Tuesday, August 16, 2022

Jajaran baru politik selepas pilihan raya

MENJOLOK MENTARI

KITA sambung perbualan menerusi panggilan terjah seorang kawan saya malam kemarin dahulu. Selain ingin memberi maklumat (senario) kepada saya berhubung isu LSC yang tidak menguntungkan UBN itu, mauduk kedua yang dibicarakan mengenai prihal pilihan raya umum ke-15. Kawan saya itu merupakan seorang ahli dan propagandis Umno (BN) sangat mengharapkan agar BN kembali berkuasa.

Banyaklah manfaat yang diperolehinya kalau UBN kembali berkuasa. Baginya pengembalian kuasa UBN bukan untuk kepentingan bangsa dan negara, tetapi lebih kepada untung diri sendiri. Maaf.

Sebelum ini pun kawan saya itu mendapat berbagai projek berupa kontrak pemberian dengan nilai jutaan ringgit semasa kerajaan BN dahulu. Maka wajarlah kalau beliau beriya-iya mahukan UBN kembali berkuasa. Itu perkara lazim dalam negara ini dan menjadi amalan setengah orang politik. Kuasa politik boleh menyenangkan hidup jika pandai membodek. 

Gabungan politik.

Yang beliau cuba hendak tarik perhatian saya, ialah mengenai gabungan parti politik. Gabungan itu bukan semasa pilihan raya, tetapi selepas pilihan raya kelak. Ini kerana kata beliau, tidak akan ada parti yang memampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Hendak tidak hendak suka atau tidak, setiap gabungan perlu bercantum antara satu sama lain bagi membentuk kerjaan.

Maksudnya atau mesej yang ingin disampaikan itu, supaya janganlah kita terlalu serang menyerang antara satu sama lain, kerana selepas ini kita (parti-parti politik) tidak ada pilihan lain perlu duduk semeja atau bersama juga. Peringatan baik bagi mereka yang memahami sifat dan falsafah politik, tetapi tidak buat mereka yang bertalid buta.

Lantarann itu kawan saya itu meramalkan dalam pilihan raya ke-15 kelak, ia menjadi pilihan raya sangat kritikal dan sukar untuk diramalkan pihak mana yang akan membentuk kerajaan. Dalam erti kata lain, kerajaan Malaysia selepas ini tidak lagi akan berkonsepkan kepada idealogi sesebuah parti lagi seperti sebelum ini yang rata-rata "dipoloti" oleh UBN.

Penyelidikan beliau.

Menurut kawan saya itu, hasil daripada penyelidikan dan tinjauan dibuatnya amat mustahil untuk UBN mengulang pencapaian seperti pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, seperti pilihan raya pertama hingga ke-8. Ternyata sebaik masuk era tahun 2000 keadaan Umno sangat merosot dan hilang pengaruh. Ia bermula pada pilihan raya ke-10 tahun 1999 apabila UBN hilang majoriti dua pertiga.  

Justeru menurutnya UBN tidak lagi boleh bermimpi untuk menguasai parlimen dan bentuk kerajaan sendiri. Bukti atau hujahnya mudah sahaja, kedudukan Umno kini bukan seperti dahulu lagi. Sekurang-kurang parti itu sudah berpecah kepada tiga kumpulan atau puak. Perpecahan angkara pemecatan Anwar Ibrahim tahun 1998.

Selepas tertubuhnya PKR pimpinan Anwar, tertubuh pula parti Bersatu, 2018. Tidak cukup itu sahaja, daripada Bersatu tertubuh pula Pejuang dan Muda. Keadaan Umno sudah dicaing-caing seperti daging musir (rimau menangis) untuk dijadikan kerutuk. Tidak cukup dengan keadaan itu Umno dirosak dan dikotorkan oleh para pemimpinnya yang terlibat dengan pelbagai skandal rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya.

Misalnya apa berlaku ke atas Najib Razak yang dituduh menyangkak dan mengakau dana SCR Internasional bernilai RM48 juta, dan skandal 1MDB memberi kerosakan teruk kepada Umno. Hukuman yang dijatuhi ke atasnya, penjara 12 tahun dan denda RM210 juta cukup untuk membusukkan Umno seluruhnya.

Demikian juga pertuduhan-pertuduhan kepada para pemimpinnya yang lain, menambah kohong lagi parti Melayu itu. Segala macam kebobrokan itu menjadikan Umno sebagai lubuk rasuah. Demikian juga pertuduhan rasuah dan pengubah wang haram oleh Zahid Hamidi "menyempurnakan" dan mengkamilkan lagi keburukan dan kebusukan Umno. 

Daripada kajian dibuat kawan saya itu, Umno hanya dapat memenangi paling banyak pun 70 hingga 80 kerusi sahaja. Ertinya mampu mempertahankan kerusi yang sedia ada yang dimenangi dalam pilihan raya lalu. Dalam pilihan raya lalu Umno memenangi 79 kerusi. Semua kerusi yang dimenangi itu adalah datang daripada Umno, manakala parti komponennya hampir tewas semua.  

Berdasarkan ramalan itu dengan mengemukakan formula berkenaan, bermakna daripada 222 keseluruhan kerusi parlimen di negara ini, Umno memberi tumpuan kepada 166 kerusi di Semenanjung sahaja. Manakala kerusi di Sabah dan Sarawak sebanyak 56 akan diserahkan kepada parti-parti di sana.

Daripada 166 kerusi itu sebanyak kira-kira 40 kerusi campuran yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Ertinya bilangan kerusi yang difokus UBN ialah sebanyak 100 kerusi sahaja. 

Daripada hakikat itu, kawan saya itu membuat ujuran Umno akan menang di sekitar 60 hingga 70 kerusi sahaja. Manakala kerusi yang peratusnya pengundi bukan Melayu, akan menjadi milik PH menerusi DAP. Jika diambil jumlah kerusi sekarang ini, DAP menguasai 42 kerusi, manakala Amanah 11 kerusi manakala kerusi PKR 52. Dengan membuat perkiraan itu, ini bermakna PH masih dapat mengekalkan status quo seperti diperolehi dalam pilihan raya lalu.

Menurutnya lagi kalaupun kerusi PH terjejas pun ialah daripada kerusi Amanah, ini pun sekiranya Umno berpadu dengan Pas. Jika ini berlaku bermakna PH akan mengalami kesusutan kira-kira 10 hingga 15 kerusi sahaja, menjadikan mereka masih menguasai, 70 hingga 80 lagi. Kedudukan itu sama banyak dengan UBN.  

Nodai janji.

Bagaimana pun harapan untuk UBN mendapat tambahan daripada Pas, agak sukar memandangkan parti agama itu kini sudah menaodai piagam muafakat, kertas piagam itu kini sudah dilempar entah ke mana. Apa yang Pas pegang kini ialah kertas Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, Star dan Gerakan. 

Justeru situasi itu memberi keadaan yang serba salah. Dengan hanya 70 atau 80 kerusi Umno tidak mungkin dapat membentuk kerajaan sendiri. Ketika inilah hendak tak hendak BN kena bergabung dengan mana-mana parti. 

Yang menarik dan menjadi tanda tanya kenapa kawan saya itu meminta pandangan saya berhubung jajaran baru itu? Tanpa saya menjawab beliau menjelaskan, ketika inilah perlunya jajaran baharu politik. Jajaran politik baru inilah yang kini sedang dirintis secara senyap. Namun olak air dan hembusan angin disekelilingnya mudah dan telah pun ditebak. 

Sekiranya kerusi Pas (yang ada kini 18 kerusi tidak terjejas), besar kermungkinan Pas akan menjadi penjual kerusi nanti. Pas akan melolong kerusinya untuk bergabung dengan sesiapa asalkan ia mendapat sedikit manfaat. Keenakan menjadi menteri dan timbalan menteri perlu dipertahankan. Ucapan dan sindiran Tengku Razaleigh Hamzah terhadap Pas, mengatakan parti itu pelacur tidak boleh diabaikan. Pas boleh terus mengamalkan kejelekan itu. Pun begitu kalau setakat 18 kerusi sahaja lelolongan itu tidak begitu menarik minat banyak pihak.  

Takdir Pas masih kekal 18 kerusi kalau dicampur dengan Umno 70  atau 80 kerusi, baru ada kira-kira 100 kerusi. Jumlah itu tidak mencukupi untuk tubuh kerajaan. Untuk membolehkan kerajaan ditubuh ia memerlukan sekurang-kurang 12 kerusi lagi menjadikan 112 kerusi. Itu tidak menjadi masalah menurut kawan saya itu kerana parti-parti di Sarawak dan Sabar khasnya di Sarawak akan sedia menjadi pengenapnya. 

Tetapi katanya memandangkan Pas kini sudah hampir sebati dengan Bersatu dan ramai pemimpin Umno termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri sudah alergik dan bosan dengan kongkalikong Pas tidak mungkin mereka sedia untuk membeli lelolongan kerusi parti itu kelak. 

Dalam pada itu kawan saya itu menaruh harapan pembentukan jajaran baru politik selepas pilihan raya kelak, ia masih terbuka kepada semua parti khasnya BN dan PH. Beliau yakin gabungan PN - Bersatu, Pas, Gerakan dan Star tidak akan mendapat kerusi yang terbayang. Beliau meramalkan paling-paling gambungan itu memperolehi tidak kurang 20 kerusi sahaja dengan banyaknya bergantung kepada Pas. 

Hanya dua gabungan sahaja berpotensi mendapat kerusi lebih 50 yakitu BN dan PH. Ketika saya tanya macam mana dengan GTA, kawan itu ketawa terbahak-bahak, enggan mengulas cuma menyebut itu gerakan orang berilusi semata-mata.

Menyimpul maksud panggilan terjah kawan saya itu, apa boleh ditegaskan jajaran baru yang beliau sebutkan itu nanti sudah semacam pasti antara BN dengan PH kerana kedua gabungan itu sahaja berpotensi untuk memenang banyak kerusi. 

Persoalan yang tidak terjawab oleh beliau jika berlaku gabungan itu nanti, apakah ia akan diterima disemua peringkat oleh kedua-dua parti itu. Jawabannya, keadaan itu kena diterima kerana sudah tidak ada pilihan lain. 

Dan apabila saya tanya siapakah yang akan jadi perdana menteri, beliau enggan menjawabnya cuma timbalan perdana menteri tentulah daripada Umno seorang dan PKR seorang. [wm.kl.12:36 pm 16/08/2022] 

No comments: