Saturday, April 2, 2022

Bangkitlah bersama Husam demi Kelantan

PEMEGANG PUASA

Husam hanya sebatang dian.
SETELAH menyepikan diri kira-kira selama dua tahun, Husam Musa bangkit kembali dengan neratif membela rakyat dan negeri Kelantan. Selepas kalah dalam pilihan raya umum ke-14 di dua kerusi, Dun Salor dan parlimen Kota Bharu, bekas Exco Kanan zaman Tokguru Nik Aziz itu seperti mahu berundur daripada dunia politik. 

Kekalahan itu menjadikan beliau tidak ada jawatan rasmi untuk digunakan sebagai saluran bagi meneruskan perjuangannya untuk Kelantan, seperti mana semasa beliau berada dalam Pas sebelum ini. Bekas Naib Presiden Pas itu dipecat dari parti tersebut.

Sebagai anak Kelantan memerhati apa yang berlaku di Kelantan, yang menginsafi sukaduka rakyat negerinya, apa lagi beliau seorang yang mempunyai jiwa empati tinggi kepada nasib golongan teraniaya, beliau tidak dapat berlama-lamaan menguzlahkan diri. Mungkin timbul rasa bersalah untuk tidak meneruskan perjuangannya disaat rakyat mendambakannya. 

Sebagai seorang hamba Allah sebagai "khalifah" beliau rasa ralat dengan cara diambilnya itu. Lagipun menjauhkan diri daripada menangani masalah rakyat bukan sifat bertanggungjawab dan gentlemen.

Rasa bersalah. 

Tanggungjawabnya sebagai pemimpin dan orang yang pernah duduk dalam pentadbiran negeri, menyebabkan beliau lebih rasa bersalah dan serba salah, sebab beliau mengetahui setiap apa yang berlaku. Baik buruk, yang terjadi masih ada dalam mindanya. Setiap kecacatan dan kepincangan dilihat sendiri dan beliau pula ada ilham dan iltizam untuk perbaikinya. Barangkali Husam dihimpit rasa bersalah dengan keadaan itu. 

Mereka yang selama ini menilai bekas Adun Kijang dan Salor itu sebagai pemimpin, mengharap beliau akan muncul dan terus meyumbangkan ideanya kepada pembangunan negeri dan membela rakyat Kelantan, sedikit kecewa apabila beliau mendiamkan diri selama dua tahun. Dalam tempoh itu beliau seperti sudah berada di luar orbit politik negara. Orang yang pesimis dengannya menyebut dia sudah masuk gua? Tambah menyesalkan apabila beliau mengambil keputusan meletakkan jawatan dalam parti, dan tidak memberi apa-apa komitmen. 

Husam meletak jawatannya dalam parti Amanah Negara sebagai naib presiden yang dilantik, pengerusi PH Kelantan dan juga sebagai Bendahari Pakatan Harapan (PH). Namun jawatan untuk Bendahari PH hasratnya itu tidak diterima. Beliau masih kekal sampai ke hari ini. Pengerusi PH, Anwar Ibrahim bijak dan tahu aset yang ada kepada Husam. 

Sebenarnya sebagai seorang yang sejak awal-awal ada nawaitu dan tanggungjawab untuk membela rakyat negeri, semangat itu tidak mati begitu sahaja. Husam tetap bertujang kepada langkah pertama beliau menyertai politik untuk membela rakyat dan melakukan perubahan. Beliau sudah meletakkan titik jelas dalam hidupnya apabila memilih politik sebagai profesyen. 

Beliau masuk politik bukan untuk dijadikan alat cari makan ataupun sebagai peluang pekerjaan, tetapi untuk berjihad, berkhidmat kepada ummah menerusi Pas. Kenapa dikatakan begitu kerana dengan aset yang dimiliki kalau beliau menyertai politik untuk "habuan" mungkin beliau sudah mencapainya. 

Beliau sendiri juga tentu arif dan faham dengan tugasnya sebagai seorang manusia dan makhluk dijadikan Allah sebagai khalifah atas muka bumi ini. Maka tanggungjawab dan amanah itu beliau tidak boleh abaikan. Amanah Allah sangat penting dan besar. Sebagai mahkluk yang memikul amanah Allah maka kita tidak perlu mudah give-up, dan kecewa dengan apa yang berlaku dan dilakukan terhadap kita. Bahkan itu semua adalah cabaran dan pupuk menyuburkan jiwa kita.  

Jawatan, kuasa dan kedudukan bukan satu-satu alat atau peluang untuk terus berjuang dan berkhidmat.

Menyedari itulah, Husam kini bangkit kembali menerusi perjuangannya disaat usia yang sudah cecah 63 tahun. Beliau membuktikan bahawa jiwa perjuangan dan semangatnya untuk membela rakyat dan negeri tidak pernah mati. Beliau tidak mengaku kalah dengan cabaran dan halangan. Penghinaan bukan senjata memati dan lumpuhkan semangatnya. Maka beliau perlu kebah segera daripada demam kekecewaan dan halangan itu.

Segala kecaman, penganiayaan, persendaan dan sinikal yang dilontarkan kepadanya tidak memadamkan api perjuangannya. Jiwanya tidak mudah cair dengan segala cabaran dan halangan itu. Bahkan itu memberi cabaran dan semangat pula untuk beliau terus bangkit. Ironinya kebangkitan beliau itu mengecewakan mereka yang mengharapkan beliau mati beragam dalam gua. 

Para jargoan.

Husam kini sudah bangkit semula untuk menyiapkan kerjanya yang tertangguh. Kebangkitan tentulah tidak menyenangkan para jargoan yang kini berseronok meratah laba dengan kedudukan dan kuasa yang ada yang didapati daripada kejayaan yang juga ditempa Husam. Kebangkitannya kini seperti telah mengganggu tidur dan menghalang langkah perjalanan ke arah penjarahan harta dan khazanah rakyat lebih luas dan rakus lagi. Tiba-tiba sahaja, keasyikan pihak tertentu yang bermain menggunakan kuasa tanpa sempadan seperti terkesima dengan kemunculan Husam.

Sebelum ini bekas Exco Kanan Kelantan itu telah menyampaikan rasa kebimbangan, ketidak-senangan dan kritikannya terhadap apa-apa kepincangan dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu di dalam Dun Kelantan semasa menjadi Adun Salor. Beliau menggunakan dewan yang mulia itu membangkitkan sesuatu yang tidak disenanginya, pohon diislahkan, tanpa kompromi dan malu alah. Beliau telah menjadikan tanggungjawabnya sebagai pemimpin yang diamanahkan rakyat menerusi undi untuk menyatakan kebenaran. Sebahagian keburukan kerajaan Islam Pas terdedah gara-garanya. Pendedahan Husam itu mengaibkan sesetengah pihak.

Dengan kedudukan itu beliau membela khazanah negeri dan nasib rakyat. Tetapi kehadirannya di Dun Kelantan seorang diri, menjadikan beliau bagaikan seekor kerbau cacat di tengah kumpulan serigala yang lahab. Beliau dipersenda, diremehkan tanpa ada sedikit pun nilai penghargaan dan persahabaan sebelum ini. Setiap tegurannya dianggap sebagai dendam dan berniat jahat, menjadikan beliau dimusuhi oleh rakan dan sahabat. Dituduh sebagai bodoh sampai ke atas belakang. Usaha murni itu tidak berhasil, hanya segelintir rakyat sahaja yang menerimanya, alhasilnya Husam terperosok.

Kemuncaknya di dalam Dewan sampai beliau dihalau keluar daripada dewan, atas arahan speaker yang sebelum ini hanya "kerengga sengkek" ketika Husam menjadi Exco dan pembantu kanan kepada arwah Tokguru. Beliau dihalau kerana mengungkit dan menimbulkan sesuatu yang mengejikan kerajaan Pas. Demikianlah nasib orang yang dinaungi Tokguru atau dianggap sebagai anak emas Tokguru, tiba-tiba dihina sebegitu rupa. Penghinaan kepada Husam itu adalah penghinaan juga kepada arwah Tokguru. 

Selepas kalah beliau tidak ada kuasa, kedudukan dan saluran lagi untuk terus bercakap. Kerusinya dalam Dun Kelantan telah tiada. Maka suaranya untuk membela rakyat Kelantan, membangkitkan kebobrokan kerajaan Pas terhenti dengan tiba-tiba. Kehilanganya itu menjadikan sang tikus, biawak, mengkarung, kerengga sengkek bergembira, bebas melakukan apa sahaja terlintas di mata. Walaupun dalam DUN ada lapan orang wakil Umno yang diharap boleh dijadikan pengganti Husam, tetapi ia tidak berlaku seperti diharapkan kerana Adun Umno itu juga telah "berbai'ah" tidak jadi" dengan Pas. 

Atas kesedaran dan tanggungjawab itu, kini Husam bangkit kembali. Dia menggunakan kudrat yang ada untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab membela nasib rakyat Kelantan. Beliau telah menamatkan percutian (uzlahnya) selama dua tahun itu dengan meneruskan kerja-kerja asasinya sebagai rakyat Kelantan. Beliau membongkar dan menyebut satu persatu kesilapan dan kebobrokan kerajaan Pas Kelantan sejak lima tahun lepas. Beliau menyebut tentang sesuatu yang nyata di mata tetapi tidak disebut oleh mereka yang mulutnya dipenuhi "pulut gaul nyiur." Naiwatu bukan untuk menjatuhkan kerajaan Pas tetapi berharap ia membetulkan apa yang silap. 

Perehatan selama dua tahun, seperti beliau memberi peluang secara baik kepada kerajaan Kelantan, terutamanya kepada kawan-kawannya yang menguruskan kerajaan berkenaan. Tetapi peluang diberikan itu tampaknya tidak berbekas bahkan mereka (kerajaan Pas), bertindak lebih rakus dan liar lagi. 

Sebalik dengan ketiadaanya di Dun Kelantan menjadikan tikus, biawak, mengkarung makin ganas dan gasan bertindak sehingga sanggup menggadaikan moral dan air muka dan tergamak menyalahgunakan kuasa. Amanat dan ingatan Tokguru tidak dipedulikan. Tafsiran ayat-ayat Quran sebelum ini juga diperbaiki untuk menghalalkan tindakan. Sikap dan perilaku inilah menyebabkan beliau bangkit kembali memainkan tugas dan tanggungjawabnya. 

Buka mulut.

Sejak dua minggu lepas Husam sudah membuka mulutnya di Kelantan, secara bersendirian. Beliau menaiki pentas perjuangannya sendiri tanpa menumpang pentas mana-mana parti politik hatta termasuk partinya sendiri Amanah. Dengan hanya menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Amanah Kota Bharu dan disokong oleh rakan-rakan setia yang mengkagumi kepimpinannya, beliau mula bergerak memberi kesedaran kepada rakyat dan mendedahkan keburukan dan penyelewengan yang berlaku. Apa didedahkan Husam sangat mengejutkan dan perlu segera ditindakkan. 

Apa dilakukan Husam itu dilihat bukan atas niat politik lebih jauh daripada itu selain daripada mahu mengajak rakyat supaya menyedari apa yang berlaku ke atas negeri mereka. Ia bertujuan agar nasib rakyat dan negeri Kelantan selamat. Betapa khazanah negeri Kelantan dijarah dan diratah begitu serakah sekali. Apa yang berlaku itu bagi Husam sesuatu yang sungguh mengecewa dan merugikan negeri Kelantan. Rakyat Kelantan yang rata-rata masih dhaif dan memerlukan bantuan seakan diabaikan. Kerajaan Kelantan mengamalkan perbuatan menyusukan kera di hutan melaparkan anak di buaian. 

Misalnya pendedahan Husam mengenai pemberi hutan simpan kekal (HKS) kepada warga asing untuk projek durian musang king sesuatu yang sangat memilukan hatinya. Ratusan ribu hektar tanah diberikan kepada warga asing untuk tujuan perladangan komersial, dengan nilai yang jauh lebih rendah daripada sepatutnya kalau proses pemberian itu dilakukan secara lebih teratur. Kerana proses itu ada kepentingan politik, menyebabkan Kelantan mengalami kerugian besar. Bukan itu sahaja di samping mendapat tanah, mereka juga mendapat balak.  

Malangnya, anak-anak Kelantan yang memerlukan tanah, yang berkelana hidup di luar mencari rezeki tidak diberi kesempatan untuk memiliki tanah barang sekaki pun bagi mereka memajukan diri mereka. Bagi Husam polisi atau pendekatan (dasar) itulah satu kepincangan dalam pentadbiran hari ini yang boleh disifatkan sebagai tidak mengutamakan anak-anak Kelantan.

Beliau difahamkan keluasan sebenar hutan simpan kekal (HSK) tebang habis diberikan seluas 240,000 hektar atau kira-kira 593,000 hektar jika mengikut km persegi sebanyak 200,000 km persegi. Keluasan ini adalah tiga kali ganda dengan keluasan negara Singapura yang berkeluasan 72,960 km persegi.  

Pihak kerajaan ada menjelaskan bahawa jumlah HSK masih tidak berkurangan dan masih kekal dengan jumlah yang dibenarkan. Menurut MB Ahmad Yakob semasa bercakap di Dewan Undangan Negeri keluasan HSK Kelantan 629,880.95 hektar bersamaan dengan 42% dari keluasan tanah negeri Kelantan yang menjadi penyumbang terbesar keluasan hutan dan kelestarian negara. Benarkah dakwaan Ahmad Yakob itu? Dakwaan itu dipertikaikan Husam kerana fakta diberikan itu sebagai wayang sahaja kerana angka itu wujud di atas kertas, tetapi di atas tanah (sebenarnya) sudah bertukar status.

Kebetulan saya mengikut dua siri pendedahan Husam secara live berhubung dengan penjarahan hutan simpan kekal itu. Turutan itu pihak kerajaan ada menjawab dan menjelaskan dakwaan Husam itu, tetapi ia tidak menyakinkan dan ada sudut-sudut mengelirukan dan boleh dipertikaikan. 

Ada sesuatu yang tidak diberikan penjelasan dan cuba memberi gambaran tindakan Husam itu sebagai khianat. Sepatutnya setiap apa didedah Husam itu dijawab dengan menyertakan fakta dan angka-angkanya sekali bukannya menyalahkan Husam secara sambrono. Misalnya pelan kompartmen kawasan HSK yang terbabit itu perlu disertakan untuk rujukan rakyat. Kalau penafian kerajaan benar kenapa takut untuk mendedahkan pelan kompartmen itu? 

Apa yang ingin saya menarik perhatian di sini, walaupun kerja Husam itu bertujuan baik untuk membela rakyat dan menyelamatkan bumi negeri Kelantan, ia tidak mudah mencapai maksudnya. Kerja dan usaha untuk menyelamatkan khazanah Kelantan tidak terpikul di bahu seorang atau satu institusi sahaja. Semua pihak perlu sepakat bangkit bergerak bersama Husam. Bagi saya apa dilakukan Husam hanya sebagai pencetus ke arah tindakan lebih besar dan menyeluruh. Beliau hanya menjadi dian untuk memberi cahaya bagi rakyat Kelantan agar nampak apa yang diselindungkan dari mata mereka secara tektikal selama sahaja. 

Usaha Husam perlu disokong, harus ada banyak lagi dian untuk menghimpun cahaya lebih besar menjadi kandi bagi menampak apa yang terselindung itu dengan jelas. Pihak yang perlu bergerak sederap dengan Husam, adalah seluruh rakyat Kelantan dimana jua mereka berada. Bagi mereka yang skeptikal dengan pentadbiran Kerajaan hari ini harus berganding bahu. Kalau mereka bimbang takut diambil tindakan untuk bersepadu secara fizikal mungkin boleh serta menerusi maya.

Begitu juga dengan institusi awam, badan politik, Ngo perlu berganding bahu. Perselisihan dan rasa iri hati sesama sendiri hendak dibuang dan diketepikan, utamakan kepentingan rakyat dan negeri bukan kepentingan diri sendiri. Dan bagi menjamin usaha ini sukses dan berkesan jika ia perlu campur tangan daripada pihak Istana sekalipun, perlu demi menyelamatkan Kelantan dan memakmurkannya.

Kita yakin niat dan tujuan Husam bukan bermotifkan politik.Bagi saya beliau sendiri sudah tidak lagi berharap untuk menjadi pemimpin di Kelantan, (MB) misalnya. Tetapi apa didedahkan itu atas tanggungjawab dan amanah sebagai khalifah Allah terhadapnya sebagai rakyat 03. Sebagai seorang yang beriman kepada kitab Allah, beliau dan sesiapa sahaja tidak akan sanggup membiarkan kemungkaran bermaharaja lela di hadapan mata.

Kita sebagai manusia perlu mencegah dan menegur apa jua kemungkaran, tanpa mengira siapa yang melakukannya, kerana tindakan dan peranan itu melambangkan kita beriman. Selemah-lemah iman ialah dengan membencinya (kemungkaran itu) dalam hati, dan sekuat-kuat iman gunakan tangan telunjuk anda. Husam telah memulakan, bila lagi untuk kita menjual berani. Negeri Kelantan adalah tanggungjawab kita. [wm.kl.02/04/2021 5:40 pm] * Salam menyambut Ramadhan al Mubarak 1443 kepada semua penjengok blog ini, semoga amal ibadah kita diredha Allah. Wassalam.

No comments: