Tuesday, September 30, 2008

Siasah di Madinah

Orang Baju Petak Merah Tersohor di Makkah

POLITIK tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan kita. Di mana-mana saja ia diperkatakan. Bagi rakyat Malaysia yang berada di luar seperti di Madinah dan Makkah tidak terkecuali mereka turut sama memperkatakan hal ehwal siasah kita. Malah mereka haus untuk mendapat maklumat yang sebenarnya.

Walaupun mereka telah mengikuti perkembangan siasah dari internet, website dan blog, namun apa yang mereka bacakan itu seakan tidak sahih. Apa lagi ada sesetengah laporan dan website dan blog tidak bersikap adil dan berat sebelah.

Mereka yang berada di luar seperti student mengharapkan laporan yang benar. Ini satu sikap yang bagus kerana menunjukkan mereka peka dan prihatin terhadap nasib dan perkembangan politik negara mereka. Walaupun mereka berada di luar negara namun tidak sesekali mengabaikan apa yang berlaku terhadap negara dan bangsa.

Misalnya di Madinah dan Makkah, pantang mereka mendengar ada tokoh politik berkunjung ke sana mereka akan buru dan cari untuk mendapat penjelasan. Mereka akan intip dan mencuri peluang untuk mendapat apa-apa penjelasan. Kebetulan pula orang politik di samping datang untuk beramal ibadat turut sama mengambil kesempatan menyebarkan faham dan ideologi politik masing-masing.

Keadaan ini tidak terkecuali berlaku kepada saya. Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh mengesan kehadiran saya. Mungkin kerana saya mengumumkan dalam blog tentang pemergian saya ke Makkah maka secara tidak langsung turut sama dinanti dan dicari.

Ringkas cerita terjumpalah saya dengan beberapa kumpulan pelajar dan juga rakyat Malaysia yang bekerja di Jeddah dan Madinah semasa lebih 10 hari di sana baru-baru ini. Dalam perjumpaan dengan satu kelompok di Madinah, jelas sekali mauduk yang berlegar di kepala mereka ialah berhubung dengan apa yang saya bangkitkan dalam tulisan-tulisan yang saya postingkan dalam blog.

Antara perkara utama ialah mengenai kisah orang baju petak-petak merah (Husam Musa). Terkejut juga saya apabila ada antara pelajar itu memanggil Husam dengan nama jolokan 'baju petak-petak merah' sebaik mula berintraksi dengan saya. Nampaknya Husam menjadi antara tokoh tersohor diperkatakan di kalangan mereka selain daripada Anwar Ibrahim dan Abdullah Ahmad Badawi.

“Macam mana bang dengan kisah orang baju petak-petak merah? Apa sebenarnya berlaku kepada dirinya sehingga abang kritik begitu sekali dalam blog?” tanya seorang pelajar. Saya kira dia jujur dan saya memberi jawaban yang jujur juga.

“Itu soal saya dengannya sebenarnya. Apa yang saya lakukan saya ingin menegurnya yang mana pada saya beliau telah melakukan kesilapan... Mungkin orang menyalahkan saya seratus peratus tetapi saya tidak kisah, kerana saya tahu niat saya. Terus terang saya sebutkan saya konsisten dengan pandangan saya bahawa orang paling layak untuk jadi MB Kelantan ialah, Husam...”

“Tetapi kenapa abang kritik dia, bukankah itu menimbulkan masalah padanya”? Tanya yang lain pula jelas nampaknya pelajar ini peminat Husam. Saya tahu pelajar ini tidak berpuas hati dan ingin mencungkil apa masalah sebenarnya menyebabkan saya tidak sehaluan dengan Husam.

“Bukan masalah kambing,...” kata saya menduga apa yang terbenam dalam kepalanya.

“Kambing hanya masalah luar saja. Yang saya teruja dengan beliau ialah mengenai beberapa pendekatan dan stail politiknya. Banyak orang melihat masalah saya dengan Husam ialah kerana kambing!

“Budaya politik beliau yang agak menyimpang dari kebiasaan politik lama (asal) Pas.... itu yang saya tidak berkenan... dan apa masalah yang berlaku antara beliau dengan kepimpinan Pas kini itulah juga antara sebab yang menjadi masalah saya dengannya. Saya rasa saudara semua tahu apa yang timbul kini!

“Tetapi saya tegaskan saya istiqamah dengan pandangan dan harapan asal saya bahawa orang paling layak jadi MB Kelantan menggantikan Tok Guru ialah Husam. Saya berharap beliau dapat memperbaiki beberapa kesilapan politiknya sebelum jawatan itu diserahkan kepadanya.”

Penjelasan saya itu tidak memuaskan beberapa antara mereka. Tetapi saya tidak ingin perpanjangkan cerita yang seharusnya sudah saya tutup itu. Namun kerana mereka nampaknya mahu mengambil kesempatan bertanyakan langsung dengan saya, jadi saya tidak dapat mengelakknya.

Di Makkah perahatian terhadap Husam lebih hebat dan jauh dari itu. Seorang pelajar bukan saja mengharapkan Husam menjadi MB Kelantan tetapi bertanyakan saya apakah dia layak mengambil alih tempat Anwar sebagai pemimpin Pakatan Rakyat kalau terjadi apa-apa kepada Anwar. Saya sedar mereka mengukur kepada kebolehan dan pendekatan politik Husam yang agak liberal dan menarik minat umum – politik orang muda.

“Saya rasa buat masa sekarang ini dia masih belum layak lagi. Beliau harus menimba banyak pengalaman. Yang penting beliau kena belajar mentadbir kerajaan dan parti dulu. Pengalaman ini belum ada pada Husam. Jadi beliau kena jadi presiden Pas atau MB... lepas itu barulah dia layak dan boleh diangkat untuk menjadi pemimpin sehebat Anwar.... Husam kini lebih merupakan pemimpin yang sedang dibina dan diuji daya ketahanan mentalnya.

“Selain itu beliau juga kena membina jaringan dengan dunia luar. Husam tidak pernah ada pengalaman memimpin apa-apa gerakan seperti Anwar yang menjadi Presiden Abim dan menganggotai pelbagai majlis, persatuan atau NGO peringkat dunia. Kalau kita nak ukur beliau dengan Anwar jaraknya mungkin sejauh Perlis dengan Sabah!” balas saya.

“Berbeza kalau dibandingkan dengan Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi walaupun nampaknya tidak secergas dan secanggih Husam dalam meluahkan idea politik orang mudanya (sekular)namun beliau mempunyai pengalaman di peringkat dunia khasnya dalam gerakan Islam.

Rangkaian yang ada kepada Abdul Hadi mungkin sama luas dengan apa yang dijangkau oleh Anwar di Timur Tengah. Cuma keluasan itu tidak dilihat oleh orang Pas sendiri kerana mereka dikaburi oleh penampilan berbagai versi oleh Anwar!

“Dari segi ilmu siasah Islamiyah pula Abdul Hadi lebih mantap berbanding dengan Husam. Pada saya bagi Abdul Hadi atau orang sejenis dengannya lebih layak memimpin Pas berbanding Husam lainlah kalau ahli Pas ingin mengubah paradigama dalam parti tersebut...”

Kepada pelajar dan beberapa kelompok saya temui di Madinah saya katakan jangan mudah percaya saya perkatakan tentang Husam sebaliknya cubalah bertanyakan dia sendiri kerana sehari sebelum saya meninggalkan Madinah khabarnya beliau juga akan bernaung sejenak di bumi penuh rahmat tu.

Esok perihal Anwar Ibrahim pula. [gn kel. 1:00 pm 30/09/08]

No comments: