Sunday, February 17, 2019

Anak-anak agama Tarbiyatun Nisa' perlu dibantu

SUSUPAN SUBUH

Api marak memakan asrama Tarbiyatun  Nissa'.
PAGI 14 Februari lalu pondok pengajian agama dan tahfiz Terbiyatun Nisa' yang terletak di Kampung Marahabai Tambalang II Tuaran Sabah telah ditimpa musibah apabila asrama dua tingkat menempatkan pelajarnya hangus dijilat api.

Kebakaran itu menyebabkan keseluruhan peralatan belajar, buku, pakaian, makanan dan lain-lain musnah.


Pelajar: Apa yang mampu mereka lakukan
merenung asramamereka dimamah api. 
Bagaimana pun Tuhan masih sayang, tetap memelihara keselamatan dan nyawa, "anak-anak agama" (pelajarnya) kerana dalam kejadian berlaku selepas Subuh itu tidak membabitkan kehilangan nyawa atau kecederaan parah.

Menurut pengetua pondok itu, Aisyah Abdul Halim kejadian itu berlaku ketika semua pelajar berada di surau yang jaraknya 100 meter, kerana menunaikan solat Subuh.

Kebakaran itu disedari apabila seusai mengikut tazkirah Subuh pelajar bergerak untuk ke asrama bagi bersiap sedia makanan dan minum dan menukar pakaian bagi mengikut pengajian pada pagi itu.

Menurutnya keadaan api dibantu cuaca kering kini marak begitu cepat sekali, dengan kepulan asap menghitam memenuhi ruang angkasa. Kemusnahan itu berlaku tidak sampai setengah jam ia diamankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat . Asrama itu kini hanya tinggal rangka dan struktur bangunan sahaja.

Yang tinggal hanya puing-puing yang rentung.
Pusat atau pondok Tarbiyatun Nissa' itu dibangunkan pada tahun 2016. Ianya diasaskan oleh Ustaz Rosnani Untul bersama suaminya Ustaz Abdul Halim Abbas bekas seorang pemimpin Darul Arqam. Manakala anak perempuan mereka, Aisyah bertindak sebagai pengetua sekaligus menjadi penggerak utama membangunkan pusat berkenaan.

Khemah sementara dibangunkan untuk
penginapan pelajar.
Kebanyakan pelajar berusia di antara 7 hingga 20an tahun. Mereka terdiri daripada anak-anak di pedalaman yang tidak berpeluang untuk mendapat pendidik kerana kemiskinan. Terdapat juga beberapa pelajar yang merupakan saudara baru.

Dalam kunjungan saya pada tahun 2017, bilangan pelajar disitu hanya 21 orang sahaja. Selain menjadi pondok pengajian Islam, secara tidak langsung juga pondok itu dijadikan transif kepada mereka yang berhadapan dengan masalah, seperti dipulau keluarga dan tidak dipedulikan apabila mereka mengambil keputusan memeluk Islam.

Semua kos pembelajaran keperluan makan minum dan peralatan pengajian seperti buku dan lain-lain adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka bertiga beranak di samping derma daripada para dermawan. Tidak ada sebarang bayaran dikenakan ke atas pelajar. Tarbiyatun Nissa' seratus peratus bertolak dari rasa tanggungjawab mereka bertiga beranak untuk membangun agama Allah.

Abdul Halim, Aisyah dan Rosnani tiga
beranak tunggal Tarbiyatun Nissa'.
Saya sendiri pernah beberapa kali sampai ke pusat tarbiyah ini dan bermalam di sana. Berada di pusat itu walaupun dalam ruang lingkup yang kecil, tetapi membahagiakan apabila turut mengikuti aktiviti anak-anak agama di situ mendengar mereka menghafal Quran bernasib dan melihat aksi mereka menelaah kitab.

Tahun 2017 saya menganjurkan Misi Kemanusiaan untuk berkorban di pusat berkenaan. Hasil sumbangan para pembaca blog Merah Tinta seekor lembu dikorbankan di pusat berkenaan dan komuniti sekelilingnya.

Menyayat hati.
Ekoran kejadian itu para pelajar kini terpaksa tidur di surau berdekatan yang juga diguna sebagai  kelas tempat untuk belajar dan menghafal Quran. Kerana ruang yang sempit surau itu tidak dapat menampung kesemua pelajar yang malang itu. Khemah kecil didirikan untuk dijadikan penempatan sememntara.

Kejadian itu sungguh menyayat hati. Pun begitu kejadian itu tidak sesekali melemahkan ketiga beranak yang membangun dan menguruskan pusat berkenaan. Ustaz Abdul Halim dalam percakapan dengan saya menerusi telefon, hanya mengulas kejadian itu dengan menyebut; "Ini ujian Allah untuk ana dan anak-anak agama di sini. Enta buatlah apa-apa untuk membantu, Sayuti."

Mendengar kata-kata Abdul Halim itu tidak semena-mena airmata mengalir. Paling tidak sanggup dibayangi ialah kesusahan anak-anak agama disitu dan sedikit sebanyak pengajian mereka terhalang dengan apa yang berlaku. Doa saya semoga anak-anak agama dan Ustaz Halim bertiga beranak tabah menerima ujian dan terimalah ia ada hikmah manis di sebaliknya.

Saya bercadang untuk membuat lawatan segera ke pusat pengajian itu dalam masa terdekat untuk menghulurkan sedikit bantuan. Sehubungan itu saya merayu kepada mana-mana penjenguk blog ini yang ikut sama untuk menghulurkan derma ikhlas, boleh berhubung dengan saya di nombor telefon 019 2336996 atau emailkan pada email saya [msomelayu@yahoo.com] atau [msomalaysia@gmail.com]. 

Atau derma juga boleh langsung dimasukkan ke dalam Bank Islam atas nama Pertubuhan Amal Tarbiyatun Nisa.  Akaun  No: 10052010114368 

Di atas kesudian anda semua menghulurkan derma ikhlas untuk membantu anak-anak agama di Pondok Tarbiyatun Nissa' ini diucapkan berbanyak terima kasih. [wm.kl.9:27am 17/02/19]

No comments: