Thursday, May 31, 2012

Ulasan Khas

Majlis Pertemuan Dan Dialog 2 Jun
Peluang Menyoal Dan Mendapat Penjelasan

Pada Sabtu 2 Jun  ini untuk kesekian kalinya kerajaan negeri Kelantan mengadakan majlis pertemuan dan dialog dengan anak-anak Kelantan di perantauan. Majlis kali ini akan berlangsung di Hotel Putra terletak di Jalan Tun Razak Kuala Lumpur dianjurkan Urusetia Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Kelantan DiPerantauan (Perkaran) Malaysia.

Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama semua anggota Exco akan turut sama menghadiri majlis berkenaan. Selain itu para pegawai kerajaan berkaitan juga akan ikut sama. Majlis seperti itu sudah kerap kali diadakan. Sebelum ini majlis pertemuan dengan anak-anak Kelantan di peringkat kawasan Parlimen atau pun jajahan telah diadakan.

Sehingga ini hampir semua kawasan parlimen telah pun mengadakan pertemuan seumpama itu di mana sambutannya ada yang memuaskan dan ada yang suram kurang mendapat sambutan kerana kelemahan penganjur. Kekerapan kerajaan dan pimpinan PAS mengadakan pertemuan ini menunjukkan kerajaan Kelantan mengambil berat dan cakna kepada hal ehwal rakyat Kelantan di luar.

Dengan adanya majlis ini juga hubungan kerajaan negeri Kelantan erat dan anak-anak Kelantan yang tinggal di luar tidak berjauhan dan merasakan mereka dipedulikan. Majlis yang akan berlangsung pada 2 Jun nanti dari jam 2:00 hingga 7: 00 petang adalah kesenimbungan dan boleh juga dianggap sebagai kemuncak kepada beberapa majlis seperti itu yang telah pun diadakan.

Menurut pihak penganjur antara objektif utama majlis kali ini ialah untuk menjelas dan mendapat respon dari anak-anak Kelantan di lembah Klang berhubung beberapa isu yang terus dihangatkan oleh Umno Kelantan pada masa ini seperti isu  air, lebuh raya, ladang rakyat dan juga beberapa isu fitnah lain oleh Umno ke atas kerajaan Kelantan termasuk kononnya kerajaan Kelantan telah mengadai tanah rezab Melayu.

Anak-anak Kelantan yang termakan dan percaya dengan dakyah itu akan mendapat penjelasan dan penghuraian lanjut dari pihak kerajaan Kelantan. Dalam masa sama kerajaan Kelantan mahukan input dan cadangan-cadangan bagi mengatasi masalah itu dan juga apa-apa yang dianggap sebagai masalah oleh anak-anak Kelantan. Jadi anak-anak Kelantan yang berada di lembah Klang diharap tidak menguzurkan diri untuk hadir.

Isu air akan menjadi fokus utama kerana isu inilah senjata yang cuba digunakan Umno untuk menumbangkan kerajaan Kelantan. Berkaitan isu ini bagi saya, kerajaan Kelantan sudah pun menjelaskan dengan tuntas. Rakyat Kelantan juga sudah faham baik yang bermastautin di Kelantan ataupun yang pulang ke kampung sekali sekala.

Sebenarnya air bukan menjadi masalah besar di Kelantan. Orang Kelantan sudah 'mangli' mengenai perkara ini. Yang sibuk membuat kajian dan penyelidikan ialah media Umno. Media Umno sengaja mereka-reka cerita sehinggakan cerita yang karut dan tidak masuk akal pun dikarai sama.

Masalah air tidak menjadi masalah utama kerana masalah kekurangan air atau air berkarat hanya di beberapa kawasan sahaja dan ia adalah kes-kes terpencil. Orang juga sudah faham kenapa ia berlaku di sebabkan kerancakan pembangunan di Kelantan;  perwujudan kawasan perumahan baru yang tidak seimbang dengan prasaranan penyediaan loji dan paip menyebabkan berlaku masalah ini. Perkara ini bukan sesuatu yang kekal tetapi ia diatasi sepanjang masa dan sebagaian besarnya sudah diatasi.

Masalah air sebgini bukan saja di Kelantan tetapi berlaku juga di negeri-negeri lain hatta Kuala Lumpur sendiri juga berlaku. Jadi masalah air ini bukan isu besar bagi mereka yang memahami dan mengerti soal pembangunan. Masalah air belum menjadi krsis air seperti mana pernah berlaku di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang tidak lama dulu.

Begitu juga sepuak manusia yang bersusah payah tujuk perasaan mendesak kerajaan menswastakan air kepada SPAM dan jugha membuat laporan kepada SPRM terdiri daripada golongan yang tidak faham dan jahil dengan pembangunan. Mereka umpama beruk tempang yang cuba hendak membawa keretapi. Mereka pakar dalam merukah nyiur jadi bila bercakap soal keretapi nampak sangat songsang kalaknya.

Masalah air ini juga bukan wujud 22 tahun ke belakangan ini. Ia wujud sejak tahun 40-an lagi. Orang Kelantan sudah biasa mandi di telaga, ceduk air dengan timba upih dan mandi air selut di musim kemarau. Boleh dikatakan pegawai tinggi asal Kelantan semua merasai kesulitan itu, dan kesulitan itu ialah menjadi cabaran kepada mereka untuk struggle dalam hidup sehingga berjaya.  Jadi kalau ada golongan yang mempersoalkan itu ia tidak menjadi masalah.

Begitu juga dengan tindakan menganaktirikan dilakukan kerajaan Federal ke atas Kelantan termasuk dalam isu air. Gara-gara ada pemimpin asal Kelantan sendiri mensebotaj peruntukan atau pinjaman itulah maka berlaku masalah dalam hal ini. Jadi kerana semua sudah faham mengenai permasalahan ini, air bukan isu utama dan rakyat Kelantan tidak akan menukar undi mereka gara-gara air ini. Kerajaan Kelantan juga jangan sampai menjadi iseng memikirkan masalah air yang sengaja dibesarkan UBN ini.

Begitu juga dengan isu-isu lain seperti masalah kesesakan jalan raya di Kelantan terutamanya di musim perayaan. Perkara ini juga bukan menjadi isu besar sehinggakan kalau tidak diatasi menyebabkan rakyat Kelantan akan jadi mereng.Permintaan untuk mendapat lebuh raya adalah hakikat bahawa sudah perlu lebuh raya dibina di Kelantan oleh kerajaan Federal.

Dan masalah itu akan selesai sedikit masa lagi dengan pembinaan lebuh raya rakyat bernilai RM1.8 billion sepanjang 70 km dari Kota Bharu ke Kuala Krai. Pembinaan yang ditanggung kos oleh kerajaan negeri ini membanggakan anak-anak Kelantan seluruhnya. Idea dan keberanian membina lebuh raya rakyat ini sepatut dipuji semua pihak dan ia menunjukkan iltizam kerajaan Pas Kelantan kepada rakyat.

Mengenai isu kesesakan ini juga bukan isu utama di Kelantan. Jadi kerajaan atau Pas Kelantan tidak perlu melayani segala isu ini lebih daripada sepatutnya. Isu-isu ini sengaja dibangkitkan oleh media massa Umno untuk menarik perhatian rakyat Kelantan kerana mereka sudah kekeringan modal politik.

Dari luar Kelantan orang melihat isu ini mencengkam Pas tetapi bagi mereka yang alami sendiri dan tahu tektik dan strategi jahat media Umno hanya akan tersenyum. Sebenarnya orang Kelantan telah selesa dengan apa yang mereka miliki sekarang ini. Dengan berpegang kepada sifat qana'ah mereka sudah merasai cukup dan Kelantan dari segi pembangunan baik insan dan meterial sudah setanding dengan negeri lain bahkan dalam sudut-sudut tertentu Kelantan jauh ke depan.

Ladang rakyat yang diwujudkan untuk membantu rakyat miskin juga dijadikan isu. Kononnya kerajaan Kelantan telah mengambil tanah rakyat untuk mewujudkan projek ini. Segala itu hanya tuduhan dan fitnah semata-mata dan ilusi berpanjangan Umno. Bila diminta buktikan, merekea gagal menunjukkannya. Isu-isu ini juga sudah difahami rakyat. Apa yang berlaku sebenarnya Umno menimbulkan isu ini kerana mereka cemburu dengan pembangunan dan kepedulian kerajaan kepada rakyat.

Apapun anak-anak Kelantan yang kurang jelas, keliru atau ada pandangan lain untuk membantu pentadbiran Kelantan diharap hadir beramai-ramai pada 2 Jun ini. Khabarnya dialog kali ini terbuka, telus dan bebas. Ambil ruang dan manfaat ini untuk menimbulkan apa juga kebimbangan termasuk membelasah kerajaan dengan fakta dan hujah yang konkrit.  Lebih baik lagi kalau anak-anak Kelantan yang berideologi Umno hadir sama untuk mengemukakan hujah dan juga mendapat penjelasan. Paling afdal datang untuk memberi buah fikir bagi memaknakan lagi kerajaan Kelantan.

Marilah kita berpolitik secara profesional, secara anak beranak kerana apa yang kerajaan laksanakan adalah untuk kebaikan bersama. Sebagai sebuah negeri yang masyarakat dan politiknya unik wajarlah kalau kita orang Kelantan menjadi model kepada masyarakat dan kelompok negeri lain. [wm.kl.1:36 pm 31/05/12]

No comments: