Friday, July 17, 2020

Pas berhak menerajui PN memimpin Piraum ke 15

PANDANGAN

PARTI politik tertua selepas Umno adalah Parti Islam se Malaysia (Pas). Pas ditubuhkan pada tahun 1951 kira-kira selepas lima tahun Umno wujud. Umno ditubuhkan tahun 1951 dalam kobaran asap dan laungan Merdeka. Demikian juga penubuhan Pas untuk membebaskan negara dari cengkaman penjajah.

Cuma bezanya, Pas dilahirkan dari rahim Umno, setelah berlaku perbezaan pendapat di kalangan pemimpin Umno dengan biro agamanya yang diketuai oleh Ahmad Puad. Pertelingkahannya kerana tidak sependapat mengenai kerjasama di antara kaum ekoran mewujudkan Perikatan. Manakala Umno lahir hasil kongres Melayu pertama di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Adapun parti-parti lain, MIC dan MCA wujud kemudian selepas Umno ditubuhkan. MIC ditubuhkan pada tahun 1946 hampir sama dengan Umno manakala MCA pula tiga tahun kemudian. Penubuhan Umno, MIC dan MCA berasaskan kepada kepentingan bangsa yang diwakili masing-masing. MCA lebih dahulu sepakat dengan Umno baru diikuti MIC.

Parti kedua terbesar.
Menjejaki sejarah itu menjelaskan bahawa Pas bolehlah dianggap parti kedua terhebat selepas Umno bagi orang Melayu. Jika Umno kapal besar di lautan Pas adalah perahu penyelamat yang diletakkan di sisi kapal besar itu. Ertinya kalau kapal besar itu rosak maka perahu kecil di kiri kanan itu jadi penyelamatnya.

Apabila Pas ditubuhkan dengan meletakan kepentingan agama dihadapan, ia lebih ideal daripada Umno sebenarnya, kerana Umno seperti tidak mementingkan soal agama apabila menjadikan bangsa sebagai intipatinya.

Sedangkan Pas apabila ia menjadi agama sebagai ideologinya, maka secara automatik ia ikut mempedulikan bangsa sebab dalam konotasi dan pengertian Melayu itu adalah Islam, dan Islam itu Melayu; menjadikan perjuangan Pas lebih syumul.

Hanya kelebihan dan kebijaksanaan Umno ialah ia menggabungkan diri bersama MCA dan MIC yang sama-sama berasaskan etnik. Kedewasaan meletakkan Umno di hadapan. Walaupun mungkin idea perwujudan Perikatan (1951) ini adalah idea politik penjajah yang tidak mahu melihat ketiga bangsa ini yang diberikan hak untuk membentuk kemerdekaan negara ini tidak berbalah.

Kerana itu para pemerhati dan pengamat politik meletakkan kewujudan Perikatan itu idea penjajah. Bagi pemerhati yang sifat nasionalisme ekstrim tidak begitu minati dengan Perikatan termasuk para pemimpin Pas yang dibacanya pemahaman itu bertentangan dengan prinsip agama.

Ternyata idea penggabungan tiga bangsa utama itu menerusi parti masing-masing membawa kejayaan. Bermula dengan Piraum (pilihan pertama) kewujudan Perikatan 1955, gabungan tersebut menang besar.

Daripada 52 kerusi Perikatan menang 51 kerusi atau 81/9% undi.  Pilihan raya 1959 Perikatan menang 54 daripada 104 kerusi atau 51.8% undi. Tahun 1964 menang 89 daripada 104 atau 84% undi dan 1969 menang 77 daripada 144 kerusi atau 48.4% undi.

Kemenangan dan keberkesanan pakatan itu (Perikatan) membawa sehingga pilihan raya selepas merdeka apabila Perikatan membuka gabungan itu kepada parti-parti lain menjadikan Barisan Nasional (BN) tahun 1974 berjaya menguasai Malaysia sehingga 2018, apabila kerajaan Umno-BN tewas.

Sebab lahirnya Pas.
Mengenai cetusan melahirkan Pas (1951) boleh dianggap ia berpunca daripada idea penggabungan Umno bersama MCA dan MIC menerusi Perikatan. Alasan ini kuat apabila mengambil kira Pas wujud selepas terbentuknya Perikatan 1951. Penubuhan Pas itu dari sudut lain boleh dilihat bahawa Pas sejak awal-awal lagi menolak untuk menyatu dan bersatu dengan bangsa lain dan rela mengambil jalan sendiri berjuang untuk membebaskan negara.

Bagaimanapun sikap bersendirian dan uslub politik Pas itu berubah apabila menyertai BN yang ditubuhkan tahun 1974. Tidak perlu disebut ulang kenapa Pas terbuka hati untuk menyertai BN. Penyertaan Pas ke dalam BN mengubah dimensi dan menambah ilmu siasah kepada parti agama itu.

Pas yang sebelum itu hanya menguasai Kelantan dan Terengganu (1959) dan hampir sifir untuk menguasai Dewan-Dewan Undangan Negeri lain. Setelah bergabung dalam BN baru ada wakil Pas di Dewan-Dewan Undangan Negeri lain. Dengan berpeluang berada dalam BN selama empat tahun ia memberi kesempatan kepada Pas untuk belajar dan mengenali politik dan strateginya. Dalam kata lain Umno (BN) adalah guru politik kepada Pas. Penyertaan itu juga mengenalkan Pas kepada realiti politik Malaysia.

Penyertaan Pas ke dalam BN membawa banyak rahmat dan hikmahnya. Ia menenangkan dan mendamaikan orang Melayu yang sebelum itu "dipecah pecilnya" dengan fahaman politik yang berbeza idealogi, sampai timbul isu kafir mengkafir. Tragedi 13 Mei 1969 adalah ilham berupa wahyu menelorkan BN.

Boleh dicatat period terbaik orang Melayu ialah dalam tempoh bermula BN itu 1971 hingga 1977, tepatnya selepas berlaku tragedi 13 Mei 1969. BN sendiri mencatat kemenangan besar dalam Piraum 1974 apabila menang di 135 kerusi atau 87.7% undi, pencapaian lebih besar daripada dicatat Perikatan pada tahun 1964.

Bagaimana pun keberadaan Pas dalam BN tidak lama, selepas itu Pas ditendang keluar. Serentak itu juga kedamaian dan ukhwah orang Melayu "runyai" semula dan politik Malaysia menjadi tidak jadi aman dan kedudukan BN tidak sestabil dahulu.

Walaupun ditendang daripada BN, Pas tetap tidak ugah. Ternyata perjuangan Pas satu perjuangan berakidah yang tidak mudah dilupuskan. Pas berjuang untuk membawa dan memastikan perjuangan Melayu tepat dengan kehendak agama yang dianuti mengikuti keyakinan dan kefahaman siasah mereka. 
Kalau Umno menjadikan Melayu (nasionalisme) sebagai ideologi, maka Pas menjadi agama sebagai ideologinya. Umno berjuang untuk memartabatkan bangsa Melayu, sama dengan perjuangan MIC dan MCA, sementara Pas pula untuk menegakkan Islam, syariah Islam. Bagi Pas ketika itu memperjuangkan bangsa (assobiyah) adalah batil.

Umno lebih melihat kepada kesatuan bangsa untuk membina negara, (atas tunjuk penjajah?) sementara Pas pula melihat kesatuan bangsa itu perlu dilandaskan kepada al-Quran dan al-Hadith. Pengaruh sekular, undang-undang peninggalan penjajah dilihat Pas perjuangan Umno sebagai tidak tepat dan tidak betul (perjuangan batil) kerana ia melawan dan perlu diperbetulkan. Adapun perjuangan Pas adalah perjuangan haq.

Semasa Pas bergabung dengan Umno menerusi BN, peluang untuk menyempurnakan jihad dan negara Melayu sangat baik. Disamping mengukuhkan bangsa, ia juga dapat meletakkan bangsa itu dalam persekitaran (tuntutan) agama yang kukuh. Pas dan Umno ketika itu dilihat sebagai dua pakar membina rumah agar kukuh, cantik dan menarik; seorang arkitek membina bangunan dan seorang lagi menjadi designer interior decoration. Umno membina kekuatan luaran bangsa, Pas mengisi kekuatan dalaman bangsa, memberi roh kepada Umno.

Termusnah.
Razak dan Asri dua tokoh penyatuan ummah dan
pembinaan negara.
Malang dan dukacita idea dicetuskan oleh Allahyarham Razak Hussein dan Mohd Asri Muda itu terlerai disebabkan hambatan tertentu yang tidak dapat disambungkan. Pas bersama Umno dalam ikatan BN hanya empat tahun sahaja. Tahun 1974 Pas terpaksa berpisah dalam paksa. Pemimpin yang mengambil alih kepimpinan Umno gagal meneruskan legasi Razak Hussein.

Selalunya begitulah lumrah manusia, kemenangan dan keseronokan menjadikan mereka mudah alpa kepada kesengsaraan yang pernah dihayatinya. Pemimpin terkemudian tidak mempunyai "political will" untuk meneruskannya muafakat itu. Kebahagian dan keralikan Umno dengan kemenangan demi kemenangan kandati pun Pas tidak bersama menyebabkan parti itu melihat Pas sebagai sampah dan pengganggu. Maka bagi Pas tanggapan Umno itu tidak dipedulikan, mereka terus bergerak sendiri tanpa pedulikan halangan.

Pas sebagai parti dagang tidak pernah berasa jemu dan lelah. Mereka terus menghayun perjuangan dengan penuh yakin dan sabar. Falsafah perjuangan bukan sahaja untuk mendapat kemenangan di dunia, tetapi mengharapkan kemenangan di akhirat (syurga) menjadikan pengikutnya kekal setia. Falsafah itulah menjadikan Pas tidak pernah goyah, dan para pengikutnya tidak pernah rasa terancam dan gentar dengan ugutan dan penindasan daripada Umno.

Kekalahan Umno.
Kekalahan dan kejatuhan kerajaan UBN dalam Piraum 2018 memberi kesedaran semula kepada Umno dan mulai melihat perlunya Pas. Piraum 2018 menginsafkan Umno. Pilihan raya itu adalah kemuncak kepada kesedaran apabila beberapa pilihan sebelum itu Umno sudah menampakkan pengaruh dan popularitinya merosot sejak meletusnya era Reformasi.

Bermula Piraum 1999 kekuatan Umno (BN) sudah tercabar. Bagaimana pun Piraum 2004 ia semacam pulih semula apabila berlaku perubahan kepimpinan dalam Umno daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi. Umno - BN dibawah pimpinan Abdullah Badawi melonjakkan semula pengaruh Umno, kerajaan UBN menguasai 2/3 parlimen.

Bagaimana Piraum 2008 dan 2013 meletakkan Umno dan BN dalam keadaan makin meruncing dan ternyata benar apabila berakhirnya kekuasaan Umno selama 61 tahun pada 13 Mei 2018. Kekalahan itulah menyedarkan Umno kepada kesilapannya dan menjadikan parti itu penasaran mengingati kembali kepada rakan yang dihina dan diperkecil-kecil selama ini, Pas.

Umno bernasib baik, saat dia mengingati Pas itu, Pas sedang membina kekuatan dan mahu bangkit bersendirian. Pas dengan alasan yang menghairankan telah memutuskan kerjasamanya dengan parti-parti pembangkang yang bernama Pakatan Rakyat. Perubahan pandangan politik Pas yang sebelum ini mempercayai Pas akan memperolehi manfaat politik dengan bergabung bersama parti lain termasuk DAP dalam Pakatan Rakyat diambil kesempatan oleh Umno apabila Pas berijtihad mereka tidak memerlukan DAP. Alasannya mudah kerana DAP khianat dan menyekat cita-cita Islamnya.

Sama ada Pas mempunyai pandangan politik sendiri yang dibahaskan peringkat dalaman atau terhasut oleh anasir atau musuhnya, itu soal lain, tetapi yang jelasnya tindakan Pas memutuskan kerjasama dengan DAP menyebabkan Pakatan Rakyat berkecai ini melegakan Umno yang sudah merasai dia berada dalam keadaan genting.

Allahyarham Nik Aziz dan Hadi.
Sesungguhnya tindakan Pas itu berani dan memelikkan. Ta'awun Pas yang dibentuk bersama DAP dan PKR sebelum ini kemudian diputuskan sesuatu yang memelikkan. Ramai berpendapat perubahan politik Pas itu berlaku apabila Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilihat spiritual leader mereka meninggal dunia. Pas yang kemudian dikuasai mutlak oleh Abdul Hadi Awang yang mentadbir Pas secara "mullah" membuat pendekatan dan strategi baru berbaik dengan Umno. Pas sudah melupai ajaran sebelum ini bahawa berjuang menegakan bangsa itu sebagai batil, jadi sebaliknya apabila Hadi menguasai Pas.

Perubahan dan tindakan diambil Pas itu tepat dan disyukuri Umno kerana parti itu juga memerlukan Pas. Kejadian itu, ta'awun Pas dengan Umno bagaikan orang mengantuk disorong bantal.

Walaupun ta'awaun - Muafakat Nasional antara Umno dengan Pas baru bermula, tetapi ia berjaya menunjukkan kejayaan dan keberhasilan. Kesannya dapat dilihat dalam beberapa siri Pirake dimana calon-calon disokong MN menang besar. Kemenangan itu menyakinkan kedua parti itu mereka dapat berhadapan dengan PH dan MN ada potensi.

Apabila kerajaan PH berjaya dikudeta dan pembentukan kerajaan PN atas sokongan MN, menyebabkan Pas dan Umno lebih yakin bahawa pakatan mereka ampuh. Kejayaan Pirake dan dengan runtuhnya kerajaan PH menjadikan mereka tidak sabar untuk melihat hasil besar di masa depan, menang dalam Piraum ke-15. Sebab itu desakan MN dengan alasan keadaan tidak stabil dalam kerajaan PH agar parlimen dibubarkan. Bagi Pas dan Umno, mereka mahu menguji kekuatan mereka dalam Piraum ke-15.

Hingga ke hari ini walaupun berada dalam kerajaan PN, tetapi keduanya, terutamanya Umno tidak berpuas hati. Mereka berasakan kebersamaan mereka dalam kerajaan tidak sesuatu yang hakikat. Mereka tetap mahukan parlimen dibubarkan untuk diadakan Piraum ke-15. MN begitu yakin akan menang.

Pas perlu memimpin.
Maksud tulisan saya ini, adalah untuk melihat Pas dan peranannya dalam pilihan raya itu kelak. Pas harus sedar dan tahu nilai diri yang ada kepadanya saat ini. Bahawa orang sudah melihat jika Pas tidak membantu Umno yang keadaanya sudah bersendirian setelah 13 buah parti gabungan BN meninggalkan gabungan itu, nasib Umno sudah seperti mantari petang, yang sudah hendak masuk ke lubuk peraduan.

Tetapi dengan adanya Pas dan sedia membantu parti Melayu itu ia membuka peluang kembali kepada Umno. Sebab itu para pemimpin Umno berterima kasih tidak terhingga kepada Pas. Kalaulah tidak menjadi satu kesalahan Umno persis mahu sujud dan sembah kaki Pas.

Dalam kapasiti itu, maka elok kalau Pas mengambil peluang dan tahu menghitung dirinya sendiri. Pas perlu sedari kelebihan yang ada kepadanya. Tidak jadi kesalahan, kalau Pas merasakan bahawa ketika ini partinya yang paling ampuh dan kukuh. Buktinya parti itu tidak mengahdapi apa-apa kerenah dan masalah sesama sendiri seperti parti-parti lain. Parti lain, Umno, PKR, DAP, hatta AMANAH semua berhadapan dengan kerenah, ada ahli dan wakil rakyat yang belut tetapi tidak dengan Pas. Ini menunjukkan Pas sebuah parti yang teguh dan mampan.

Justeru tidak salah dengan kondisi itu kalau Pas mengambil kesempatan bersiap untuk jadi pemimpin. Pas perlu tahu kelebihan dan keistimewaan dirinya mereka dalam MN yang ada sekarang. Pas tidak perlu merasa rendah diri (inferiority complex) lagi seperti dahulu kepada Umno. Bertolak daripada itu elok kalau Pas memimpin Piraum akan datang. Umno dan parti-parti lain yang menumpang nyawa dengan Pas perlu bagi peluang dan menerima hakikat kelebihan Pas ini.

Sedar atau tidak Pas hari ini menguasai tiga buah kerajaan negeri; Kelantan, Terengganu dan Kedah di samping menjadi penimbal kerajaan Perak, Pahang dan Johor. Kedudukannya hampir sama dengan Umno yang menguasai Perlis, Pahang dan Johor. Dengan kedudukan itu Pas berhak dan diberikan peluang untuk memimpin pilihan raya dimana sekiranya PN menang Pas berhak diberikan jawatan tertinggi negara termasuk selaku perdana menteri.

Pas tidak perlu merasa rendah diri dan bersikap terlalu tasamuh. Apa dilakukan oleh GPS Sarawak boleh dilakukan oleh Pas atau mengambil pengajarannya. Pengerusi GPS Abang Johari Openg telah menuntut agar mereka diberikan 1/3 kerusi parlimen. Dengan peruntukan itu GPS bersama Sabah boleh menjadikan kuasa tarik tali yang besar dengan Semenanjung. Apa dituntut Johari Openg itu adalah suatu political will yang patut juga ada kepada Pas.

Nah, Pas juga berhak berbuat demikian. Dalam Piraum akan datang wajar Pas mendesak Umno (MN) memberi sekurang-kurang 1/3 kerusi parlimen untuk ditandingi Pas. Pas perlu bertanding di kira-kira 60 hingga 75 kerusi parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak. Umno kena akur dan pertimbangkan berdasarkan logik, kemampuan dan wibawa Pas.

Ada kebaikan buat Pas dan MN kalau Pas diberi peluang itu. Kerusi yang akan ditandingi Pas tidak akan bermasalah seperti mana kerusi diberikan kepada Umno atau Bersatu kerana ia tidak bertindih kepentingan. Bahkan mana-mana kerusi yang jelas akan berlaku perebutan di antara Umno dengan Bersatu kerana menuntut hak tradisi yang sama elok diserahkan kepada Pas sebagai jalan tengah dan penyelesaian.

Berdasarkan realiti dan perkembangan itu Pas harus bersiap sedia untuk melakukan itu, menjadi pemimpin pilihan raya akan datang. Kewajaran itu bukan sahaja kerana Pas dilihat parti yang kukuh, tidak bermasalah, tetapi dari segi usia perjuangannya wajar kalau Pas mengidamkan itu dan dihormati oleh parti-parti lain. Dan Pas tidak perlu malu sebab Pas cukup pra-syarat dan syarat wajibnya.

Kekuatan Pas akan bertambah sekiranya parti itu sedia memaafi pemimpin mereka yang meninggalkan perjuangan dan menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah). Amanah mungkin bukan ancaman kepada Pas, tetapi dengan mengajak Amanah bersama, ia akan tambah menguatkan Pas. Hari ini sahaja kalau Amanah bersama Pas, Pas sudah memiliki 29 kerusi Parlimen, dimana kalau angka itu kekal Pas hanya memerlukan kira-kira 40 buah kerusi sahaja lagi bagi menguasai 1/3 daripada 22 kerusi Parlimen.

Jangan sesekali menjadikan hubungan Pas dengan Amanah seperti kedudukan syurga dengan neraka yang kontras berbeza. Sebaliknya jadikan hubungan mereka seperti sungai dengan lautan. Seberapa kuat air sungai mengalir ia akan bertemu dan bertangkup juga di samudra. Maka carilah muka kuala untuk mempertemukan air sungai dengan air laut itu.

Yang penting Pas janganlah berpuas hati setakat mahu jadi penasihat atau king maker semata-mata tetapi harus ubah berganjak mahu menjadi pemerintah. Dan kelebihan kini ada kepada Pas. [wm.kl.9:55 am 17/07/2020] 

No comments: