masih belum mempercayai akan kehebatannya dan Najib sedang menilainya. Begitu juga dengan Umno Kelantan masih belum mahu memberi laluan untuk Ibrahim bercawat kotel semula dalam parti itu. Tidak banyak ahli Umno Kelantan yang memohon agar Ibrahim kembali semula ke parti itu.

Ada juga maklumat Ibrahim sedang menggerakkan Perkasa untuk menyertai pilihan raya umum akan datang. Ada usaha untuk menjinakkan Tengku Razaleigh Hamzah agar mensponsor semua calon bebas - Perkasa di Dewan Undangan Kelantan. Usaha ini katanya sedang berjalan.

Saya cukup yakin kalau Mahathir tidak memberi sokongan, Perkasa dan Gertak akan mati beragam begitu saja. Ataupun kalau takdir Umno menerima Encik Ibrahim Ali, maka Perkasa akan menjadi perkasam. Kalau ini berlaku maka maksud utama Ibrahim itu mencapai sasarannya.

Apa yang diperjuangkan Perkasa sebenarnya lebih lajak dari lajunya. Ngo yang membesar dengan dokongan kebendaan, menjual dan menjaja diri tidak akan kekal lama. Ia umpama kokokan sang salentia di musim hujan saja. Bila tiba hujan di padang riuh sang salentia akan berkokok selepas habis hujan, maka suara itu pun akan senyap sendu, hinggalah musim hujan akan datang baru terdengar pula jeritan dan pekikan mereka.

Dipercayai bila hampir tiba pilihan raya umum suara Perkasa akan jadi lebih lantang lagi mengkritik pembangkang dan linak memuja Umno.

Umno atau pembangkang tidak perlu risau kepada Perkasa. Ia tidak berapa perkasa sangat kecuali suaranya saja kuat meraung, sedangkan kesan dan bisanya tidak seberapa. Kelantangan Perkasa hari ini tak ubah seperti gerabak keretapi kosong saja, yang kuat berdaung tetapi tidak ada benda apa di dalamnya. [wm.kl.11:50 am 18/06/10]

Thursday, June 17, 2010

Menjelang Asar

Kedukaan Mahathir Kedukaan Kita Jua

KEBIMBANGAN Dr Mahathir Mohamad terhadap masa depan Melayu saya kira jujur dan bukan bermotif politik. Bekas PM itu membayangkan Melayu akan menjadi minoriti sekiranya perpecahan yang dialami kini tidak dikawal bendung.

Mahathir serius kali ini? Beliau mengulangi kebimbangan itu sekali lagi di dalam blognya selepas menyatakan demikian semasa merasmikan program Melayu Bangkit (tetapi tidak berapa bangkit) di Kuala Terengganu.

Hujah Mahathir, kedudukan (kuasa dan politk) orang Melayu terancam apabila Melayu yang kini menguasai 60 peratus penduduk negara terpaksa membahagi kepada tiga puak atau kumpulan. Puak itu ialah Umno, Pas dan PKR.

Mahathir mempertahankan hujah dan kebimbangan itu walaupun ada penganalisa mengatakan Melayu tetap akan menjadi majoriti berdasarkan kepada populasi. Apa yang dimaksudkan oleh penganalisa, Melayu akan terus kekal dengan angka 60 peratus dan ia tidak menjejaskan dominasi Melayu. Alasannya angka itu akan terus berganjak dengan kelahiran-kelahiran baru.

Ada perselisihan dalam memahami perkara ini. Menurut Mahathir disebabkan perpecahan itu, orang Melayu terpaksa membahagikan sokongannya kepada tiga entiti. Ini menyebabkan Melayu tidak lagi majoriti. Dalam perkiraan Mahathir setiap satu kumpulan hanya mendapat 20 peratus saja.

Saya bersetuju dengan Dr Mahathir dalam hal ini. Sebagai sebuah negara mengamalkan demokrasi, di mana kuasanya terletak kepada bilangan undi bukan jumlah penduduk, fenomena yang ada sekarang ini meyebabkan Melayu akan lemah. Cuba, kalau Melayu terpaksa membahagi kepada tiga, ini menyebabkan satu kumpulan pun tidak memperolehi majoriti.
Dari jumlah penduduk ia masih majoriti tetapi dari segi kuasa politik mengikut parti, sudah minoriti.

Cuma kalau kita ingin menyedapkan hati kita mungkin boleh berkata bahawa kaum lain juga berdepan akibat sama apabila kaum itu juga terpaksa membahagikan lebih dari satu puak. Tetapi kita kena perlu insaf bahawa sikap dan persefahaman kaum bukan Melayu dalam soal kepentingan nasib dan masa depan mereka begitu kental sekali. Mereka boleh bingkas menjadi seperti kiambang apabila biduk berlalu.

Soalnya apakah bangsa Melayu juga akan mengikut perangai kiambang?

Serentak dengan kebimbangan Mahathir itu semua orang Melayu harus bangkit. Sudah lama dianjurkan supaya Melayu mengurangkan politiking, bermahasabah serta mengendurkan sedikit nafsu amarah terlalu menggilai kepada kuasa. Orang Melayu juga kena fikir apakah dalam mereka berjuang mendapatkan kuasa itu jika ia dicapai ianya mutlak?

Bukan saja Mahathir tetapi banyak pihak juga merasai ini semua. Kewujudan berbagai NGO atau puak yang membangkitkan semangat Melayu, mengungkit sejarah keperitan Melayu adalah kerana kebimbangan yang sama. Tujuan itu semua untuk melihat Melayu bersatu.

Kepada saya semua itu tidak memberi apa-apa erti. Saya sudah tulis sebelum ini buatlah sejuta NGO pun tidak menjadi. Masyarakat negara ini masih meletakkan harapan tinggi kepada parti politik. Mereka sudah terbius dan dikukus dengan parti politik. Makanya parti politik jugalah mampu untuk menyatupadukan Melayu. Mereka tidak akan mempedulikan walaupun NGO menjerit kandatipun suaranya mencecah puncak gunung.

Bercakap soal ini di mana hendak kita mulakannya? Kabur dan kosong megenangkan ini. Kita hanya mendesis dalam diri saja tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Tengoklah sikap dan perangai para pemain politik mereka tidak mempedulikan langsung apakah kesan dan akibat mereka lalukan. Apa yang mereka kejar hanya 'bola' sehingga melupai syarat-syarat yang ditentukan dalam permainan itu. Mereka hanya mahu gol dan gol.

Justeru saya merasakan walaupun kebimbangan Mahathir itu ada kebenarannya, tetapi ia hanya menjadi siulan dan nyanyian sedih beliau saja. Ia tidak akan didengari oleh sesiapa. Beliau sendiri juga silap kerana dalam masa 22 tahun jadi PM beliau tidak pernah ingat akan bahaya itu sebalik terus juga ralik atas padang politik hegemoninya. Apa yang saya istilahkan 'perang salik' antara Najib dengan Anwar bukan mudah untuk ditamatkan.

Jadi hari ini kalau Mahathir bercakap, ia tidak lebih sebagai sebuah ilusi saja. Ilusi menggambarkan hati dan perasaanya sakit. Kesakitan bekas PM itu adalah juga kesakitan kita semua.

Saya tidak mahu mengungkitkan apa yang Mahathir lakukan dalam aktviti dan agenda jahat beliau memecah Melayu dalam mengukuhkan kuasa politiknya yang kosong itu. Semua orang sudah tahu. Kepada saya dosa berlakunya perpecahan Melayu ini tergenggam ditangan Dr Mahathir juga.

Namun dalam hal ini kalau kita terus menyalahkan beliau, ia bukan satu perbuatan yang praktikal sebab semua manusia tidak dapat lari dari melakukan kesalahan. Satu lagi, kalau Mahathir salah, maka kita amat berharap jangan Najib pun salah, Anwar pun salah, Haji Hadi dan Nik Aziz juga akan turut sama salah! [wm.kl.4:40 pm 17/06/10]

Laporan Lewat

Fiesta Kelantan Gagal
Mustapa Tak Pandai Pacak Hari

KALAU mengikut amalan dan kelaziman orang tua-tua di Kelantan zaman dulu kalau mereka hendak mengada sesuatu kerja atau 'bewah' (big work kata orang putih) si tuan kerja atau tuan rumah akan pergi menghadapi ahli falak atau pun tuan-tuan guru untuk memilih hari dan tarikh yang sesuai. Mereka sangat percaya memilih hari yang tepat akan membawa tuah keberkatan kepada majlis yang akan diadakan itu.

Selain itu tujuan memilih hari dan hari bulan supaya kenduri itu meriah, mendapat berkat dan akan di kunjungi orang ramai serta tidak akan dilanda mala petaka di luar dugaan dan ketentuan akal manusia. Itu amalan orang-orang dahulu yang kini sudah dilupai. Kalau tidak kena hari bulan dan pacak hari menyebabkan kenduri itu menjadi sebam, berlaku petaka dan orang tak akan datang.

Nampaknya amalan ini tidak diperlukan oleh Tok Empat Umno Kelantan, Mustapa Mohamed dalam meletakan hari dan memilih hari bulan mengada Fiesta Kelantan di perkarangan stadium Sultan Mohamad Ke IV yang berlangsung malam tadi. Gara-gara kurang berhati-hati dan membelakangankan kelaziman itu menyebabkan Fiseta yang sepatut berjalan lendik itu jadi berkucar baral.

Seperti mana dilaporkan semalam majlis itu sepatutnya di rasmikan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra. Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat bersama Exco dan pegawai kerajaan juga dijangka akan hadir. Tetapi disebabkan kerana sikap degil dan keras kepala Mustapa yang tidak mahu membenarkan Nik Aziz berucap walaupun diminta oleh Takiyuddin Hassan menyebabkan majlis itu rosak. Mengikut perjanjian dan acara awal Nik Aziz akan berucap sama.

Tetapi setelah acara ditukar dan Umno seakan mahu memonopoli majlis itu menyebabkan Nik Aziz ambil keputusan tidak mahu hadir. Serentak itu juga Tengku Faris membuat keputusan untuk tidak sama berangkat.

Semalam waktu mencatat posting di bawah saya kira Najib Razak hadir untuk melakukan perasmian majlis berkenaan. Saya tidak tahu sama sekali yang Najib Razak rupa-rupa juga tidak hadir dan terpaksa terbang pulang awal tanpa menjejak kaki ke tempat berkenaan.Jadi tepatlah kalau saya tulis dalam posting semalam dengan tajuk Kunjungan Najib Ke Kelantan Buang Masa.

Acara merasmikan Fietsa berkenaan adalah acara kemuncak dalam siri kunjungan itu.Katanya semalam Mustapa sendiri yang berdiri dalam hujan meramsikan Fiesat berkenaan. Kalau ada hanya ada 300 orang yang hadir Fiesta apa namanya itu? Biasanya Fiesta akan dihadiri ribuan orang. Gara-gara hujan dan Najib tidak jadi, krew RTM yang sudah sedia hendak memprogandakan crowd di Fiesta berkenaan kononnya rakyat Kelantan berduyun-duyun ke stadium untuk memberi sokongan kepada Najib juga jadi sasau dan kempunan.

Iya apa yang berlaku itu semuanya kuasa Allah taala belaka. Allah yang menentukan segala-galanya. Bagaimana pun kalau kita diawal lagi bermunajak kepada-Nya, yakin kepada-Nya dan bersih hati untuk membawa apa saja demi rakyat mungkin hujan tidak turun sekejam itu.Tengku Faris juga akan sudi mencemar duli berangkat dan Najib bolehlah duduk sepentas dengan Nik Aziz.

Tetapi kerana manusia merasakan dia hero, dia wira, maka peringatan dan suruhan Allah agar berdoa dan memohon kepada-Nya dengan penuh berlapang dada dialpakan begitu saja. Jadi kalau Tuhan juga lupa kepada kita semalam dengan menurunkan bala bencana, jangan salahkan sesiapa pun.Mustapa bersama ahli badan perhubungan Umno Kelantan terutamanya Fatmi Che Salleh hendaklah menanggung dan membayar atas apa-apa kerugian maruah ditanggung Umno atas musibah itu.

Dalam kaca mata saya mereka berdualah yang memainkan peranan penting dalam usaha mengeksploitasikan kunjungan Najib ke Kelantan demi untuk membantu Umno.Sudah pasti dengan musibah yang berlaku semalam ia akan menjadi buah mulut orang Kelantan bahawa bumi Cik Siti Wan Kembang itu tidak mudah untuk menerima Najib. Kejadian semalam akan dikait dan dipolitikkan bahawa Najib hilang keramat di Kelantan. [wm.kl. 2:10 pm 17/06/10]

Wednesday, June 16, 2010

Kilau, Kilat Dan Hujan Di Kota Bharu

Kunjungan Najib Ke Kelantan Buang Masa

WAKTU catatan ini diperbuat dilaporkan di Kota Bharu hujan sedang turun dengan lebatnya. Katanya hujan disertai dengan kilat. Malam ini Perdana Menteri, Najib Razak dijangka akan merasmikan Fiesta Kelantan 2010. Pada mulanya Fiesta itu akan dirasmikan oleh Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Putra. Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat pada mulanya juga dijangka hadir.

Malangnya semua tidak menjadi seperti mana dirancangkan. Perancangan Allah lebih baik dan ideal dari perancangan manusia. Semuanya sudah 'berkucar lana' jadinya. Fiesta Kelantan itu adalah anjuran bersama di antara kerajaan Kelantan menerusi PMBK dengan kerjasama Kementerian Pelancongan. Pengendalilnya Red Carpet Woldwide sebuah syarikat milik anak kroni Umno.

Kegagalan Fiesta itu berjalan dengan lancar telah cuba diambil kesempatan oleh Umno untuk memburukkan kerajaan Kelantan. Umno cuba menerangkan kepada orang ramai yang kerajaan Kelantan memulau Fiesta berkenaan. Inilah kerja Umno. Tetapi tidak semudah itu rakyat akan mempercayainya. Rakyat dan orang ramai akan mencari sebab musababnya dan mengkaji kenapa majlis itu jadi harubiru.

Saya juga hairan bila mendapat tahun pesta yang mulanya disusun dan diatur dengan baik tiba-tiba jadi 'kucar bara' apabila menjelang saat ia hendak berlangsung. Sebelum hari, semalam susun aturnya masih tidak berubah. Pemanngku Raja akan berangkat merasmikan, MB Kelantan juga akan hadir. Tetapi alih-alih mulai pagi tadi naik banner mengatakan majlis itu akan dirasmikan Perdana Menteri. Saat inilah ia mula memeningkan kepala umum. Nama Pemangku Raja tidak ada langsung hilang lenyap dalam gong gendang!

Saya percaya Tengku Faris tidak berkecil hati kalau gambarnya tidak dipampangkan di tiang-tiang eletrik. Tetapi apabila memanda menterinya (Nik Aziz) tidak diraikan sepatutnya menyeabkan baginda terasa hati dengan apa yang berlaku. Adalah tidak patut kalau baginda hadir tetapi memanda menterinya tidak berucap. Adil dan kenalah bagi baginda untuk tidak ikut berangkat.

Maka gara-gara pertukaran jadual itu atau apa yang disebut Exco Kanan, Takiyuddin Hassan bahawa Red Carpet Wordwide memungkiri janji dan syaratlah menyebabkan kerajaan Kelantan memulaukan Fiesta berkenaan. Kerajaan pulau bukan kerana bencikan Najib tetapi kerana sikap tidak jujur anak buahnya di Kelantan.

Persoalannya siapakah si permain licik di sebalik perubahan mendadak ini? Apakah ia dari pihak kerajaan negeri yang menjadi penganjur bersama. Tidak? Tidak mungkin kerajaan negeri jadi sebodoh itu untuk memboikot majlis yang dianjurnya sendiri.

Apa yang berlaku merugikan siapa? Kerja ini sudah tentu daripada pihak Umno. Ada laporan menyatakan orang yang beriya agar Nik Aziz tidak berucap ialah Mustapa Mohamed. Mustapalah orang bertanggungjawab. Tindakan Mustapa ini kurang bijak dan membuka kelemahan beliau sebagai seorang pemimpin. Harapnya selepas ini beliau akan membuat penjelasan atas apa yang berlaku.

Sepatutnya Mustapa tidak berkeras untuk halang Nik Aziz berucap. Beliau patut biarkan Nik Aziz berucap sama. Beliau tidak perlu rasa takut kepada sesuatu yang 'berbagar-bagar' dalam kepalanya. Katanya Mustapa takut untuk beri Nik Aziz bercakap, bimbang Nik Aziz akan menghentam Najib seperti Nik Aziz hentam Abdullah Baawi semasa pelancaran Koridor Raya Pantai Timur (Ecer) tidak lama dulu.

Tetapi apa boleh buat kerana kebodohan dan rasa takut yang melulu maka terlepaslah peluang keemasan itu
Pendek sangat akal Mustapa kalau dia berfikir begitu. Memang ada 'kuliha' apa yang dibimbanginya. Tetapi bukankah Mustapa boleh minta salinan ucapan Nik Aziz, check dan periksa dulu. Kalau ada mana-man ayat atau pantun da syair menyindir Najib boleh diminta Nik Aziz potong atau tidak dibacakan. Rasanya Nik Aziz juga manusia yang tahu adat dan budi bahasa. Saya tidak merasa Nik Aziz akan mencerca Najib di hadapan raja.

Nampaknya Mustapa tidak peka kepada isyarat yang Nik Aziz berikan dalam muktamar Pas minggu lalu. Di situ Nik Aziz sudah marah kepada perwakilan yang mempersenda dan memanggil dengan panggil jelek kepada Najib. Apakah erti dan makna marah Nik Aziz itu. Sebab itu sekali sekala Mustapa kena baca juga akhbar Harakah untuk mengetahui apa suara pemimpin Pas dan jangan bertakhlid buta kepada RTM dan Utusan saja.

Mustapa jelas tidak pandai mengambil kesempatan untuk mempertemukan dua tokoh atas satu pentas. Sepatutnya beliau bijak laksana. Beliau tidak melepas peluang itu untuk merapatkan silaturahim antara dua pemimpin besar. Tetapi apa boleh buat kerana kebodohan dan rasa takut yang melulu maka terlepaslah peluang keemasan itu. Bayangkan betapa hebatnya kalau malam ini Pemangku Raja Kelantan bersemayam di atas sebuah pentas yang mana baginda diapit oleh Perdana Menteri dan Menteri Besar. Hebat!

Sayangnya minda Mustapa 'tumpul gelebek' untuk mencipta sejarah itu buat dirinya dan rakyat Kelantan. Rasa takut tidak bertempat menyebakan peluang itu sia-sia saja. Pada saya kegagalan mempertemukan atau meletakkan Nik Aziz bersama Najib satu kerugian besar kepada Umno Kelantan khasnya dan rakyat Kelantan amnya.

Inilah jadinya kalau sesuatu organisasai itu dipimpin oleh orang yan cetek ilmu, terlalu penakut dan bekerja menggunakan kepalanya sendiri. Umno Kelantan tidak akan berubah bulu kalau ianya dipegang oleh orang penakut tidak bertempat seperti Mustapa Mohamed. Dalam hal ini saya nampak Annuar Musa lebih berani dan geliga dari Mustapa.

Kesimpulanya kunjungan Najib ke Kelantan yang ditunggu-tunggu hari ini hanya membuang masa saja. Bukan saja beliau tidak berkesempatan bersua dengan Nik Aziz, tetapi beliau juga mendapat malu apabila Fiesta itu dipulau oleh rakyat Kelantan. Apalah hebatnya pemimpin kalau beliau ditinggalkan terkontang kanting atas pentas dalam kilau kilat dan hujan lebat!

Mungkin dari peristiwa yang berlaku hari ini, sampai masa untuk Najib menilai semula kedudukan dan peranan Mustapa Mohamed selaku ketua Umno Kelantan. Kalau orang seperti Mustapa diharapkan untuk membaikpulihkan Umno Kelantan, ibarat kata parti itu akan kempunan lagi dalam pilihan raya akan datang.

Namapaknya kedua orang Bachok (Mustapa dan Awang Adek) bukan membawa tuah, tetapi membawa tulah kepada Umno. Kerana itu saya katanya Mustapa hanya layak jadi Tok Empat Umno. Sudahlah Mustapa bebal begitu, Awang Adek pula sudah dicap sebagai kaki judi oleh rakyat Kelantan. Aduhai...[wm.kl.11:10 pm 16/06/10]

Susupan Tenghari

Najib Jumpa Nik Aziz Malam Ini?

[kemaskini] Menteri Besar Kelantan, Exco dan pegawai kerajaan tidak akan menghadiri majlis pelancaran Fiesta Kelantan bertempat di perkarangan stadium Sultan Mohamad keIV malam ini. Menurut laporan portal berita Pas, keputusan diambil apabila pengajur Red Carpet Worldwide gagal mematahui syarat awal dengan kerajaan negeri.

Persetujuan awal Nik Aziz akan turut berucap pada majlis berkenaan bersama Najib bagaimana pun dalam susunatur acara Nik Aziz tidak diberi peluang berucap. Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra yang mulanya dijangka berangkat tidak dapat berbuat demikian kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. - MSO 4:30 pm.

HARI ini Najib Razak mengadakan lawatan rasmi sehari ke Kelantan. Acara kemuncaknya malam ini ialah menghadapi Fiesta Kelantan di perkarangan stadium Sultan Mohammad ke IV Kota Bharu. Menurut berita awal Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat juga akan hadir sama dan duduk sepentas dengan Najib.

Kalau ini berlaku bermakna perisitwa pertama kedua pemimpin itu duduk sekali selepas meletus isu royalti minyak. Kerajaan dan rakyat Kelantan marah keada Najib kerana menafikan royalti minyak untuk Kelantan.

Apakah perjumpaan tidak rasmi malam ini akan memberi ruang kepada mereka berdua bertanya khabar antara satu sama lain. Apakah Nik Aziz akan berseloroh dengan Najib untuk meminta royalti diberikan kepada Kelantan.

Sementara itu ada laporan mengatakan kumpulan tertentu akan menaikkan kain banting menyindir Najib berhubung perkara itu. Saya rasa kain banting itu tidak akan membawa apa-apa erti. Yang paling baik ialah mencari jalan mengadakan perundingan bagi tujuan itu.

Baik Najib atau Nik Aziz keduanya sangat menyintai kepada kedamaian. Atas kapasiti mereka sebagai pemimpin kedua-duanya menghabiskan masa untuk membawa kebaikan dan kesejahtraan kepada rakyat. Tidak bolehkah kalau perjumpaan ringkas ituakan merintis kepada perjumpaan lebih official. Ketegangan antara Pas dengan Umno Kelantan akan mengendur sedikit kalau Najib sedia mempertimbangkan untuk memberi royaliti minyak.

Kesediaan itu juga memungkin ura-ura untuk membawa isu minyak ke mahkamah boleh difikir semula. Mudah-mudahan perjumpaan ringkas malam ini membawa hasil dan tuah yang baik kepada kedua-dua pihak. [jln phg 12:00 t/hari 16/06/10]

Tuesday, June 15, 2010

Susupan Malam

Pilihanraya Perlu Cepat Untuk Ajar Para Pelacur Politik

SAYA rasa ramai orang bersetuju dengan kata-kata Dr Mahathir Mohamad kalau benar sokongan ke atas Najib Razak kini mencceah lebih 70 peratus elok kalau Najib bubar parlimen dan mengadakan pilihan raya. Kata Mahathir di masa beliau dulu sokongan terhadap BN hanya 62 peratus saja. Dengan sokongan itu BN berjaya menguasai 2/3 kerusi di Parlimen.

Takkan sokongan hingga 72 peratus UBN tak mampu nak raih 2/3 kerusi di parlimen?

Najib tidak payah tunggu lama untuk mencuri peluang sokongan ke atasnya kini. Kalau benar analisa dan kajian dibuat oleh Merdeka Centre itu menunjukkan sokongan ke Najib tinggi, Najib tidak payah berhitung panjang dan banyak menanyakan tukang tilek itu dan tukang tilek ini. Silap bagi Najib kalau beliau tidak ambil kesempatan atas sokongan itu.

Menurut kajian badan itu ke atas rasa puas hati kaum kepada Najib menunjukkan ia naik mendadak selepas dua pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu. Rasa puas hati orang Melayu kepada pentadbiran Najib 72%. Manakala orang Cina 52% dan India tertinggi sebanyak 80%. (Dengan seorang lagi Adun Perak menyertai Bebas /BN semalam menambahkan lagi peratus sokongan buat Najib!

Persoalannya apakah kajian Merdeka Centre itu boleh dipercayai? Ataupun ianya satu propaganda saja bertujuan untuk menyembunyikan kegementaran ke atas perubahan mood rakyat? Jika Najib membubarkan parlimen dalam masa terdekat sesuai dengan kehendak Mahathir ini menunjukkan kajian badan berkenaan boleh dipakai. Sebaliknya kalau Najib masih dingin ia pastilah satu gimik dan psywar saja dan kajian itu untuk memerangkap Najib saja.

Bagi saya secara peribadi keperluan untuk Najib mengadakan pilihan raya ialah kerana ingin melihat nasib beberapa orang wakil rakyat Pakatan Rakyat yang ghairah meninggal parti kini. Saya mahu tahu apakah mereka akan mendapat tempat ataupun tidak dalam pilihan raya akan datang. Apakah mereka akan bertanding atau diberikan laluan oleh BN?

Dakwa dakwi atas apa yang mereka buat itu kononnya bijak, kononnya profesional, kononnya mendapat sokongan pengundi akan terjawab. Saya berdoa supaya semua mereka akan bertanding semula dalam pilihan raya umum ke 13 nanti. Masa itu nanti akan menjawab apakah mereka popular atau tidak. Apakah tindakan mereka hari ini meninggalkan parti dan mencampak lambang yang memenangkan mereka sebagai tindakan bermaruah atau sebaliknya.

Masa itu nanti mereka akan tahu langit tinggi atau rendah.

Tidak mengapa kalau dalam pilihan raya itu tidak memberi peluang dan opportunity kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah! Tetapi saya rasa ramai mahu tengok bagaimana nasib mereka yang melompat parti itu. Rasanya kemuliaan baik Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri hari ini tercemar oleh perbuatan mereka. Mereka ini adalah pengotor kepada kemuliaan Parlimen dan DUN.

Hari ini ada 12 oraang wakil rakyat yang dianggap pengkhinat dan pengotor demokrasi.

Dewan tidak mengharapkan akan adanya wakil rakyat yang melacurkan diri atas apa alasan dan sebab sekali pun. Umpama pelacur yang menjual tubuh di lorong-lorong gelap, ia tidak dapat dimaafkan kalau pun pemelacuran itu untuk mencari sesuap nasi sama ada untuk si anak kecil atau ibu tua terlantar di rumah usang. Perbuatan yang tercela dan jijik tetap jijik dan perlu diperangi. Halal tetap halal dan haram tetap haram! Semanji!

Apabila pilihan raya diadakan semula, dan kalau takdir mereka bertanding semula maka akan dapat diketahuilah apakah mereka masih mendapat kepercayaan atau tidak. Apakah mereka masih ada moral ataupun tidak.

Jadi untuk saya pilihan raya diperlukan diadakan segera untuk melihat untung nasib manusia-manusia ini yang pada saya telah mengotorkan demokrasi. Saya akan puas hati kalau mereka bertanding semula semata-mata untuk melihat apakah hukum karma alam ke atas mereka. [wm.kl. 8:45 pm 15/06/10]

Sembilu Perjalanan

Apa Dosa Kak Lah Di Rantau Panjang?

SUDAH acap kali terdengar di telinga saya yang ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusuf tidak disenangi oleh Ketua Pas Kawasan Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron. Saya kurang jelas apa masalahnya. Apakah kerana Zailah bertanding dikerusi Parlimen Rantau Panjang, maka Fatah kurang senang? Kalau iya begitu, kenapa Fatah tidak mencegahnya sewaktu nama Zailah dipilih untuk bertanding di Rantau Panjang dalam pilihan umum lalu?

Ada ura-ura dalam pilihan raya lalu kawan baik Fatah, (kroni Tiga Abdul) Wan Abdul Rahim Abdullah hendak diletak bertanding di Rantau Panjang. Wan Rahim katanya sudah pun turun untuk membuat persediaan bagi bertanding di situ. Kerusi Kota Bharu yang ditandingi oleh Wan Rahim (kini) sebenarnya diperuntukkan kepada PKR. Kerana itu Wan Rahim terpaksa dimudik ke Rantau Panjang.

Alih-alih tidak jadi, dan Zailah diletak bertanding di situ. Walaupun bekas Ketua Penerangan Pas Rantau Panjang, Rushdan Mustapa disebut-sebut untuk diletakkan di situ tetapi ia hanya angan-angan saja bila mana Fatah katanya awal-awal lagi sudah mencantas Rushdan secara tektikal. Cantasan itu atas alasan bekas pemimpin Umno. Ekoran itu kempunanlah Rushdan.

Fatah memang berkuasa di Rantau Panjang. Dialah raja Pas di kawasan itu sejak akhir 70-an lagi. Dengan kedudukan itu Fatah boleh lakukan apa saja. Pengisian ahli Majlis Daerah Pasir Mas di bawah bidang kuasanya. Perlantikan Penghulu di Parlimen Rantau Panjang juga dibawa bidang kuasanya. Kerana itu beliau boleh melantik dan tidak menyambung kontrak sesiapa yang menentangnya.

Tetapi apabila timbul cerita dia tidak senang dengan Zailah saya jadi bingung. Apa masalahnya. Apakah Zailah sudah membanyanginya dari segi kerajinan berjumpa rakyat dan peranannya di Parlimen yang menampakan Zailah jauh lebih menyerlah. Memang penampilan Zailah di Rantau Panjang cukup disenangi dan mendapat pujian rakyat bawahan. Zailah yang memesrakan dirinya dengan membahaskan dirinya Kak Lah bergerak tanpa kira masa dan mendekati semua orang tanpa meletakkan warna parti sebagai garisan dan halangan.

Bila sesekali balik ke Rantau Panjang cerita Zailah dipulau oleh Fatah menyendak ke dalam telinga. Dari Tok Deh hingga ke Lubuk Stol terdengar cerita itu. Dari Bukit Tuku hingga Meranti terdengar cerita itu. Cerita paling popular kenapa Zailah tidak disenangi Abe Tah (panggolan Fatah) kerana dia berkerja tanpa mempedulikan Fatah.

Itulah puncanya. Katanya Fatah tidak senang dengan gerak kerja dilakukan Zailah. Zailah melaksanakan aktivinya tanpa melalui kawasan. Zailah pakai buat sendiri saja. Betulkah dakwaan ini dan apakah aktiviti Zailah berjumpa dengan rakyat itu membahagikan beras, baju, dan menguruskan masalah rakyat perlu mendapat restu dari kawasan dulu? Atau kerja itu tidak sah kalau tidak diketahui Fatah?

Mungkin apa yang terjadi Fatah tidak mahu Zailah bergerak terlalu laju darinya. Sebenarnya itu tidak menjadi apa-apa masalah. Zailah adalah Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan. Dia ada rangkaian atau net workingnya sendiri. Kalau kawasaan enggan memberi kerjasama dia boleh buat sendiri. Dia juga ahli Parlimen dimana ada peruntukan sendiri. Inilah kelebihan Zailah. Beliau menghabiskan peruntukan Parlimen untuk rakyat dan bukan dimuat ke dalam poket kroninya.

Kisah Fatah dikatakan tidak senang dengan Zailah ini sudah menjadi buah mulut. Ia juga sudah sampai ke peringkat parah. Khabarnya program yang dianjurkan Pas kawasan tidak dibabitkan Zailah. Setengah program Zailah tidak pun diberi tahu dan terpaksa hadir dalam keadaan hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Ini sepatutnya tidak berlaku sebab beliau harus dihormati sebagai ketua Dewan Muslimat Pas. Sebarang perbuatan menghina Zailah adalah menghina kaum muslimat di Kelantan.

Perselisihan ini juga sudah menjadi rahsia umum. Semasa balik ke Rantau Panjang sempena muktamar Pas lalu saya lihat sendiri bagaimana Zailah terasing dari Pas kawasan Rantau Panjang. Ini dapat dilihat kepada banner yang dipasang di beberapa tempat mengalu-alukan perwakilan ke muktamar Pas. Dalam kain pemidang itu hanya ada gambar Adun Meranti, Nasaruddin Daud, Adun Gual Periok, Ahmad Awang bersama Fatah saja selaku Dun Bukit Tuku. Manakala gambar Zailah sebagai ahli Parlimen Rantau Panjng tidak kelihatan. Zailah terpaksa membuat bannernya sendiri untuk mengalu-alu kedatangan para perwakilan.

Sepatutnya gambar ketiga Adun ini diletakkan di bawah gambar naungan Fatah. Keadaan ini nampak sekali bahwa kawasan tidak menenyenangi Zailah. Ada usaha untuk menyenyapkan kewujudan Zailah.

Punca kenapa Zailah diketepikan tidak begitu jelas. Cuma menurut ceritanya selain Zailah kelihatan laju dan aktif, tindakan ahli Parlimen Rantau Panjang itu mencabar jawata Naib Yang Dipertua Pas Rantau Panjang tahun lalu menjadi faktornya. Katanya Fatah tidak mahu Zailah bertanding merebut jawatan Naib Yang Dipertua bersama Ahmad Awang. Ahmad adalah calon pilihannya. Fatah menghantar wakil meminta Zailah membatalkan hasratnya tetapi ditolak oleh Zailah. Itulah menimbulkan kemarahan Fatah.

Kalaulah itu puncanya, remeh sangatlah alasan Fatah untuk marahkan Zailah. Bukankah Pas mengamalkan kebebasan memilih pemimpin. Sesiapa saja boleh merebut jawatan asalkan ada pencalonan. Kenapa Fatah cuba hendak menafikan apa yang dihalalkan parti. Tindakan itu juga seolah-olah Fatah mahu menunjukkan yang beliau menguasai Pas Rantau Panjang. Merasakan Pas Rantau Panjang sebagai kepunyaan datuk neneknya.

Fatah harus sedar, zaman menumpang kasih dan menumpang tuah di bawah ketiak orang tua sudah pun berlalu. Pas kini sedang mengorak langkah ke era globalisasi. Yang menyertai Pas bukan saja orang Lemal, Repek, Bukit Tuku ataupun Mengkasar, (kampung keluarga Fatah) tetapi orang Cina dan India juga telah menyertai Pas.

Dalam zaman orang membuka 'pintu ijtihad politik' seluas-luasnya kita jangan menutupnya. Beliau juga harus sedar, dan perlu menilai kemampuan diri sendiri sebagai ketua. Fatah sudah meguasai Pas Rantau Panjang lebih 40 tahun apakah kemajuan dan perubahan baik dari segi mental berpolitik dan pembangunan fizikal di kawasan itu. Apakah jasa besar Fatah untuk rakyat Rantau Panjang?

Saya tidak nampak kecuali pemilikan tanah kerajaan untuk dibangunkan kompleks Pas yang pemegang amanahnya terdiri daripada kaum kerabat Fatah.

Kalau Fatah cemerlang dalam perkhidnmatannya sudah tentu beliau dilantik menjadi Exco atau pun Timbalan Menteri Besar. Beliau orang lama. Tetapi kenapa parti tidak berbuat begitu kerana parti tahu sejauh mana kebolehan dan wibawa Fatah sebagai wakil rakyat. Jika dibanding dengan Nasaruddin Adun Meranti, Fatah jauh lebih senior darinya. Tetapi hari ini Nasaruddin sudah menjadi Speaker dan dianugerah gelaran Datuk. Kenapa Nik Aziz melupai untuk menganjakkan kedudukan Fatah? Kemalangan ini sepatutnya diinsafi oleh Fatah.

Fatah sudah pun sayup musim. Usaha untuk mewariskan Pas kepada anak beranak juga tidak relevan lagi. Ia bukan perbuatan terpuji. Fatah atau sesiapa saja kena ingat, Pas bukan milik individu tetapi melihat semua orang yang mahu menggunakannya merealisasikan hukum Allah di atas muka bumi ini. Sesiapa yang cuba menjadikan Pas sebagai pesaka turun temurun dia seorang yang babil!

Katanya Fatah mengarahkan seseorang agar membuat laporan mengenai Zailah kepada pucuk pimpinan Pas Kelantan termasuk Pesuruhjaya, Nik Azi Aziz Nik Mat Adalah diharap Nik Aziz yang juga besan Fatah tidak akan mudah terpengaruh dengan 'kelentung' individu tertentu yang mendengar nasihat Fatah untuk memburuk Zailah itu. Ada baik juga kalau Nik Aziz hendak siasat hal Zailah itu beliau terlebih dahulu menyiasat pembidaah politik di Rantau Panjang yang dilakukan Fatah.

Dalam hal ini adalah tidak adil kalau Nik Aziz bertindak hanya mendengar aduan sebelah pihak tanpa memanggil pihak lain yang berkecuali dan melihat sendiri bagaimana Zailah dimalukan oleh Pas kawasan Rantau Panjang. [wm.kl. 3:15 pm 15/06/10]

Susupan Tengah Hari

Jenazah Hassan Shukeri Selamat Disemadikan

JENAZAH bekas Timbalan Presiden Pas, Hassan Shukeri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Taman Selasih, Gombak kira-kira jam 10:30 pagi ini. Hassan meninggal dunia semalam dalam usia 71 tahun di hospital Selayang akibat serangan jantung.

Ribuan orang mengiringi jenazah Hassaan ke tanah perkuburan selepas selesai solat jenazah kira-kita jam 9:45 pagi. Ruangan lapang berhampiran rumahnya menjadi penuh sesak dengan orang ramai yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir serta menyembahyangi jenazahnya.

Orang ramai yang hadir sejak petang semalam tidak putus-putus hingga ke pagi ini.

Solat diimani oleh Presiden Pas, Abdul Hadi Awang. Semua pemimpin tertinggi Pas kelihatan hadir. Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat walaupun tidak berapa sihat hadir sama. Beliau sampai pagi tadi di Kota Bharu Kelantan.

Nik Aziz tiba di perkarangan rumah Hassan jam 9:10 pagi. Beliau terus memasuki ke rumah Hassan untuk menatap wajah sahabatnya itu buat kali terakhir. Semasa menanti jenazah di bawah untuk disembahyangkan Nik Aziz tidak dapat menahan sebak dan menangis.

Mungkin kerana lemah dan terlalu sedih atas takdir Allah itu beliau terpaksa duduk di sebuah kerusi. Keadaan itu sungguh mengharuhkan. Ia berlalu dalam beberapa jurus. Suasana yang sudah sepi menjadi semakin sepi. Mata yang berdekatan memerhati dan turut sama merasa kedukaan dirasai Nik Aziz.

Turut sama hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrum.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Hassan dan ditempatkan di makam para Arifbilah! [wm.kl. 12:00 t/hari 15/06/10]

Jenazah dibawa dengan van untuk ke tanah perkuburan dengan diiringi ribuan orang.

Orang ramai penuh sesak yang dianggarkan lebih 3,000

Kelihatan Abdul Hadi Awang memperkatakan sesuatu kepada guru Hassan Shukeri sambil diperhatikan oleh Nasharudin Mat Isa.

Nik Aziz tidak dapat menahan sebab atas kehilangan Hassan Shukeri.

Sebatang gang yang yang panjangnya tak sampai 500 meter yang dinamakan dengan nama Haji Hassan adalah satu-satu peninggalan Hassan Shukeri.


Monday, June 14, 2010

Belasungkawa

Ustaz Hassan Shukeri Kembali Ke Rahmatullah!

[kemaskini] 5: 15 pm Jenazah Hassan Shukeri kini telah berada di rumahnya di Taman Melawar. Sedia menanti di perkarangan rumahnya untuk memberi penghormatan terakhir kawan rapat, sanak saudara terdekatnya. Beberapa pemimpin Pas, juga turut kelihatan. Antara mereka yang awal tiba ialah Kamarudin Jaafar, Khalid Samad, Dr Hayati Othman.

Turut kelihatan Hanifa Maidin, cikgu Ishak Surin, Subky Latif. Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad, Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa juga kelihatan. Bekas kawan sepejuangan Allahyarham dan jirannya, Nakhaei Ahmad juga turut kelihatan. Orang ramai dijangka terus berkunjung ke rumah Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir.

Dipercayai kunjungan orang ramai khasnya ahli dan penyokong Pas akan berterusan sehingga eosk. Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, Penasihat PKR Anwar Ibrahim serta beberapa pemimpin Umno juga dipercayai akan ikut sama menziarahi sebagai memberi penghormatan terakhir.

Hassan Shukeri seorang yang lemah lembut dan pandai menghormati kawan dan lawan sudah pasti akan dikenang. Pemergiannya satu kehilangan besar buat Pas. - MSO


BARU sekejap tadi saya menerima perkhabaran dukacita yang amat sangat, Ustaz Hassan Shukeri, 71 telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 2:00 petang ini. Menurut anak sulung Subky Latiff, Dang Fatihah yang menghubungi saya sekejap tadi Hassan meninggal di Hospital Selayang. Jenazahnya masih berada di sana.

Hassan turut menghadiri muktamar Pas ke 56 di Kota Bharu tiga hari lalu. Beliau bersama Subky Latiff pulang malam tadi. Disebabkan kesesakan jalan raya mereka sampai di Kuala Lumpur sekitar jam 10:00 malam.

Pagi tadi Hassan mengadu sakit dada dan dimasukkan ke wad ICU di hospital Selayang.

Semasa di Putik - tempat berlangsungnya muktamar saya sempat bersalaman dan bertanya khabar mengenai dirinya. Potret yang tertera ini adalah potret beliau terakhir yang saya rakam dicelah-celah orang ramai. Menjadi amalan saya setiap kali muktamar saya akan merakam seberapa banyak wajah pemimpin Pas untuk kegunaan saya.

Hasaan merupakan satu-satu tokoh Pas sezaman dengan Datuk Asri Muda yang masih aktif dan terus memberi sumbangan idea dan fizikal kepada Pas. Disebabkan ketokohannya, namanya semacam senonim dengan Pas. Sepanjang hajatnya beliau memegang berbagai jawatan penting termasuk selaku Timbalan Presiden Pas adalah jawatan tertinggi. Buat masa ini beliau adalah ahli Majlis Syura Ulama dan juga anggota Dewan Senat.

Paling menyerlah dan boleh dianggap tugas dan pengorbanan besar beliau ialah semasa memegang jawatan Setiuasaha Agung. Beliau juga dikenali dengan pakar perlembagaan Pas. Manaka pujian untuk beliau ialah Allahyarham tetap dengan Pas walaupun rakan-rakan seangkatan dengannya banyak yang mengikuti jejaki Asri Muda meninggalkan Pas. Catatan mengenainya akan menyusul sedikit masa lagi. Al Fatihah. [wm.kl. 2:20 pm 14/06/10]