Thursday, July 5, 2012

Dalam AKSB Ada G10?

 Sinopsis Malam

Isu atau masalah yang bergeliwat dalam Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tampaknya masih belum selesai dan ada tanda-tanda ia akan melerek menjadi sebuah hikayat baru di Kelantan. Apakah ia akan jadi sepanjang Sungai Kelantan atau tidak? Kena tunggu sampai habis.

Berita terbaru saya terima malam ini seramai 10 orang kakitangan AKSB telah diberikan tunjuk sebab. Kenapa? Atas sebab apa tidak pula diketahui. Tetapi saya percaya ia ada kaitan dengan jenayah ceroboh bilik seorang pengurus AKSB minggu lepas. Mungkin juga pencerobohan itu bertujuan membawa lari dokumen tertentu dan ianya ada kaitan dengan pemberian surat tunjuk sebab itu.

InsyaAllah saya akan balik ke Kelantan esok untuk meninjau dan merisik khabar apa yang sudah berlaku sebenarnya. Apakah kejadian di pejabat syarikat itu berpunca dari masalah air yang tidak laju, atau pun masalah-masalah lain yang tidak diselak ke luar dan masih menjadi rahsia di AKSB saja.

Saya yakin masalah sebenar akan terdedah juga nanti. Paling saya ingin tahu kenapa ada Geng 10 (G10) dalam AKSB. Macam geng 501 hantu Nipon dalam filem P Ramlee Pendekar Bujang Lapok pula. Apakah peranan G10 dan apakah tindakan mereka. Dan siapakah pula yang menjadi mandor kepada G10 ini?

Dalam pada itu ada pula timbul cerita ada beberapa orang wakil rakyat terlibat sama dalam kancah berlaku di AKSB sekarang ini. Kononnya ada kemasukan kakitangan yang tidak wajar atau pun tanpa melalui prosuder biasa? Ini melibatkan wakil rakyat. Sejauh mana benarnya?

Untuk malam ini cukup setakat ini saya akan sambung semasa berada di Kota Bharu nanti. Saya mahu pergi ke pejabat AKSB dan membuat penilaian dari luar bangunannya. Selama ini pun saya tidak tahu di mana pejabat AKSB dan siapa pengurusnya. Ingin juga rasanya nak berkenalan dengan pengurus besar.

Saya ingin mengesahkan ada satu maklumat mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan kepada Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung isu atau masalah yang berlaku di ASKB. Apakah masalah itu dan apakah masih ada sikap tidak jujur atau memberi laporan kurang tepat dan kurang betul kepada Tokguruku Nik Aziz? Kalau benar berlaku begitu bermakna MB akan membuat keputusan yang tidak betul dan tidak tepat juga. Tunggulah. [wm.kl.8:32 pm 05/07/12]

No comments: