Saturday, September 5, 2020

Amanah perlu bangga penyertaan Dr Kamil Abdul Majid

ULASAN 

Husam menyambut penyerahan borang
oleh Dr Kamil.
  
KIRA-KIRA dua bulan lalu Senator Husam Musa tiba-tiba bertanya saya tentang Prof Dr Mohamad Kamil Abdul Majid (Ustaz Kamil). "Anta kenal Ustaz Kamil Abdul Majid," tanya beliau ketika itu kami sedang minum kopi di Jalan Ipoh. 

"Dia adik kepada Dr Mahmood Zuhdi?" sambungnya lagi sambil memberi pencerahan.

Secara jujur saya tidak mengenali rapat dengan Ustaz seorang ini dan hanya tahu yang beliau seorang cendekiawan Islam yang tinggi ilmunya. 

Apabila Husam beri tahu Ustaz Kamil adik beradik kepada Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid baru saya teringat. Tentang Mahmood Zuhdi ini saya cukup kenal, terutamanya sejarah dan "skemanya" dalam politik Pas suatu masa lampau. 

Apabila Husam bertanya tentang Ustaz Abdul Majid itu lantas saya teringat kepada suatu program live berupa sembang santai di antara Dr Kamil dengan Dr Mahmood Zuhdi. Majlis itu satu cara mengilmukan media sosial. Persoalan mengenai teologi, penjelasan, berhubung qaul, amalan tarikat, pencerahan berhubung beberapa istilah agama yang samar dan terkeliru serta sebagainya.

Program itu bagi saya wajar diperluaskan dan dengan kepakaran yang ada kepada kedua adik beradik itu dapat membantu pelayar media sosial. Ia disiarkan pada setiap Jumaat. 

Dalam program itu Mahmood Zuhdi bertindak sebagai moderator, penanya sementara Dr Kamil pula bertindak sebagai panel menjawab berbagai persoalan dikemukakan Mahmood yang berkisar kepada persoalan semasa yang bergeliwatan dalam masyarakat.

Tidak tahu maksud.
Husam tidak menjelaskan untuk apa dia bertanya saya mengenai hal Dr Kamil itu. Tiba-tiba pula beliau membangkitkannya. Cuma saya terfikir apabila beliau melontar sesuatu yang agak asing, maka adalah natijah dan tujuan itu. Husam jarang sekali melawak atau bercerita tanpa tujuan dan maksud. 

Saya sangat mengenali manusia bernama Husam ini. Kerana sifat dan sikap tidak suka bercanda dan membuang masa itulah maka orang mudah "lengguh" dengannya. 

Pertanyaan Husam tentang Ustaz Kamil itu berlalu begitu sahaja, kerana tidak ada susur lanjut selepas itu. Kalau pun ada, beliau pernah menyebut ingin mengunjungi rumah dianggap gurunya itu, dan saya tidak memberi reaksi serius. 

Kemusykilan saya itu baru hari ini terjawab apabila Dr Mohamad Kamil, (Ustaz Kamil) telah mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Amanah Negara (Amanah), yang berlangsung sempena peluncuran Tanwir Amanah peringkat Negeri Kelantan yang disempurnakan oleh Naib Presiden Amanah Dr Mujahid Yusuf. 

Ustaz Kamil telah menyerahkan borang penyertaannya dengan disambut oleh Naib Presiden Amanah Husam Musa. Menyedari itu baru saya mengerti bahawa pertanyaan Husam mengenai Ustaz Kamil tempoh hari ada kena mengena dengan apa berlaku hari ini. 

Dengan berlangsungnya majlis itu pada pagi tadi, terjawablah pertanyaan saya. Rupa-rupa pertanyaan Husam kepada saya tempoh hari adalah beliau ingin mengkhabarkan beliau sedang merisik untuk membawa gurunya itu turun ke gelanggang siasah, menjelajahi perjuangan yang semakin mencabar waktu ini dan memerlukan ilmuan dan ulama seperti Dr Kamil itu. 

Mungkin Husam sudah menilik Dr Kamil sesuai dan mampu dibawa untuk jadi bulan dan mentari ke dalam Amanah dan gelanggang politik. Dr Kamil merupakan seorang pensyarah di Akademik Islam Universiti Malaya selama 35 tahun dan pernah menjadi Timbalan Dekan Usuluddin dan menyandang lain-lain jawatan.

Mengenai penyertaan Dr Kamil ke dalam Amanah ini sedikit menyentakkan saya. Tidak terfikir saya macam mana beliau memilih Amanah dan tidak parti-parti lain, semisalnya parti Pas parti yang pernah dianggotai oleh abangnya Dr Mahmood Zuhdi. Bukan kecil jawatan dipegang oleh Dr Mahmood dalam Pas sehingga beliau pernah menjadi Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan. 

Ataupun disebabkan Dr Mahmood Zuhdi selepas berpisah dengan Pas sekitar tahun 1970-an, lebih mesra dengan Umno, sepatutnya Dr Kamil bersama abangnya. Tetapi ternyata tidak. Ini satu kepelikan dan merupakan tuah buat Amanah kerana menjadi wadah pilihan seorang cendikiawan bertaraf ulama itu. 

Dalam mengenangkan inilah maka saya teringat akan sesuatu yang istimewa ada kepada Husam dalam melakukan diplomasi dan rundingan. Apakah kesediaan Dr Kamil untuk mengisi kekosongan jiwa juangnya itu dengan memilih Amanah sebagai wadah atas inisiatif Husam? Bukan perkara mudah untuk menarik Dr Kamil ke dunia politik.

Sebahagian yang hadir di majlis peluncuran
Tanwir dan penyertaan Dr Kamil ke dalam Amanah.
 
Apapun apabila beliau memilih Amanah sebagai wadah bererti Amanah lebih serasi dengan jiwa dan naluri perjuangannya. 

Dasar, konsep dan idealisme Amanah lebih dipercayai Dr Kamil daripada partai lain. Justeru Amanah perlu merasa bangga dan bertuah menerima kehadiran Dr Kamil.

Amanah tidak perlu lagi berasa rendah diri bila melihat ratusan cendekiawan dalam Pas. Yang ternyata kecendekiawan Dr Kamil lebih hebat dengan ustaz-ustaz atau ulama "cendawan" dalam Pas yang bertutur tanpa fakta dan dalil-dalil akurat. 

Sesungguhnya Amanah harus berasa bangga kerana parti itu mendapat tempat dihati seorang ilmuan seperti Dr Abdul Majid. Sekali lagi saya ulangi semoga Parti Amanah menjunjung dan meletakkan keberadaan Dr Kamil dalam parti itu sesuai dengan nilainya. Erti dan maknakan kesediaan Dr Kamil untuk berjihad dalam Amanah tanpa ada apa-apa keraguan lain. Selamat. [wm.kl. 6:05 pm 05/09/2020] 

No comments: