Thursday, June 11, 2009

Analisa Manik Urai

Umno Dan Pas Mencari Pak Su Wil

TINGGAL kira-kira 24 hari lagi penamaan calon pilihan raya kecil Manik Urai, Kuala Krai Kelantan. Kedua parti musuh tradisi di Kelantan, Pas dan Umno sudah menyatakan hasrat masing-masing untuk menyertai pilihan raya berkenaan. UBN walaupun mengaku kalah di Penanti, tetapi menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan Pas.

UBN menyertai pilihan raya itu menggunakan alasan kekosongan itu bukan dipelan, tetapi kerana kematian. Ini bermakna mana-mana kekosongan yang dipelan tidak akan disertai oleh UBN. Atas dasar ini parti Pakatan Rakyat boleh melakukan beberapa pelan lagi untuk menukarkan wakil rakyat kerana ianya tidak akan diganggui leh UBN.

Misalnya kalau Tok Guru Nik Aziz Nik Mat nak kosongkan kerusi Chempaka untuk memberi lalauan kepada anaknya Nik Abduh menjadi wakil rakyat kerana sudah keletihan kini, tidak menjadi halangan kerana UBN tidak akan menganggunya kerana kekosongan itu adalah pelan penyalinan kerusi berkenaan.

Begitu juga kalau Husam Musa nak kosongkan kerusi Salor dan Sallahuddin Ayub nak kosongkan kerusi parlimen Kubang Kerian bagi diberi lalaun kepada Husam agar ketua Pas Kawasan Kubang Kerian itu kembali beraksi di parlimen, tidak menjadi masalah, UBN tidak menganggunya kerana kekosongan itu adalah strategi (pelan) politik. Boleh saja.

Manakala sehingga kini tidak kedengaran pula mana-mana wanita janda yang sudah putus haid atau tok lebai kampung yang tergila nak jadi calon pilihan raya menawarkan diri untuk ikut serta dalam pilihan raya berkenaan!

Pas pula pasti kena pertahankan Manik Urai. Secara aggregatenya Pas dan UBN sama gagah di Manik Urai. Mereka saling menguasi kerusi berkenaan. UBN yang sebelum ini atas nama Perikatan telah memenangi kerusi itu sebanyak lima kali termasuk atas nama BN sekali.

Tahun-tahun yang dimenangi UBN ialah, 1959 menerusi calonnya, Md Ali Abdullah, 1964 dan 1969 menerusi Yusuf Md Salleh, dan 1974 menerusi Hussein Sulaiman. UBN memenangi dua kali lagi kerusi itu pada tahun 1982 menerusi Ariffin Said dan tahun 2004 menerusi Mohamad Zulkepli Omar.

Manakala enam kali dimenangi Pas ialah pada tahun 1978 menerusi Wan Abdullah Wan Su, manalala lima kali menerusi Ismail Yaacob (Pak Su Wil) pada tahun 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008.

Jika dilihat kepada keputusan pilihan raya itu menjelaskan pengaruh Pas dengan UBN hampir sama. Pas menang enam kali UBN menang enam kali termasuk menerusi BN, 1974.

Tetapi sesuatu yang menarik untuk direnungi jika diambil kira dalam tahun 1978 di mana Pas hampir tewas di semua kerusi DUN Kelantan ekoran pergolakan politik waktu itu, di mana yang menang hanya Sering menerusi Nik Abdullah Arshad dan Manik Urai menerusi Wan Abdullah Wan Su, ini menunjukkan Manik Urai adalah kawasan kubu Pas. Dalam Pas dilambung ombak ditolak di kawasan lain namun pengundi Manik Urai masih setia memilih Pas.

Manik Urai dan Sering telah menjadi batu nisan kekalahan Pas pada tahun berkenaan.

Apabila kemenangan lima kali itu disumbangkan oleh Pak Su Wil menjelaskan pula pengaruh peribadi dan perwatakan Pak Su Wil telah menyelamatkan maruah Pas disitu. Peribadi Pak Su Wil telah membentuk kubu Pas di separuh pedalaman dan pinggir bandar itu. Ternyata keperibadian Pak Su Wil hebat walapun dia bukan tok guru yang dikeramat dan dipuja. Tidak ada tokoh yang mampu menyingkir populariti Allahyarham di situ.

Berdasarkan realiti itu, kalah menang mana-mana parti di Manik Urai bergantung kepada keperibadian calon yang bakal diletakkan. Sekiranya mana-mana parti dapat meletakkan calon yang hampir setanding dengan Pak Su Wil atau boleh membayangi Pak Su Wil parti itulah yang akan menang.

Untuk membuktikan betapa kuatnya pengaruh Pak Su Wil, apabila tahun 2004 Pas merihatkan beliau atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan, kerusi berkenaan telah berpindah tangan kepada calon UBN, Mohamad Zulkepli Omar. Sebaliknya apabila Pas memulangkan semula kepada Pak Su Wil pada tahun 2008 kerusi itu berjaya dirampas balik oleh Pas dengan majoriti lebih 1,532.

Keputusan ini juga menjelaskan calon UBN, Zulkepli Omar tidak berkemampuan untuk menanding pengaruh peribadi dan jasa-jasa baik Pak Su Wil kepada rakyat di Manik Urai. Kemenangan calon UBN pada 2004 itu juga dengan majoriti kecil, 53 undi saja.

Kesimpulannya kini, baik Pas maupun UBN mereka harus mencari seorang calon yang mirip Pak Su Wil. Walapun sekolah tidak tinggi tetapi mempunyai hubungan mesra dengan rakyat. Yang dapat duduk di kedai-kedai kopi, sembahyang berjemaah di surau dan masjid, menyelesaikan masalah rakyat tidak kira siang dan malam, bertindak menjadi penghulu, keretanya dijadikan ambulan, atau private sapu dan rajin menziarahi orang sakit dan orang mati serta pandai mengambil hati anak-anak muda. Itulah wajah wakil rakyat yang diminati di Manik Urai.

Kelulusan, profesional atau ahli pidota, kaya, bangasawan, berkereta besar berbini banyak, mungkin tidak menjadi perhatian kepada masyarakat Manik Urai. Mereka yang rata-rata merupakan pendatang memenuhi tanah rancangan, lebih memberi tumpuan kepada perpaduan dan keintiman hubungan sesama sendiri. Politik mengadu domba tidak menjadi minat mereka. Pendekatan politik secara kekeluarga tanpa mengira ideologi menjadi kesukaan mereka.

Sesiapa yang dapat menjelmakan Pak Su Wil kedua pada 6 Julai hadapan merekalah yang akan merangkul kerusi berkenaan. Sebenarnya warna biru dan hijau di Manik Urai bukan menjadi pilihan kira-kira 12,292 pengundinya tetapi siapa orang yang mengibarkan bendera itu yang dinilainya. [wm.kl. 11:30 am 11/06/09]

No comments: