Showing posts with label Pas Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Pas Kelantan. Show all posts

Saturday, November 4, 2017

Pas Kelantan tunjuk berani di Salor dan Pasir Puteh

ULASAN PETANG

Para peniaga membantah perobohan pasar.
Ada dua isu yang heboh diperkatakan oleh orang ramai di Kelantan dewasa ini khasnya di kalangan pemain dan pemerhati politik di mana kedua-dua perkara atau isu itu tidak pun patut jadi isu panas.

Perkara itu ialah pembelian secara senyap tanah menempatkan Wisma Tokguru di Jalan Pendek, Salor dan kedua isu keengganan peniaga di pasar lama Pasir Puteh berpindah ke pasar baru, Siti Hajar.

Sunday, October 29, 2017

Dikeko membahayakan Pas Kelantan

Dikeko di Lakloh yang mendapat sambutan hangat.
SESUDAH SUBUH

Belum ada kajian secara imperikal dibuat menunjukkan apakah kerajaan Pas Kelantan tidak sedikit pun bimbang dengan kemunculan parti Parti Amanah Negara (Amanah) yang kini telah menyatukan diri dan membentuk kekuatan bersama tiga parti lain; PKR, DAP dan PPBM menerusi Pakatan Harapan.

Tuesday, March 15, 2016

Ulangan peristiwa 12 Mac 1978 ditunggui Umno

RENCANA KHAS

Ahmad dan Mustapa, menerima perulangan
peristiwa 12 Mac 1978 dalam rasa berbeza.
"Monumen" sejarah politik yang dicatat di negeri Cik Siti Wan Kembang pada tahun 1978, kejatuhan kerajaan Pas Kelantan ia bukan sahaja dikenangi oleh ahli dan para penyokong Pas. Peristiwa itu juga ditunggu dengan penuh minat oleh ahli dan penyokong Umno. Kalau Pas mengenang kejadian yang berlaku 38 tahun itu dengan perasaan sedih dan dukalara, tetapi berbeza dengan orang Umno, menerima peristiwa itu dengan penuh kegembiraan.

Ironis peristiwa itu bagi Pas ia tidak mahu berulang untuk kali kedua dan seterusnya. Sebaliknya Umno sangat mengimpikan agar ia berlaku kembali. Bagi Umno sudah terlalu lama mereka menunggu peristiwa seperti pada 12 Mac 1978 itu berulang kembali. Sudah 25 tahun atau tujuh kali pilihan raya mereka menunggu akan kemunculan peristiwa itu, namun ia tetap mengecewakan.

Monday, January 18, 2016

Pas Kelantan tidak ada hak untuk bantah PKR

SUSUPAN PETANG

Langkah Pas Kelantan melarang kepimpinan Keadilan (PKR) hadir majlis anjuran Parti Amanah Negara (Amanah), di Kelantan dilihat sebagai satu tindakan undur ke belakang dan secara langsung parti itu seakan mahu jadi polis mengawal gerak geri politik PKR.

Tindakan itu juga sebagai tidak menghormati kepada kebebasan demokrasi yang sepatutnya dihirup oleh PKR. Pas tidak ada kuasa atau hak untuk menghalang atau marah jika ada pimpinan PKR menyertai program anjuran Amanah, kerana ia tidak ada dalam apa-apa perjanjian.

Hakikat yang perlu disedari bahawa PKR memang ada hubungan politik dengan Amanah, jadi apa-apa bentuk kerjasama di antara keduanya adalah halal. Pernubuhan Pakatan Harapan disertai sama oleh Amanah bersama PKR dan DAP mengesahkan hubungan itu. Justeru terserah kepada parti itu untuk melangsungkan kerjasama dengan Amanah di Kelantan atau DAP di mana-mana negeri. Secara perundangan kerjasama itu tidak melanggar konsesnus Pakatan Harapan.

Wednesday, October 23, 2013

Abdul Hadi kata tiada tindakan terhadap Husam

SELANG HARI                                                                                     

Presiden Pas Abdul Hadi Awang menjelaskan tiada tindakan terhadap Husam Musa selepas beliau mengadakan pertemuan tiga pihak, Husam Musa, Pas Kelantan dan Pas Pusat di Kota Bharu semalam dalam membincang dan berjumpa untuk menghuraikan gelora yang berlaku dalam Pas Kelantan sehari dua ini.

Pertemuan Pas Pusat dengan Husam, Pas Kelantantan.
Lautan Pas Kelantan sedikit berombak ekoran teguran Husam Musa di Dun Kelantan yang menyentuh soal kelemahan pentadbiran serta salah laku pegawai tertentu di pejabat Menteri Besar.

Terkejut sedikit apabila mendengar jawaban demikian dari Abdul Hadi. Apakah ada pihak yang mahu Pas mengenakan sebarang tindakan ke atas Husam ekoran kritikan beliau di dalam sidang Dun baru-baru ini? Mungkin ada, kalau tidak masakan Abdul Hadi memberi penjelasan begitu.

Tuesday, September 24, 2013

Semangat 1990 sangat penting untuk dihayati

PANDANGAN                                                                                     

Semasa berucap merasmikan muktamar Pas kawasan Kota Bharu minggu lepas, Husam Musa menyaran dan mengingatkan ahli-ahli Pas khasnya di Kelantan supaya mengenang semangat 1990 yang membawa kemenangan besar kepasa Pas sehingga berjaya merampas balik Kelantan daripada Umno. Semangat itu mutahak untuk dikenang sepanjang masa, ujarnya.

Nik Amar, Husam elak pertembungan.
Menurutnya semangat berkorban dan kesetiakawanan sangat tinggi waktu itu. Semangat itulah menjadi rahsia kepada kejayaan besar Pas yang berpakat dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah untuk membentuk semula kerajaan negeri selepas 'tergadai' ke tangan Umno selama 12 tahun. Berkat kerjasama itu menyebabkan Umno tidak menang satu kerusi pun.

Saya bersetuju dan sependapat dengan Husam didalam hal ini. Sesuatu yang baik yang pernah membuktikan kejayaan hendaklah dikenang senantisa, dijadikan azimat dalam perjuangan dan jangan sesekali mengalpakannya. Itulah juga pun manfaat sejarah untuk dikenang. Sejarah akan menjadi cermin mengislah akidah dan langkah perjalanan kita sekiranya ia sudah mula agak tersasar.

Tuesday, March 26, 2013

Nik Abduh ke Pasir Puteh, Biar Mengemas Bukan Mencelarukan

FOKUS PAS PASIR PUTEH LESET SIKIT PAS RANTAU PANJANG                          

Malam semalam khabarnya Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berada di Pasir Puteh Kelantan. Dia dibawa berjalan ke beberapa tempat menemui pemimpin PAS kawasan Pasir Puteh. Apakah kunjungan Nik Abduh itu menandakan dia akan bertanding di parlimen Pasir Puteh? Kata orang kalau tidak ada mengada masakan tempua bersarang rendah.

Nik Mohamad Abduh Nik Aziz
Atau pun lantaran kawannya Ketua Penerangan Dewan Pemuda, Riduan Mohd Nor yang disebut-sebut akan bertanding di kerusai parlimen Besut yang bersebelahan dengan Pasir Puteh menjadikan Nik Abduh berselera untuk 'beradu dan beradu' di Pasir Puteh?

Sebelum ini anak MB Kelantan itu disebut-sebut untuk bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas ataupun juga parlimen Rantau Panjang. Mungkin desas desus sebelum ini hanya sebagai test merket sahaja. Mencari keserasian dan mahu melihat reaksi penyokong PAS di kawasan itu. Saya sendiri memberi pandangan berhubung ura-ura untuk meletakkan Nik Abduh di Pasir Mas dalam dua catatan sebelum ini. Saya mengingatkan dan memberi pandangan cadangan itu kurang 'menarik'.

Saturday, January 26, 2013

Betulkah Senarai Calon PAS Kelantan Dirombak?

RENCANA KHAS                                                                                            

Seharusnya untuk memastikan kemenangan dan kejayaan di dalam pilihan raya, keputusan serapi mungkin perlu dibuat dari semua sudut. Ia bukan saja dalam persiapan jentera pilihan raya, persiapan isu, peruntukan yang mencukupi, tetapi juga soal calon.

Calon merupakan aspek paling penting dalam pilihan raya. Selalunya selepas orang memilih dan menilai parti untuk disokong, mereka akan melihat siapa dia sosok atau individu yang akan jadi calonnya.

Walaupun apa yang hendak dipaparkan oleh sesebuah parti itu mengenai dasar, matlamat ataupun agenda perjuangannya tetapi aspek calon juga akan diambil kira. Selepas semua aspek tadi dihitung dibandingkan, maka calon adalah perkara terakhir akan ditilik oleh pengundi. Sekurang-kurang 20% peribadi dan syaksiah calon menjadi penyumbang ke arah kemenangan.

Mungkin atas peri penting dan mustahaknya perkara itu menyebabkan PAS Kelantan diberitakan telah merombak semula calon-calonnya. Senarai yang sudah dikatakan sudah lengkap, dipinda sedikit untuk memastikan persiapan dibuat secara rapi dan calon tidak menimbulkan masalah. Tindakan ini patut dipuji dan menunjukkan PAS kali ini benar-benar menghalusi mengenai calon dan bukan tangkap muat saja atau dibuat atas nasihat dari satu sumber, bukan kolektif.

Monday, December 24, 2012

Masa Depan Pas Kelantan 20 Tahun Akan Datang

RENCANA KHAS                                                                                               

Pengenalan:
Selalu orang bertanya siapa akan memimpin Kelantan selepas Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ada beberapa nama disebut-sebut tetapi tiada siapa pula berani menegaskan nama disebut itu akan jadi MB. Ironisnya pula Timbalan Menteri Besar Kelantan, selalunya akan ternafi ditengah jalan. Keadaan ini menjadi kenan dan menyebabkan persoalan siapa MB selepas Nik Aziz menjadi tanda tanya. Catatan kecil ini akan cuba merungkaikan permasalahan. "

Walaupun Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat nekad untuk berjuang sampai ke akhir hayatnya dalam PAS, dan sanggup mati di atas kerusi pemerintah atas alasan kerana Umno berdegil mempertahankan doktrin sekularismenya, tetapi hakikatnya beliau akan berhenti juga bila sudah sampai masanya nanti. Masa untuk itu sebenarnya sudah terlalu hampir dan rapat.

Nik Aziz: tidak menyebut penggantinya secara jelas.
Mengenai semangat dan nekadnya tidak siapa boleh menafikan. Saya sendiri yakin dia akan meneruskan nekad murni itu. Mungkin cita-citanya 'syahid' dalam perjuangan adalah rahsia yang tidak terucap kepada umum dan menjadi rahsia peribadinya.

Walaupun selepas pilihan raya ke- 13 nanti beliau dikatakan tidak akan meneruskan tugasnya, sebagai MB, tetapi saya percaya selagi Nik Aziz mampu mengangkat tangannya ke atas untuk angkat sumpah, beliau akan terus menjadi MB. Alasannya mudah, PAS masih memerlukan dia.

Apakah selepas ini, kalau tertakdir PAS menang besar, alasan ataupun keperluan itu masih berlaku; PAS mahukan Tokguru? Firasat saya mengatakan ia tetap akan berlaku.


Wednesday, January 18, 2012

Menyapu Awan Menerangi Bulan

Berilah Cenderahati Untuk Tok Guru
Menangkan Nik Abduh


Persoalan mengenai siapakah di kalangan 10 anak Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdiri dari lima lelaki dan lima perempuan bakal mewarisi atau mempusakai takhta politiknya itu tidak timbul lagi. Dari kalangan keluarga Raja Jembal itu sudah dapat menilik siapakah di kalangan putera-putera Nik Aziz itu yang berbakat dan sudah menyingsing lengan baju dalam politik.

Pastilah Nik Aziz sabagai tokoh politik ulama tidak mahu kerja dakwah dan jihadnya terputus begitu sahaja tanpa disambung oleh zuriatnya.

Pengganti itu tentulah anaknya yang jinak dengan politik ataupun sedang mengepakkan sayap untuk terbang lebih jauh dan tinggi lagi dalam politik.

Siapakah anak itu? Semua sedar hanya seorang saja putera Nik Aziz yang berminat dengan politik dan kini galak mempersiapakan diri. Anak lelaki itu ialah anak ke limanya bernama Nik Muhammad Abduh, 35. Tokguru sendiri dalam percakapan dengannya di Kuching Sarawak memperakui hal itu, katanya Nik Abduh nampaknya berminat benar dengan politik.

Kedudukan Abduh dalam arena politik Pas dan hirearki kepimpinan kini sudah lumayan dan boleh dibanggakan. Beliau kini adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia. Kedudukan itu adalah layer ketiga dalam saf kepimpinan tertinggi parti Pas.

Dengan kedudukan itu logiknya permusafiran Abduh dalam politik selepas ini licin dan selamat, melainkan beliau ada terlalai dan alpa dengan kedudukan itu tidak mustahil beliau boleh berkelana. Secara tradisinya timbalan ketua akan menganjak menjadi ketua. Dan selalunya juga ketua pemuda akan terus menginsut sehingga ke jawatan Naib Presiden.

Sekurang-kurang tiga orang tokoh yang menakhtai Pas kini lahir dari dewan pemuda. Mereka Sallahuddin Ayub, Muhammad Sabu dan Mahfuz Omar. Kekuatan yang ada kepada dewan pemuda boleh mengangkat ketuanya ke jawatan tertinggi. Sebab itu mereka yang tidak berakar umbi pemuda akan merana dan kalau jiwa tidak kuat akan berputus asa.

Dalam dunia politik demokrasi, jawatan dan kedudukan perlu diburu dan dikejar. Mereka yang bersikap kurang 'cakduh' dengan jawatan akan tertinggal dan tercicir serta kurang dihormati. Ilmu saja tanpa jawatan dalam politik tidak cukup gah. Dalam politik demokrasi ala barat populariti di antara salah satu aset kepada seseorang itu. Berjaya menduduki jawatan mencerminkan populariti seseorang itu.

Kedudukan atau jawatan ini juga akan meletakkan seseorang itu di barisan depan gunanya untuk membolehkan mereka memberi sumbangan dan penglibatan seoptimanya dalam parti termasuk menetukan halal tuju atau mengejap dasar dan prinsip asal parti. Tanpa jawatan seseorang itu akan menjadi base giter bukan lead gitar dalam sesuatu orkestra besar.

Menganalisa ini maka Nik Abduh perlu 'mengejar' jawatan dan kedudukan tanpa ada rasa malu dan kompromi. Keikhlasan dalam politik demokrasi menjadikan seseorang itu menangis di tikar sembahyang! Walaupun sikap merebut, berusaha mendapat, mengambil peluang adalah sifat-sifat tercela dalam konteks Islam, namun sifat itulah menjadi ramuan bermutu untuk berjaya dalam poltik ala kita dan ia merupakan sifat positif.

Apa yang hendak saya maksudkan, dalam pilihan raya yang akan datang ini Nik Abduh harus bertanding dan menang dalam pertandingan. Beliau perlu mencari atau ditempatkan di mana-mana kerusi sama ada state atau parlimen bagi mengukuhkan kedudukan dalam politik dan menjadi tapak kepada dakwah dan jihadnya. Dengan status hari ini selaku timbalan ketua pemuda beliau sudah boleh bercakap tetapi kekuatan dan pengaruhnya tidak meluas menjadikan kehadirannya kurang berimpak.

Sebelum ini saya sudah membuka 'sirah' kerusi terbaik buat Abduh ialah parlimen Pengkalan Chepa. Disitu dia akan dapat mengikut jejak ayahnya untuk mengapai jaya dalam politik. Nik Abduh harus belajar berpolitik secarara rasmi dan mengetahui institusi politik secara ilmiah dengan menjadi ahli Parlimen seperti ayahnya dengan berada dalam dewan Parlimen. Parlimen akan melambakkan berbagai ilmu buatnya.

Ayahnya bermula di Pengkalan Chepa sebagai ahli Parlimen apabila menang dalam pilihan raya kecil tahun 1967. Kemenangan itu telah membuka luas minda Nik Aziz dari seorang guru dan ustaz kepada seorang murabi politik, pentadbir dan menjadi ikon politik Islam. Tidak dapat tidak kalau Abduh bercita-cita untuk memakai 'serban' dan 'kopiah' ayahnya dia perlu menuruti jejak itu - ke parlimen.

Tetapi nampaknya cadanagn saya itu sedikit terhalang kerana kerusi Pengkalan Chepa berada sama dalam kawasan di mana kerusi ayahnya sandang kini, Chempaka. Jadi kerusi itu tidak berapa kondusif dan tidak berapa manis kalau dua beranak berada di kawasan sama. Hendak tidak hendak salah seorang perlu berkorban kalau kerusi di kawasan itu juga diminati. Sama ada Abduh menangguhkan hasrat masuk dewan atau Tok Guru tidak bertanding. Dalam hubungan ini bagi saya Abduh perlu didahulukan dari ayahnya.

Justeru Nik Abduh diheret ke Pasir Mas. Alasan yang diberikan kerana di situ beliau dapat menumpang pengaruh bapa mertuanya Abdul Fatah Haron, yang berumah di kampung Mekasar. Bagaimana pun setelah menyedari pengaruh Fatah tidak menebal di situ maka kawasan baru dicari untuk Abduh. Memang Fatah tinggal di Pasir Mas, tetapi dia berpolitik di Rantau Panjang.

Sebagai orang baru yang belum ada pengkalan sendiri serta pengaruh peribadi meluas di sesuatu kawasan, Nik Abduh perlu dicari kawasan yang selamat. Umum tahu modal yang akan dijual atau ditempel kepada diri Abduh dalam kempen-kempen nanti ialah dia anak Tok Guru dan MB. Modal itu sendiri tidak menjamin kemenangan Abduh kerana pengundi hari ini bukan lagi mudah terpengaruh dengan barang-barang klon ataupun saduran. Hendak tidak hendak Abduh perlu ada kekuatan sendiri, dan dalam hal ini kawasan selamat perlu disediakan untuk menjadi kemenangannya.

Secara diam-diam saya ada membisikkan kepada pihak tertentu adalah baik kalau Abduh dibawah ke Rantau Panjang. Ada beberapa alasan, pertama, bapa merutanya adalah Yang Dipertua Pas di situ. Walaupun Fatah sudah tidak sepopular dulu tetapi pengaruh peribadinya masih kuat di situ. Di Rantau Panjang kalau Abduh bertanding di mana-mana kerusi termasuk state pun, baik Meranti, Gual Periok dan Bukit Tuku peluang untuk menang secerah 'cadni' purnma. [Candi candi ni gat bulanlah - bahasa Hindi, nanti kata saya salah ejaa pulak].

Sejajar itu sebagai gantiannya Ahli Parlimen kini Siti Zailah Yusuf boleh dibawah turun ke Dun Gual Periok. Sesuai dengan jawatan dan kedudukannya beliau boleh dilantik menjadi Exco. Keperluan lain untuk Zailah turun di Gual Periok juga bagi menjamin kerusi itu menjadi milik Pas kerana wakil rakyat Ahmad Awang sekarang tersangat lemah.

Tetapi cadangan itu kurang diminati Abduh? Barang kali orang Rantau Panjang sendiri tidak senang kerana kehadiran Abduh boleh menjejaskan peluangnya untuk bertading sekali lagi. Sudah tentu adalah tidak manis kalau Abduh bertanding di Rantau Panjang sedang bapa mertuanya juga bertanding di situ, samalah keadaanya kalau dia bertading di Pengkalan Chepa.

Jadi jika dia dietak bertanding di Rantau Panang bapa mertuanya secara automartik perlu menarik diri. Kalau Abduh diletakkan di parlimen Rantau Panjang Fatah perlu redha dan bersedia untuk tidak dicalonkan di Bukit Tuku.

Kini tidak jelas kepada saya kerusi mana yang akan ditempatkan untuk Abduh. Ada juga kedengaran jauh-jauh Abduh akan dibawa ke Bachok atau Pasir Puteh. Alasan di Bachok kerana Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada orang luar lagi. Nasharudin Mat Isa yang kini menjadi burung candik kalah bertanding, rupa cantik tetapi tidak tahu berkokok' tidak lagi akan diberikan peluang di Bachok. Maklumat terbaru katanya dia kian mesra dengan Umno?

Pasir Puteh juga diadukan kepada Abduh. Paling terbaru Abduh akan dibawa ke Machang ekoran kedengaran Saifuddin Nasution Ismail tidak lagi bertanding di Kelantan atau pun ada pertukaran kerusi di antara PKR dengan Pas. Machang dikatakan kerusi selesa buat Abduh. Salah seorang keluarga terdekatnya mengakui anak beranak mereka ramai di Machang.

Tidak kira di mana putra politik Nik Aziz itu diletakkan asalkan beliau menang. Kemenangan adalah penting bukan saja sebagai cenderamata untuk Tok Guru tetapi masa depan politik Abduh sendiri. Kekalahan beliau dalam saat kuasa politik ayahnya sedang menirus sangat bahaya. Dahan yang kukuh untuk dijadikan tempat bergantung sangat penting dalam politik.
Dalam memperhitungkan untung nasib anak Tokguruku kini, saya ada pandangan lain yang mungkin tidak terlintas dalam kepala sesiapa pun. Apa kata kalau Pas Kelantan membawa Nik Abduh turun ke Kubang Kerian. Kubang Kerian adalah kerusi paling selamat, selepas Pengkalan Chepa. Bahkan Kubang Kerian dalam konteks Abduh lagi baik dari Pengakalan Chepa kerana musuh tidak dapat mengeksploitasikan isu kronisme.

Pas sering kali menang di sini dan taburan pengundinya juga menarik terdiri dari golongan agama, inteletual dan rakyat biasa. Kawasan ini sesuai dengan watak Abduh itu sendiri. Cadangan ini lebih konkrit kalau benar Pas Kelantan sudah tidak mahu kepada Sallahuddin Ayub yang sudah dua penggal bermukim di situ. Bagi Sallahuddin rasanya tidak menjadi keberatan dan sebagai pemimpin setia dan penuh sentimental, beliau tidak akan membantah. Apa lagi ke belakangan ini Sallahuddin memberi tumpuan kepada Johor, molek juga kalau beliau membina empayar baru Pas di negeri itu sesuai dengan kemajuan Pas kini.

Penggantian dengan Abduh itu menjadi lebih murni dan harmonis lagi kalau Sallahuddin dipindah ke Pasir Mas untuk berhadapan dengan Inchek Ibrahim Ali. Saya pernah memberi pandangan dan kupas serta justifikasi mengenai hal ini tidak lama dulu.

Walaupun Abduh tidak pernah bermain di Kubang Kerian, tetapi rasanya tidak ada penolakan terhadapnya. Yang Dipertua Pas Kubang kerian, Husam Musa boleh menggunakan kuasa prerogetif dan pengaruh peribaidnya untuk menerima Abduh. Saya tidak nampak kalau Husam sendiri menolaknya kerana inilah ketika untuk Naib Presiden Pas itu menjernihkan suasana. Juga kepada Husam inilah masanya untuk beliau membals budi bosnya (Nik Aziz) yang mendidiknya dalam politik dengan memberi peluang kepada Abduh. Kalau dulu Nik Aziz didik dia, maka beliau pula kena didik anak Nik Aziz. Itulah timba balas dan mengnang budi namanya.

Husam dikekalkan di Salor. Tidak menjadi masalah kalaupun tertakdir Pakatan Rakyat memerintah nanti untuk jadikan Husam sebagai meteri kerana kebijaksanaan dan kekreatifan pemikirannya. Itu soal gampang. Untuk dilantik menjadi menteri Husam tidak perlu bertanding di Parlimen, beliau boleh dilantik menjadi senator. Cara berfikir menteri hanya boleh dilantik dengan menjadi ahli Parlimen itu adalah pemikiran yang singkat dan mereka yang terlupa membaca perlembagaan. Atas kekhilafan membuat terjemah itu menyebabkan orang membuat tanggapan perpindahan Husam tidak lain daripada percubaan mengasingkannya dengan Kelantan.

Sekiranya Abduh di bawah ke Kubang Kerian dan berganding tangan bersama Husamh menuju ke pusat penamaan calon ia banyak menyelesaikan banyak masalah dan membawa jaya. Pertama, menjamin kemenangan Abduh kerana kawasan itu adalah kawasan putih. Kedua, mengurangkan persepsi kononnya hubungan Husam dengan keluarga Tok Guru negatif ekoran beberapa insiden dan salah faham sebelum ini. Peluang ini juga membuka dan melendik semula talisiturahim antara Husam dengan menantu nombor satu Tok Guru, Abdul Ariffahami yang dikatakan 'berkedut' sebelum ini.

Ketiga, memberi peluang kepada Husam dan seluruh Pas Kubang Kerian berbakti dan membalas budi dan jasa-jasa serta pengorbanan Tok Guru selama 22 tahun memimpin Pas walaupun tidak semua terbalas. Kalaulah idea dan saranan ini diterima rasanya Umno sudah ketiadaan modal dan peluang Pas untuk mengulang sejarah 1990, menang 59 kerusi bersama Tengku Razaleigh Hamzah akan berulang. Cubalah selami hikmah di sebalik cadangan ini. [wm.kl.8:32 am 18/01/12]

Friday, September 2, 2011

Politik Kampungku

Gelora Politik Rantau Panjang

TIGA hari berada di Rantau Panjang khasnya, rasa nak pecah telinga mendengar perbagai kisah politik yang berlegar dalam kehidupan orang politik di Rantau Panjang. Macam-macam cerita yang tertangkap oleh telinga. Masuk ke mana saja, tidak ada cerita lain. Pendeknya raya pun tidak boleh senggang dengan politik.

Menariknya kita bukan saja ditanya mengenai kapan pilihan raya umum ke-13 dan macam mana peluang Pakatan Rakyat dan nasib UBN, tetapi kita juga diberitahu kisah-kisah politik bawahan. Politik kedai gunting dan politik kedai kopi. Rupanya arus politik di Rantau Panjang kuat juga geloranya.

Politik Rantau Panjang didominasi oleh dua pihak saja; Pas dan Umno. Keadaan ini berlaku sejak zaman berzaman lagi. Politik baru atau jenama baru yang akan cuba diperkenalkan di sini tidak mendapat sambutan. Sesiapa hendak jual parti bebas atau mana-mana parti serpih ibarat kata akan pulang tangan kosong sajalah.

Calon bebas yang bertanding di Dun Gual Periok dan Parlimen Rantau Panjang tahun 1974 pernah kehilangan wang deposit. Saya masih ingat cogan atau poster calon bebas hanya ada satu saja yang dipasang di atas tangki air di pekan Gual Periok yang tingginya kira-kira 30 meter. Yang memasang poster itu seorang tok dalag wayang kulit yang kini merantau ke Kemaman.

Calon bebas di Gual Periok ketika itu ialah Abdul Razak Hamid manakala calon Parlimen seorang lawyer muda Rashid Ahmad. Lambang yang digunakan ialah bas mini.

Kesimpulannya pertembungan di antara Pas dengan Umno saja. Kerusi-kerusi parlimen dan Dun bergilir antara Pas dengan Umno. Jadi kalau parti yang bernama Kita, atau PPP dan sebagai nak masuk ke Rantau Panjang, elok cari lencongan terus ke Golok mungkin di Golok lebih mudah untuk menerima parti baru. Lagi pun di pekan cowboy itu banyak kedai arak sesudia sangat dengan pemimpin atau ahli politik yang jadi penagih tegar arak. Boleh mabuk sampai ke Subuh.

Bercakap mengenai Pas dan Umno musuh tradisi sejak zaman berzaman ini, macam-macam cerita yang dikhabar dan dimaklumkan kepada saya. Saya mulanya dengar cerita di pihak Umno yang kini sedang ghairah untuk menawan semula kerusi Gual Periok dan Bukit Tuku.

Orang-orang yang hendak jadi calon kini katanya sudah berputar ligat menjaja diri mencari waris dan sain lama. Ada seorang calon sebelum ini jarang ke masjid kini hari-hari pakai jubah. Orang lihat dia sudah buang tebiat. Round kampung memberi tahu orang yang dia akan jadi calon di kerusi Gual Periok. Sanggup masuk ke dapur atau pun ke tempat kenduri dan turut mengacau gulai kawah. Kerja yang tidak pernah dibuat seumur hayat.

Cikgu ini sudah lama nak jadi calon sejak tahun 80an lagi. Saya kira sudah pun kempunan. Buat masa ini kononnya namanya yang berada di ranking teratas dalam Umno. Bekas Adun Gual Periok, Shaari Hussein yang masih mahu mencuba sekali, juga sedang berusaha. Shaari dikatakan bergerak secara solo kerana dia sudah jadi anjing terbuang dari kumpulan Umno Rantau Panjang, apabila ketuanya Abdullah Mat Yassin yang bertaut semula dengan bekas ketua Mohd Zain Ismail dan bekas bendahari Ghazali Ismail yang kini penggantungan mereka sudah dilepaskan.

Abdullah kini sudah melempar jauh Shaari. Shaari pula sudah menyimpan dendam kepada Abdullah. Tetapi Shaari ada kekutaannya tersendiri. Katanya Shaari bertekad untuk tetap bertanding di situ apa jadi sekali pun.

Manakal Abdullah Mat Yassin sendiri belum tahu kedudukannya. Kalau Najib Razak mempraktikan apa yang dikatakan iaitu untuk mengambil calon yang boleh menang vinable candidate, Abdullah mungkin akan terlepas. Kerana di Rantau Panjang semua orang tahu perangai Abdullah termasuk musang dan mengkarung. Kalau Umno mencalonkannya, Umno akan kalah sehari sebelum penamaan calon lagi.

Berbagai cerita dan kisah mengenainya sudah tersebar luas di Rantau Panjang. Kedudukan bekas calon Parlimen Rantau Panjang, Apandi Yusuf pula sudah tidak timbul lagi. Dia sudah hilang ghaib entah ke mana. Beliau katanya sudah menghilangkan diri tidak lagi muncul berceramah dalam kawasan. Nyawa politik ketua pemuda Umno ini rupanya tidak panjang. Apandi dikatakan ketulahan apabila beliau pernah mencabar untuk berdebat dengan Tok Guru Nik Aziz atas isu mengenai solat hajat kalau tidak salah. Tindakan Apandi itu saling tidak tumbah cuba membunuh gajah dengan tahi gigi.

Dari makumat yang diketahui Umno Rantau Panjang berpulas jarah sesama sendiri. Umno mempunyai enam atau tujuh orang calon yang bakal ditonjolkan. Dalam pada itu Mustapa Mohamed pula ada calon dan orangnya sendiri untuk diturunkan di Gual Periok dan Rantau Panjang. Calon Mustapa kini sudah mulai bergerak menjual diri. Sekiranya Mustapa bertegas dan menggunakan kuasanya sebagai pengerusi Umno Kelantan menyebabkan semua yang berputar ligat hendak jadi calon hari ini akan mati beragam.

Tinggal Umno, kini saya nak sentuh seidikit mengenai Pas. Parti Islam ini juga tidak kurang dengan masalahnya. Ke man saya pergi cerita yang popular ialah kisah Abdul Fatah Haron (orang Rantau Panjang panggi;l Fatah Gong).. bergaduh dengan Siti Zailah Yusuf. Tidak habis-habis cerita ini masih hidup dan ada kalanya pergaduhan sebelah pihak ini semakin kuat. Cerita Fatah Gong menyerang dan memburukan Zailah tidak habis-habis. Semua kaedah dan cara digunakan namun belum berhasil. Si Zailah pula makin di lanyak Fatah Gong makin popular dan dikasihi rakyat.

Tampaknya rakyat di Rantau Panjang sudah mengenali apa najis yang ada di kopiah puteh Fatah Gong.

Terbaru katanya geng anti Zailah sedang berusaha untuk melontarkan Zailah dari Rantau Panjang. Staregi telah dibuat kononnya Zailah perlu bertanding di luar Kelantan memandangkan kedudukannya sebagai Ketua Muslimat. Kerusi paling sesuai ialah Titiwangsa yang dikosongkan oleh Dr Lo' Lo' Ghazali.

Sekali dengar strategi ini nampak bernas dan bijak. Tetapi kalau diselami ia ada udang di sebalik batu. Kerusi Rantau Panjang menjadi idaman semula oleh orang tertentu. Orang itu katanya perlu lari dari kerusi yang dimenangi seakrang ini bagi menyelamatkan kedudukannya. Dalam pilihan raya lalu dia menang hanya sekitar 300 undi saja. Dia percaya lalau dia terus bertanding di situ ibarat kata akan berkubarlah riwayat politiknya.

Jadi sebagai untuk menyelamatkan diri, wakil ini harus mencari kawasan baru. Kawasan yang menjadi idamannya ialah Parlimen Rantau Panjang. Sebenarnya kalaulah Fatah Gong yang bermaksud untuk bertanding di parlimen Rantau Panjang beliau tidak layak kerana tidak mempunyai kelulusan di peringkat ijazah. Beliau sendiri semasa jadi MP dulu mencadangkan supaya calon pas di Parlimen mereka yang berijazah.

Sejajar itu juga gng anti Zailah telah melakukan pelbagai sebotaj kepada Zailah. Kegiatan dan aktiviti Zailah kepada rakyat tidak disokong malahan sesetenganya disekat. Bantuan Zailah kepada parti juga termasuk wang derma untuk Pas kawasan digelapkan tidak dicatat dalam buku kewangan. Lembu korban yang diberikan Zailah juga tidak diumumkan anihnya daging korban dibaham.

Dengan apa yang dilakukan itu kalau Zailah tidak cekap dan gigih sudah lama Zailah akan mengau kalah. Katanya ada juga terdengar Zailah sendiri sudah muak dengan apa yang berlaku dan ingin keluar dari Rantau Panjang. Tetapi kerana penampilan dan keprihatinan dalam membantu rakyat, rakyat menahannya dan akan melakukan apa saja untuk mengekalkan Zailah di Rantau Panjang. Dalam kajian calon yang dibuat baru-baru ini nama Zailah sebagai calon MP Rantau Panjang adalah satu-satunya calon tunggal.

Memang buat masa ini tidak ada siapa dapat melawan kerajinan Zailah dalam membantu rakyat. Hakikat ini saya lihat sendiri bagaimana dia prihatin dan cekap membantu rakyat. Beliau bukan sekadar bercakapa tetapi turun sendiri ke lapangan. Di mana ada kematian, kebakaran, rakyat miskin dan bajir beliau akan mengharungi sendiri. Kalah wakil rakyat jantan yang lain, apa lagi yang sering berulang alik ke hospital.

Melihat cara dia berkhidmat kepada rakyat menyebabkan terfikir waktu mana dia berada di rumah bersama keluarganya. Ertinya Zailah sudah mengorbankan seluruh dirinya untuk kepentingan dan mengenepikan hal-hal lain. Nasib baik beliau ada suami yang sanggup bertungkus lums dan bergelumang dengannya tidak kira siang malam ke mana-mana jua.

Sepatutnya kalau orang yang anti Zailah tidak berhati kohong dia perlu bersimpati keapda Zailah. Perlu berterima kasih kerana khdimat yang ditaburnya bukan saja untuk dirinya tetapi demi menjaga seluruh wakil rakyat di Rantau Panjang kerana kawasan yang dicovernya meliputi Rantau Panjang.

Justeru Pas Kelantan khasnya Tok Guru kena memberi perhatian kepada perkembangan di Rantau Panjang ini terutama serangan dan penganiayaan orang kepada Siti Zailah. Kita tidak mahu seorang wakil rakyat yang gigih dan tulus terus diterjah oleh mereka yang berhati busuk dan pendengki nombor wahid.

Saya masih teringat kata-kata Tok Guru kepada saya. Katanya, dia tidak akan bertindak atas laporan yang tidak disertakan bukti bagi mengelakkan berlaku kezaliman. Sebaliknya kata beliau kalau ia sudah terbukti dan beliau tidak bertindak bermakan beliau tiak adil. Nah dalam kontks Pas Rantau Panjang ini bukti sudah terang dan jelas. Saya percaya tok Guru akan berpegang kepada kata-kata dan akan menghukum dengan penuh keadilan.

Dalam kes-kes membabitkan Siti Zailah di Rantau Panjang ini rasanya Persuruhjaya Pas itu sudah pun ada banyak maklumat. Ataupun Timbalan Pesuruhjaya Ahmad Yaacob dan lain-lain sudah mengetahui apa ayng berlaku di Rantau Panjang. Tanyalah kepada semua wakil rakyat Pas kecuali seorang Adun di Rantau Panjang mereka tidak akan menafikan apa yang berlaku di Rantau Panjang. Rasanya Pas tidak perlu sayang untuk mengorbankan seorang yang menjadi setitik nilai kerana kepentingan susu sebelanga itu perlu dijaga.

Satu-satu balasan ke atas serangan berteursan ke atas Zailah dan juga memandangkan kegigihannya sangat elok kalau dalam pilihan raya akan datang Tok Guru Nik Aziz dan Pas Kelantan memindahkan Zailah ke Dun Gual Periok untuk memboleh beliau dilantik menjadi Anggota Exco Kelantan. Sudah lama Adun Gual Periok tidak dilantik menjadi Exco Kelantan.

Manakala orang yang kini melakukan berbagai sebotaj termasuk bertindak seperti komunis meragut banner rumah terbuka Siti Zailah yang digantung di perkarangan pejabat Pas hendaklah dirihatkan. Cukuplah kerana sesungguhnya dia sudah tidak relevan lagi untuk menjadi wakil rakyat ever green kerana hari ini dia sudah menjadi grape sour. [wm.kl.5:32 pm 02/08/11]

Friday, December 25, 2009

Kadasan Akal

Pas Kelantan Jangan Berfikir Ke Belakang


PILIHAN RAYA umum ke-13 masih jauh lagi. Paling cepat pun ia mungkin akan diadakan 2011 dan paling lambat 2012. Kalau Najib Razak merasakan projek 1 Malaysia berjaya dan mendapat sambutan mungkin ia boleh dipertimbangkan untuk diadakan pertengahan tahun ini. Tapi saya tidak kira dalam keadaan UBN penuh bermasalah, bernafas semput kini Najib berani mengambil risiko.

Makanya, tempoh agak sesuai ialah pada tahun 2011. Waktu itu pun kalau benih projek 1 Malasyia yang ditabur kini sudah mula cambah. Dan kalau keadaan ekonomi yang kini sedang dipupuk menjadi, maka kemungkinan pilihan raya pada 2011.

Ertinya masih ada dua tahun lagi. Masih ada ruang dan kesempatan kesemua parti memperbaiki diri dan memperkukuhkan keadaan serta mengatur strategi ampuh.

Tetapi Pas Kelantan sudah berfikir jauh mengenai hal ini bila mana sudah ada cakap-cakap mengenai pilihan raya akan datang. Pas Kelantan sudah mula membayangkan sama calon luar akan dicalonkan semula atau tidak di Kelantan pada pilihan raya akan datang.

Walaupun hal ini ditimbulkan oleh bekas Ketua Dewan Ulama Pas, Mohamad Daud Iraqi di mana wibawa politiknya boleh dipertikaikan tetapi kerana Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri ikut turut sama memberi komen maka ia dilihat sesuatu yang penting. Apa lagi dalam komen itu Nik Aziz menyebut Pas akan memberi keutamaan kepada anak tempatan untuk menjadi calon.

Saya tidak faham kenapa tiba-tiba Pas Kelantan bercakap mengenai calon walaupun pilihan raya masih jauh. Rasanya tidak wajar ditimbulkan soal itu apa lagi Pas kini berdepan dengan berbagai masalah dalaman dan luaran yang harus diselesaikan segera.

Pada saya Pas tidak perlu persoalkan sama ada hendak kekal calon luar atau utamakan anak tempat. Tetapi apa yang penting menyelesaikan kemelut yang dihadapi Pas kini. Apakah Pas Kelantan khsusnya Nik Aziz sendiri tidak merasai bahawa mereka penuh bermasalah kini? Janganlah disebabkan kita dipuji siang dan malam menyebakan kita alpa kepada permasalahan yang melambak di depan kita yang akhirnya boleh memusanahkan diri dan parti.

Dalam hubungan ini pada saya, semua pihak adalah lebih baik memikirkan mengenai kedudukan Nik Aziz. Fikir dan putuskan dulu siapa yang akan mengambil alih kepimpinan Pas Kelantan. Itu lebih awla dan afdal daripada memikirkan sama ada hendak orang luar atau orang dalam bertanding di Kelantan. Kedudukan Nik Aziz dan masa depan lebih penting dari menentukan apakah import atau exsport orang luar.

Kalau pun Mat Iraq gatal mulut hendak bercakap soal tidak mahukan orang luar, tetapi tidak seharusnya Nik Aziz turut ‘gelenyer’ untuk mengulas. Kerana setiap apa yang diulas dan diucapkan Nik Aziz nanti ia akan menjadi isu kerana kata-katanya sangat berbiasa. Dalam hal ini lebih baik Nik Aziz memikirkan soal diri sendirinya dan tidak usahlah bercakap soal yang dibangkitkan Mat Iraq itu atau soal-soal diluar dirinya.

Yang perlu dipertimbangkan Nik Aziz kini ialah samada ada Husam Musa, Ahmad Yaacob atau pun Mohd Amar Abdullah menjadi MB. Beliau kena selesaikan ini dahulu sebelum cuba menimbangkan mengenai terima atau tolak calon luar. Kalaupun orang luar tidak bertanding di Kelantan dan isu siapa MB ini tidak selesai, ia dikira akan mendatangkan masalah kepada Kelantan. Makanya berikan keutamaan kepada masalah yang utama dulu.

Nik Aziz sendiri tidak payah berdolak dalih dan sayangkan kerusi lagi untuk melepaskan jawatan atau melakukan peralihan kausa dengan baik demi masa depan Pas. Masa tidak menanti terlalu lama untuk Nik Aziz berbuat demikian.

Alasan bimbang Pas akan berpecah kalau beliau serahkan jawatan kepada orang lain tidak timbul. Sesiapa juga yang diberikan kepercayaan oleh Nik Aziz orang itu akan dihormati dan diterima sebagai ketua. Selagi mereka jujur, ikhlas dan menunjukkan perhatian tinggi kepada perjuangan orang itu akan diterima sebagai khalifah di Kelantan.

Misalnya spekulasi Pas Kelantan akan berpecah dan hancur kalau diberikan kepada Husam ia bukan mutlak. Ini hanya persepsi saja dan permainan pihak musuh. Saya percaya kalau Husam diberikan kuasa dan dilantik menjadi MB tidak ada siapa yang tergamak mencabarnya. Sebab perlantikan itu sebagai amanah. Orang yang mencabar atau sengaja menimbulkan masalah kepada pemimpin adalah mereka yang tidak amanah.

Orang Pas tidak tahu menderhaka kepada pemimpin. Mereka akan menyokong dan berkorban hatta siapa saja yang dipilih secara sah menjadi pemimpin. Hakikat ini seharusnya disedari Nik Aziz dan dijadikan senjata untuk beliau menolak pelbagai teori dan fatwa karut yang disampaikan kepadanya.

Demikian juga kalau diserahkan kepada Ahmad Yaaob, Mohd Amar atau sesiapa saja. Ahli Pas sedia mendokongnya. Cuma jangan saja diserahkan kepada mereka yang jelas tidak berkupayaan dan tidak mempunyai track record dalam kepimpinan, seperti Abdul Fatah Haron, Ustaz Abdul Halim (To Uban) dan lain-lainnya. Melampaulah bagi orang Pas kalau bersedia untuk menyokong pak pandir atau pak dogol sebagai pemimpin!

Apa yang hendak ditegaskan di sini kebimbangan yang mungkin bersarang di dada Nik Aziz itu, kononnya orang tidak akan sokong calon pilihannya dan menyebabkan Pas akan berpecah, hanya ilusi beliau saja. Atau ianya satu momokkan untuk melihat Pas kekal seperti hari ini di mana ia memudahkan musuh menganyang Pas. Selagi Nik Aziz beristiqamah dengan ilusi itu maka gembiralan musuh.

Perkara inilah yang seharusnya dilihat dan diusahakan oleh Mat Daud Iraq, menyakinkan Tok Guru untuk berundur dan bukannya membawa isu relevan atau tidak orang luar bertanding di Kelantan. Masa dan waktu Mat Iraq menimbulkan isu tidak kena. Ia seumpama orang tolol tidak tahu membaca waktu. Cara Mat Iraq itu samalah dengan sikap orang yang berbicara soal babi, tetapi Mat Daud berbicara soal badak; orang rebus ubi Mat Daud tak dak (ubi).

Hari ini terdapat empat wakil rakyat Kelantan - semuanya ahli parlimen dari luar. Mereka ialah Nasarudin Mat Isa (Bachok) Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Saifuddin Nasution Ismail (Machang). Kecuali Saifuddin tiga mereka itu mewakili Pas dan merupakan pemimpin tertinggi.


Sallahuddin ialah naib presiden Pas, Dr Hatta, bendahari manakala Nasaurddin, timbalan presiden Pas. Sementara Saifuddin pula pengarah pilihan raya dan strategi Keadilan. Apabila hanya mereka yang merupakan calon dari luar maka tentulah sasaran dalam isu itu kepada mereka.


Apakah hambatan bagi Mat Daud dan Nik Aziz berhubung calon luar ini? Perbicaraan mengenainya rasa tidak sesuai. Dalam konteks Pas kini menjadi parti nasional dan global, dan baru selesai melangsungkan konvensyen Pakatan Rakyat, seharusnya Mat Iraq dan Nik Aziz sendiri tidak terkapit dengan sikap kedaerahan. Apa bezanya orang luar dengan anak tempatan. Anihnya dalam sesuatu hal Nik Aziz jauh ke angkasa tetapi dalam soal calon ini beliau kembali bertapa di lubang tempayang politiknya.


Yang perlu ditinjau di sini ialah pencapaian dan peranan mereka sebagai anggota Parlimen. Jangan beza dan pisahkan sempadan pensyariatan mereka. Perhatikan apakah yang mereka lakukan di Parlimen. Sehingga ini pada saya kehadalan mereka berempat di Parlimen tidak terkalah. Mereka malahan lebih aktif dan responsif mengenai isu-isu yang timbul berbanding dengan ahli Parlimen lokal sendiri.

Cubalah tengok handsard Parlimen siapa yang banyak bercakap, membawa suara rakyat, mencambahkan idea dan isu dalam membangkitkan kepentingan rakyat di Parlimen, isu ketidakadilan, royalti petroleum dan sebagainya. Apakah Wan Rahim Abdullah (Kota Bharu), Abdul Halim Abdul Rahman (Pengkalan Chpa), Muhammad Hussin (Pasir Putih), Abdul Aziz Kader (Ketereh), Zailah Mohd Yusuf (Rantau Panjang) ataupun Sallahuddin Ayub (Kubang Kerian), Hatta Ramli (Kuala Krai) Nasarudin Mat Isa (Bachok) atau Saifuddin Nasution (Machang).

Kita kena ukur dengan akal bukannya ukur dengan sentimen dan semangat kedaerahan yang bolos kerana ia tidak akan membawa kita ke mana.

Kalaupun wakil rakyat itu anak tempatan tetapi tidak menunjukkan prestasi dan pencapaian KPI yang baik ia tidak memberi apa-apa kebaikan dan keuntungan kepada Pas dan rakyat. Bahkan mereka ini perlu ditukar dengan orang luar yang berketrampilan.

Mungkin kalau menuntut anak tempatan untuk kerusi DUN ada benarnya. Sebabnya kemenangan DUN panting untuk membolehkan Pas menguasai negeri. Lagipun menurut perlembagaan tubuh Kerajaan Kelantan hanya anak Kelantan saja boleh menjadi MB.

Adalah diharap isu-isu soal calon luar dan calon tempatan ini tidak ditimbulkan lagi apa lagi dalaam saat Pas sedang menuju era perubahan ke arah memerintah Malaysia. Sesiapa pun boleh menjadi pemimpin di mana saja selagi dia layak dan beriman dan bertakwa. Kalau dilihat kepada sejarah Islam, penguasaan empayar Islam di seluruh dunia leih 1500 tahun dulu bukannya dicapai oleh anak tempatan tetapi oleh pemimpin luar yang beriman dan bertakwa. [wm.kl 1:05 pm 25/12/09]