Friday, April 8, 2022

Kita tidak ada semangat patriotisme

CATATAN

PENJELASAN Ketua Arkid Negara (ANM), Jaafar Sidek Abdul Rahaman tentang betapa pentingnya negara memiliki bahan sejarah (arkid) negara seperti tidak dipedulikan oleh pihak-pihak tertentu khususnya dari kalangan orang politik. 

Saya tidak dengar ada orang politik, baik secara individu ataupun parti mengambil perhatian atas penjelasan itu. Keadaan lesu ini menyebabkan penjelasan Jaafar Sidek itu berlalu begitu sahaja. 

Baru-baru ini, BH Online,  [https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/04/942237/berjuta-bahan-arkib-malaysia-di-luar-negara] telah menyiarkan rencana temuramah dengan Jaafar Sidek yang disiarkan tanggal 4 April, berhubung kepentingan bahan arkid dan permasalahannya. 

Jaafar Sidek menjelaskan, dianggarkan berjuta-juta bahan arkid berkaitan dengan negara (Malaysia) berada di luar negara, baik ianya disimpan oleh kerajaan tertentu atau persendirian.

Menurutnya bahan itu sangat penting untuk negara dan perlu dimiliki untuk dijadikan bahan bukti apabila saat negara berhadapan dengan sesuatu masalah atau keadaan memerlukannya. Misalnya apabila negara berhadapan dengan pertikaian atau konflik mengenai sempadan, kawasan atau wilayah ia penting untuk dijadikan bahan atau bukti sokongan.

Bahan-bahan berjumlah jutaan itu berupa fail pentadbiran, laporan perjanjian dan sebagainya yang sangat penting buat Malaysia. Ketiadaan bahan-bahan itu tegasnya menyebabkan Malaysia akan berputih mata apabila berlaku sesuatu konflik seperti perebutan Batu Putih dengan Singapura, ataupun Pulau Ligitan dan Sipadan di antara Malaysia dengan Indonesia. 

Peri pentingnya negara memiliki bahan arkid ini menyebabkan ada negara yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan negara kita turut sama menyimpan bahan arkid negara kita, jelas Jaafar Sidek lagi. 

Bahan sejarah negara kita misalnya banyak disimpan di negara-negara yang pernah menjajah negara ini seperti British dan Belanda. Tetapi katanya, arkid negara kita juga turut disimpan oleh Russia, Australia, Turki dan Perancis walhal negara itu tidak pernah pun menjajah kita. 

Apa yang boleh difahami mengapa negara-negara itu turut menyimpan bahan sejarah kita, betapa arkid itu penting dan bernilai buat mereka sebagai sebuag negara maju bertamadun. Di sini memberi gambaran mereka sentiasa berada dalam kesiap-siagaan menghadapi sebarang kemungkinan dengan mengambil pengetahuan (sejarah) mengenai sesebuah negara lain.

Malangnya keadaan atau pun komitmen itu seperti tidak ada kepada rakyat negara ini. Seperti disebutkan tadi, apabila Jaafar Sidek membuat penjelasan itu tidak ada mana-mana pihak yang membuat kenyataan susulan (follow up) setidak-tidaknya menyokong atau mengambil perhatian berat terhadap pandangan dan kebimbangan Ketua Pengarah ANM itu.

Orang-orang politik terutama generasi muda sepatutnya bingkas untuk berusaha mendapatkan semula bahan-bahan arkid negara itu. Mereka perlu memiliki semangat patriotisme, semangat cintakan negara tanpa menghabiskan masa dengan berperang merebut kuasa politik semata-mata.

 Dengan melupai negara dan tidak concern terhadap bahan-bahan dan dokumen sejarah itu ia tidak meletakkan masa depan negara akan lebih dihormati disebabkan sikap acuh tidak acuh kita dalam menjaga maruah negara.

Jaafar Sidek ada menyebut masalah kewangan yang mengekang pihaknya untuk mendapat arkid berharga itu. 


Peruntukan daripada kerajaan untuk tujuan itu menyusut dari tahun ke tahun. Penyusutan ini menunjukkan pihak kerajaan sendiri kurang prihatin dan berasakan pengumpulan arkid ini sebagai tidak penting. 

Misalnya, seperti difahamkan, sejak 2014 Seksyen Penyelidikan Khas Negara ANM memperoleh peruntukan RM1 juta tetapi jumlah menyusut pada 2015, iaitu RM100,000, RM70,000 (2016) dan RM60,000 (2017). Sementara pada tahun 2018 dan 2020 pula tiada peruntukan disalurkan manakala 2019 hanya RM10,000.

Barangkali ada baiknya dan sudah sampai masanya kalau generasi muda sebagai pewaris masa depan negara bertindak mempedulikan hal ini dengan berusaha untuk mengumpul biaya bagi mencapai tujuan itu. Mungkin sebuah tabung awam dari kalangan generasi muda boleh ditubuhkan dan digerakkan oleh entiti tesebut. Kesedaran kepada pemeliharaan dan pemilikan arkid negara perlu ditanam dalam jiwa generasi Malaysia.  [wm.kl.8:15 am 08/04/2022].


No comments: