Thursday, October 27, 2016

1MDB berhantu seperti Altantuya: Tahniah Muhyiddin, Husni dan Shafei

ULASAN 

Ahmad Husni Hanadzlah
Walaupun Parlimen telah melarang keras isu 1MDB dibangkitkann dalam perbahasan di parlimen kerana ia dianggap subjudis (?) tetapi kebijaksanaan dan rasa tidak tahan hati ahli parlimen mengenai isu itu yang kini disifatkan sebagai skandal perdana negara ia berjaya juga ditimbulkan untuk pengetahuan rakyat dan tindakan ahli-ahli parlimen yang lain.

Tindakan berani dan bertanggungjawab ahli parlimen membangkit dan mendedahkan bagaimana syarikat pelaburan strategi yang dipengerusikan Najib Razak itu digerak dan dijanakan dalam keadaan songsang dan meragukan sangat dialu-alukan. Tahniah dan syabas kepada mereka yang berani dan ikhlas membangkitkan perkara itu demi negara.

Tindakan mereka itu adalah satu tanggungjawab kepada bangsa dan negara dan sikap seperti inilah yang dibutuhi rakyat. Mereka layak digelar sebagai perwira membela rakyat dan negara.

Dua orang ahli parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2017 yang langsung membangkitkan perkara itu kandatipun secara imbas lalu tetapi memberi makna dan kesan besar. Mereka ialah ahli parlimen Pagoh (Muhyiddin Yassin) dan Tambun (Ahmad Husni Hanadzlah). Kedua-dua mereka adalah bekas anggota kabinet dimana mereka tentu lebih arif dan berautoriti bercakap mengenai isu berkenaan dan apa yang mereka utarakan adalah kebenaran.

Sebagai ahli kabinet mereka bukan sahaja tahu yang telor Najib dua biji tetapi warnanya sekali amat dimaklumi. Maaf terkasar sedikit.

Daripada penjelasan dan persoalan dibangkitkan oleh mereka berdua menjelaskan mereka tidak diberikan maklumat yang betul mengenai tujuan penubuhan syarikat 1MDB dan ia tampaknya digerakkan secara perseorangan (one man show) oleh Najib Razak.

Najib adalah pengerusi 1MDB. Kekesalan mereka bersabit isu itu kerana Najib menyembunyikan daripada pengetahuan mereka akan kedudukan sebenar yang sekaligus menafikan hak mereka sebagai anggota kabinet. Di sinilah mereka berasakan mereka hanya dijadikan alat oleh Najib untuk diheret sama dengan skandal itu yang akhirnya mereka tidak lagi betah. Keadaan ini mereka tidak boleh menerima kerana tidak sanggup dilumuri noda.

Kedua-dua mereka kini tidak lagi berada dalam kabinet. Semasa dipecat Muhyiddin adalah timbalan perdana menteri manakala Husni adalah Menteri Kewangan II.

Husni meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan II dan semua jawatan dalam Umno semasa Najib menyusun kabinet baharu berikutan pemecatan Muhyuddin dan Shafei Afdal sebagai anggota kabinet. Walaupun Husni tidak terlibat dengan tindakan "penyucian" kabinet dilakukan Najib dengan pemecatan itu, tetapi beliau mengambil tanggungjawab melepaskan jawatan kerana tidak mahu bersubahat dan terpalit dengan dosa kering?

Ekoran tindakan Husni mengejutkan itu ada yang menganggap beliau menghadapi masalah peribadi menyebabkan tidak dapat menumpukan kepada tugasnya di MOF. Ada juga mengatakan beliau ingin menumpukan perhatian kepada isterinya yang uzur. Sebelum ini Husni tidak menyatakan secara pasti kenapa beliau berhenti dan melepas semua jawatan menyebabkan tindakan drastiknya itu kabur?

Tentulah bagi mereka yang bernafsu besar tergila-gila untuk menjadi menteri gembira dan "raya hindu" dengan tindakan Husni dan tindakan ke atas Muhyiddin dan Shafei itu kerana mereka berharap akan menjadi penggantinya. Dua orang yang dilihat mendapat laba besar ekoran proses penyucian itu ialah Zahid Hamidi dilantik menjadi TPM dan Salleh Said Keruak dibawa masuk ke dalam kabinet.

Kerana sikap profesional Husni untuk beberapa waktu tindakan beliau itu menjadi tanda tanya dan persoalan bagi orang awam. Namun bagi jauhari mengenali manikam yang sudah arif mengenai politik cantas untuk menyembunyikan busuk dan hampak sudah dapat mengagak sebab musababnya. Muhyiddin dan Shafei tidak akan dipecat kalau tidak melanggar pantang larang Najib dan Rosmah Mansor.

Teka teki disebalik tindakan Husni itu akhirnya terjawab juga semasa beliau membahas Bajet 2017. Husni telah membangkitkan beberapa persoalan 1MDB yang dilihat menjadi tekanan kepadanya sehingga tepaksa mengucapkan "sayo nara" kepada kabinet Najib. Orang berintegriti dan ada digniti tidak akan sanggup berada dalam kolong jijik lagi busuk menghampakkan. Di sinilah rakyat perlu memilih pemimpin yang bukan sahaja ada iman tetapi beriman. Banyak pemimpin mengaku ada iman tetapi tidak beriman.

Beberapa perkara dibangkitkan Husni mengenai syarikat strategi milik kerajaan menerusi MOF itu. Antara yang dipersoalkan ialah untuk apa syarikat itu ditubuhkan dengan meletakkan RM16 billion ke dalam syarikat Asbar PJS Limited Co yang dimiliki oleh dua orang anak raja. Baginya tindakan itu salah.

Beliau hairan dan bertanya kenapa tindakan kepada pengurus 1MDB tidak diambil tindakan apabila mereka jelas melakukan tindakan yang salah?

Satu perkara lagi yang dibangkit dan meragui beliau ialah mengenai penjualan 60% ekuiti milik 1MDB kepada syarikat dari China dalam projek Bandar Malaysia. Yang pelik dan ganjilnya bayaran ke atas penjualan itu akan dibuat pada tahun 2020.Jarang berlaku dalam dunia perniagaan barang diberi sementara bayarannya memakan masa bertahun-tahun.

Selain itu bekas Bendahari Umno itu juga menyatakan kebimbangannya imej kerajaan Malaysia akan terjejas sekiranya 1MDB kalah dalam kes timbangtara di London berhubung tindakan Internation Petroleum Investment (IPIC) Co milik Abu Dabi yang menuntut sejumlah AS$6,5 billion daripada 1MDB.

Ternyata persaolan dan kemusykilan dibangkitkan oleh Husni yang menggambarkan kegagalan dan kelemahan serta perbuatan penyonglapan wang milik 1MDB itu menimbul kejutan kepada rakyat dan marah dari kalangan pendolor punggung Najib. Persoalan Husni itu memberi jawaban kepada tindakannya mengapa beliau meninggal kabinet Najib.

Beberapa orang hulubalang Najib bangkit menjawab serta menghentam Husni. Antaranya ialah Ketua Penerangan Umno Malaysia Annuar Musa. Annuar menempelak Husni yang membangkitkan perkara itu sebagai tidak ada fakta baharu dan seolah-olah bekas Menteri Kewangan II itu bertanya dan menjawab sendiri. Biarlah itu tugas Annuar jawatan ketua penerangan harus digunakan seperti mana kehendak orang yang menghadiahkannya.

Apapun bagi pemerhati umum perkara dibangkitkan oleh Husni dan juga Muhyiddin serta diulas Shafei itu memberi tekanan tambahan kepada Najib. Kalau sebelum ini orang berpersepsi tindakan Husni sebagai kecewa atau kerana masalah peribadi konon tidak ada kena mengena dengan 1MDB, tetapi persoalan dibangkit di parlimen itu menjelaskan duduk perkara sebenar, bahawa beliau tidak bersedia untuk ikut sama memikul biawak hidup yang dipelihara Najib bernama 1MDB.

Bagi rakyat yang suci hati dan mahu melihat harta dan khazanah negara diurus dengan baik sangat mengalu-alukan dan berterima kasih atas tindakan serta keberanian Husni dan Muhyiddin mendedahkan kebusukan dalam kerajaan khasnya isu 1MDB itu. Percayalah mungkin anda tidak popular dari kalangan Umno, tetapi anda akan disanjung tinggi oleh segenap lapisan rakyat yang mahukan kebenaran dan keadilan. Tindakan mereka itu juga sebagai mencabar kedudukan menteri-menteri lain yang sanggup membuta dan memekakkan telinga dalam berhadapan kerenah buruk Najib.

Najib telah menggunakan pelbagai ruang dan kesempatan, institusi dan jabatan serta menggunakan banyak wang untuk mengambus isu ini, tetapi percayalah skandal kewangan 1MDB ini tetap akan hidup dan menjadi sebutan seperti mana kes pembunuhan kejam terhadap warga Mongolia Altantuya Shaariibuu tahun 2006 lalu. Sejarah telah merakamnya dan sekali ia dirakam sejarah ia akan kekal selama-lamanya. [wm.kl.9:00 am 27/10/16]

No comments: