Wednesday, March 11, 2020

Selamat berkerajaan buat parti agama (Pas)

ULAS KABINET
[Bhg Dua dan akhir].

Tuan Ibrahim, Takiyuddin dan Khairuddin
tiga menteri daripada Pas. 
KEJATUHAN kerajaan Pakatan Harapan (PH) 25 Februari lalu meletakkan "parti gemulah chek" (Pas)  melakar sejarah tersendiri apabila mereka ikut sama membentuk kerajaan. Seramai lapan (8) orang ahli parlimen Pas mendapat jawatan sebagai menteri dan timbalan menteri. Tiga orang jadi menteri dan lima (5) jadi timbalan menteri.

Mereka yang jadi menteri, ialah ahli parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar), ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Undang-Undang), ahli parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi).

Sementara lima dilantik jadi timbalan menteri, ahli parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusuf, (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), ahli parlimen Pendang Awang Hashih (timbalan menteri Sumber Manusia), ahli parlimen Tumpat, Che Abdullah Nawi, (Timbalan Menteri Pertanian II), ahli parlimen Bachok Marzuk Shaari (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri), dan ahli parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim (timbalan menteri Sains Teknologi dan Inovasi).

Pasti selepas ini akan ada ahli parlimen dan pimpinan Pas akan diberi jawatan-jawatan penting dalam syarikat-syarikat GLC kerajaan maupun perbadanan dan agensi lain.

Cita-cita dan impian untuk Pas masuk ke Putrajaya tercapai dan menjadi kenyataan. Suka atau tidak dan dengan cara bagaimana sekalipun kejayaan diraih Pas, ia adalah rekod peribadi kepada Abdul Hadi Awang sebagai presiden. Abdul Hadi seluruh orang Pas berhak untuk rasa syukur, merayakan dan syok dengan pencapaian Pas itu.

Setidak-tidaknya Abdul Hadi berjaya meletakkan Pas dan memposisikan anggota parti itu dalam kerajaan sesuatu yang diimpi dan diperjuangkan kesekian lama. Pencapaian Abdul Hadi ini ternyata lebih besar daripada apa dicapai Allahyarham Mohd Asri Muda dari segi angka tetapi tidak moral politik.

Kali pertama Pas menyertai kabinet ialah pada tahun 1972 sewaktu perwujudan kerajaan campuran Umno - Pas. Dalam kerjasama itu Pas diberi satu kerusi menteri, dua timbalan dan dua setiausaha parlimen serta pembahagian kuasa dan kedudukan di peringkat negeri. Mohd Asri Muda selaku Yang diPertua Pas, jadi Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-Tugas Khas, manakala Abu Bakar Omar, Timbalan Kesihatan dan dua Setiausaha Parlimen, Mustafa Ali (Perdagangan) dan Zahari Awang (Luar Negeri).

Penting untuk rekod perwujudan kerajaan campuran waktu itu dibuat dengan penuh tertib, mendapat concern ahli dalam muktamar dan bukan caranya dengan "kudeta" seperti mana berlaku hari ini. Sebab itu saya katakan dari segi moral politik kejayaan Pas membentuk kerajaan bersama Muhyiddin dan sekumpulan dianggap pengkhianat itu boleh dipersoalkan.

Tidak perlu kritik.

Di sini saya tidak mahu memperkatakan apakah Pas menerusi anggota mereka mampu memimpin negara sebagai kerajaan? Semua orang kena faham dan sedar, mereka adalah orang-orang baru yang belum ada pengalaman tohor ilmu pentadbiran dan pengurusan. Mereka sebelum ini terkenal dan tersohor sebagai penceramah politik, mampu menguasai pentas dan podium. Itulah keahlian mereka.

Kehadiran mereka dalam bumbung kabinet Muhyiddin Yassin samalah dengan kehadiran beberapa menteri di era zaman PH itu, khasnya daripada Parti Amanah Negara (Amanah), mereka tidak ada pengalaman langsung. Lima anggota parlimen Amanah jadi menteri dan empat jadi timbalan menteri.

Peringkat awal kehadiran mereka dikritik dan penampilan mereka tidak menyakinkan. Mereka diejek dan dipersenda-sendakan. Tetapi selepas setahun mereka mula dapat momentum dan tahu arcakan diri sebagai menteri atau timbalan menteri. Kecaman dan cemuhan sudah mula berkurangan. Bahkan sesetengah pendekatan dan idea mereka mendapat pujian. Malangnya buat mereka kejatuhan kerajaan PH tidak memberi kesempatan untuk mereka menunjukkan kebolehan mereka seterusnya.

Nah, begitu juga menteri dan timbalan menteri daripada Pas itu, Tuan Ibrahim, Takiyuddin Hassan dan Khairuddin. Mereka pasti akan dikritik dan dipersendakan dengan pelbagai cara.  Mereka akan ditibai setiap hari. Hari ini pun belum mereka memasuki pejabat sudah ada sindiran dan mencemuh. Tuan Ibrahim diragui akan mampu untuk mengendalikan kementerian Alam Sekitar kerana beliau dilihat tidak mempunyai kebolehan dalam bidang itu kerana beliau dilihat seorang Ustaz. Begitu juga dengan Khairuddin pula diperolok-olokkan sejauh mana beliau dapat bercakap mengenai sawit dan komoditi.

Sepatut semua pihak memberi ruang dan masa kepada mereka dan tidak cepat untuk mengkritik. Kalau pun benci dan kesal dengan kejayaan mereka, tetapi berilah tempoh sewajarnya. Benar Tuan Ibrahim tidak ada pengalaman dan pengetahuan mengenai alam sekitar, tetapi beliau boleh aplikasikan ilmu agama miliknya yang luas dalam hal ehwal itu. Mana tahu pendekatan Islam boleh menjadikan alam sekitar dan environment kita  jadi lebih tenang.

Sebagai orang beriman dan berpegang kepada sesuatu yang ghaib, kita kena percaya kelestarian alam ini bukan sahaja memerlukan peralatan canggih sains dan teknologi tetapi ia juga memerlukan munajat dan doa.

Begitu juga dengan Khairuddin apabila beliau jadi menteri, tentu beliau ada cara dan kaedah dan formula serta petua dan fatwa untuk melonjakan kementerian itu. Sudah pasti beliau akan membuat kerja rumah bertanya rakan-rakan yang pakar.

Sepekara yang tidak boleh dilupakan, kementerian bukan sahaja bergantung seratus peratus kepada para menterinya, tetapi ia bergantung kepada jentera kementerian berkenaan, kakitangan kerajaan yang diketuai oleh Ketua Setia Usaha (KSU) kementerian. Mereka inilah yang akan memerah otak memikir untuk menggerakkan sesuatu kementerian itu.

Menteri hanya bertanggung-jawab kepada dasar-dasar yang hendak dilaksanakan dan memastikan segala perancangan berjalan lancar dan berkesan.  Sebagai seorang bernuansa Islam sudah pasti Khairuddin akan memfokus kepada perusahaan dan komoditi yang halal.

Cuma bila mengenangkan kepada Pas dalam penyusunan kabinet semalam, ia sedikit menjadi pertanyaan buat saya dan kita semua mengenai sikap Abdul Hadi Awang. Ketiadaan Hadi dalam kabinet menjadi persoalan dan tanda tanya. Apakah ia betul kerana beliau enggan menyertai kabinet dan hanya mahu jadi pemantau menterinya sahaja, atau ada kerana lain, semisalnya tidak melepasi saringan PDRM dan SPRM?

Tidak mengapa kita bersangka baik mengenai sikap dan pendirian Hadi itu. Kita anggap beliau jujur dengan dirinya sendiri. Biarlah beliau jadi pemantau dan penasihat yang baik untuk memastikan para menteri dan timbalan menteri daripada Pas menunjukkan prestasi dan reputasi terbaik. Diharap Pas akan dapat mengotakan kata-kata mereka, penyertaan dan pembabitan mereka dalam gerakan rampas kuasa itu bukan apa, tetapi untuk menyelamatkan negara.

Mudah-mudahan negara akan selamat di bawah kerajaan yang ada bersama anggota Pas sebagai menteri dan timbalan menteri. Tidak dapat dinafikan dari segi istiqamah dengan perjuangan dan kesetiaan kepada parti, Pas masih memegang rekod itu. Pas nombor wahid.

Sebaliknya kalau Pas gagal tidak mampu berbuat sesuatu yang lebih baik daripada kerajaan sebelum ini khasnya oleh menteri bekas-bekas rakan mereka dalam Amanah dahulu, mereka akan dipertikaikan dan nilai Pas ikut sama merudum. Penyertaan Pas dalam kabinet itu membolehkan masyarakat umum membuat penilaian terhadap parti agama itu. [wm.kl.11:23 am 11/03/2020].

No comments: