Tuesday, December 18, 2012

Betulkah Kuis Ada Masalah?

SESUDAH SUBUH                                                                                                        

Apa sudah jadi dengan Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)? Khabarnya institusi pengajian berorentasikan Islam itu ada masalah. Ada sedikit ribut yang melanda menyebabkan warganya, terutama kakitangan akademik rasa kurang enak dengan suasana dan iklim sekitar Kuis sekarang ini.

Kampus Kuis yang tenang tetapi ada gelora di dalam.
Situasi itu menyebabkan Kuis tidak menjadi setenang dan sedamai dulu, peringat awal ditubuhkan. Apa yang bergelora kini juga seakan menjejaskan prestasi Kuis. Masalah ini, kini berkisar di peringkat dalaman, tetapi sekiranya ia tidak dipedulikan Kuis bakal terjadi seperti mana Universiti Perindusterian Selangor (Unisel), meletus ke tengah umum dan akan menjejaskan nama baik kolej berkenaan.

Isu Kuis ini akan menjadi perhatian umum masyarakat akhirnya boleh merosakan reputasi kolej berkenaan dan juga menjejaskan pentadbiran kerajaan hari ini.

Apa yang bergelora didalam Kuis sebenarnya sudah hangat di kalangan warganya. Masing-masing menahan diri dan berdoa agar apa yang sedang mendidih kini akan reda dan ianya dapat diselesaikan dengan baik tanpa merosakkan nama baik kolej.  Berbagai usaha secara spritual juga telah diambil namun belum ada tanda-tanda ia akan reda kelihatan.

Apa yang kedengaran dari kejauhan mengenai Kuis ini kononnya ada berlaku diskriminasi di kalangan tertentu oleh pihak pengurusan tertinggi Kuis. Pihak pengursan mengabaikan kepentingan dan kewajiban kakitangan tidak memenuhi tuntutan apa dimaktub dalam kontrek perkhidmatan.
 
Namun itu tidak begitu menjadi masalah besar. Apa yang penting ialah apa dinamakan berlaku perubahan besar dalam struktur kependidikan di dalam kolej berkenaan. Perubahan ini menyebabkan tujuan dan matlamat asal penubuhan Kuis sedikit tersasar dan berubah. Kuis kini didakwa sudah melencung dari landasan sebenar.

Paling membimbangkan apabila pengambilan pensyarah tidak lagi mengikut merit dan kriteria yang dibuat sebelum ini dimana cara terbaru ini boleh menyebabkan kualiti Kuis akan terjejas.

Ini dikatakan berlaku sejak kemasukan Azuidin Ahmnad sebagai rektor baru ke kolej itu pada tahun 2000. Rektor berkenaan dikatakan telah membuat banyak rombakan terhadap polisi dan mengemukakan pendekatan baru untuk mengembangkan kolej berkenaan. Tindak tanduk rektor ini juga seakan tidak mahu mengikut rentak kerajaan hari ini. Tindakan inilah dikatakan menjejaskan dan menjadikan aspirasi kolej berkenaan melencung.

Khabarnya perkara ini sudah pun dimaklumkan kepada pihak pentadbiran negara Selangor. Satu memorandum telah dihantar kepada MB tetapi malangnya tiada apa-apa tindakan diambil. Memorandum itu memngandungi 19 perkara yang menjelaskan akan kerosakan atau pun tindakan-tindakan yang meletakkan Kuis dalam gelora waktu ini.

Sesuatu mengejutkan ekoran perubahan yang dilakukan oleh Aziuddin menyebabkan Kuis diberitakan mengalami defisit RM18 juta disebabkan beberapa kesalahan atau salah urus dibeberapa sektor di kolej berkenaan terutamanya berhubung urusan asrama pelajar. Penyelewengan ini katanya sampai ke peringkat ia hendak dibawa ke pengetahuan SPRM.

Adalah wajar kalau pihak kerajaan negeri amnya dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menjadi penanggungjawab utama terhadap Kuis mengambil tindakan segera bagi menjamin kelestarian Kuis untuk terus gah dimasa depan. Dengan membiarkan keadaan ini apa lagi pihak tertinggi Mais merestui apa yang berlaku dibimbang maruah dan reputasi Kuis akan terjejas. Dalam isu ini perkara pokok yang kena dipandang ialah mengenai nasib para pelajarnya dan kena pastikan pembelajaran mereka tidak terjejas disebabkan masalah tersebut. [wm.kl.7:49 am 18/12/12]

3 comments:

:-) said...

Assalamualaikum wrt. wbt.

Tuan MSO, ada sedikit percanggahan fakta. Semasa tahun 2000, saya masih kakitangan KUIS dan pada masa itu, Presiden KISDAR (dahulu KUIS dikenali sebagai KISDAR) masih lagi Allahyarham Dr. Zainudin Jaffar dan bukannya nama yang tuan MSO sebutkan.

Tentang pergolakan? Kemungkinan besar ada benarnya kerana ia berlaku sejak dahulu lagi ketika Khir Toyo menjadi MB Selangor.

Semoga Allah selamatkan KUIS.

Kurma said...

Assalamualaikum,

Semoga Tuan sentiasa dilimpahi rahmat Allah S.W.T.

Ingin saya nyatakan di sini sebagai staf KUIS, saya memohon Tuan menyiasat dahulu segala fakta sebelum menuliskannya. Terlalu banyak kesilapan dalam tulisan Tuan ini.

Mengapa berlaku defisit? Siapakah nama sebenar rektor sekarang? Bilakah beliau menjadi rektor KUIS? Apa yang cuba dilakukan di bawah pengurusan baru? Mohon siasat dan bertanya sendiri kepada pengurusan dan bukan hanya mendengar spekulasi dan retorik dari sebelah pihak.

KUIS kini dalam proses kembali kepada Allah. Mencari Tuhan. Mohon Tuan merujuk Persidangan Pendidikan Islam Sedunia yang pertama di Mekah pada tahun 1977. Itu matlamat KUIS sekarang. Masalah defisit kebetulan bermula ketika ini apabila asrama baru siap. Seperti kita membeli rumah, bukankah kita hanya mula membayar penuh apabila rumah kita siap?

Untuk pengetahuan Tuan juga, buat masa ini Alhamdulillah, kami warga KUIS tidak merasa gelora yang dicanang-canang itu. Kerja dan gaji kami berjalan seperti biasa. Pengurusan bekerja keras memastikan dapur kami masih berasap. Masih ramai di kalangan kami juga yang faham dan akan terus memberi sokongan dalam usaha transformasi ini.

Semoga Allah memudahkan urusan Transformasi dan Jihad Pendidikan ini. Sekali lagi saya mohon, menulislah kerana Allah.. mencari Allah. Semoga Tuan dan keluarga sentiasa dalam hidayah dan lindunganNya.

mohd sayuti omar said...

Terima kasih atas pandangan dan maklumat. Rasanya mana-mana fakta yang boleh dikongsikan teruskan saja lepas di sini, misalnya mengenai nama rektor perkara yang mudah. Dan kalau fakta-fakta yang saya tulis itu meleset dan tidak betul, boleh diperbetulkan. Kemudian saya akan rumuskan dengan apa yang saya perolehi. Penulisan ini bukan berniat hendak memburuk mana-mana pihak tetapi demi mencari keadilan, rasanya tidak wajar kalau ada perasaan prejudis kepada tulisan ringkas ini. Wassalam.