Tuesday, July 24, 2007

Isu Semasa

Siapa bakal MB Kelantan di kalangan Umno?
(Bhg 2 dan akhir)

MSO


"Kesimpulannya kini ada dua nama bakal menjadi MB Kelantan dari Umno. Pertama Awang Adek Hussein dan kedua Alwi Che Ahmat. Sekiraya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak ditukar sehingga pilihan raya umum akan datang dan ditakdirkan BN menang, pasti Alwi yang menjadi pilihan Annuar akan dilantik menjadi MB Kelantan."

SELEPAS kerajaan BN berusia kira-kira 12 tahun tumbang di Kelantan tahun 1990, parti itu telah menonjolkan sekurang-kurangnya tiga orang untuk menjadi MB Kelantan. Mereka itu dikira akan dapat menyambungkan tugas Muhamad Yaacob selaku MB Kelantan terakhir dari BN.

Antara mereka itu ialah Zainal Abidin Abdul Kadir, bekas Pengarah Pusat Islam, Ahmad Shahibuddin Mohd Noor, bekas Timbalan Pengarah Pendidikan Kelantan dan Mustafa Mohamed bekas Menteri Pembangunan Usahawan. Inilah tiga orang tokoh dari Umno yang diharap dapat berbuat sesuatu kepada Umno Kelantan. Mereka diberikan tanggungjawab untuk meneruskan cita-cita Umno bagi memerintah Kelantan sekaligus menumbangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka dijadikan umpan untuk dinilai dan dihidu oleh rakyat Kelantan. Ketokohan dan kepakaran mereka di dalam bidang masing-masing diketengahkan untuk dinilai dan diuji. Tetapi sayangnya mereka tidak mampu dan berkeupayaan untuk berhadapan dengan Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ternyata kail mereka terlalu pendek untuk menduga lautan ilmu, politik dan jihad Nik Aziz yang luas dan dalam.

Zainal Abidin Kadir walaupun seorang lepasan lulusan di Mesir ternyata beliau kerdil bila berhadapan dengan Nik Aziz. Sebanyak tiga kali beliau bertanding di DUN Kelantan, 1990, 1995 dan 1999. Walaupun beliau menang dua daripada pertandingan itu namun bahtera Umno yang diharapkan untuknya layari karam di tengah lautan.

Selepas kekalahan tahun 1999 riwayat politik Zainal Abidin pun turut berakhir.

Bersama Zainal, nama Ahmad Shahibuddin Mohd Noor juga disebut-sebut bakal mengganti MB sekiranya Umno berjaya merampas Kelantan ketika itu. Namun Shahibuddin hanya disebut saja tetapi tidak pun pernah menghampiri untuk menduduki kerusi MB Kelantan.

Apabila kedua mereka itu gagal untuk memberi cabaran kepada Nik Aziz, Umno cuba menggilap pula Mustapa Mohamed sebagai Menteri Besar. Kegagalan Tengku Razaleigh Hamzah (foto) untuk membuat come back dalam Umno memberi kesempatan kepada Mustapa Mohamed. Apabila Tengku Razaleigh melepaskan jawatan pengerusi Perhubungan Kelantan selepas pilihan raya umum 1999 ia diambil alih oleh Mustapa Mohamed.

Walaupun Mustapa sendiri tidak yakin beliau dapat memberi tentangan kepada Nik Aziz, tetapi beliau menerima jawatan itu dengan satu harapan dan ia merupakan proses naik pangkat baginya dalam Umno. Kalangan Umno juga menaruh harapan kepada Mustapa kerana semua general yang diberikan peluang sebelum ini kecundang ataupun gagal membawa apa-apa perubahan.

Tanding dua kerusi

Kesungguhan Umno bagi meletakakan Mustapa sebagai calon MB jelas apabila pada pilihan raya 2004 beliau bertanding di dua kerusi; Parlimen Jeli dan DUN Air Lanas. Umno dibawa tangan Mustapa hampir-hampir berjaya menewaskan Pas. Pada pilihan raya 2004 ternyata BN Kelantan membuat kejutan di luar jangkanya kepada Pas.

Bagaimana pun dalam saat Mustapa asyik maksyuk dengan jawatan itu tiba-tiba beliau telah dipecat dan digantikan dengan Annuar Musa. Ramai yang tidak tahu apakah sebab musababnya maka beliau digugurkan. Cuma apa yang didengari pertukaran itu ekoran kegagalan Umno memerintah Kelantan dan juga kegagalan Mustapa dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden tahun 2004.

Sebenarnya kegagalan Mustapa itu dieksploitasikan sedemikian rupa. Begitu juga kegagalan Mustapa (foto) meletakkan Umno sebagai sebuah kerajaan negeri dalam pilihan raya umum 2004 seharusnya dipikul bersama oleh semua 14 ketua bahagian dan bukannya dihumbankan bahunya saja.

Tetapi kerana ada orang yang cuba mencari kesempatan untuk mendapatkan kedudukan dan memulihkan reputasi politiknya yang semakin kelabu, maka Mustapa dijadikan kambing hitam. Mustapa terpaksa dikorbankan gara-gara permainan politik balik tabir oleh orang tertentu di Kelantan yang dengki kepadanya.

Annuar Musa yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Perhubungan Umno Kelantan (selama lebih 10 tahun) telah diberikan tanggungjawab. Perlantikan Annuar itu dilihat sesuatu yang tidak betul dan munasabah dilakukan Umno memandangkan Annuar tidak berapa bersih dan suci bulu politiknya di Kelantan. Kerana itu orang terfikir entah Abdullah terkena cenduai apa sehingga beliau sanggup mengenepikan Mustapa dan mengambil Annuar. Ada juga maklumat mengatakan isteri Annuar telah turut memainkan untuk mengembalikan status suaminya di barisan hadapan Umno Kelantan?

Kerana itu ada setengah mengatakan, ada usaha yang terancang untuk menjatuhkan Mustapa Mohamad. Dalam hal ini Annuar yang dikatakan terdesak dengan masa depan politiknya turut memainkan peranan secara halus dan penuh simbolik!

Bagi Annuar pula perlantikan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu suatu hadiah paling besar. Beliau menerimanya bagaikan orang mengantuk disorong bantal. Annuar terus bergerak menyusun dan mengemaskan jentera Umno. Konvensyen Kemajuan Kelantan (KKM) ajuran Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) dikira projek raksasa Annuar dalam menonjolkan diri sebagai bakal peneraju dan MB Kelantan.

Menerusi konvensyen ini beliau telah menggariskan beberapa agenda untuk masa depan Kelantan dan juga usaha mengukuhkan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

Terlalu laju

Sebagai seorang yang berwawasan dan berkelulusan Town Planning dan bekas menteri Annuar memang bijak dan pantas mengatur segala rancangan. Beliau dilihat terlalu laju dan serius dalam tugas dan tanggungjawabnya. Beliau bekerja 25 jam sehari! Beliau sanggup berada di dalam kawasannya di Kok Lanas dan meninggalkan rumah besarnya di Bukit Damansara Kuala Lumpur kerana mahu mempastikan kejayaan BN di Kelantan.

Di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pula beliau menjadi hero mengkritik dan mendedah segala kepincangan kerajaan Pas pimpinan Nik Aziz. Setiap kali Dewan bersidang Annuar dan rakan-rakannya seramai 21 orang akan menggegar dan ada kalanya beliau memimpin rakan-rakan meninggalkan Dewan. Annuar mampu menganggui mental dan kesihatan Nik Aziz semasa di dalam Dewan. Nik Aziz dan para Exconya akan keresahan dan kegelisahan bila setiap kali menjelang sidang DUN menanti apakah bentuk serangan atau pembongkaran dari BN.

Saking hendak menunjukkan kehebatannya, Annuar kadang kala bertindak di luar batas-batas rasional selaku ketua pembangkang dan orang lama dalam politik dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan kasar terhadap Nik Aziz. Tindakan ini menggambarkan beliau terdesak dan hilang taktik untuk berhadapan dengan Nik Aziz.

Pendeknya Annuar memang bijak dan berkerja keras untuk meletakkan dirinya setanding bahkan mampu di dalam menyusun pembangunan negeri berbanding Nik Aziz. Walaupun ada ketua bahagian yang tidak senang dengannya, namun mereka sanggup mendiamkan diri dan memberi peluang kepada Annuar melakukan sesutau kejutan untuk Kelantan.

Bagaimana pun usaha dan impian Annuar itu terhalang juga bila mana ada sesuatu yang beliau tidak dapat mengatasinya. Keadaan ini menyebabkan Annuar semacam terbantut dan tawar hati untuk terus berlagak sebagai bakal MB Kelantan. Mungkin beliau beranggapan segala usaha dan kerjanya itu sia-sia saja apabila akhirnya beliau tidak akan diterima untuk menjadi MB kalau BN menang.

Apa yang dimaksdukan itu ialah masalah hubungan beliau dengan pihak istana. Sejarah lama peristiwa ‘menabalkan’ Tengku Ibrahim Tengku Indraputra di Ketereh tahun 1993 menyebabkan hubungan Annuar dengan istana masih belum lendek sampai kini.

Titik-titik hitam

Walaupun ada usaha untuk menyelesaikan peristiwa hitam itu, namun ianya masih gagal. Pihak istana dikatakan masih belum dapat melupai segala titik-titik hitam ciptaan Annuar itu. Pihak istana Kelantan dikatakan tidak dapat memaafi apa yang dilakukan Annuar itu. Apa lagi kejadian memalu dan mengaibkan sering kali diulang-ulangi oleh Pas dan musuhnya. Bagi ahli dan penyokong Pas menyifatkan perbuatan Annuar itu sebagai satu 'penderhakaan'.

Menyedari realiti itu menyebabkan Annuar akhirnya mengaku kalah. Beliau insaf betapa pun beliau berpeluh pelai untuk memenangkan BN di Kelantan namun beliau pasti tidak akan dapat menjadi Menteri Besar. Beliau kini dikatakan sudah tidak menaruh harapan besar kepada cita-cita itu. Justeru Adun Kok Lanas itu buat masa ini sedang memuhasabahkan semula posisi politiknya di Kelantan.

Tersebar berita kononnya beliau akan beralih ke kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang. Kerusi yang menjadi idaman Annuar ialah Parlimen Ketereh yang kini diwakili oleh rakan baiknya Mohd Alwi Che Ahmat (foto).

Dalam pada itu apabila hakikat politik Umno dan Annuar mengesahkan bahawa peluang Annuar untuk jadi MB tidak dapat kerana bermasalah dengan istana, muncul nama Awang Adek Hussein. Nama Timbalan Menteri Kewangan itu disebut bakal dinobatkan sebagai MB Kelantan sekiranya BN menang.

Sehubungan itu Awang Adek disebut akan mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan daripada Annuar. Satu ketika pertukaran ini dikatakan sudah hampir berlaku. Peristiwa pertukaran ini kelak sangat menakut dan mencemaskan Annuar.

Di pihak Annuar pula sesudah menyedari dirinya sukar untuk menembusi istana Kelantan, menyebabkan beliau segera mencari jalan dan helah lain dengan menyalinkan calon MB Kelantan kepada sahabatnya, Alwi Che Ahmat. Memang patut kalau Annuar berusaha untuk meletakakan Alwi ditempat itu. Budi dan jasa Alwi dalam politik khususnya dalam memberi 'oksigen politik' kepada Annuar amatlah besar sekali dan tidak ternilai.

Kedudukan Annuar Musa sebagai Ketua Bahagian Ketereh hari ini pun dikatakan adalah atas ehsan Alwi. Mulanya jawatan itu Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi mahu serahkan kepada Alwi. Tetapi atas kesetiaan dan persahabatan lamanya dengan Annuar, Alwi tidak sanggup dan minta Abdullah Ahmad Badawi serahkan kepada Annuar.

Mungkin sekiranya tidak ada bantuan oksigen politik oleh Alwi itu Annuar kini sedang berada dalam ICU politik Umno.

Kini ada dua nama bakal menjadi MB Kelantan dari Umno. Pertama Awang Adek Hussein dan kedua Alwi Che Ahmat. Sekiraya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak ditukar sehingga pilihan raya umum akan datang dan ditakdirkan BN menang, pasti Alwi yang menjadi pilihan Annuar akan dilantik menjadi MB Kelantan.

Sebaliknya kalau Pengerusi Badan Perhubungan Umno ditukar kepada Awang Adek dalam tempoh terdekat, maka harapan Annuar untuk meletakkan sahabatnya atas kerusi MB akan kecundang. Bukan itu saja apabila Awang Adek sudah menjadi nakhoda beliau juga akan turut dilambungkan Awang Adek ke dalam laut.

Kesimpulannya perebutan kerusi MB Kelantan sebenarnya adalah antara Alwi Che Ahmat (BN) dengan Nik Amar Nik Abdullah (Pas) bukannya Annuar Musa dengan seorang lagi anak Musa. [shah alam: 5:30]

No comments: