Wednesday, July 25, 2007

Dari Kantin IPD Dang Wangi

Horrey... Petra bebaskan Malaysia!

Dalam perjalanan saya terhimbau kepada kata-kata dan janji Raja Petra sewaktu diinterviu oleh Siasah tidak lama dulu; selepas saya membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara kini saya akan membebaskan Malaysia pula. Malaysia akan bebas apabila kebebasan media terlaksana sepenuhnya.

SORE tadi - satu panggilan masuk ke dalam telefon bimbit saya. Tidak angkat, selesema yang menyerang sehari dua ini menjadi malas untuk bergerak. Sebelum tidur sekejap tadi cuba sudahkan sebuah tulisan, mengenai seseorang tapi tidak ada selera. Insya-Allah akan disambung esok atau lusa.

Panggilan itu terbiar tanpa dilayani. Sehinggalah satu lagi panggilan masuk, baru mata terbuka untuk melihat pamaggilan daripada siapa. Misscall daripada, Kamal Amir (Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz). Ah... itu pasti suruh datang ke The Mall sembang merapu dan mengecam Abdullah Ahmad Badawi lagi. Atau pun menganalisa teori Tengku Razaleigh yang nak jadi PM tetapi tidak jadi! Atau pun nak tanya fasal apa tiba-tiba saya jadi naik minyak sehari dua ini

Lepas itu skrin telefon memaparkan satu sms tidak dijawab, daripada (Pak Ya) Yahaya Ismail. “R Petra ditahan polis sedang disoal 5 pegawai di Balai Polis dekat stadium merdeka now. Sebar pada kawan-kawan..”. (3:50 pm) Mata terbeliak dan terbangun dari baringan dan jari jemari terus menekan nombor telefon Kamal.

“Ti... aku kat stadium, you kat mana? Tanya Kamal dia sudah pun berada di Balai Polis.

“Rumah...!” Fikiran terus melayang ke Balai Polis IPD Dang Wangi, tempat biasa. Balai Polis ini suda terhafal dalam kepala. Di sinilah tempat berhimpun menanti pembebasan tahanan penunjuk perasaan sekitar tahun 1998 dulu.

Melarikan diri

Mana-mana penunjuk perasaan yang berani ataupun bodoh kerana tidak sempat melarikan diri daripada kejaran FRU akan diangkut dan disimpan di lokap Balai Polis ini. Masih terbayang di ruangan mata kelibat bekas-bekas demonstran yang kena tahan, terkulat-kulat macam ayam diragakan untuk dijual di pasar. Masing-masing menanti sesiapa yang hendak menjadi penjamin ataupun letakkan wang RM2,000 sebagai jaminan sementara menunggu hari disebut kes di mahkamah.

Dalam hujan rintik-rintik memandu kereta bersendirian ke stadium, malas untuk mengajak atau memaklumkan kepada kawan-kawan lain. Di pertengahan jalan masuk satu sms, bertanya apa khabar? Tidak tergerak untuk mengajak orang ini ke balai polis. Lagipun maksud kawan itu ialah bagaimana dengan Jamnapari. Selalunya balai polis jadi tempat yang menakutkan dan ramai yang enggan ke sana.

Urusan di balai polis lambat, leceh dan melelahkan.

Sampai di balai polis Dang Wangi kelihatan sekelompok orang, wartawan berhimpun di kantin. Atas meja penuh dengan lambakan cawan dan gelas menggambarkan sudah lama mereka berwakaf di situ. Wajah Kamal dan Marina Lee Abdullah (isteri Petra) terus dicari. Itu dia...

Setelah bertanya khabar dan bersalaman, episod seterusnya menunggu dan mengira-ngira apa yang berlaku. Muka-muka yang ada hanya beberapa orang bloger sahaja. “Mana lagi..?” Mereka dah pulang dah, dan ada yang on the way..” Balas Kamal memberi penjelasan dan semangat. Kamal seorang ahli politik dan perniagaan yang penuh diplomasi dan pandai mengambil hati sesiapa. Cuma sayang sedikit kawan yang satu ini macam chipsmore.

Dalam keadaan begitu kena faham. Sesiapa pun kurang berminat untuk datang kecuali bagi mereka yang sudah biasa, macam Tian Chua. Mereka yang sanggup datang adalah mereka yang benar-benar merasai dan kenal erti persahabatan. Dalam keadaan seperti itu Petra dan isterinya harus diberi dokongan dan semangat. Ada juga yang sibuk hanya mengirim sms bertanya khabar dari jauh?

Tadi Rahman Othman datang, dah balik...” (Rahman Othman bekas Bendahari Agung Keadilan yang baru menyertai Pas) cerita Kamal tanpa ditanya sesiapa yang hadir lagi. Wajah-wajah yang diada dihitung satu persatu; Rosli Ismail (Agendadaily), Tian Chua, Tajuddin, Nurina Samad dan G.. isteri Jak Teoritis, G mungkin mewakli suaminya serta yang lain.

“Dia (Jak) dah datang tadi..,” sekali lagi Kamal menjelaskan tanpa dipinta.

“Zaharin Sang Kelembai dalam perjalanan...” sambung Kamal lagi.

Jadi cemas

Jam sudah 6.15 petang tidak ada apa-apa desas desus mengenai Petra. Tian Chua sekejap tadi meninjau ke bilik soal siasat, katanya Petra tidak kelihatan. Beberapa telinga yang mendengarnya menjadi cemas, apakah Petra sudah dihantar ke lokap?

“Kalau lama biasnaya akan ditahan,?" saya melontarkan sesuatu andaian yang tidak diminat oleh Marina dan rakan-rakan blog semua.

Kamal mengangguk dan seorang lagi yang duduk berhampiran juga menaggguk. Kami terus menunggu. Bilangan wartawan dan blogger makin bertambah. Wartawan dari Malaysia-kini dan wartawan akhbar China paling ramai. Tidak nampak wartawan dari Utusan Malaysia atau Berita Harian.

Selalu berita-berita membabitkan polis begitu surat khabar Cina memang minat dan terkedepan. Tengok masa Annuar dulu, mereka mendahului akhbar lain. Ada kalanya akhbar berkenaan dicetak awal dan ada yang mengadakan dua edisi petang dan edisi malam.

Cara mereka berkerja juga gigih dan tekun. Semuanya muda-muda (lawa macam Altantuya) dan nampak agresif, bukan seperti wartawan Melayu lembik dan rendah diri. Wartawan Melayu yang ada hanya Harakah. “Mana Siasah?” saya bertanya wartawan Siasah. "Itu...!" wartawan perempuan Harakah menunjukkan kepada saya. Hamlau...

Tiba-tiba muncul seorang pemimpin tertinggi pembangkang. Dia bukan dari DAP atau PKR tetapi parti Melayu. Dari jauh sudah saya kenali siapa tokoh ini. Sosok tubuhnya menyebabkan saya tidak mudah untuk melupainya. Memang dia agak prihatin dengan hal dan kejadian demikian. Begitu terperasan pemimpin itu muncul seorang kawan membisikan kepada saya....'itu dia datang'. Saya biasa saja. Mungkin kawan ini mahu mengusik dan menguji saya. Dia fikir saya akan menyebunyikan diri.

Tidak! Saya sudah tahu tentang kehadirannya. Sekejap tadi isteri Petra, Marina beritahu tanpa diminta yang dia itu akan datang. Orang politik katakan. Pemimpin ini masuk dan bersalaman dengan setiap yang ada, termasuk saya. Saya menyambutnya seperti biasa. Tidak terdengar jelas apakah dia bertanya saya, apa khabar ataupun tidak? Rasanya ada...

Kamal yang menjadi penghulu dalam perhimpunan kecil itu juga mahu menguji saya. Dia mahu melihat reaksi saya apabila berhadapan dengan pemimpin berkenaan. Kamal menarik kerusi dan memangil saya duduk semeja dengan pemimpin pembangkang ini dan saya duduk dan memotret gambar pemimpin itu. Seorang kawan yang hadir bersama pemimpin itu sedikit teruja dan merasakan saya tidak mempedulikannya! Dia menjauhkan diri dan melepaskan kata-kata begulung kesal kerana saya mengecam bos! Bos siapa?

Masuk Kuil Buddha

Lama dia ini menunggu dan bersembang dengan Kamal. Kamal sempat membangkitkan soal gambar pemimpin itu yang masuk ke Kuil Buddha dan meletakkan tangan didada sebagai tanda menghormati Buddha. Bagi Kamal cara tokoh itu buat tidak elok dan tidak manis. Nampaknya pemimpin itu cuba mempertahankan tindakannya dan ujarnya ia tidak salah kerana ia sekadar menghormati budaya Buddha, itu saja.

Selang beberapa minit selepas tokoh pembangkang berkemeja lengan pendek berpetak warna merah beredar, episod soal siasat Petra pun selesai. Wartawan dan rakan blog yang menanti begitu melihat wajah Petra terus berlari bersalaman dan jurugambar berebut mengambil gambar. Raja Petra mengambil masa 20 minit melayani wartawan.

“Kita ke Seri Hartamas, di Damansara makan mee di sana..,” pelawa dan ajak Kamal sambil mengiringi Petra yang sudah dijengetkan oleh Abdul Rahman Othman. Ditangan Petra terbimbit dua buah al-Quran. Beliau membawa Quran itu untuk berdebat dengan polis. Itu yang terlucut dari mulutnya. Namun menurut Petra empat orang pegawai polis yang menjalani soal siasatnnya tidak mahu berdebat.

Dengan mengekor kereta Zaharin Yassin bersama 'handbegnya' menuju ke Seri Hartamas di Damansara. Di sana sudah menunju Jak Jedawi dan beberapa yang lain. Mereka datang untuk menyambut dan mendengar cerita Petra selama lapan jam disoal siasat dan dicatat atas 40 muka kertas kajang. Sekejap sahaja, dua meja yang mampu menampung sepuloh orang tiap satu penuh.

Sambil bercerita Petra menjawab telefon. Dari ceritanya soalsiasat itu dan mimik mukanya sidikitpun tidak memberi bekas kepadanya. Malah anak Raja Bugis itu jadi semakin lebih bersemangat lagi. Tentunya web Malaysia-today.net yang kini selalu sendak dan menyebabkan beliau kena tambah enjinnya akan pasti menjadi semakin sendak dan kena tambah enjen lagi.

Laporan polis terhadap “Raja Web Malaysia” itu bukan saja menunjukkan pemimpin Umno khsusnya yang terkena 'webPetra' itu, tetapi ia memberi promosi dan menambahkan lagi bilangan pengunjung kepada web berkenaan.

Tanpa menunggu rapat mini itu selesai saya pulang untuk menulis catatan ini. Dalam perjalanan saya terhimbau kepada kata-kata dan janji Raja Petra sewaktu diinterviu oleh Siasah tidak lama dulu; selepas saya membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara kini saya akan membebaskan Malaysia pula. Malaysia akan bebas apabila kebebasan media terlaksana sepenuhnya."

Dan Petra kini sedang berjuang membebaskan Malaysia bersama beberapa rakan blogernya. Apakah para blogger sanggup menjejaki langkahnya? [wm.kl: 11:12]

No comments: