Saturday, September 26, 2020

Pas - Umno bergomol atas ranjang

MENCERAP KABUS

Takiyuddin SUA Pas kurang profesional.
KENYATAAN akhbar lima perenggan dikeluarkan Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan hari ini yang meminta Umno membuat penjelasan berhubung desas desus ada peralihan beberapa orang ahli parlimen Umno menyokong Anwar Ibrahim secara tidak langsung mendedahkan ada sesuatu yang tidak kena berlaku di antara Pas dengan Umno. Kenyataan akhbar itu membuka daun pintu rumah Pas dan Umno bagi membolehkan orang luar melihat apa yang ada di dalamnya.

Kenyataan itu sebenarnya kurang bijak dan tidak pantas, dan inilah kegagalan Takiyuddin  Hassan sebagai seorang Setiausaha Agung yang profesional. Jawatan itu merupakan organ penting dalam sesebuah parti yang bertanggungjawab menjaga kestabilan parti dalam mata publik. 

Sebagai seorang SUA beliau seharusnya bijak membaca angin dan alur politik bagi mengelakan sesuatu yang cacat terdedah kepada umum. Takiyuddin seharusnya bersikap diam dan tidak mudah latah membuka daun jendela rumah dengan gesaan kepada Umno itu.  

Untuk apa beliau membuat kenyataan akhbar kemudian disebarkan kepada umum? Dari satu sisi ia seperti mahu menghantar mesej rasa tidak puas hati dan keraguan Pas kepada Umno terhadap setiakawan dalam Muafakat Nasional (MN). Sisi kedua ia semacam sengaja dilakukan untuk memanaskan hati Umno kemudian marah kepada Pas. Mungkin Takiyuddin ada motif tersendiri dengan ulahnya itu. 

Apapun kedua-dua tujuan itu semacam saling kait mengait untuk menggapai tujuan tersirat yang dikehendaki Takiyuddin. 

Riak risik.

Sebelum ini sudah terdengar riak risik mengenai hubungan Pas dengan Umno tidak begitu "lendik" dan seintim sebelum wujudnya kerajaan PN. Sebelum ini Pas dilihat bergotel bulat dan berpalut "le'et" bergedik dengan Umno. Keintiman Pas dengan Umno dalam MN juga disenangi dan diperhatian penuh minat banyak pihak khususnya Melayu dan Islam. Mereka berharap muafakat itu membawa hasil sampai kepada kewujudan kerajaan MN secara total.

Tetapi setelah ada kerajaan PN, dengan Bersatu pemain peranan utama, menjadikan hubungan dan keintiman itu retak. Bersatu boleh disifatkan sebagai "mancukari" atau orang ketiga berada di antara Pas dengan Umno. Sejak kehadiran Bersatu tanpa dirancang itu Pas sudah pandang lain macam kepada Umno.

Jawatan menteri kabinet dan pengagihan pengerusi GLC, pemberian wang atas nama bantuan prihatian kepada setiap wakil rakyat dikhabarnya mencecah jutaan ringgit menyebabkan Pas berubah perangai dan sikap. Pas mula melihat Bersatu atau PN lebih baik buat mereka berbanding dengan MN yang tidak dapat memberi apa-apa sumbangan. Soal material mula menjadi perhitungan Pas.

Kesedaran Pas kepada kepentingan berada dalam kerajaan ini terlewat. Kalau Pas awal-awal lagi menyedari hakikat ini Pas mendapat laba lebih daripada apa diperolehi sekarang kalau ia bersama kerajaan PH sebelum ini. Inilah Pas. 

Walhal kalau Pas mengenal dirinya, mereka akan mendapat laba dan kedudukan lebih bermaruah daripada itu. Kalau Pas kenal diri dan ketahui aset yang ada kepadanya parti itu akan menjadi parti nombor wahid di negara ini. Sekiranya ia berada dalam PH sudah tentu ia menjadi harapan Melayu dan Islam sekaligus menunjangi kerajaan berkenaan. 

Perubahan sikap Pas ini mula disedari Umno apabila Pas bersetuju dengan cadangan Muhyiddin untuk membentuk Perikatan Nasional (PN) secara sah. Pas diam-diam telah menyetujui idea itu walaupun rakan mereka (Umno) menentang. Umno mahu Pas kekal hanya bersamanya dalam MN bukan berpaut kepada PN dan Bersatu. Tetapi Pas tidak mempedulikan itu, diam-diam bermuafakat pula dengan Besatu dalam PN, kerana itu Pas dituduh bermain dalam dua kolam. 

Padahal Presiden Umno Zahid Hamidi sudah menegaskan kerjasama antara MN dengan PN hanya diperingkat Parlimen bukan dalam kerajaan. Ertinya Umno menyokong Muhyiddin untuk menjatuhkan Mahathir semata-mata bukan kekal hingga ke pilihan raya, apa lagi berpakat pula dalam PN. 

Zahid atau Umno membaca apa yang akan berlaku seterusnya, yang Umno akan jadi mangsa kepada Bersatu. Apabila bekas presiden Umno Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta menyebabkan Umno dan Zahid makin tawar dan meragui Muhyiddin. Baginya kerajaan PN disokongnya tidak membawa keuntungan. Muhyiddin yang disokong tidak dapat mengubah keadaan Najib di mahkamah. 

Tanpa mengaris kasarkan sokongan Umno kepada Muhyiddin menubuhkan PN hendaklah bersifat beri dan membalas. Budi yang diharapkan Zahid kepada Muhyiddin ialah menyelesaikan kes-kes tuduhan terhadap Najib dan dirinya di mahkamah. Tetapi nampak itu tidak berlaku menyebabkan keyakinan Zahid kepada Muhyuddin tergalar, dan menganggap pertolongan berguna itu disia-siakan. 

Bagaimana pun prinsip dan pendirian Umno itu tidak dipedulikan Pas, sebaliknya Pas membuat pendirian sendiri yang sehingga melupa janji-janji asal bersama Umno. Sikap Pas inilah bagi Umno yang parti itu tidak boleh dipercayai, dan boleh dianggap sebagai kawan makan kawan

Paling ironis saat Umno tolak perwujudan PN, Pas diam-diam menghantar wakilnya untuk menjadi ahli jawatan kuasa PN untuk didaftarkan. Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali dan ahli Parlimen Kubang Kerian Tuan Ibrahim Tuan Man difahamkan dinamakan sebagai mewakili Pas menjadi AJK penaja PN. Tentulah Takiyuddin sebagai Setiausaha Agung sebagai Ketua Sekretariat bersama. 

Bagi Umno ada alasan kemas kenapa mereka tidak mahukan kepada Bersatu. Istilah Bersatu sebagai Ular Lidi yang hendak menelan Umno sebagai Ular Sawa menggambarkan kebimbangan dan ketakutan Umno kepada Bersatu. Justeru Umno perlu lebih berhati-hati dan cekap bermain game politik. Menurut Tengku Razaleigh tidak ada standrad untuk Umno berkerjasama dengan Bersatu.  

Dalam Umno wujud tiga kumpulan yang berpandangan berbeza dan mempunyai matlamat politik juga berbeza. Satu yang mahu bersama Bersatu menerusi PN, satu kumpulan yang mahu bersama Pas menerusi MN. Dan satu lagi berada di jalan tengah, asalkan mereka untung, mereka terima baik PN atau pun MN. Keadaan dan perbezaan pandangan ini menyebabkan Umno kini berpecah kepada tiga kabilah.

Dengan senario yang sudah berlaku itu maka tidak hairan kalau Takiyuddin mengeluarkan kenyataan mendesak Umno itu yang dianggap tidak sporting. Dapat dirasakan dipihak Takiyuddin beliau mahu Pas bersama Bersatu dan Muhyiddin berbanding dengan bersama MN dan Zahid Hamidi. Dari sisi lain pula menjelaskan yang Pas sebagai hipokrit.  

Ekoran kenyataan Takiyuddin itu kini timbul perdebatan sesama sendiri. Pemimpin Umno mula mempersoalkan niat dan tujuan Taikyuddin. Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki turut  menempelak Takiyuddin yang meminta Umno membuat penjelasan dengan mengatakan Umno juga ada soalan untuk ditanya kepada Pas. Ertinya pesefahaman Pas dengan Umno makin menirus.  

Soalan yang hendak dikemukan Asyraf itu tentullah berhubung kerjasama intim Pas dengan Bersatu. Konotasi daripada pernyataan Asyraf itu seperti memberi gambaran yang Umno juga tidak mempercayai Pas. 

Sebenar pertelingkahan antara Pas dengan Umno ini sudah diramal awal-awal. Parti itu tidak akan dapat bersama kerana keduanya dilandasi amarah manusia politik yang membuak-buak, bukan berlandaskan perjuangan dan idealisme. Idealisme dan perjuangan hanya tipuan semata. 

Betapa mereka bermuafakat akhirnya akan berpecah juga. Sejarah 1974 sewaktu pembentukan Barisan Nasional (BN) menjadi cermin ingatan yang jelas. Pas seketika sahaja bersama Umno dan selepas menang ia ditendang keluar. 

Apa yang berlaku itu menjadi phobia kepada Pas dan munasabah kalau Pas masih terbayang dengan apa yang berlaku itu dan dengan membuat persiapan awal untuk meninggalkan Umno. Dalam perkiraan Pas mereka lebih percaya kepada Bersatu daripada Umno. Kesimpulan desakan Takiyuddin itu adalah sebagai satu tektik untuk Umno marahkan Pas kemudian akan berpisah dan bernikah dengan Bersatu. 

Bolehlah dirumuskan sini kemusnahan rumah tangga Pas dengan Umno (MN) kerana hadirnya orang ketiga yang menjadi mancukari, yakni Bersatu. Pas merasakan Bersatu lebih ganteng dan bertenaga sehingga meremehkan Umno sebagai inpoten. Akhirnya kerana persepsi dan gejolak nafsu itu menyebabkan keduanya kini bergomol atas ranjang untuk mencari kepuasan. Huhu. [wm.kl. 7:43 am 26/09/2020]

No comments: