Tuesday, August 23, 2022

Signifikan hari Selasa buat Najib

ULASAN

Wajah akhir Najib di luar 
penjara.
HARI ini Selasa hari yang menjadi kesukaan Najib Razak kerana pada hari inilah yang beliau sebut-
sebut akan menyaman Sarawak Report yang melaporkan berita mengenai penglibatan Najib berhubung 1MDB. Semua orang menunggu hari Selasa, tetapi tidak ada kenyataan Najib berhubung hasratnya itu. Lama-lama hari Selasa menjadi "olok-olokan" orang kepada bekas perdana menteri ke-6 itu.

Namun hari Selasa memberi signifikan juga kepada Najib. Kerana hari ini, Selasa beliau ditakdir akan mulai menjalani hukuman penjara selama 12 tahun berserta dengan denda apabila Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan sabit kesalahan ke atasnya dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan ke atas tuduhan Najib mendapati Najib menyalahgunakan dana SRC Internasional telah menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. 

Ekoran itu Najib telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan namun Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dan mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi. 

Hari ini, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan akhir Najib telah mengekalkan hukuman ke atasnya itu. Lima hakim mendengar bicara rayuan Najib itu sebulat suara memutuskan bahawa tidak ada kekhilafan dilakukan Mohd Nazlan semasa menjatuhkan hukuman terhadap Najib.

Penal rayuan di Mahkamah Persekutuan itu didengar sendiri Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat selaku pengerusi bersama hakim besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, dan hakim-hakim mahkamah rayuan, Nallaini Pathmanathan, Mary Lim Thiam Suam, dan Mohamad Zabidin Mohd Dian.

Apa yang berlaku ke atas Najib hari ini adalah sejarah buat negara ini. Najib menjadi perdana menteri pertama Malaysia nyang dijatuhi hukuman penjara. 

Tindakan undang-undang ke atas Najib ini juga sedikit sebanyak ekoran daripada tumbangnya kerajaan UBN yang memerintah selama 63 tahun sebelum ini. Pendakwaan ke atas Najib dibuat semasa kerajaan PH selama 22 bulan. 

Manakala secara peribadi ia juga menjadi satu kenangan tersendiri buat perdana menteri kini Ismail Sabri Yaakob kerana proses kemasukan Najib ke dalam penjara berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri. Berkebetulan setelah genap setahun beliau jadi perdana menteri, Najib Razak yang sebelum ini adalah presiden partinya (Umno) dihantar ke penjara.

Persepsi yang timbul disebalik kebetulan ini memberi gambaran bahawa Ismail Sabri dengan kuasanya sebagai PM tidak mencampuri urusan mahkamah. Apa yang berlaku itu menafikan tanggapan sesetengah pihak sebelum ini yang berpandangan Ismail Sabri akan mencampuri proses mahkamah. 

Dengan apa yang berlaku terhadap Najib itu, walaupun sebagai seorang ahli parti sama, tetapi ia sedikit sebanyak membanggakan Ismail Sabri sebagai perdana menteri Malaysia. [wm.kl. 6:44 pm 23/08/2022]

No comments: