Wednesday, June 17, 2015

Himpunan desperado dan hero ego

SESUDAH SUBUH                                                                          

Esok umat Islam akan mulai berpuasa. Puasa adalah rukun Islam yang ke tiga dalam kerangka pembentukkan akidah dan saksiah Islam. Menjelang beberapa jam kita akan mulai menjelani ibadat tahunan itu telah berlangsung dua majlis politik malam tadi, keduanya membabitkan himpunan oleh ahli dan penyokong Parti Islam seMalaysia (Pas).

Himpunan malam tadi, atas di Muar bawah di Marang.
Satu berlangsung di Bakeri Muar Johor, satu lagi di Marang Terengganu. Himpunan di Johor digerakkan oleh bekas pemimpin Pas yang kalah dalam perebutan jawatan pada mukatamr ke-61 lalu.

Manakala himpunan di Marang Terenganu diadakan oleh pimpinan baharu Pas, mereka yang menang dalam pemilihan itu sebagai balasan langsung kepada himpunan di Muar itu. Balasan langsung saya kata kerana mereka memilih tarikh dan masa yang sama sedang majlis di Bakeri itu ditetapkan lebih awal.

Himpunan itu jelas sekali kontradik tujuan dan maksudnya di antara satu sama lain. Ini sangat menyedih dan memilukan, hati seorang tua seperti saya yang sudah lebih setengah abad menjadi pemerhati kepada perjalanan parti berkenaan, terhiris kepiluan malam tadi.

Himpunan itu tidak sepatutnya berlaku, apa lagi oleh kumpulan yang sama, kumpulan yang mengakui untuk memperjuangkan Islam dan yang mengakui mempunyai warna dan bau persaudaraan yang tiada beza. Apa lagi di ambang Ramadhan ini, sepatutnya mereka berada dalam satu himpunan untuk sama-sama menyambut kehadiran Ramadhan al Mubarak, majlis memegang puasa, bukan majlis menghunus pedang jihad yang berbeza dan saling mengacukan ke dada antara mereka.

Hampir semua mereka yang kalah hadir di Muar.
Kita faham kedua pihak yang bertanggungjawab menganjurkan majlis itu percaya tindakan mereka adalah betul dan benar dengan mengharapkan keredhaan Allah, sebabnya tidak ada manusia yang waras dan mengakui beriman kepada Allah s.w.t. melakukan sesuatu yang bertentangan dengan anjuran syariat Islam. Apabila ia berlaku demikian, apakah tidak boleh untuk kita mengatakan, kedua pihak sudah kabur mata zahir dan mati hati daripada mencari penyelesaian baik. Apakah mata batin mereka sudah dipadam oleh selimut syaitan?

Tampaknya doa meminta akan menjelang kebaikan, dan hati semua orang tabah istiqamah selepas muktamar tidak terjadi. Muktamar medan untuk bermusyawarah terjadi sebaliknya. Kesan daripada muktamar itu telah meletakkan mereka di dua sempadan yang mula meretakkan ukhwah Islamiah yang terbentuk selama ini. Mereka telah meletakkan kerja untuk saling serang menyerangi antara satu sama lain. Semua pihak telah kembali kepada jahiliah politik yang berlatarkan amarah.

Walaupun mereka dari kumpulan dan akar umbi yang sama, tetapi kini telah terbelah menjadi dua pihak. Mereka dibentuk bagaikan air yang dibekukan dalam dua petak (freezer) berbeza, walaupun unsur mereka sama, tetapi kini membeku menjadi jisim yang tersendiri dengan roh juang yang bertentangan.

Apa yang berlaku di Bakeri, Muar Johor itu adalah cetusan awal untuk kumpulan yang kalah itu bergerak lebih jauh dan agresif sebagai penerusan iltizam perjuangan mereka yang tidak sempat tercapai menerusi Pas.

Mereka menghimpun kepulian dan kesedihan di situ, menjadi ketul batu keras untuk membentuk sebuah wadah baru tersendiri. Dalam kata lain mereka tidak akan bersama Pas lagi, sebaliknya akan menjadi pesaing kepada puak yang kini menguasai Pas. Himpunan itu telah dilaungkan sebagai permulaan sebuah perjuangan baru.

Suasana majlis di Bakeri semalam ternyata lebih hangat dan bersemangat daripada apa yang berlaku di Marang Terengganu. Jika ianya diibaratkan kepada perlawanan bola sepak pra kelayakan piala dunia di antara Malaysia dengan Palestin semalam, himpunan di Bakeri ialah pasukan Palestin manakala himpunan di Marang adalah pasukan Malaysia, yang sangat optimistik dengan kejayaan mereka.

Tetapi kemenangan himpunan di Bakeri itu tidak membawa apa-apa erti yang lebih jauh dari itu seperti mana kejayaan Palestin itu. Saya percaya Palestin, dengan sejarah pencapaianya dalam dunia bola sepak negara itu tidak mudah untuk muncul sebagai juara piala dunia, walaupun ia berjaya membelasah Malaysia 6 : 0. Apa yang boleh dilakukan setakat melalui pra kelayakan sahaja.

Sorokan dan paduan semangat untuk membentuk wadah baru untuk digerakkan oleh puak yang kalah itu tidak akan ke manakah, berdasarkan kepada sejarah pencapaian golongan-golongan yang bersatu atas rasa kekecewaan peribadi sebelum ini. Lainlah kalau pembentukan wadah baharu itu dari desakan rakyat yang berasaskan hujah dan fakta yang nyata serta diperjuangkan dengan penuh jujur dan keikhlasan dan mengusung agenda lebih besar dari kepuasan peribadi.

UBN gembira

Pihak yang sangat bergembira dengan kedua-dua majlis semalam ini, tidak lain dan tidak bukan, ialah Umno Barisan Nasional (UBN). Umno yang sudah kehilangan darah begitu banyak, berasakan mereka ada peluang lagi untuk terus merayap di bumi Malaysia ini. Himpunan semalam diperhati dan dilihat oleh UBN dengan penuh minat kerana ia memberi ehsan dan peluang kepadanya untuk terus menerajui Malaysia selepas pilihan raya akan datang. Kedua himpunan semalam merupakan tabung oksigen buat UBN. Menjadi lumrah dalam apa-apa perlawanan perpecahan kepada di satu pihak akan memberi kekuatan kepada pihak yang lain.

peristiwa malam tadi merasmikan momentum perpecahan dalam Pas. Pas kini sudah terbahagi kepada dua puak yang sudah menjadi tandaan umum. Paling mengembirakan lagi, UBN kerana perpecahan itu ia mengheret kepada terburainya Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat kini walaupun masih ada, tetapi rohnya sudah tidak ada, DAP sudah pun mengistyharkan Pakatan sudah tiada.

Kemalangan yang diterima Pas dan Pakatan Rakyat itu, menunjukkan usaha UBN yang dilakukan dengan penuh terancang selama ini, untuk memecahkan kepaduan Pakatan Rakyat, berjaya. Kemalangan ini sesuatu yang tidak begitu disedari oleh Pas dan juga Pakatan Rakyat. Pas khasnya dan Pakatan Rakyat amnya sangat terdodoi dengan ketinggian harapan akan berjaya menguasai Malaysia.

Angan-angan itu berdasarkan sokongan rakyat dalam pilihan raya lalu, yang diraih undi popular 52 peratus, sedangkan hakikat kini sokongan kepada Pakatan Rakyat mungkin sudah jauh dari angka itu dengan situasi dan kondisi yang berlaku kini.  Kerana keralikan itulah menyebabkan mereka kurang sedar untuk menutup lubang, sebaliknya lebih ghairah membuka lubang-lubang kebodohan.

Terus terang saya nyatakan, perkembangan terbaru yang berlaku dalam Pakatan Rakyat, yang sudah diistyharkan sebagai mati (mampos) oleh DAP, dengan terbelah duanya Pas membentuk dua kumpulan yang saling bertentangan, saya pesimis, cita-cita rakyat atau laungan untuk membela rakyat selama ini oleh mereka yang menjadi kumpulan desperado dan beranggapan diri mereka hero yang ego itu, tidak mudah untuk mencapai matlamatnya. Sekali lagi cita-cita dan azam itu bertukar menjadi sebuah ilusi dan dongengan semata.

Dan sekiranya pembentukan wadah baru oleh kumpulan Pas yang kalah menjadi kenyataan, rasa cuak dan pesimis itu akan lebih jelas lagi, bahawa usaha yang digerakkan selama ini oleh ketiga-tiga parti itu akan membawa kegagalan. Walaupun wadah baru itu akan mengambil alih ruang Pas dalam Pakatan Rakyat Baharu itu namun hasilnya sangat diragui. Kerja atau apa yang berlaku dalam parti pembangkang hari ini, tak ubah seperti menternak ikan di padang pasir sahaja.

Apakah jalan damai sudah tidak ada lagi bagi menyatukan semula keretakan dan menangkupkan semula perpecahan itu? Marilah kita bermahsabah dan bermohon kepada Allah di sepajang bulan Ramadhan ini agar Allah memberi taufik dan hidayah terbaik kepada kita semua, memantulkan sejalur cahaya dan membuka jalan menuju permaufakatan damai. Semoga kemenangan di hujung Ramdhan nanti akan membuka sinar dan harapan yang lebih baik kepada kita semua. Mudah-mudahan. Selamat berpuasa. [wm.kl.8:49 am 17/06/15]

No comments: