Friday, July 27, 2007

Tokoh dan Peristiwa

Tengku Razaleigh Tokoh Syarahan Za’ba 2007

MSO

TENGKU Razaleigh Hamzah diberi penghormatan oleh Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya apabila dipilih sebagai tokoh Syarahan Za’ba 2007. Beliau merupakan tokoh Syarahan Za’ba ke lima.

Sebelum ini Akademi itu telah memilih empat tokoh untuk menerima penghormatan bertaraf akademi itu.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, (1986) Profesor Kuliah Undang-Undang UIA, Tan Sri Prof Ahmad Mohamed Ibrahim, (1997) bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad, (1999) dan Bapak Tenas Affendy (2005).

Kenang jasa

Pemilihan itu adalah sebagai mengenang jasa dan bakti bekas Menteri Kewangan itu kepada nusa dan bangsa sejak lebih 30 tahun lalu khususnya dalam bidang pembangunan ekonomi.

Tokoh Syarahan Za’ba diperkenalkan oleh Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya untuk menjadi wadah melontarkan fikiran berkenaan keilmuan Melayu oleh tokoh-tokoh utama di dalam dan luar negara.

Pagi tadi (Khamis 26 Julai) bertempat di Akademi Pengajian Melayu UM, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyampaikan pidatonya yang bertemakan ‘Pembangunan Ekonomi Dan Kemelayuan’. Kira-kira 1000 hadir mendengar ucapan beliau termasuk pejuang dan pencinta bahasa, sasterawan, ahli politik, ahli perdagangan, kakitangan Universiti Malaya dan mahasiswa.

Antara tokoh dan orang kenamaan turut hadir, Naib Canselor UM Datuk Rafiah Salim, bekas Pengarah ITM Tan Sri Arshad Ayub, bekas Naib Censelor UTM Tan Sri Prof Ainuddin Wahid, Profesor Ismail Hussein, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali, Presiden Rakyat Prihatin Malaysia (Prima) Datuk Kamal Amir Kamal Hijaz, bekas Ketua Anngkatan Muda Keadilan, Mohd Ezam Mohd Noor dan lain-lain.

Antara lain dalam ucapannya Tengku Razaleigh turut menyentuh soal kedudukan Bahasa Melayu, mutu pendidikan di IPTA, masalah ekonomi Melayu dan perpaduan nasional.

Mengenai bahasa Melayu Tengku Razaleigh melahirkan rasa kesal dan bimbangnya mengenai nasibnya yang kabur dewasa ini.

Berhubung kedudukan ekonomi orang Melayu, beliau menyeru orang Melayu supaya terus berusaha membaiki kedudukan ekonomi dan jangan terlalu bergantung kepada bantuan atau subsidi.

Melayu perlu sedar
“Melayu yang mendapat sedikit kemudahan perlu sedar yang ada kepada mereka hanya hanya jaring perlindungan keselamatan agar jangan tersembam dalam perjalanan kehidupan ini,” katanya.

Justeru katanya orang Melayu perlu berusaha dan bersedia menyahut cabaran globalisasi.

Mengenai masalah ekonomi orang Melayu Tengku Razaleigh yang juga ahli Parlimen Gua Musang meminta orang bukan Melayu jangan memandang perlindungan yang sedikit dimiliki orang Melayu itu sebagai alasan untuk tidak membantu orang Melayu.

“Orang bukan Melayu perlu membantu orang Melayu agar mencapai kedudukan ekonomi setaraf dengan mereka,” uajarnya sambil menekan kalau kedudukan itu dicapai barulah keharmonian negara yang dikecapi kini akan berkekalan.

Beliau menaruh kebimbangan sekiranya orang bukan Melayu tidak menghormati kepada orang Melayu, keharmonian yang ada kini akan hancur.

Beliau juga menjelaskan, orang Melayu yang bersikap akomondatif tidak membuat tuntutan-tuntutan yang melampau walaupun mereka merasakan hak mereka berbuat demikian terbuka. [wm.kl 11:05]

No comments: