Thursday, February 28, 2019

Pas tidak perlu melenting bila Anwar dedah parti itu bayar Clare

SUSUPAN PAGI

Anwar dedah Pas bayar Clare RM1.422 juta.
APA dilakukan Anwar Ibrahim malam tadi adalah sesuatu yang mengejutkan. Kita tidak fikir Anwar bertindak demikian kerana jarang sekali beliau mendedahkan aib orang walaupun aibnya sendiri didedahkan orang bersambung menyambung.

Anwar bukan seorang pemimpin yang berdendam dan suka cari gaduh dengan sesiapa. Beliau seorang pemimpin berjiwa pemaaf dan juga suka bersahabat dengan sesiapa sahaja. Apa lagi dalam kedudukan sebagai PM sedang menunggu beliau perlu berbaik dengan sesiapa sahaja.


Tetapi apabila malam tadi tiba-tiba beliau mendedahkan rahsia Pas yang sekaligus meletakkan Pas dalam keadaan sangat tidak berintegriti sebagai parti agama, ia sesuatu yang perlu difikirkan kenapa tergamak Anwar berbuat demikian. Pasti ada sebab-sebab tersendiri yang penting.

Untuk apa Anwar mendedahkan maklumat terbaharu mengenai Pas yang cuba dinafikan oleh parti itu, mengenai pembayaran kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown sebanyak RM1.422 juta setelah kedua pihak bersetuju untuk menarik balik saman berkaitan wang RM90 juta. Bayaran disebut Anwar itu sebagai imbuhan kepada Clare yang bersetuju membuat penyelesaian di luar mahkamah.

Anwar “membuka budu tengah kedai itu” dalam ceramahnya di Semenyih malam tadi yang dihadiri ribuan orang. Dan pagi ini saya pasti akan ada pemimpin Pas muncul menghentam Anwar. Biasalah Pas selalu tidak waras dalam berpolitik. Pas tidak wajar hentam Anwar tetapi memberikan bukti-bukti jelas yang mereka tidak membayar Clare walaupun satu sen.

Sesungguhnya pendedahan Anwar malam tadi sungguh memalukan Pas. Sebelum ini Pas mempertahan dan menfikan yang mereka tidak membayar Clare untuk bersetuju menerima penarikan balik terhadap saman oleh Abdul Hadi Awang. Kononnya penarikan balik itu secara suka rela.

Sampai keluar urat sembereh pemimpin Pas; Hadi Awang, Takiyuddin Hassan dan Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya. Mulanya bukan main lagi Pas bersemangat dan yakin akan menang ke atas SR dengan saman itu. Penyokong Pas lalu bertakbir sampai senget kopiah, kata Anwar. Alih-alih tarik balik, kenapa?

Pendedahan oleh Anwar mengenai perkara itu menjadikan Pas dan seluruh partinya malu besar. Malu dari kepala sampai ke hujung kaki. Malu sampai ke dalam jubah dan palikat.

Memang sebelum ini apabila pemimpin Pas memberi tahu penarikan balik samannya terhadap SR disenandungkan tanpa ada apa-apa bayaran, sudah memelikkan. Orang tidak mempercayai dakwaan itu, melainkan Pak Da dan Mak Da, Pak Wang dan Mak Wang di kampung-kampung yang menelan apa sahaja yang pemimpin Pas membungkusnya dengan ayat Quran dan Hadith.

SR bukan sembarangan portal berita yang boleh dilakukan mengikut kehendak Pas. Awal-awal lagi bila isu ini timbul saya telah membayangkan apa didedahkan SR itu bakal mencalar imej Pas.

Dan apabila portal itu tidak membuang laporan menuduhkan pemimpin Pas menerima RM90 juta, walaupun saman menyaman sudah ditarik balik, ini menunjukkan penarikbalikan saman itu tidak berjalan mengikut sepatutnya. SR tetap menganggap pemimpin Pas menerima wang itu.

Pas ada mendakwa penarikan balik itu atas persetujuan Clare dengan terma-terma tertentu yang tidak boleh didedahkan. Kononnya atas persetujuan bersama. Kenapa? Penyembunyian ini secara automatik tindakan itu songsang dan ada sesuatu yang tidak kena. Ada perkara yang mengunci Pas.

Saya sudah memberi sedikit bayangan kesongsangan penarikan balik itu dalam status di Facebooks sebelum ini. Jadi apabila Anwar mendedah Pas membayar RM1.422 juta semalam segalanya terjawab, bahawa penarikan balik itu seperti Pas terpaksa melakukannya.

Dan berbalik kenapa Anwar bertindak mendedahkan rahsia dan kemaluan besar Pas malam tadi, ia tidak bukan dan tidak lain, kerana Anwar sudah hilang sabar kali ini. Semuanya ialah apabila Anwar dituduh Pas cuba hendak menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad menerusi undi tidak percaya di parlimen.

Jadi walaupun apa didedahkan Anwar malam tadi satu yang mengaib dan boleh menjejaskan maruah Pas sebagai parti agama, beliau terpaksa lakukan begitu apabila beliau juga diusik demikian rupa oleh Pas. Sepatutnya kalau Pas tidak bersedia untuk menerima Anwar sebagai PM, parti itu tidak perlu memberi gambaran buruk kepada Anwar. Pas tidak perlu dengki dan cemburu dengan Anwar. Berlawanlah secara baik dan profesional.

Tindakan Pas mengusik Anwar itu samalah mengusik sarang tebuan. Jadi terimalah bahanannya. Kata orang berani buat berani tanggung. Ayat Quran dan Hadith tidak lagi mudah menjadi penawar melindungi pembohongan Pas, kecuali bagi orang di dalam hatinya ada penyakit. Trims. [wm.kl.11:12 am 28/02/19]

No comments: