Friday, August 23, 2024

Abang tidur lena diulik mimpi diringi malaikat

BELASUNGKAWA (1)

Abang minta bergambar
sambil menunjukkan manuskrip
buku terakhirnya. 

AKU bukan tidak pernah alami kehilangan orang-orang tersayang. Aku pernah kehilangan adik, ketika usia lima tahun (1965). Saat aku belum puas bermain dengan adik, Noriah, Tuhan memanggilnya pulang ke sisiNya, panggilan itu saat Noriah baru pandai senyum dan mengilai. Betapa dihari kematian Norian saat jenazah adik hendak dibawa ke kubur aku mengamuk sakan, melempar selipar dan kasut para tetamu.

Aku akan menangis dan mengamuk kalau orang mengatakan Noriah sudah tiada, baru senyap apabila dikatakan adikku itu sedang tidur, bukan mati.

Selepas itu aku kehilangan atuk, Haji Othman Yaakob (1972) dahan dan pokok tempat ku bermanja dan menumpangi kasih. Semua itu aku lalui dalam usia lima tahun - 13 tahun.

Selepas kira-kira 24 tahun aku kehilangan ayah pula, Omar Othman yang meninggal 1996. Kehilangan ayah ketika itu cukup menyayukan kerana aku tidak sempat berbudi banyak kepada ayah. 

Ayah meninggalkan kerana kanser esophagus yang lambat ditangani. Ayah meninggal di HKL dan aku menerbangkan jenazahnya dengan pesawat ke Kelantan sebagai penghormatan. Ayah tidak sempat merasai nikmat daripada aku seorang anak.

Ayah seorang yang mulia dan tersangat baik dalam mataku. Dia tidak pernah memukul atau memarahi aku sedari kecil. Aku ditatang bagaikan minyak yang penuh. Tidak pernah mencuit walaupun sekali. Kalau dia marah dan geram dengan aku, dia hanya mendiamkan diri. 

Sewaktu aku menghempaskan satu set pinggan mangkuk hadiah dihari perkahwinan Rosmini, kerana dipercayai dibubuh minyak guna-guna untuk meracuni peraasaan Rosmini, ayah hanya melihat perbuatan aku itu dan bersunggut; "kenapa harus rosakkan barang, membazir", katanya tenang. 

Selepas ayah pergi, ia disusuri oleh Rosmini (2017). Ketika dia menghembus nafas aku tidak ada disisi kerana berada di Sabah menyambut lebaran Aidiadha dan melakukan korban di sana.

Kematiannya menganggui tugas ibadat aku di sana. Sebaik selepas memotongkan lembu korban aku bergegas pulang ke Kuala Lumpur, transit sekejap kemudian sambung pesawat  ke Kota Bharu, Alahamdulilah sempat aku memberi khidmat terakhir buat Rosmini dengan menurunkan jenazahnya ke liang lahad.

Beberapa tahun, Rosmini pergi ia diikuti pula oleh Mek, (Mekthom Haji Salleh) yang meninggal tanggal 2018. Pemergian Mek tidak sesuatu yang mendukacitakan sangat, kerana dia lama keuzuran dan segala perubatan dan perawatan ke atasnya aku sangat berpuas hati. Aku merasakan tidak ada sebarang hutang dengan Mek kecuali bergurau memperolok-olokkannya yang dia mengerti itu adalah cara aku bergurau dan bermesra dengannya. Mek sangat memahami sifatku.

Tetapi hari ini, apabila abang, Haji Ahmad Laksamana pulang ke sisi Tuhan, aku sagat terasa dan terkesan dengan takdir ini. Aku menjadi lemah dan kalah tidak dapat mempertahankan kekuatan jiwaku sebelum ini yang tidak mudah menyerah kalah dengan takdir. Aku merasakan terputusanya hubungan zahir dengan abang seperti direntap. Aku menjadi sangat lemah. Meskipun dia sudah memberi isyarat akan perpisahan kami namun aku terkesan dengan perpisahan ini.

Aku belum puas berkawan, bergurau, bergadauh dengan beliau. Paling tidak puas, mendengar nasihat dan motivasinya kepadaku. Dia seorang abang yang sangat mengambil berat tentang ku dan juga menyanjung kerjayaku. Biarlah orang lain tidak appreciate dengan kerjayaanku, tetapi dia memuji dan bangga dengan apa yang kulakukan. "Buatlah dek untuk keluarga kita. Kita kena ingat keluarga kita orang kampung dan mereka bangga memilik kamu." Itulah motivasinya tidak putus-putus kepadaku. Beliau sangat obses untuk kemajuan pendidikan dan ekonomi orang kampung. 

Betapa prihatinnya kepada pendidikan, ketika dia disekolah menengah lagi beliau telah mengadakan kelas tambahan untuk membimbing pelajar kampung yang lemah. Ketika itu beliau di asrama di Kota Bharu akan pulang ke kampung dua minggu sekali untuk memberi bimbingan pendidikan kepada anak-anak kampung. Kelas Bimbingan Malam Gual Nibong (KBMGN), itu kemudian diteruskan oleh ku setelah beliau ke universiti. 

Pada sambutan hari jadinya ke 70
saat bergambar abang minta menciumnya.
Baginya kerjayaku sebagai penulis dan penganalisa politik sangat dihormatinya. Dia mengikhtiraf kemahiran aku dalam aspek ini. Kerana itu apabila ada sesuatu isu politik atau pergolakan politik dia akan mencariku dan minta ulasan dan pandangan. Biasanya setiap kali selepas pilihan raya beliau akan mencariku untuk menganalisa keputusan pilihan raya itu. 

Kepedualinya kepadaku sejak kecil lagi, dari mengait buah rambutan, setol atau mengutik buah samak, sampailah menghantarku untuk belajar ke luar negara. Beliau sanggup mengeluarkan biaya demi pendidikan aku dan adik beradik lain atau orang kampung. Iya.. tanpa pengorbanan dan kesedarannya aku tidak akan ke mana dan tidak mungkin menjadi orang seperti hari ini. 

Apabila Allah memutuskan perhubungan zahir kami, semalam jam 10:42 minit, aku sangat berdukacita dan jadi terpana dengan takdir ini. Sehingga kurasakan bulan dan mentari telah gugur dan mengelap gulitakan alam ini. Aku benar benar terkesima. 

Detik bersamanya di hujung waktu itu semalam aku tidak akan melupainya. Setiap kelakuan, riak muka dan gerak badannya terpahat kejap di matahatiku. Sebegitu aku menemuinya di hospital Cardiac Vascular Senteral (CVS), beliau dalam keadaan terbaring di atas katil seperti biasa, dia sudah selalu ke situ untuk mendapat rawatan rutin selepas pembedahan jantung dan beberapa kali dimasukkan ke wad, tetapi tidak serius. Ada wayer di hidung, tangan, dada, dipundi kencingnya dan lain. 

Begitu melihat aku dia tersenyum seraya menghulurkan tangan untuk berjabat dengan ku, aku sambut dan mencium tangannya, dia lantas berbicara seperti biasa. Namun perbicaraannya tidak begitu fokus dan sesekali seakan tidak mahu menatap wajahku dalam-dalam seperti selalunya? Dia banyak tersenyum tanpa menatap wajahku.

"Ok.. tidak ada masalah," kata aku sambil mengenggam erat tangan kirinya kemudian menciumnya dalam-dalamnya. 

 "Tak ada apa-apa lah, ok ok," kata aku meniru kata-katanya setiap kali mengunjungi aku ketika aku terlantar di hospital atau di rumah baik semasa aku diserang kanser limpoma atau menjalani pembedahan jantung. Dia sangat mengambil berat kepadaku, sehinggakan datang menjengukku hampir setiap hari tanpa mengira malam atau siang, sambil memberi semangat dan keyakinan untuk melawan kanser. 

"Kena kuat, dek," katanya. "Selepas ini kamu akan jadi muda sepuluh tahun," tekannya memberi semangat, seraya akan mencium pipiku berkali-kali. Kata-kata itu mendekam dalam jiwaku dan ia menjadi senjata ampuh untuk kumelawan segala sakit. 

Kami bergenggaman tangan tidak lama, hanya beberapa jurus sahaja. Kemudian terkeluar kata-kata perlahan dari bibirnya berbunyi: "Aku dah nak pergi," perkataan itu terkelam dalam halkumku. Dalam kelam sekali lagi aku berkata kepadanya, "tak ada apa-apa masalahlah, jangan risau, ok", ujarku dengan senyum sedikit pahit dan mata seakan berkaca. Mungkin mata yang memerhati ke wajahku dapat mengesan kegusaranku ketika itu.

Sekali lagi dia merenung ke mukaku tetapi tidak sedalam seperti selalu. "Jagalah dunia ini, dan orang menanti ulasan (politik) mu dek," katanya seperti biasa mengangkat aku sebagai penulis, sambil menyambung sekali lagi kata-kata;  "abang dah nak gi". Kata-kata itu menjadikan aku sebak tetapi air mata masih belum relai menjadikan aku seakan lupa keadaan ketika itu. Sendu yang membunga di hatiku ku tahan sekuat jiwa. 

Selepas itu aku meninggalkan katilnya apabila doktor yang mengetuai team merawatnya panggil aku untuk memberi penjelasan situasi dirinya ketika itu. Apa dijelaskan Dr Hafiz aku faham segala-galanya. Keadaan abang tidak normal lagi dan lemah. Lantas itu aku terkenang apa yang berlaku ke atas diri ku sehari dua ini dan juga kepada mimpi yang kualami tiga malam lalu. 

Mimpi lubang luas.

Dalam mimpi itu aku melihat satu lubang luas yang penuh dengan bunga-bunga dan berwarna warni, ia semacam dalam sebuah pesta penuh dengan neon germelapan. Dalam lubang itu aku nampak dia bersama chek (atuk). Begitu melihat mereka, aku menyapa, "oh dua bercucu ini ada di sini,". Begitu melihat aku dari atas tebing lubang itu, dia memanggil aku agar turun bersama.

"Marilah turun," ajaknya.

Selepas mendengar penjelasan doktor itu aku masuk mendekati kembali ke katilnya, menjaman kaki kirinya. Seluruh kakinya sejuk bagaikan rias pisang, dari hujung kaki sampai ke bahagian lutut. Saat itu isteriku masuk dan mendekatinya, dia cuba berbicara dengan isteriku Naimah, dan isteri minta agar ia rehat dan jangan banyak cakap. Tetapi ia membalas dengan berkata, "tak apa aku nak kecek (berbicara) denganmu selepas ini aku tidak akan berbicara lagi dan telingaku juga tidak dengar," ujarnya.

Dadaku terdetik dan berdebar, sambil mata merenung ke arahnya bila dengsar dia berkata demikian. Dia seakan tidak mahu bertentangan mata denganku dan mengalih cepat ke arah lain. Semacam tidak sanggup bertentangan lama-lama. Bibirnya tetap kembang dengan senyuman. Selepas itu aku berganjak meninggalkan ruang itu untuk beri laluan kepada anak-anaknya dan isterinya, Kak Yah mendampingnya sepenuhnya. Matanya juga dipejam dalam-dalam seakan tidak mahu buka lagi.

Sambil berdiri di sisi kanan, aku teruk melihat arlogi ditangan. Detik demi detik berjalan seakan geraknya seakan terlalu laju bagiku. Mahu sahaja aku hentikan detik jam itu dari berdetak, tetapi tidak berdaya. Mataku tidak berganjak memerhati ke wajahnya dan juga melihat meter (indikator) di pelbagai peralatan di hujung kepalanya. 

Tiba-tiba dia minta perbetulkan kedudukan katil dinaikkan sedikit. Kemudian dia minta betulkan kedudukan kepalanya dan tubuhnya supaya mengiring ke arah kiblat. 

Dia cuba menggerakkan badannya bagi membetul dan menyelesakan kepalanya. Aku nampak ia agak sukar melakukannya sendiri menyebabkan jururawat membantunya. Selepas kedudukanya dirasakan selesa dia meletakan dua belah tangannya ke atas dada, seperti lagak dia tidur sejak kecil-kecil dahulu yang suka meletakkan tangan ke atas dada. Begitulah apabila dia keasyikan apabila mahu bermanja denganku apabila menyuruh mengurut dan memicitnya, apabila dia nak lena dia akan meletakkan kedua belah tangan di atas dada.

Tepat jam 10: 42 malam, segala pertunjuk (meter) di peralatan mesyen, priometer, jantung dan sebagainya terhenti. Titik graf menjadi lurus dan betul. Abang telah berangkat ke alam abadi penuh dengan tertib, tenang dan damai. Padaku melihat keadaanya seolah tidur dia bukan mati, tetapi hanya tidur panjang yang sedang diulik mimpi dengan iringan sejuta malaikat. Bersambung. [wm.kl. 12:21 am 23/08/2024]


6 comments:

Anonymous said...

إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ‎

Semoga Allah merahmati Rohnya, memuliakan kematiannya, mengampuni segala kesalahannya, menjadikan Syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan menempatkan Arwah di kalangan orang-orang yang beriman.
آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ 

Anonymous said...

Semoga Roh nya beroleh Rahman dan Rahiim Allah jua.

Anonymous said...

Innillahhiwainnailaihirojioon.. pemergian seorang mursyid menemui Tuhan dengan jiwa yang të ang.. ya ayyatuhan nafsul mutmainnah irji i ila rabbikira diyatan mardhiah..

Anonymous said...

Mmg syurga lah tempat abg tuan yg tuan ceritakan smpai buat saya menitis airmata

Anonymous said...

komen sikit pasal buku arwah berjudul hakikat insan yang dikatakan penuh kesesatan

Anonymous said...

‎ﺇِﻧَّﺎ ﻟِﻠّﻪِ ﻭَﺇِﻧَّـﺎ ﺇِﻟَﻴْﻪِ ﺭَﺍﺟِﻌﻮﻥ

Allahummagh firlahu warhamhu wa`afihi wa`fu`anhu"*
"Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia."
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solehin....
‎آَمِيـٍـِـنْ ... آَمِيـٍـِـنْ ... آَمِيـٍـِـنْ يَآرَبْ آلٌعَآلَمِِيِنْ
Salam takziah untuk keluarga ...
Al Fatihah🤲🏻