Tuesday, February 22, 2022

Pas jangan terus biarkan Hadi jadi Kaduk

 ULASAN

Usah biarkan Hadi jadi kaduk.
SAYA tidak tahu sampai bila parti agama (Pam) akan membiarkan presidennya Abdul Hadi Awang melalut alias "mengapur", tanpa tentu fasal yang gara-garanya bukan menjatuhkan martabatnya sebagai presiden, tetapi secara tidak langsung turut mencalarkan imej parti itu sebagai parti agama. Pam adalah parti kedua tertua selepas Umno seharusnya mempunyai leadership cukup bertamadun.

Kenyataan, pandangan, ulasan dan keputusan-keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi akhir-akhir tidak menggambarkan kemantapan daya akal intelektual beliau sebagai pemimpin. Kemusyidannya sebagai pemimpin kian tumpul dan ada kalanya mengelirukan. 

Ada kalanya lagak dan fiilnya seperti bebudak, nakal dan menghiburkan. Ada sesetengah kenyataan politiknya bersifat menghibur bukan lagi mendidik jauh memberi pencerahan. Pandangan dan kritikannya kosong dan hampa. Ia bukan lagi dijadikan titik renungan tetapi bahan sendaan dan gurauan semasa memancing seluang. 

Ada masanya beliau menjadi seperti tukang lawak jenaka di pentas menghiburkan peminat politik. Juga macam burung tukang yang menukang tetapi rumah tidak menjadi. Orang suka dengan jenaka politiknya dan analogi-analogi politik dibuat olehnya yang mengutip sekalian binatang dan hewan dalam belantaran dan lautan menjadikan beliau lebih sesuai menjadi ahli zoologist. Orang mengikuti ucapannya bukan untuk dijadikan bahan berfikir tetapi bahan lawak. 

Terbaharu ada dua ulasan atau pun keputusan yang beliau buat mencerminkan kemandulan intelektual politik beliau sebagai presiden sebuah parti.

Apa yang berlaku, kenyataan dan tindakan itu mencemarkan martabatnya sebagai presiden. Pertama ialah keputusan memecat ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU). Beliau menjelaskan kemudian pemecatan Khairuddin itu disebabkan masalah disiplin? 

Khairuddin berniat baik.
Tanpa menghurai lanjut apakah kesalahan disiplin itu, tindakan itu menggambarkan kegelojohan (arrogant) diri beliau dan ada elemen diktator dalam tindakan itu. Beliau seakan menggunakan sepenuhnya kedudukan sebagai presiden untuk bertindak ke atas Khairuddin tanpa melihat kepada perlembagaan yang merupakan kitab hidup Pas. Walhal kuasa dan kehebatan jawatan presiden itu diperuntukan oleh perlembagaan. 

Menurut perlembagaan beliau sebagai presiden tidak ada kuasa memecat Setiausaha MSU. Yang berkuasa memecat Setiausaha MSU ialah Mursyidul Am, yakni orang yang juga bertanggungjawab dan berkuasa melantik Setiausaha itu setelah seseorang itu sudah menjadi ahli MSU. 

Jadi apabila Abdul Hadi mengisytiharkan yang Khairuddin sudah dipecat sebagai Setiausaha MSU menunjukkan beliau tidak menghormati kuasa  amanah Mursyidul Am yang ketika ini Hashim Jasin. Dua salah laku serentak Hadi disini, pertama salah menggunakan kedudukannya dan tidak menghormati keberadaan Hashim Jasin sebagai Mursyidul Am sebagai badan tertinggi dalam Pas.

Sebenarnya isu yang menimpa Khairuddin itu besar. Besar bukan kerana Khairuddin dipecat atas alasan disiplin seperti mana dakwa Hadi, tetapi kerana perlanggaran Perlembagaan Pas. Hadi terang-terang mendahului perlembagaan Pas dan tidak menghormati Mursyidul Am yang mempunyai kuasa melantik Setiausaha. Apakah peranan dan martabat Hashim Jasin selaku Mursyidul Am pada masa ini sudah tidak jadi seagung dahulu lagi? 

Hari ini Khairuddin telah mengumumkan meletak jawatan sebagai Setiausaha MSU mengikut Fasal 8(7) dan Fasal 8(5) Perlembagaan PAS. Alasan diberikan kerana untuk mengelak berlaku krisis perlembagaan dalam Pas kerana menurutnya pemecatan beliau seperti dimumkan Hadi itu sebagai tidak sah.

Memahami kenyataan Khairuddin itu, bahawa perngisytiaran oleh Hadi Awang itu yang beliau telah dipecat, ertinya belum terpecat kerana dibuat tanpa sah. Bermaksud pemecatan itu seperti orang yang mendirikan solat tanpa berwuduk. Kalau pun ghairah hendak solat kena ambil wuduk dulu. 

"Pada mesyuarat itu, saya meletak jawatan secara rasmi bagi menjaga keharmonian parti dan meraikan hasrat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mahu menghantar orang lain menjadi ahli Majlis Syura,” katanya dalam sebuah laporan dipetik.

Tindakan Khairuddin itu satu tindakan terpuji dan baik untuk menjaga maruah parti dan juga presiden. Ia sebagai satu pengorbanan kepada jemaah. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mungkin sudah berbincang dengan kumpulan atau rakan-rakan terdekat yang bersimpati dengannya untuk tidak mempertikaikan kenyataan pemecatannya oleh Hadi itu, apa lagi membawa ke mesyuarat sehingga menyebabkan Perlembagaan Pas perlu dibuka untuk tidak mengaibkan Hadi.

Tindakan dan tujuan itu adalah baik, bahawa Khairuddin masih ada rasa hormat, bersikap terbuka dan sayangkan kepada jemaah (parti) Pas dan tidak mudah terikut dengan emosinya. Sikap itu terpuji.

Kalau itulah cara dan tujuannya, bagaimana pun ia bukan satu pengislahan yang betul. Benar Khairuddin tidak mahu menimbulkan kerepotan dalam parti, dan mahu partinya tenang dan harmoni, tetapi kalau nawaitunya berbuat begitu sampai menggadaikan kesucian dan kemuliaan Perlembagaan kerana hendak menjaga kedudukan dan air muka presiden ia bukan satu tindakan yang tepat. Bahkan satu kekhilafan pula.  

Khairuddin boleh bersikap tasamuh dan berbesar hati begitu jika di pihak lain juga sedia berbuat demikian. Tetapi kalau hanya di pihak Khairuddin sahaja memikirkan masa depan parti tetapi tidak yang lain, ia sia-sia. Tidak ada guna kita menimbul jerami kalau orang lain membakarnya.  

Dengan mengambil sikap begitu juga, kesalahan Abdul Hadi lakukan itu tidak tertebus. Ia tidak akan memberi apa-apa kesan dan impak kepada Abdul Hadi khasnya dan kepada parti amnya. Apa dilakukan presiden parti itu akan dijadikan precedent di masa akan datang. Sebaliknya ia lebih malang buat parti kerana perlembagaan atau institusi MSU yang merupakan institusi atau (harakat) tertinggi sudah tidak diindahkan lagi.

Ditegaskan sekali lagi cara kaedah diambil Khairuddin itu terpuji tetapi ia tidak dapat mengislahkan parti berada di landasan sebenar. Sebaliknya juga ia akan mengecewakan mereka yang berprinsip dan mahu melihat parti ditadbirkan mengikut sistematik dan berperlembagaan serta penuh intergriti.  Apa lagi kalau tindakan Abdul Hadi itu didasarkan kepada elemen lain atau pun nasihat para penasihat 20% berkepentingan diri. 

Ada cerita dari kejauhan membuat analisa yang Abdul Hadi kini tidak berkompeten seperti dahulu lagi. Kesannya banyak keputusan dibuatnya bukan lagi secara kolektif tetapi hanya atas nasihat dan pandangan sesetengah orang sahaja. Kalau spekulasi ini benar, ia satu kesilapan dan kemalangan buat Pas dan Hadi sendiri. Ahli dan penyokong Pas perlu berbuat sesuatu. Bukankan ahli Pas selama ini sangat sensitif soal-soal yang boleh merosakan kemurnian parti itu?

Sikap apologetik memaafkan Abdul Hadi kerana atas alasan untuk tidak mengelakkan berlaku krisis perlembagaan bukan satu pendekatan dan kritikan yang konstruktif. Sepatutnya Khairuddin mempertahankan kedudukannya atas niat dan nawaitu untuk mengajar presiden yang mungkin sudah dibaham alzheimer.  

Atau kalau Abdul Hadi bertindak mengikut nasihat orang tertentu, beliau khasnya dan am Pas seluruhnya perlu memberi kesedaran kepada mereka yang mengelilingi Hadi itu. Sebagai sebuah parti, ia tidak wajar terus bertindak diluar batas perlembagaan atau dikawal oleh segelintir pakar yang mengambil kesempatan tertentu. Dalam konteks ini Pas jangan membiarkan Hadi terus menjadi Kaduk. Hendaklah ada perintis dalam Pas untuk menebas Kaduk ditanam dengan herba lain demi kebaikan Pas.  

Pandangan kedua berhubung ucapan Abdul Hadi semasa peluncuran jentera pilihan raya PN di Johor dua hari lepas. Maki hamun beliau kepada DAP, Keadilan dan Muda adalah keterlaluan. Katanya kenapa beliau (Pas) menolak DAP ialah kerana parti itu ekstrimis. Hadi kebelakangan ini sudah "melupai" hadith-hadith dan ayat-ayat Quran membicarakan batas imam dan kufur untuk menempelak Umno, tetapi menjadi lancang berapi dengan DAP dan PKR. 

Dalam ucapan itu yang saya dengar menerusi Tiktok juga beliau ada menyebut PKR sebagai parti penipuan. Kedua-dua kenyataan Hadi itu sangat lavel menjatuhkan maruah DAP dan PKR menyebabkan kedua parti itu boleh samannya di mahkamah. Mungkin mereka yang hadir suka dan seronok dan ketawa sampai mata berair mendengar makian Hadi itu, tetapi dari segi siasah dan intelektualnya ia tidak berbobot langsung. 

Sebagai presiden dan kini berjawatan Duta Khas ke Timur Tengah sudah sampai masa Hadi berbicara dan memberi kupasan dan membuat analisa kepada sesuatu isu secara lebih profesional dan bertaraf negarawan. Yang masyarakat ingin dan ketagih untuk dengar daripada beliau bukan persendaan, hinaan kepada mana-mana pihak, tetapi nasihat dan pesan-pesan berhikmah untuk dijadikan surat wasiat bangsa. [wm.kl. 7:10 pm 22/02/2021] 


No comments: