Friday, February 11, 2022

"Rakyat Hakim Pru-15" gerakan politik tanpa parti

 Catatan Perjalanan.

Sembang dengan Basir Ismail di Jitra.
KELMARIN saya ke negeri Jelapang Padi, Kedah Darul Aman. Bukan ada apa-apa pun, sahaja jalan untuk melepas angin dan makan angin. Duduk di ibu Kota Kuala Lumpur tanpa keluar tidak sedap juga. Jadi keluarlah untuk ambil angin. 

Kedah antara negeri yang menjadi kesukaan saya, seronok berada di sana, selain daripada dapat melihat bentangan sawah padi menghijau, terhibur juga melihat sepak terajang politik di negeri itu.  

Tidak banyak beza pendekatan, cara berpolitik orang Kedah berbanding dengan orang Kelantan. Cuma dari sudut "sosiologi" dan "antropologi", saya melihat orang Kedah lebih exstraem daripada orang Kelantan. Orang Kelantan pula lebih terbuka, fleksiblel berbanding dengan orang Terengganu yang fanatik gila. 

Kenapa saya katakan orang Kedah ekstrem, ada beberapa bukti peristiwa dan kejadian yang agak sadis membabitkan politik. Contoh klasiknya ialah peristiwa atau tragedi Memali. Dan kenapa pula orang Terengganu lebih fanatik, kerana di sanalah berlakunya kejadian mengkafirkan sesama sendiri kerana kepentingan politik. Di Terengganu ada dua buah masjid berdekatan dan ada dua cangkul di satu kuburan.  

Mungkin ada yang mengira saya ke Kedah untuk meninjau suasana politik di sana yang kini diperintah parti agama (Pam) untuk kali kedua. Sebelum ini parti arwah chek itu sudah pun memerintah sempat sepanggal sahaja sebelum dirampas semula oleh Umno. Dalam usaha parti agama itu bekerja keras untuk merampas Kedah saya juga sedikit sebanyak memberi sumbangan dengan membuat laporan mendedahkan kerakusan kerajaan BN dibawah pimpinan Mukhriz Mahathir. 

Saya menghabiskan masa seminggu menyelongkar isu-isu berhubung pembangunan yang menjejaskan kehidupan rakyat negeri itu, antaranya pengubahan status tanah sawah kepada industri dan perumahan. Beratus hektar tanah padi bertukar status. Ketika itu Allahyarham Azizan Razak bekas MB dan Ir Phahrolrazi Zawawi bekas anggota Exco dan kini Adun Alur Mengkudu yang menjadi juru pandu saya.  

Kini hasil kerjasama dengan Umno dan parti kuping Umno, (Bersatu), parti itu diberi peluang untuk memimpin kerajaan Kedah kali kedua dimana MBnya daripada parti itu. Tetapi kerajaan kali ini bukan kerajaan yang gentlemen seperti dibentuk sebelum ini kerana ia dibina atas persepakatan hasil daripada pengkhianatan. Titik tolak pembentukan kerajaan Kedah hari ini apabila Bersatu meninggalkan PH dan bergabung dengan Pas dan Umno. 

Sehari dua ini mata para pemerhati politik tertumpu ke Kedah apabila Dun Johor dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya diadakan. Pirane Johor sudah ditetapkan pada (...). Ramai juga pemerhati dan pemain politik partisan mengira selepas ini Dun Kedah pula akan dibubarkan. 

Pembubaran Dun Johor itu walaupun atas alasan kerajaan ketika itu bagaikan telor di hujung tanduk, tetapi motif sebenarnya kerana Umno yakin mereka akan berjaya membangun semula kerajaannya yang runtuh pada 2018 itu. Lantas pilihan raya negeri perlu diadakan untuk mengembalikan maruah Umno. Keyakinan Umno untuk mengembalikan kerajaannya apabila mereka berjaya mengambil Melaka dalam pilihan raya baru-baru ini. Jadi kini Umno sedang berusaha untuk memulihkan kedudukannya di Johor pula. 

Rentetan itu orang mengira, selepas Johor giliran Kedah. Teori dominan akan berlaku, Umno akan mengutip kekuasaanya yang hilang satu persatu. Sejauh mana ia berkemungkinan  akan berlaku? Kita bincang dalam waktu lain. Tetapi awal-awal saya nyatakan Dun Kedah tidak akan mudah untuk dibubarkan seperti Dun Melaka dan Johor. Kenapa? Kerana keberadaan Umno tidak dominan seperti di Melaka dan di Johor. 

Realiti hari ini Umno hanya mempunyai dua kerusi sahaja di Kedah. Pas lebih dominan berbanding dengan parti lain dengan memiliki 15 kerusi sementara Bersatu ada enam (6) kerusi. 

Jadi dari sisi politik di Kedah tidak ada apa-apa yang menarik dan mengejutkan.  Maksudnya kerajaan PN tidak akan tumbang dalam masa terdekat ini. 

Neratif Baru Politik.

Tetapi ada sesuatu yang boleh dijadikan cerita sebagai ole-ole dari Kedah ini. Iaini mengenai kewujudan satu gerakan yang berusaha untuk melatar atau memberi neratif baru kepada politik negara. Neratif baru itu ialah, politik negara tidak perlulah bergantung seratus peratus kepada parti-parti politik, sebaliknya ia hendaklah digerakan bersama oleh rakyat sivil tidak berparti. 

Kesedaran gerakan ini selepas kepercayaan kepada parti politik untuk mentadbir negara ini difikir sudah tidak relevan. Dan bagi pembentukan sesebuah negara tidak perlu menjadi tanggungjawab parti politik seratus peratus. Penglibatan rakyat dalam pembentukan negara menerusi parti politik tidak sampai separuh pun daripada jumlah penduduk negara ini. 

Sebaliknya menerusi gerakan berkenaan lebih ramai lagi komuniti rakyat terlibat dengan pembangunan negara khususnya dalam menentukan kepimpinan berkualiti dari berbagai bidang. 

Gerakan berpusat di Jitra ini diusahakan sekumpulan aktivis diketuai oleh bekas aktivis Pas Kedah, sdr Basir Ismail yang baru-baru mengumumkan beliau telah berhenti daripada menjadi ahli Pas.

Semasa di Jitra saya sempat berjumpa dengan beliau dan mendapat penerangan serba ringkas mengenai maksud dan tujuan serta agenda gerakan tersebut. Katanya gerakan yang dinamakan sebagai Rakyat Hakim PRU-15 itu mahu menjadikan rakyat sebagai kuasa penentu hala cara politik negara ini dalam pilihan raya umum akan datang. Gerakan itu akan dijadikan gerakan massa secara global dimana ia akan mengudang seluruh Ngo yang yang ada. 

Gerakan Rakyat Hakim PRU-15 itu juga menurutnya melewati sempadan warna dan ideologi politik. Golongan profesional, kalangan teknokrat, birokrat akan dijemput bersama bagi menyumbangkan idea dan memanfaatkan pengalaman mereka untuk negara. 

"Gerakan ini tidak memihak kepada parti-parti politik, akan bergerak menjadi pemandu kepada parti politik serta memainkan peranan sama dalam pembentukan negara, khasnya memilih pemimpin," ujar Basir. Yang menarik sebut Basir, gerakan rakyat ini akan memilih calon-calon dalam pilhan raya mengikut hatibudi dan dari kacamatanya sendiri bukan semata-mata parti. 

 Mekanisme untuk menggerakan gerakan itu sedang disusun. Buat masa ini ia masih dalam peringkat portem. Menurut Basir insya-Allah pembentukan diperingkat nasional akan dimulakan dalam masa terdekat. 

Saya akan cuba memberi dan melaporkan lebih detail lagi mengenai kewujudan gerakan rakyat ini di masa lain. [wm.kl.7:37 pm 11/02/2021] * tanpa edit/


No comments: