Wednesday, June 27, 2012

Menanti Natijah Tahrir Square Di Dataran Merdeka

Ulasan Semasa

Pengesahan secara rasmi Dr Mohamed Morsi,61 sebagai presiden baru Mesir beberapa hari lepas disambut dengan linangan air mata kesyukuran dan laungan Allahuakbar oleh umat Islam bukan saja 26 jaziah Mesir tetapi di seluruh dunia. Mereka yang berjiwa Islam akan emosi dengan kemenangan itu.

Pergumuman itu yang hakikatnya kemenangan Ikhwan Muslimin dianggap sebagai satu kejayaan besar umat di seluruh dunia yang mencintai tertegaknya hukum Allah dan syariah Muhammad di atas muka bumi ini. Ini kerana Ihwan Muslimin dianggap sebagai siasah politik Islam yang bukan saja diterima pakai di Mesir tetapi diseluruh dunia. Jauh dari itu diharap perubahan atau kejayaan Islam di Mesir akan menjadi penyuntik semangat gerakan Islam di tempat lain termasuk Malaysia juga.

Dr Mohamed Morsi
Apa lagi di Nusantara ini, Malaysia dan Indonesia, semangat jihad Ikhwan Muslimin sudah lama terhimbau ke mari, di bawa oleh pemuka-pemuka Islam Melayu yang menuntut di Timur Tengah tahun-tahun 30an hingga 50an. Keberanian orang Melayu melawan kolonialisme sedikit sebanyak dipandu oleh semangat Ikhwan Muslimin. Justeru kemenangan di Mesir itu juga dirai atau dirasakan kemenangan bersama harakah Islamiyah di Malaysia terutamanya mereka yang intim dan akrab dengan Ikhwan Muslimin.

Dari sisi lain kemenangan Ikhwan Muslimin dan pemilihan Dr Mohamed Morsi itu menjadi ubat kedukaan dan kekecewaan umat Islam di sebelah sini yang masih belum menggenggam kemenangan sebenar? Umno walaupun ianya ditunggaki Melayu namun kerana perjuangannya tidak berasaskan kepada Quran dan Hadith secara holistik, tepatnya sekular, sekular maknanya jahiliah, tidak dianggap sebagai gerakan dan siasah Islam.

Walaupun ada cendekiawan dan ulamak cuba mempertahankan Umno sebagai perjuangan Islam dan UBN kerajaan Islam namun penemuan dan bukti-bukti kemungkaran, rasuah, penyelewengan, politik fitnah dan sebagainya yang dipraktik oleh UBN menafikan Malaysia sebagai sebuah kerajaan Islam.

Sejajar itu maka harapan yang membunga akan berlaku perubahan di Malaysia sudah berputih dengan kejayaan induk mereka itu. Timbul harapan tinggi menggunung di dalam dada para mujahidin di sini yang gerakan Islam di Malaysia terutamanya badan siasah seperti Pas, Ngo seperti Abim, Jim, dan lain-lain mengimpikan kemenangan itu dan ia akan juga akan tergapai.

Teori domino akan berlaku, yang dimulakan di Mesir itu. Atau kejayaan muqadimmahnya lebih awal dari itu ia bermula di Tunisia apabila diktator Zainal Abidin Ali dijatuhkan, ia merebak ke Mesir menumbangkan Hosni Mubarak kemudian ke Libya meranapkan kerajaan 'kuffar' moden Muhammar Ghadafi. Kejayana awal Ikhwan Muslimin ialah apabila berjaya menumbangkan Hosni Mubarak menerusi tunjuk perasaan besar-besar selama 18 hari di Tahrir Square. Kejatuhan Hosni memberi signifiken besar kerana Ikhwan Muslimin itu sendiri ditubuhkan di Mesir, 1928 M.

Himpunan di Tahrir Square itulah terilhamnya Berish 3 di Kuala Lumpur? Ia menggerakkan semangat anak-anak muda untuk berhimpun dan membuat penentangan secara agresif dan terbuka. Pemerhati dan pemimpin politik kita juga percaya penyakit di Mesir itu akan berlaku di sini. Bukan saja pemimpin pembangkang melaungkan serunai itu semerdunya, tetapi pemimpin UImno juga naik menggeletar menyaksikan ledakan himpunan itu. Apa tidaknya Perdana Menteri Najib Razak sendiri bermimpi ada darah merah di Dataran Merdeka bakal menyumbatkan hidungnya lantas itu tunjuk perasaan yang dijanjikan secara aman, duduk dan bantah dilarang keras.

Kejayaan calon Ikhwan Muslimin dipilih sebagai presiden Mesir itu menyemarakkan lagi semangat umat Islam dan Islam di Malaysia untuk menumbangkan kerajaan UBN yang dilihat tidak Islamik. Ini menyebabkan orang-orang di sini merasakan semangat Medan Tahrir dan aura perjuangan Ikhwan Muslimin itu sedang mara ke Malaysia. Gema perjuangan menuntut hak dan keadilan di Khairah sedang terbang ke Kuala Lumpur. Semua pihak peka dan bangkit melambai kedatanagnnya. Persoalan kini apakah keadaan di Mesir itu akan berlaku di sini?

Jika dilihat secara fizikal dan geografi politik memang ada kemungkina itu. Secara alminya sesuatu kebangkitan itu akan berjangkit ke sebuah negara ke sebuah negara lain. Negara lain dijadikan cermin oleh rakyat negara lain untuk ditiru segala-galakannya baik politik, budaya, fesyen dan sosial. Kebangkitan rakyat, kesedaran rakyat persis penyakit atau wabak yang cepat menular, seperti Aid, ataupun wabak selesema burung atau H1N1 dan sebagai. Kelupaan atau kegagalan menyangkal menyebabkan penyakit akan mudah berjangkit dan akan akan berlakukan kematian.

Justeru mereka atau individu kurang daya tahan, kurang anti bodi akan cepat disinggahi penyakit. Soalnya apakah kita rakyat Malaysia mengalami kekurangan daya tahan dan mengalami sindrom untuk sedia menerima; kemarahan dan kemaraan rakyat seperti di Medan Tahrir?

Saya ada pandangan dan simpulan-simpulan sendiri di dalam soal ini. Secara adilnya saya bersetuju kalau berlaku kebangkitan yang kemudian merubah dan menggantikan apa yang ada. Lagipun sudah lebih setengah abad kerajaan yang bertakhta hari ini bermain dengan kuasa kotornya. Dalam kata lain kalau kerajaan ini adalah sultan atau raja ia sudah zalim yang tidak lagi wajar disembah tetapi patut disanggah.

Kita tengok apa yang berlaku di Mesir dahulu kemudian kita bandingkan kemungkin-kemungkin yang akan terjolor mari. Hanya perasamaan suasana, persamaan keadaan, persamaan perasaan, persamaan tuntutan, persamaan kerjasama, perasamaan keyakinan (tauhid) saja yang boleh memungkinkan itu. Tanpa persamaan-persamaan atau ruang-ruang itu ia tidak akan mudah terjadi, atau pun kalau ia marak, kemarakannya mudah ditangani.

Perkara pokok yang wajar direnungi apakah tapak perjuangan bangsa atau rakyat negara ini sama dengan tapak perjuangan Ikhwan Muslimin di Mesir itu. Apakah kebenaran ada dalam perjuangan rakyat negara ini sama dengan kebenaran dalam badang perjuangan Ikhwan Muslimin? Kita perhatikan ini secara ringkas pada perkara-perkara pokok.

Perjuangan di Mesir ialah menuntut agar syariat Islam dilaksanakan di atas muka bumi ini. Intipati perjuangan itu diterima oleh umum. Lantas itu Ikhwan Muslimin diwujudkan untuk menyediakan tentera atau pejuang-pejuang, para mujahid yang berani menuntut hak dan kewajiban itu. Dalam erti kata lain Mesir sudah ditabur dengan pejuang menegakkan Islam sejak lebih 80 tahun. Gerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hassan Al Bana lah bertanggung jawab menyemaikan benih ini.

Apakah keadaan sama wujud di negera kita? Kalau pun ada benih-benih yang menyamai di Mesir itu ianya dilakukan oleh Parti Islam Se Malaysia (Pas). Dalam masa sama pula Pas menghadapi tentangan hebat dari Umno untuk membangkutkan benih yang Pas selam dalam baja itu selama ini. Usia benih yang disemai Pas baru berusia 60 tahun. Mungkin ia sudah pra matang tetapi Pas atau benih Islam menghadapi beberapa hambatan-hambatan lain yang tidak dialami oleh Ikhwan Muslimin.

Dari kira-kira 27 juta rakyat negara ini tidak sampai 5 juta yang tersemai dengan benih Islam itu. Ia berbeza dengan di Mesir dari 74 juta penduduknya 90% adalah beragama Islam dalam erti kata lain mempunyai agenda dan kepercayaan yang sama. Ertinya dari jumlah kualiti dan kuantiti benih Islam di Mesir yang ditanam Ikhwan Muslimin jauh lebih besar dari apa yang wujud di Malaysia. Selain itu juga konsep, semangat dan roh Ikhwan Muslimin itu terhimbau dan dikenali di seluruh dunia, sebaliknya Pas masih bergelewatan di bumi sendiri.

Perkara lain yang perlu difikirkan ialah mengenai keadaan sosial, jenis-jenis (kaum) rakyat negara kita dengan Mesir. Di Mesir negera itu tidak ada masalah kerana majoritinya bangsa Arab beragama Islam yang mempunyai akidah dan mazhab yang sama. Jadi kedudukan ini mudah untuk diuruskan kerana ia tidak ada pertikaian kepentingan dan konflit sesama sendiri.

Di Malaysia umat Islam hanya 15  atau 17 juta sahaja. Itu pun ia terbahagi kepada dua bahagian besar yang dipisahkan oleh fahaman dan mazhab politik Pas dan Umno. Walaupun kedua-duanya Islam tetapi mereka diasingkan atau terasing dengan ideologi politik di mana ideologi politik dilihat berada di atas dari kepercayaan agama. Ini tidak termasuk lagi perpecahan-perpecahan kecil yang membentuk dari sukuan fahaman Islam yang tidak sekata dengan kedua kelompok besar itu, Umno dan Pas.

Suasana atau perbezaan yang tidak seharus berlaku ini menjadi masalah dan sekaligus menjadi penghalang.  Realiti ini boleh dilihat bila mana Pas ingin melaksanakan Islam syumul, Umno hanya menerima Islam sebahagian saja atau dari aspek atau juzuk-juzuk yang meyelesakan kehidupan atau mengemukkan amarah mereka. Dalam soal menamakan Islam pun wujud perbezaan di antara Pas dengan Umno. Umno kata Islam Hadhari (kini tukar kepada Islam Wasatiyah) Pas kata Hadarah Islamiyah. Dari sudut bahasa dan istilah pun masih belum berlaga.

Perbeszaan dan ketidaksekata inilah yang menjadi penghalang dan dosa-dosa terhijap yang menyulitkan kepada pembentukan Islam syumul di Malaysia.

Hanya berdasarkan kepada dua faktor ini saja meletakkan sukar untuk Malaysia mewujudkan Tahrir Squarernya sendiri. Selain itu sedar atau tidak, bahawa mereka tidak beragama Islam terus berjuang menghalang tertegaknya Islam di negara ini. Golongan ini menyelit menjadi kawan baik dengan Islam menerusi parti-parti politik atau persepakatan politik yang tidak memberi untung dari konteks agama.

Selain dari perbezaan itu masih ada perbezaan lain yang tidak mudah untuk berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu. Seperti diketahui sistem ekonomi dan politik di Mesir sudah lama menekan rakyat bahawan. Penekanan itu sudah sampai peringkat zalim yang perlu diperangi hatta sampai nyawa tergadai. Kadar kemiskinan dan kemeranaan hidup rakyat begitu teruk sekali. Manifestasi kezaliman Firauan yang memerintah Mesir kuno telah terbawa ke zaman Mesir moden.
Para ulamak Al Azhar mengunjungi Morsi.

Kerajaan moden Mesir tidak ada program untuk memajukan rakyat seperti mana berlaku di Malaysia. Pembangunan tanah, DEB, pendidikan dan sebagainya tidak diwujudkan di Mesir. Berlainan di Malaysia, kerajaan melakukan apa saja terfikir untuk memajukan rakyat. Dalam kata lain kepedulian kepada rakyat dan nasib rakyat ada di sini tetapi tidak di Mesir.

Justeru tahap kemarahan rakyat negara ini kepada kerajaan kerana kemeranaan dan kemelaratan hidup tidak sampai seperti di Mesir. Rakyat di Malaysia masih boleh berbangga bahkan pencapaian kemajuan infrastruktur dan sisitem pentabdiran jauh lebih baik dari Mesir. Realiti ini sekali lagi akan tidak menjadi faktor penyebab untuk rakyat bangkit seperti di Medan Tahrir itu atas asas-asas dan faktor yang berlaku di Mesir.

Tegasnya berdasarkan kenyataan dan suasana itulah maka saya berpandangan pembangkitan seperti di Medan Tahrir itu tidak mungkin akan berlaku di Malaysia ini. Kita hanya boleh mengangan-angankan tetapi tidak boleh mengharap ia akan berlaku. Kalau pejuang Islam termasuk Pas di Malaysia menunggu akan berlakunya kebangkitan seperti di Medan Tahrir itu, ia satu penungguan yang sia-sia sahaja persis mengharapkan air dari fotomargana. Melainkan sudah ada penyatuan zahir dan batin dari kalangan umat Melayu dan Islam dari semua cabang ideologi politik, dari semua aliran dan mazhab barulah kita akan menerima natijah seperti dari gelora di Medan Tahrir itu. [wm.kl.12:08 t/hari 27/06/12]

No comments: