Friday, April 24, 2020

Salam Ramadhan dan selamat berpuasa


SESUDAH SUBUH

SALAM dan doa saya semoga semua penjenguk blog ini sihat walafiat dan mendapat keredhaan Allah sepanjang masa.

Semua orang mungkin merasakan suasana Ramadhan tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini gara-gara Coronavirus yang melanda dunia ketika ini.


Keterbatasan kita untuk bergerak sangat mengesankan dan menjadikan sambutan puasa hatta Raya Aidilfitri tahun ini juga berbeza. Tahun ini tidak seperti biasa, kita semua terbatas untuk bergerak kerana terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sejak 18 Mac lalu.

Sesungguhnya apa yang berlaku dan kita hadapi ini satu pengajaran dan pengalaman buat kita semua. Wabak itu tentunya bukan sahaja-sahaja didatangkan melainkan untuk direnungi dan diinsafi sebaik-baik mungkin. Mudah-mudahan ianya akan menebalkan keimanan kita kepada Allah dan lebih memaknakan lagi kita sebagai manusia.

Mungkin sebahagian besar di kalangan kita ramai tidak pernah menghadapi keadaan sebegini, undang-undang dikenakan dan menyebabkan pergerakan dibatasi. Kita jadi persis burung dalam sangkar. Semua kegiatan seharian kita baik, berbentuk sosial, amalan ibadat, pekerjaan dan sebagainya hampir lumpur. Ini adalah pengalaman yang sangat mahal untuk dikenal dan dimengertikan.

Apa yang berlaku kita perlu menerima dengan penuh tabah, sabar dan redha.

Hari ini kita mula menjalani ibadah puasa, dan malam tadi kita sudah memulakan bertarawih di rumah masing-masing. Bertarawih di rumah juga mungkin memberi pengalaman pertama buat setengah daripada kita apabila "terpaksa" menjadi imam membimbing anak-anak dan isteri serta anggota keluarga untuk solat jemaah tarawih. Nah, ini juga satu pengalaman cukup mahal. Alhamdulillah.

Jangan lupa di sepanjang Ramadhan ini sama-sama kita banyak berdoa untuk kesejahteraan kita sekeluarga khasnya dan mendoakan untuk negara. Mudah-mudahan berkat doa antara kita ancaman wabak Covid-19 segera berlalu dan negara tidak terlampau terkesan dengan ekoran wabak berkenaan.

Di sini saya mengambil kesempatan mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua penjenguk blog ini. Terima kasih kerana masih setia menjadikan blog ini sebagai sumber bacaan anda. Tanpa disedari bulan ini blog Merah Tinta ini sudah berusia 13 tahun.

Insya-Allah selagi diberikan kekuatan oleh Allah saya akan terus jadikan blog ini sebagai wadah meneruskan berkarya menyampaikan maklumat dan melontarkan pandangan siasah dari perspektif minda saya yang mungkin lain dan berbeza.  [wm.kl. 5:56 am 24/04/2020]

No comments: