Thursday, July 22, 2010

Krisis Umno

Penggantungan Umno Rantau Panjang
Serlah Kelemahan Mustapa Mohamed


MAJLIS Tertinggi (MT) Umno akhirnya mengambil tindakan menggantung Umno Bahagian Rantau Panjang ekoran pergeserannya yang tidak ada kesudahan. Kemuncak kepada perbalahan itu apabila dua mesyuarat bahagian diadakan oleh kedua pihak yang berbalah dua minggu lepas. Dengan penggantungan itu Umno bahagian Rantau Panjang kini tidak berfungsi. Ketuanya, sama ada yang sah atau tidak sah tidak dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab parti.

Bekas ketua, Mohd Zain Ismail bersama ketua Puteri, Norhayati Mamat dan bekas Bendahari Ghazali Ismail akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti. Sebelum ini Mohd Zain dan Ghazali telah digantung keahliannya atas tuduhan menaja calon bebas dalam pilihan raya umum lalu.

Ada sedikit kepelikan mengenai keputusan MT itu. Apakah ahli yang digantung boleh dirujuk (ditambah hukuman) dengan dihadap ke lembaga disiplin?

Pergeseran Umno Rantau Panjang melibatkan perbalahan dua puak. Satu puak diketuai Mohd Zain dan satu lagi diketuai Abdullah Mat Yassin. Mohd Zain adalah bekas ketua manakala Abdullah pula ketua yang diangkat oleh Badan Perhubungan Umno apabila Mohd Zain ternafi untuk mengekalkan kedudukannya bila digantung saat persidangan bahagian.

Jika ingin berlaku adil sepatutnya Abdullah juga dirujuk kepada lembaga disiplin parti bukan hanya Mohd Zain, Ghazali dan Norhayati saja kerana Abdullah dikatakan turut menyumbang kepada pergeseran menjadi lebih panas lagi.

Dalam pada itu penggantungan Umno Rantau Panjang itu memberi implikasi langsung kepada Pengerusi Umno Kelantan, Mustapa Mohamed. Penggantungan itu mneunjukkan kelemahan Mustapa sebagai ketua. Beliau gagal mencari formula untuk menyelesaikan pergeseran Umno bahagian itu yang didakwanya berlaku sejak 20 tahun lalu. Ini bermakna beliau tidak dihormati oleh Umno bahagian Rantau Panjang.

Dari awal lagi menjelaskan sikap 'klu klik' Mustapa Mohamed dalam menghadapi pergeseran Umno bahagian itu. Beliau begitu pengecut untuk mengunakan kuasanya sebagai ketua sebaliknya lebih bersikap menimbang dan mengambil hati semua pihak. Sikap itulah menyebabkan pergeseran itu tidak berkesudahan. Dalam masa lain juga Mustapa cuba mengelak dari terperangkap di antara dua kumpulan demi kepentingan politiknya.

Walhasilnya gara-gara tindakan 'pondon' itu akhirnya Umno bahagian itu terheret ke tali gantung.

Bagaimana pun, dalam masa lain Mustapa nampak berat sebelah dalam bertindak untuk menyelesaikan masalah Umno Rantau Panjang. Mustapa lebih cenderong mirip kepada Abdullah Yassin berbanding dengan Mohd Zain dan kumpulannya. Ini mungkin disebabkan Abdullah dilihat selalu berlegar-legar di Putrajaya bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri, Fatmi Che Salleh.

Katanya sebanyak enam kali ahli jawatan kuasa bahagian Umno Rantau Panjang telah berjumpa dengan Mustapa untuk memberi cadangan agar pergeseran diselesaikan. Namun perjumpaan itu gagal membawa sebarang hasil dan Mustapa tidak pun menunjukkan respon membanggakan ahli jawatan kuasa bahagian yang menemuinya. Di sinilah menyerlahkan kebebalan Mustapa sebagai ketua. Kalau dia memahami politik beliau harus bersetuju dan melayani permintaan ahli jawatan kuasa bahagian berkenaan atau pun mengemukakan apa-apa plan damai.

Apa lagi yang menimbulkan kemarahan ahli jawatan kuasa bahagian itu, bila Mustapa mengatakan isu Umno Rantau Panjang sudah selesai apabila Pegawai Penyelia Mukim (PPM) sudah boleh dilantik. Mustapa tidak sedar bahawa perlantikan itu menyenangkan satu pihak saja dan menyebabkan satu pihak lagi sakit hati. Keadaan inilah menampakkan Mustapa tidak adil dan berat sebelah dan menyebabkan ahli jawatankuasa bahagian merasa mereka dicabar lalau mengadakan mesyuarat bahagian serentak dengan mesyuarat satu pihak lagi.

Penggantung Umno bahagian Rantau Panjang dan juga tindakan menghadapkan Mohd Zain, Ghazali dan Norhayati, katanya menggembirakan puak Mohd Zain. Tindakan itu sangat dialu-alukan. Walaupun mereka dikenakan tindakan mereka gembria kerana ia akan membolehkan mereka mendedahkan apa yang berlaku sebenarnya.

Sudah tentu selepas ini mereka akan dipanggil oleh lembaga disiplin untuk mengetahui apa menyebabkan pergeserean berkenaan. Di situlah nanti mereka akan menceritakan dari A sampai Z apa yang berlaku. Pendedahan itu nanti sedikit sebanyak akan tempias kepada Mustapa Mohamed. Mereka tidak akan cuba menyembunyikan fakta yang berlaku kerana usaha secara anak beranak selama ini menemui kegagalan. Kelemahan Mustapa sebagai ketua akan didedah habis-habisan.

Ada kemungkinan ekoran pendedahan itu nanti menyebabkan kedudukan Mustapa sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan akan dinilai semula. Kalau ini berlaku ia dikira molek juga kerana selamanya Mustapa tidak layak untuk menjabat jawatan itu. Seperti mana saya katakan sebelum ini Mustapa hanya layak jadi Tok Empat Umno Bahagian Jeli sahaja bukannya memimpin Umno negeri. [wm.kl.4:00 pm 21/07/10]

Susupan Petang

Mokhtar Petah Sudah Mulai Sihat

PENULIS veteran dan sahabat saya, Mokhtar Petah yang dimasukkan ke CCU hospital Putrajaya Jumaat lalu kini sudah beransur pulih. Tekanan darahnya juga stabil begitu juga dengan denyutan jantungnya yang agak lemah sebelum ini sudah hampir pulih sepenuhnya.

Beliau dijangka akan dipindahkan wad biasa selewa-lewatnya esok.

Ketika mengunjunginya sekejap tadi bersama Salahuddin Draman (Din Draman) Mokhtar juga sudah boleh bercakap dan kelihatan sihat. Selera makan yang hilang beberapa hari lalu juga sudah pulih. Dengan dibantu isterinya, Cikgu Aishah Mokhtar menghabiskan separuh mangkuk nasi air bersama sayur dan ayam rebus.

Menurut cerita Mokhtar, beliau dimasukan ke hospital bukan masalah jantung atau penyakit lain, tetapi kerana untuk mendapat rawatan luka di bahagian kepalanya akibat terjatuh dalam bilik air di rumahnya. Ketika kejadian itu berlaku menurutnya beliau tidak menyedarinya.

"Mulanya saya merasa pening dan mata menjadi gelap. Saya berihat di kerusi kemudian merangkak ke bilik air. Ketika mana saya terjatuh dan luka di bahagian kepala," ceritanya. Ketika kejadian itu beliau bersendirian kerana isteri dan anak-anaknya di pejabat.

"Luka sudah dijahit dan mengenai denyutan jantung menurut doktor bukan kerana apa, hanya disebabkan strees saja," katanya.

Beliau yang kelihatan cerita dan sudah mula petah bercerita perihal sejarah perjuangan Melayu, mengucapkan terima kasih banyak kepada rakan yang menziarahinya termasuk wakil ahli Parlimen Pas Tumpat, Kamaruddin Jaafar. Mokhtar juga menyampai salam balik kepada rakan Fb saya dan penjenguk blog Merah Tinta yang mendoakan kesejahteraanya.

"Sampaikan salam saya kepada semua penjenguk blog enta yang mendoakan saya dan katakan saya berkirim salam dengan mereka semua, terima kasih," uajr Mokhtar nada terharu. [wm.kl. 3:15 pm 22/07/10]

Wednesday, July 21, 2010

Ledakan Maruah

Perpaduan Melayu Umno - Pas Dah Jadi Macam Tahi

SEBENARNYA rasa mual dan loyak mengenai cerita perpaduan Umno dan Pas sudah melonjak ke atas halkum saya. Jika ditahan ia sudah pasti akan menjeluak keluar. Sudah muak benar saya mendengarnya. Mungkin saya seorang yang tidak boleh berbasa-basi lama mengenai sesuatu, mudah muak dan loya. Orang lain di luar sana mungkin gembira mendengar lagu perpaduan ini terus dinyanyikan.

Bukan saya tidak setuju kalau Pas dan Umno duduk sekali, apa lagi bertanding atas satu lambang demi kekukuhan politik orang Melayu, sangat bersetuju. Kalau Umno dan Pas boleh sepakat membahagikan kerusi dalam pilihan raya akan datang lagi bagus. Tetapi apa boleh buat perkiraan dan nafsu orang politik tidak sama dengan nafsu kita. Orang politik mempunyai berbagai perhitungan diluar perkiraan kita dan sanggup melakukan apa saja aksi yang tidak terfikir oleh kita.

Kini pun tengkuk merasa loya. Tetapi apa boleh buat sebagai penulis kena tulis juga, kena ulas juga setidak-tidak ia boleh mengurangkan rasa loya. Banyak orang tidak faham mengenai tabiat penulis sebegini. Iya, kalau benci kenapa ditulis! Mungkin selepas ini saya tidaka akan manulisnya? Mungkin!

Berbagai manusia bercakap mengenai perpaduan Melayu. Biasalah keadaanya. Yang digambarkan, Umno inginkan kepada perpaduan manakala Pas menolaknya. Bermati-matian para pemimpin Pas menyatakan menolak ajakan Umno itu sampai ada yang terputus urat semereh. Iya lah... macam tolak orang menyuakan bangkai babi atau anjing ke dadah. Menjinjkkan.

Umno pula saya kira tolol amat di sini. Tahu Pas tidak mahu kenapa disuakan lagi anak anjing dan anak babi bernama perpaduan itu. Buang saja la ke laut habis cerita. Pas tidak akan merasa berdosa selagi musibah besar terhadap Melayu tidak akan berlaku. Begitu juga dengan Umno tetap akan merasakan parti itulah relevan dan penyelamat Melayu walhal keporak perandaan Melayu hari ini disebabkan Umno.

Saya sudah lontarkan pandangan sebelum ini. Angan-angan untuk menyatukan Melayu tidak akan terjadi kalau tidak diheret sama Anwar Ibrahim. Kalau tak percaya Umno boleh mencubanya. Pas akan ikut saja ke mana Anwar pergi. Pas tidak ada kekuatan sendiri. Semua orang tahu sesetengah pemimpin Pas merasakan kekuatan parti itu terletak ditangan Anwar. Sekali lagi diulang, tak percaya cubalah.

Tetapi Umno tidak akan berbuat begitu. Baru sekejap tadi Najib Razak menolak siniskal orang ramai mengatakan orang Melayu sudah meluat kepada Umno. Maaflah saya tidak selera untuk mengulas isu perpaduan Melayu lagi. Kepada saya, ia sudah menjadi najis, malahan lebih busuk daripada itu. Bercakap mengenai perpaduan Melayu dalam konteks Umno dan Pas menghabiskan masa saja.

Saya yakin Melayu boleh berpadu bila bangsa ini ditimpa mala petaka besar, semisalnya perang dan seumpama dengannya. Cuma perpaduan pada masa itu sudah terlewat. Kata-kata yang didakwa sebagai menjadi azimat Hang Tuah; takkan Melayu hilang di dunia akan terjadi sebaliknya. Melayu akan hilang di dunia.

Alasan saya mudah saja. Bangsa Melayu tidak memiliki benua seperti China, Inggeris atau Arab. Bangsa Melayu hanya mempunyai tanah sekangkang kera, tetapi memilik nasfsu sebesar bumi Afrika. Itulah bangsa Melayu, bangsa kita. [wm.kl. 8:30 pm 21/07/10]

Tuesday, July 20, 2010

Susupan Malam

Kesian Adibah Terima Kasih Rosmah!

SEBAGAI sekaum (profesyen - penulis) saya merasa bangga dan ingin mengucap terima kasih kepada Badan Amal Dan KebajikanTenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM50,000 kepada tokoh persuratan bahasa negara, Adibah Amin (foto) yang kini menderita diserang angin ahmar sejak tiga bulan lalu.

Saya tidak pernah berjumpa dengan Adibah dan mengenalinya menerusi penulisan-penulisannya saja. Saya mula membaca novalnya berjudul "Seroja Masih di Kolam" sekitar tahun 70-an. Kalau tidak silap ingatan saya novel itu mencerita kehidupan remaja di alam kampus. Seronok dan menghiburkan.

Kenapa membolehkan saya membaca noval itu kerana membantu seorang sahabat saya yang tidak mempunyai penglihatan (buta), bernama Mat Darus Sulaiman atau nama penanya M Hayat.

Sekembali dari sekolah saya akan ke rumah Mat Darus untuk membaca novel berkenaan. Sesuatu yang mengkagumkan saya, Mat Darus tidak pernah bersekolah - disekolahkan oleh orang tuanya, al maklumlah orang kampung yang serba serbi kurang mengenai maklumat dan kesesaran melihat orang catat sebagai liabiliti yang menyusahkan dan bukan sebagai aset. Saya yakin kalau kawan saya ini diberi kesempatan beliau akan muncul menjadi orang buta berjaya seperti Almarhum, Prof Ismail Salleh.

M Hayat tidak pedulikan itu. Namun minatnya dalam dunia sastera dan penulis sangat tinggi dan berkobar. Dia tidak merasakan kecacatan sebagai penghalang. Ketika itu ada dua orang penulis di kampung saya, Mat Jusoh Mat Taib (M Jusof Taib) dan Ismail Mustafa (Norhisham Mustafa). Kedua mererka terkenal sebagai penulis skrip radio. Malahan skrip mereka disiarkan saling seli dengan skrip Adibah Amin.

Mengenai hasil kegigihan M Hayat tadi beliau akhirnya muncul menjadi penulis skrip drama radio yang tidak asing di Pantai Timur dan turut sama disiarkan oleh Rangkaian Nasional.

Apa yang saya nak cerita di sini ialah mengenai bantuan pihak tertentu kepada kaum penulis. Adibah yang gah, tokoh bahasa, penulis novel, cerpen, sajak dan drama radio, wartawan yang unggul sebagai seorang tokoh tidak sepatutnya mengalami kesusahan kewangan sehingga terpaksa dibantu. Tetapi itulah hakikat dunia penulisan di negara ini. Rata-rata relatif daif dan sangsara.

Musykil di kepala saya, apakah penulis di negara ini tidak boleh hidup dan di akhir kegemilangannya terpaksa menumpang kasih dan belah kasihan pihak lain? Sudah sampai masanya kalau pihak kerajaan memikirkan bagaimana untuk membantu penulis meneruskan kehidupan. Begitu juga persatuan penulis harus memikirkan masa depan - hari tua kaum mereka.

Saya tidak pernah dengan Gapena - Gabungan Penulis Nasional yang kini diketuai oleh Ismail Hussein sudah mencecah separuh abad, turut sama memainkan peranan membantu para penulis yang sangsara dan daif? Kalau Gapena belum berbuat demikian elok memulakan sekarang. Gapena boleh menggunakan kuasa dan kedudukan Ketua Satunya yang mesra kerajaan itu bagi mencari dana untuk tabung bantuan kepada kaum penulis yang sangsara.

Adibah Amin bernasib baik sebab dia penulis dan tokoh terkenal. Dia istimewa. Keperempuannya menimbulkan keinsafan Bakti. Kesangsaraanya telah digunakan oleh Bakti untuk menonjolkan keprihatinan isteri perdana menteri di mana kesan itu akan memberi keuntungan kepada Najib Razak. Tidak mengapa, yang penting ada orang lain mendapat laba dari percaturan itu.

Berbeza dengan seorang penulis, aruah Abdul Halim Mahmood. Rona-rona kehidupannya di hujung usia sungguh menyedihkan. Beliau menghadapi kesempitan untuk hidup bagi mengubati penyakit strok yang dihadapinya. Merata beliau mencari duit dan ada masanya menangih dengan kawan-kawan. Saya sendiri sempat membantunya membawa berubat di Melaka. Paling menyedihkan beliau terpaksa menjual maruahnya menerusi sebuah karya demi untuk hidup.

Kes Halim adalah kes terpencil yang menjadi simbol kepada dunia penulis negara ini. Banyak kes-kes melibatkan kesangsaraan penulis kerana ketiadaan wang dan mana-mana badan yang turun membantu. Adalah diharap, Bakti tidak akan memberi bantuan secara bertompok dan ikut sama menghulurkan bakti mereka kepada mana-mana penulis yang sangsara. Biarlah.... apa orang politik hendak tunding kepada Bakti yang penting penulis akan mendapat sedikit nikmat dari sejuta nikmat yang melimpah dalam Bakti.

Terima kasih Rosmah semoga keprihatinan dan eksploitasi keadaan sebegitu demi kepentingan politik suaminya juga akan turut diambil oleh pihak pembangkang. Parti politik seharus berlumba-lumba untuk membantu rakyat dan bukannya berlumba-lumba untuk mempergunakan dan memperalatkan rakyat demi kepentingan mereka. [wm.kl. 8:00 pm 21/07/10]

Laporan Dari Lebnon

Persidangan Gerakan Islam Dunia
Persidangan Hizbut Tahrir Dikawal Ketat

SEPERTI mana yang telah saya notiskan, blog saya tidak diupdatekan beberapa hari lalu. Malam Sabtu, 15 Julai lalu saya berangkat menuju ke Lebnon, Bairut. Saya telah memberi isyarat dalam Fb saya takut peminat blog ini tertunggu-tunggu ke mana saya pergi.

Mereka yang mengikuti perkembangan Fb saya, tahu ke mana saya. Entahlah, saya rasa bersalah kalau meninggalkan blog atau Fb tanpa apa-apa posting terbaru.

Bagaimana pun walaupun sudah dinotiskan, masih ada juga rakan tertanya-tanya ke mana saya menghilang diri. Mereka ini ialah yang masih belum cekap atau belum ada akaun Fb atau yang belum menjadi ahli Fb saya. Kebetulan pula saya tidak membuat apa-apa posting selama berada di luar negara, keadaan ini benar-benar menjadikan penjenguk blog ini tertanya-tanya. Banyak SMS dan email yang saya terima bertanyakan hal saya.

Benar Bairut negara moden dan ada kemudahan IT, tetapi 'sistem Arab' dan budaya mereka tahulah sendiri, sukar untuk kita melayaninya. Bagi mereka yang pernah berurusan dengan bangsa Arab ataupun mungkin tidak merasa pelik kalau suasana ini berlaku. Kebanyakan di negara Arab banyak kerenah birokrasinya. Saya telah cuba untuk membuat beberapa posting tidak berapa menggalakkan!

Saya ke Bairut, Lebnon kerana menghadiri persidangan Media Massa Antarabangsa Hizbut Tahrir mengenai masalah krisis umah dan masalah Umat Islam di seluruh dunia yang berlangsung pada Ahad, 18 Julai. Menerusi persidangan itu gerakan Islam berkenaan cuba memberi pandangan berhubung masalah itu dan mengemukakan cadangan penyelesaian sejagat dengan pendekatannya tersendiri.

Gerakan ini sebenarnya baru buat saya dan mungkin juga setengah rakyat negara ini yang lain. Saya sendiri baru mengenalinya secara mendalam selepas menerima jemputan berkenaan. Jemputan itu membolehkan saya membuat sedikit kajian latar belakannya serta matlamat dan peranannya terhadap perkembangan dunia Islam hari ini.

Hizbut Tahrir merupa sebuah gerakan Islam, parti politik yang liberal dan cuba mengembali sistem pemerintahan Islam secara khalifah. Secara mudahnya parti ini tidak menerima konsep demokrasi pilihan raya seperti mana diamalkan di kebanyakan buah negara. Ianya diasaskan pada tahun 1953 di Al Quds (Baitul Muqadis) oleh seorang ulama bernama Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani seorang ulama Mesiryang pernah menjadi Hakim Mahkamah Syriah, Palestin.

Setengah orang meragui akan kewujudannya sebagai sebuah gerakan Islam ekstrem tetapi ternyata tuduhan itu meleset apabila ia bergerak bebas secara terbuka dan mempunyai carta organisasinya tersendiri. Sehingga kini ia telah mewujudkan cawangannya di lebih 40 buah negara.

Bersempena persidangan itu juga ia menyambut hari penubuhan Hizbut Tahrir.

Sebenarnya bukan saya seorang yang diundang oleh wakil Hizbut Tharir Malaysia, tetapi beberapa media dan juga beberapa individu politik termasuk pembangkang dan kerajaan. Khabarnya bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad juga turut sama diundang tetapi malangnya tidak dapat hadir. Begitu juga dengan individu politik lain dan media massa mainstrain ikut sama dijemput tetapi tidak ikut sama. Jadi yang ke sana hanya saya bersama dua wakil dari Bernama TV; seorang wartawan dan seorang jurugambar.

Menghadiri persidangan sebuah gerakan Islam sedunia di sebuah negara yang bersempadanan dengan Israel sesuatu yang agak menarik dan memberi pengalaman baru khasnya buat saya. Apa lagi persidangan itu dihadiri oleh lebih 40 buah negara yang mempunyai cawanagn Hizbut Tahrir. Antaranya, Mesir, Libya, Sudan, Algeria, Turki, United Kingdom, Perancis, Jerman, Austria, Belanda, Lebnon, Syaria, Palestin, Jordan, Amerika Syarikat, Russia, Uzbekistan, Tajikistan, Kurgyzstan, Pakistan, Indonesia, Malaysia, Australia dan lain-lain.

Betapa tidak sepanjang persidangan itu berlangsung hotel tempat berlangsungnya persidangan itu dikawal rapi oleh pasukan tentera dan polis yang lengkap bersejanta.

Setiap orang yang akan memasuki ke hotel berkenaan diperiksa rapi dan harus melalui pintu pengibas khusus.

Melihat keadaan itu sudah menggerunkan. Namun pemandangan seumpama itu ianya perkara biasa saja di negara berkenaan dan mana-mana negara bergolak atau dalam situasi perang. Menurut jurucakapa Hisbut Tahrir, Lebnon, mulanya kerajaan Lebnon cuba menghalang persidangan berkenaan. Tiga hari sebelum berlangusung telah timbul sedikit masalah. Kerajaan Lebnon cuba untuk membatalkannya.

Tetapi hasil penerangan dan penjelasan akan tujuan persidangan itu serta dengan adanya campur tangan Menteri Dalam Negeri, Lebnon akhirnya ia dibenarkan.

Dalam pada itu tegahan terus dikenakan ke atas beberapa orang perwakilan dari beberapa buah negara. Antaranya Palestin, Indonesia, Afghanistan, Pakistan dan lain-lain. Walaupun wakil dari beberapa buah negara tidak dapat hadir namun dengan adanya kemudahan IT mereka mengirimkan mesej menerusi internet secara live.

Pada persidangan itu empat buah kertaskerja utama telah dibentangkan; (1) Permasalahan Kaum Muslim di negeri-negeri Arab (Palestin, Iraq, Sudan - "Pemisahan Selatan", (2) Permasalahan Kaum Muslim Di Selatan Asia (Afghanistan, Pakistan - Khasmir), (3) Permasalahan Kaum Muslim Di Asia Tenggara (Indonesia dan Gerakan-Gerakan Pemisah) dan, (4) Permasalahan Kaum Muslim Di Barat dan Tengah Asia (Turki - Cyprus, Kaukas, Turkistan Timur). [wm.kl 5:00 pm 20/07/10].

Sebaik Bumi Dipijak

Mokhtar Petah Dimasukan Ke Wad CCU Hospital Putrajaya


PENULIS veteran sdr Mohktar Petah masukkan ke wad CCU hospital Putrajaya. Beliau dimasukan sejak Jumaat lalu (hari saya berlepas meninggalkan negara) dipercayai serangan jantung. Menurut salah seorang anaknya Aidi Mokhtar yang dihubungi sebaik saya tiba di KLIA jam 10:00 pagi tadi, ayahnya sudah sedar tetapi denyutan jantungnya masih lemah.

Menurutnya doktor masih membuat pemeriksaan lanjut untuk mengetahui masalah ayahnya itu. Sementara itu isterinya, dalam SMS kepada saya memaklumkan yang Mokhtar tidak sedarkan diri dan meminta kawan dan sesiapa juga kenalan kepada penulis berkenaan agar berdoa untuk kesejahtraan Mokhtar Petah.

InsyaAllah selepas reda kepenatan saya akan menjenguk beliau. Saya ke Lebnon selama lima dalam rangka kerja di sana. Wassalam. [wm.kl.11:40 am 20/07/10]

Thursday, July 15, 2010

Perhatian

Assamualaikum khas untuk penjenguk setia blog ini. Dimaklumkan tiada posting terbaru dalam tempoh beberapa hari ini. InsyaAllah kalau ada kemudahan dan 'kerajinan' akan posting dari kejauhan. Wassalam. - MSO.

Susupan Pagi

Isu Pasir Selangor dan Akhbar Parti
Pendekatan Lembut Yang Berkesan


KEDUA-DUA langkah yang diambil oleh kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat mengenai masalah pencurian pasir dan pemberhentian penerbitan akhbar suara ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat, Suara Keadilan, Harakah dan Roket adalah bijak dan satu penyelesiaan yang baik.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan rendah hati memohon bantuan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menangkap pencuri pasir yang berleluasa di Selangor. Dipercayai Khalid terbuka pintu puadnya untuk berbuat demikian ekoran kenyataan dan kritikan sinis Muhyiddin berhubung masalah pencurian pasir di Selangor.

Muhyiddin menyindir Khalid dan Anwar Ibrahim dengan mengatakan berleluasanya pencurian pasir di Selangor menunjukkan kelemahan kedua mereka itu dan membuktikan Kahlid dan Anwar tidak layak menjadi pemimpin. "Kalau urus pasir pun tak boleh macam mana nak urus negeri," begitulah kira-kita sinis Muhyiddin.

Tindakan Khalid itu juga dikira tepat untuk memerangkap daya kepimpinan Muhyiddin. Ia juga menguji sejauh mana keikhlasan Muhyiddin untuk menghapus penjenayah pasir. Seperti mana kata Khalid sekiranya Muhyiddin tidak menangkap pencuri pasir Timbalan Perdana Menteri itu dianggap bersubahat dengan penjenayah pasir.

Khalid juga tururt sama menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri (KDN), Hishamuddin Hussein, Ketua Polis Negara, Musa Hassan, Ketua Polis Selangor, Khalid Bakar dan juga Peguam Negara Abdul Ghani Petail yang menjelaskan masalah itu dan memohon bantuan mereka.

Langkah diambil merupakan pengembalian paku buah keras kepada Muhyiddin dan mereka yang mempersoalkan kegagalan kerajaan Selangor dalam mengatasi masalah pencurian pasir. Tindakan Khalid itu betul kerana masalah jenayah bukan saja tanggungjawab seorang individu atau kerajaan tetapi semua orang yang bermukim di Malaysia ini.

Khalid juga turut memberi ganjaran kepada orang ramai yang dapat menangkap penjenayah pasir. Jadi kepada mereka yang tidak ada kerja dan untuk menambahkan pendapatan bolehlah berpakat menangkap penjenayah pasir dan menuntut ganjaran dengan kerajaan Selangor.

Apa yang menariknya Khalid akan turut mengeluarkan nama-nama mereka yang diberi lesen mengaut pasir di zaman pemerintah Barisan Nasional. Dengan penyenaraian itu nanti dunia akan mengetahui siapakah mereka di sebaliknya. Apakah tuduhan bekas MB Selangor, Khir Toyo mengatakan pemberian lesen menerusi konsortium Kumpulan Semesta Sdn Bhd (anak syarikat kerajaan Selangor) dilakukan kepada kroni benar atau tidak. Apakah pemberian secara individu di zaman BN memerintah dulu bukan kepada kroni? Bukankan 'kalong-kalong' pasir di Selangor ada kaitan dengan Umno?

Semua pihak kelak akan dapat membuat penilaian sendiri berhubung perkara ini. Kita mengalu-alukan agar Khalid cepat mengeluarkan nama-nama berkenaan. Dengan keluarnya nama-nama itu nanti akan diketahui siapa yang menjadi penyangak sebenarnya dan mengaut keuntungan menerusi 'komiditi' itu selama ini.

Dalam pada itu Khalid menjelaskan dengan kaedah pengurusan 'komoditi' itu di Selangor pada masa ini ia telah memberi keuntungan kepada Selangor. Hasil pasir tahun 2007 sebanyak RM2.9 juga meningkat ke RM6.3 juta tahun 2008.

Jumlah itu terus meningkat sebanyak RM5.4 juta tahun 2009 dan sebanyak RM10.3 juta setakat Jun tahun ini. Dengan perangkaan itu jelas kaedah atau sistem penghasilan pasir di Selangor yang dilakukan Khalid berjaya menambahkan kewangan negeri. Hanya mereka yang jahil matemetik saja akan beranggapan sistem yang dilakukan Khalid itu rugi.

Perkara kedua yang menarik perhatian ialah keputusan Pakatan Rakyat menghenti penerbitan akhbar lidah parti. Konsensus yang diambil Pakatan semalam adalah tepat. Menurut Anwar Ibrahim Pakatan bersetuju untuk mematuhi arahan KDN agar akhabr, Suara Keadilan, Roket dan Harakah tidak diterbitkan sehingga permitan diluluskan.

Dalam pada itu Pakatan akan berjumpa dengan KDN untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung dengan syarat-syarat dan proses penyambungan permit yang sedikit mengelirukan. Cara dan langkah diambil itu adalah lebih kepada kompromi dan tidak keras seperti mana yang cuba dilakukan oleh sesetengah individu di dalam parti Pakatan yang lebih untuk menunjukkan ego dan keras kepala.

Dengan langkah terbaru itu juga menyebabkan KDN akan merasakan mereka dihormati dan sudah tentu tidak ada sebab kenapa permit penerbitan ketiga-tiga akhbar lidah parti itu tidak akan disambung sekiranya semua syarat dan peraturan sedia dipatuhi oleh pihak berkenaan. [wm.kl. 9:45 am 15/07/10]

Wednesday, July 14, 2010

Celoteh Murai 73

Salentia Disuruh Jadi Jurulatih Beruk

MURAI ada baca dalam akhbar pagi ini ada seorang wakil rakyat mengemukakan cadangan bagi mengatasi keganasan binatang liar seperti beruk daripada memakan tanam dan menganggu ketenteraman manusia, agar ianya dilatih menjadi pemain bola sepak. Aduh... hebat idea wakil rakyat ini. Mungkin orang lain tidak berfikir sepertinya. Inilah genius Melayu perkasa.

Katanya beruk ini binatang boleh dijinak dan cerdik. Mungkin dia tahu sebab di kampungnya banyak beruk yang digunakan untuk panjat pokok. Dia sendiri juga semasa kecil dulu Murai diberitahu suka here
t (bawa) beruk keliling kampung. Diletak atas handle basikal. Sebab itu di kampungnya juga dia dikenali dengan nama ******* beruk.

Kata wakil rakyat itu lagi pasukan beruk itu sekumpulan dinamakan beruk Selangor dan satu lagi beruk Kelantan. Ini yang Murai tak sedap ni.... Mulanya sudah elok cadangan itu kerana ia tidak menyentuh perasaan sesiapa. Tetapi bila di masukkan perkataan Selangor dan Kelantan, menyebabkan orang faham ke mana siniskalnya itu. Apa lagi dia juga pernah memberukkan seorang ustaz di Kelantan tidak lama dulu dengan mengatakan 'tok guru kera".

Dan Murai juga terbacalah dalam berita itu, seorang ahli parlimen lain mencadangkan wakil rakyat yang mengemukakan cadangan itu supaya ahli parlimen itu menjadi jurulatihnya. Ar... bak ini Murai tidak setuju. Murai bimbang kalau dia jadi jurulatih, beruk itu akan jadi lain nanti. Bukan saja dia setakat tahu main bola sepak, tetapi bimbang dia akan melompat situ melompat sini, panjat tiang gol... koyak bendera, hingguk itu hindik sini..... haru jadinya.

Al maklumlah perangai wakil rakyat itu begitu, suka melompat dan sinonimas dengan Salentia. Dahlah perangai semula jadi beruk suka melompat dan menghingguk, ditambah dengan budaya lompat yang dimiliki wakil rakyat berkenaan menyebabkan beruk itu jadi semakin beruk, gila melompat dan menghingguk.


Malahan lompatannya mengatasi dan mengalahkan lompatan biasa oleh si beruk di hutan. Dia bukan saja lompat untuk makan pisang, atau buah-buahan, dia boleh lompat ke Yayasan Perdana, bahkah sanggup lompat ke bulan dan terjun turun dengan kepala dulu dan tidak lupa meninggalkan tahi di cekrawala itu.

Kalau perangai ini melekat kepada beruk yang disuruh latih itu, naas jawabnya. Dan apa lagi yang menakut dan membimbangkan Murai, beruk itu bukan saja setakat melompat tinggiiii... tetapi takut juga dia akan mencium punggung orang kerana sejarah jurulatih itu diketahui bersedia mencium punggung seseorang kerana inginkan sesutau benda.

Kesimnpulannya Murai tidak setuju kalau wakil rakyat itu dijadi coach kerana bimbang beruk bukan saja tahu melompat tetapi pandai dan tergian pula nak cium punggung orang.

Murai: Suka jadi penjaga garisan.

Tuesday, July 13, 2010

Menjernihkan Siasah

Umno Perlu Juga Bersetuju Menemui PKR

Timbalan Perdana Menteri (TPM), Muhyiddin Yassin mengatakan Umno sedia untuk bertemu dengan Pas bagi menjalinkan kerjasama dalam usaha memperkukuhkan Islam dan kedudukan orang Melayu di negara ini. Katanya walaupun usaha itu sering kali menemui kegagalan ia tidak pernah mematahkan semangat Umno. Baguslah kalau begitu.

Kenyataan Muhyiddin itu pasti akan menjadi kontroversi dan modal politik bagi ahli politik yang mudah miang mulut bila diajukan perkara itu. Dan kenyataan yang sama akan dikeluarkan oleh media massa sekejap lagi yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu. Portal berita yang tidak senang dengan penyatuan Melayu akan melagakan pemimpin Melayu.

Kenyataan berbau kebencian kepada Umno akan terhembur di mana-mana secara kesat dan kasar. Pasti akan ada yang mengulas kenyataan Muhyiddin itu sebagai menggambarkan Umno sudah terdesak.

Muhyiddin akan disindar dan disinis semahunya.

Juga akan ada pemimpin Pas mengulas kenyataan itu serta mengulangi tuntutan Pas agar Umno mengubah perlembagaanya sebelum bekerjasama dengan Pas. Selamanya kenyataan sebegitu akan diprejudiskan oleh Pas. Di Kota Bharu sana akan terkeluar kenyataan yang kliese mengenai perkara itu. Paling lama Jumaat akan datang.

Tidak mengapa Pas berhak untuk berkata demikian berpandukan kepada sejarah dan kepercayaan. Tetapi apa yang saya hendak pertikaikan kenyataan Muhyiddin itu kenapakah Umno hanya bersedia untuk menemui Pas sahaja. Kenapa Umno tidak terbuka fikiran untuk menemui sama dengan PKR? Sesekali cubalah Umno menghulurkan salam persaudara dengan PKR? Dalam PKR rasanya ada orang yang akan menyambut salam Umno sebab ada yang faham erti assalamualaikum?

Saya rasa satu kejutan kalau tiba-tiba Umno menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan PKR dan berbincang dengan Anwar Ibrahim. Perjumpaan tiga buah parti Melayu ini akan membuka era baru dan membawa semangat baru kepada orang Melayu. Ia tentu merujakan banyak pihak.

Kalau Muhyiddin atau Umno ikhlas dan benar untuk menyatukan orang Melayu, Muhyiddin tidak boleh abaikan PKR. Mengajak Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak boleh meninggalkan Anwar Ibrahim. Hampir separuh dalam PKR adalah orang Melayu. Rasanya lebih mudah mengajak orang PKR bersatu berbanding dengan Pas kerana sebahagian besarnya mereka adalah darah daging Umno.

Pada saya selagi penyatuan dan kerjasama tidak membabitkan PKR harapan untuk melihat Melayu bersatu dan kerjasama sia-sia sahaja. Pas yang kini sudah berikat atas dasar politik (Pakatan) tidak akan bersetuju. Dan sekiranya Umno sedia jumpa sama dengan PKR rakan Pas dan PKR, DAP tidak perlu merasa cemas dan cemburu. Mereka berhak berjumpa atas nama bangsa Melayu. DAP juga perlu menghormati pertemuan itu kerana mereka adalah sebangsa dan seagama!

Seharusnya persepakatan politik untuk mendapatkan kuasa tidak menjadi penghalang untuk mana-mana bangsa dan kaum berjumpa sesama mereka memikir mengenai nasib dan masa depan masing-masing. Begitu juga kalau DAP hendak berjumpa dengan parti-parti lain yang sekaum dengannya Pas dan PKR tidak perlu merasa gusar.

Kalau benar kita sedia menerokai politik baru, pro dan liberal pembahruan ini perlu dikemukakan. Selagi kita saling curigai mencuriagai antara satu sama lain maka selama itulah rintisan kepada politik yang profesional tidak akan bermula di negara ini dan selamanya kita akan bercakaran seperti yang berlaku kini. [wm.kl. 2:00 pm 13/07/10]