Tuesday, December 22, 2009

Susupan Pagi

Perlukah Buru Raja Petra?

SEHARI dua ini surat khabar kroni (Utusan) kalut menghebohkan cerita fasal Raja Blog, Raja Petra Kamarudin. Penghebohan itu menyebabkan orang jadi teringat semula kepada Raja Petra. Tiba-tiba saja Raja Petra hidup dalam setiap hati pelayar internet dan pembaca akhbar berkenaan.

Raja Petra sudah lama sunyi dari pengetahuan umum sejak beliau kabur dari negara ini kerana tidak berani berdepan dengan pengadilan di mahkamah. Beliau menghadapi berbagai tuduhan dan perbicaraan di mahkamah. Kekaburan beliau itu kerana beliau tidak mahu 'bersusahpayah' di mahkamah.

Raja Petra bukan saja berani tetapi dia juga licik dan bijak menggunakan ruang dan masa untuk meledak sesuatu isu. Tembakan dari penanya menyebabkan si sasarannya tidak senang tidur dan jadi malu sendiri. Selain itu beliau juga mempunyai informar dan konteks yang handal termasuk dari dalam kerajaan sendiri.

Jika beliau tidak mempunyai kelebihan itu, bagaimana beliau mendapat maklumat yang berbentuk rahsia yang diselkan di bawah bahan kawalan OSA untuk disiarkan dalam blog dan portalnya. Secara sedar atau tidak Raja Petra sudah menjadi wadah bagi pihak yang tidak berpuas hati menyalurkan rasa hati mereka dan mendedahkan karung-karung rahsia.

Berbalik kepada usaha akhbar berkenaan, melihat caranya ia semacam berdendam dengan Raja Petra. Yang beriya agar Raja Petra digiring pulang ialah akhbar itu dan bukannya pihak berkuasa. Apakah usaha itu kerana akhbar itu melihat Raja Petra menjadi ancaman kepada keselamatan negara. Kalau beliau jadi ancaman kepada keselamatan negara kenapa pihak polis seakan mendiamkan diri?

Atau akhbar itu beriya kerana hendak menjaga kepentingan orang yang menjadi sasaran muntahan tinta Raja Petra selama ini, Rosmah Mansor dan Najib Razak? Antara keselamatan negara dengan kepentingan individu dua perkara yang berbeza.

Semalam akhbar berkenaan ‘mengarah’ polis mohon ekstradisi untuk membawa pulang Raja Petra yang kini bersembunyi di London. Hari ini polis memberi reaksi akan berbuat demikian. Menurut Ketua Polis Negera, Musa Hassan ekstradisi itu akan dibuat menerusi Peguam Negara seberapa segera.

Anih juga sikap polis bercakap selepas didesak. Kalau Raja Petra merbahaya kepada negara kenapa menunggu arahaan daripada akhbar berkenaan untuk bertindak. Apakah akhbar berkenaan menjadi agen perisik kepada polis? Dan apakah kalau Utusan tidak membuat desakan maka kes Raja Petra dibiarkan lara begitu saja?

Atau polis tidak tahu buat kerja dan mengesan di mana Raja Petra berada? Atau apa...?

Saya rasa tidak begitu. Polis tahu segala-galanya dan di mana Raja Petra berlindung. Mata polis sangat luas dan cerah dalam hal ini. Tetapi kenapa polis tidak menangkap kerana bagi polis kes Raja Petra bukan mengenai keselamatan dan jenayah kepada negara yang menjadi tanggungjawabnya sebaliknya menjadi masalah kepada individu lain. Bukankah kerja polis untuk menjaga batang diri mana-mana individu daripada dikritik. Selagi ia tidak melibatkan unsur jenayah polis tidak akan bertindak mengawal seseorang itu.

Makanya walaupun mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Raja Petra kerana kegagalan hadir di mahkamah polis seakan buat acuh tidak acuh saja. Seakan tidak ada usaha lanjutan secara efektif dari pihaknya. Atau mungkin juga polis dapat membaca sejauh manakah Raja Petra boleh menganggu negara. Lagi pun pihak polis bukan tidak reti dengan sikap dan perangai Raja Petra.

Bagi saya kalau pun Raja Petra diekstradisi dibawa balik ia tidak membawa apa-apa kesan.

Jika niat Utusan berbuat begitu kerana ingin memadamkam isu-isu yang didedahkan Raja Petra selama ini yang telah menimbulkan pelbagai persepsi kepada orang tertentu ia tidak akan berhasil.

Niat itu sia-sia sahaja. Kalaupun Raja Petra dibawa balik dan dikurung dalam penjara ia tidak boleh merombak persepsi yang telah dihemburkan Raja Petra.

Imej Rosmah dan Najib yang dilibatkan dengan pembunuhan kejam terhadap Altantuya tidak juga terhapus. Bahkan penangkapan dan pengurungan Raja Petra menjadikan orang berandaian apa yang Raja Petra tulis itu benar. Penahanan Raja Petra akan dilihat sebagai keabsahan apa yang didedahkannya sebelum ini.

Jadi kerja memburu Raja Petra pada saya membuang masa dan wang kerajaan saja. Eloklah soal Raja Petra jangan disebut dan jangan dikenang lagi. Cukup, dan sampai masa akan kembalilah dia ke negara ini dan ketika itulah kalau kerajaan rasa perlu menangkap, tangkaplah dia. [wm.kl. 10:10 am 22/12/09]

Monday, December 21, 2009

Renungan Malam

Najib Perlu Fahami Hati Umno Pulau Pinang

MOHD Najib Razak telah menutup isu tuntutan jawatan pengerusi BN Pulau Pinang oleh Umno dengan melarang anggota komponen itu jangan debat soal itu. Semalam beliau berkata sebelum beliau memutus keputusan dan kehendak Umno Pulau Pinang itu beliau akan panggil semua pihak. Tetapi hari ini beliau sudah melarang ia dihebuhkan.

Apakah beliau akan memanggil pihak bertelagah - Gerakan dan Umno untuk menamatkan isu berkenaan atau ia sudah selesai dengan amaran bernada serius itu?

Jika Najib menutup begitu saja bermakna beliau tidak menghormati suara Umno Pulau Pinang. Sia-sia suara Umno Pulau Pinang. Sekali lagi suara Umno Pulau Pinang terpaksa diketepikan atas prinsip toleransi dan semangat BN yang tidak menguntungkan Umno. Jadi usaha Umno Pulau Pinang untuk merasai jawatan itu akan kempunan lagi.

Najib sepatutnya tidak mudah membuat keputusan itu. Beliau harus membuka ruang untuk didebatkan oleh semua pihak. Beliau harus lebih berani membenarkan ia dibahas untuk mencari kata putus. Beliau tidak perlu merasa takut dan garun dengan tindak balas Gerakan. Najib harus lebih berani untuk merombak tradisi lama yang merugikan Umno negeri berkenaan. Mungkin sikap play save yang diamalkan Najib tidak seusai dalam konteks itu.

Najib perlu faham alasan yang diberikan Umno Pulau Pinang yang inginkan jawatan itu ada munasabahnya. Kata Zahid Hamidi (foto) ia adalah untuk memantapkan BN Pulau Pinang setelah dilihat Gerakan sudah tiak berdaya lagi. Gerakan juga sepatutnya insaf dan melakukan mahasabah diri dalam hal ini. Parti itu makin terhakis di Pulau Pinang manakala DAP pula makin kuat.

Selain itu kejayaan Umno memenangi 13 kerusi di DUN Pulau Pinang juga munasabah kalau Umno bercadang untuk menguruskan BN di Pulau Pinang. Alasan penolakan oleh Koh Tsu Koon bahawa jawatan itu tradisi menjadi milik Gerakan tidak boleh diterima pakai. BN kena berubah kalau mahu menang.

Dalam pada itu apa yang saya nampak kerana Umno beriya mahukan jawatan itu kerana menyedari peranan Gerakan untuk mengembalikan kuasa sudah tidak begitu aktif. Ini dapat dilihat kepada beberapa aksi untuk mengoncangkan kerajaan DAP itu banyak dilakukan oleh Umno.

Mungkin dalam DUN Pulau Pinang Gerakan tidak boleh berbuat demikian kerana tidak ada wakilnya. Tetapi Gerakan boleh mengambil bahagian di luar DUN. Kalaupun ada penyertaan Gerakan dalam siri-siri demostrasi tetapi tidak ketara.

Apakah Gerakan merasa selesa dengan kerajaan Pulau Pinang hari ini? Mereka tidak perlu gaduh atau bising-bising kerana kepentingan kaum Cina yang diperjuangkannya terus dipenuhi oleh Lim Guan Eng?

Pantas kalau Gerakan hanya mendiamkan diri dan jadi pemerhati. Sebaliknya berlainan bagi Umno. Parti itu merasakan kepentingan Melayu tidak mendapat pembelaan secukupnya. Hakikat ini boleh dilihat kepada penghijrahan orang Melayu di pulau ke tanah besar hingga ke Kedah. Kerana itulah menyebabkan Zahid memberanikan diri membuat desakan agar pengerusi BN Pulau Pinang diberikan kepada Umno.

Sebelum menyelesaikan isu ini kepada status quo elok Najib cuba memahami apakah perasaan dan naluri orang Melayu Umno Pulau Pinang. Mereka membuat desakan itu bukan main-main tetapi kerana dapat membayangkan mengenai kedudukan mereka yang semakin tidak berharga di pulau Mutiara itu. Najiub perlu prihatin dan lebih berhati-hati bimbang akan ada orang Melayu Umno Pulau Pinang terkeduh hati dengan sikap politiknya. [wm.kl. 8:00 pm 21/12/09]

Antara Catatan

Cerita Dari Seorang Penumpang
Kerajaan Pakatan Lebih Baik

PENUMPANAG yang tidak ego dan mesra selalunya akan menyapa dan bertanya penumpang lain yang duduk di sebelah, atau depan atau belakangnya. Kalau pun tidak untuk berbual panjang bagi menghilangkan rasa boring dalam penerbangan, tetapi sapaan atau senyuman itu cukup untuk menyatakan kita seorang yang baik – seorang warganegara timur.

Tidak semua penumpang, (biasanya kapal terbang) baik dan murah untuk melontarkan senyuman atau membantu penumpang lain memasukkan barang ke kabin? Biarlah betapa susahnya penumpang itu terkinja-kinja mengangkat barangnya, namun jarang ada yang mahukan pahala dengan menyentuhnya. Semuanya mengharapkan ianya dibantu oleh paramugari.

Selalunya penumpang kapal terbang masing-masing mahu menang sendiri dan mahu dilihat sebagai manusia ada kelas. Kononnya kalau naik kapal terbang itu harus kena ego dan agah barulah ada standard. Apa lagi kalau duduk di tepi tingkat lagilah hebat sebab dapat tengok ke luar.

Sebab itu atas kapal terbang semua orang speaking…. Walaupun tidak berapa fasih Inggeris dan orang yang dilawannya adalah orang kampungnya sendiri, tapi harus berbahasa Inggeris kerana kapal terbang dicipta oleh orang Inggeris? Mungkin begitulah sebabnya.

Dan malu untuk berbahasa Melayu walaupun sesama Melayu. Baca surat khabr pun tidak lagi surat khabar Melayu tetapi surat khabar Inggeris. Walhal kalau masa di bawah, surat khabar Melayulah yang ditatap dan dipegangnya, tetapi bila naik kapal, surat khabar sudah bertukar bahasa. Itulah perangai dan sifat orang Melayu.

Sifat dan perangai ini bukan baru, tetapi dah lama sejak dulu lagi. Mungkin semasa penggunaan kapal laut sebagai pengangkutan utama untuk ke luar negara sifat dan perangai oportunis dan munafik ini sudah ada pada diri orang Melayu.

Tetapi apa yang nak saya kisahkan di sini bukan mengenai penumpang yang sombong dan merasa hero, tetapi seorang penumpang yang ramah dan mudah diajak bercakap. Dan percakapannya pula menempati topik yang menjadi pemikiran saya sehari-harian, iaitu politik.

“Dari mana?” Tanya saya kepada penumpang ini. Seorang Cina usia lingkungan 40-an. Nampak kepada gayanya dia seorang ahli perniagaan ataupun kalau 'komang' pun pegawai kerajaan. Dia bersendirian saja kerana mungkin kawannya lain sudah ada teman dan tempat duduknya sudah diisi. Jadi dia tidak ada regu melainkan dengan saya.

Dia dalam rombongan bersama lima hingga tujuh orang untuk bercuti ke destinasi sama dengan saya.

“Dari Ipoh,?” balasnya sambil mengulurkan tangan untuk bersalam. Inilah saya katakan, penumpang ini tahu adat dan tahu bahasa. Jarang orang Cina nak bersalam dengan orang Melayu!

“Cuti ke…?” usul saya lagi mahu memanjangkan perbualan.

“Iya… cuti sambil pergi ke pesta kahwin, ….. jadi ambil kesempatan bercuti sekali,” balasnya ramah tanpa bertanya dipihak saya lebih lanjut. Mereka ini ada realtif di negara yang ditujuinya itu dan pemergian mereka ialah untuk mengunjungi saudara mara di sana.

“Pagi tadi terus dari Ipoh atau tidur di Kuala Lumpur…?” tanya saya mahu kepastian apakah dia bermalam di KL untuk ke airport.

“Tidak… terus dari Ipoh…?” Balasnya. Saya mengangguk dan melepaskan senyuman kepadanya.

“Nanti kalau khidmat keretapi laju sudah bermula, Ipoh – KL dekatlah, dua jam sahaja,” saya berbasa basi dengan mengenai topik yang saya kira dia sudah maklum.

“Iya…!” angguknya. Kemudian terus menambah… “itu projek sepatut siap 11 tahun lalu. Tetapi sekarang baru siap…,” dia sudah membuka cerita baik untuk saya.

“Iya ke?” saya buat-buat tak tahu dan mengharap dia akan bercerita lebih mendalam lagi. Saya mahu tahu bagaimana persepsi dia terhadap projek berkenaan. Setidak-tidaknya sebagai seorang pengguna.

“Iya. Itu projek zaman Mahathir lagi. Tapi baru sekarang siap. Banyak rugilah. Saya tahu sebab seorang kawan saya terlibat dalam pembinaan landasannya,” katanya tanpa perlu saya memintanya.

“Rugi macam mana…?” aju saya sengaja mempamerkan muka tidak percaya.

"Walaupun projek itu tidak jalan tetapi maintenancenya tetap kena bayar. Sebulan saya dapat tahu sebanyak RM40,000 untuk selanggarakan sebuah setesen. Cubalah kira ada berapa banyak buah setesen dari Ipoh ke Seremban?" katanya membuatkan saya mengangkat kening. Ini sudah cerita bagus kata hati saya.

Tetapi kenapa cerita ini tidak didedahkan. Sebelum ini tidak mana-mana pihak mendedahkan mengenai tanggungan yang harus dipikul oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM)(?) ini. Elok juga kalau ada mana-mana pihak yang tahu sedikit sebanyak mengenai projek berkenaan, mendedahkan jumlah kos tanggungan itu.

“Macam mana dengan Perak sekarang ni, maksudnya politik Perak.... ?” saya terus membuka cerita lebih dalam lagi setelah menyedari ‘kawan’ ini berminat kepada politik dan tidak kekok untuk diajak berbual. Saya ingin mengetahui dari penduduk yang bebas dan tidak bercakap berlapikkan lambang parti ini.

“Sungguh kelam kabut sekarang ni,” katanya.

“Maksudnya?" soal saya.

"Sejak BN ambil alih kerajaan, Perak sudah jadi macam dulu?" katanya. Saya tidak dapat tangkap apakah yang dimaksudkan seperti dulu itu.

"Dulu macam mana?" tanya saya bodoh.

"Dulu masa BN Bandaraya Ipoh kotor, sampah tidak diangkat. Tetapi masa Pakatan menjadi kerajaan Ipoh selama sembilan bulan, bersih. Sampah diangkat hari-hari ..," jelasnya sambil menambah; "hari ini kalau you pegi Ipoh you boleh tengok sampah ada di mana-aman saja. Ipoh sudah kotor semula!"

"Jadi you rasa kerajaan Pakatan lebih baik dari BN?" tanya saya.

"Iya lah Pakatan lebih baik," balasnya. Saya nampak dia ikhlas dalam memberi jawaban itu. Dari air mukanya saya nampak dia bukan aktvis atau penganut mana-mana parti Pakatan Rakyat yang fanatik menyebabkan dia perlu memuji apa juga tindakan kerajaan Pakatan Rakyat sebagai baik dalam keadaan apa pun.

Saya tidak mahu mencungkil lebih banyak. Dari percakapan dengan kawan sepenerbangan ini saya merasakan bahawa kedudukan Pakatan di Perak masih kuat sementara kerajaan Umno yang diambil secara rampasan kuasa itu terus tidak disenangi khasnya oleh orang Cina di Perak. [wm.kl. 10:00 am 21/12/09]

Sunday, December 20, 2009

Ulasan Konvensyen PR

Konvensyen PR – Termeterainya Janji Membentuk Kerajaan

AGAK terkilan dan malang sedikit kerana saya tidak dapat menyaksikan konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam semalam. Tarikh untuk cuti dan berihat telah dibuat awal sebelum itu. Konvensyen itu bolehlah dianggap peristiwa penting dan bersejarah bagi Pakatan Rakyat dalam merintis dan membina lebuhraya mega maufakat antara tiga parti; PKR, DAP dan Pas.

Sebelum ini saya ada mencatatkan harapan kepada konvensyen berkenaan di akhbar Siasah. Apa yang diharapkan konvenysen itu akan menatijahkan sesuatu yang lebih bererti dan bukan sekadarnya satu gimik bagi menenggelamkan isu-isu lain yang menghambat Pakatan Rakyat!

Dan dari pembacaan dan laporan mengenai konvensyen berkenaan (serta gambar-gambar sisa disekitar acara berkenaan yang dikirimkan oleh Zamzarina) ia menggambarkan satu lagi kejayaan sosial dan politik untuk Pakatan Rakyat. Konvensyen itu telah memberi satu suntikan semangat kepada Pakatan Rakyat untuk lebih kuat, jitu dan bersemangat dalam menempah kejayaan bersama.

Konvensyen itu telah menjadi satu wahana paling berguna kepada Pakatan Rakyat dan satu forum rasmi seumpamanya sejak ianya terwujud lebih lima atau lapan tahun lalu.

Apabila konvensyen itu ‘ditejel’ oleh pihak UBN (menerusi media masa) sebagai sandiwara atau retorik pembangkang maka ia secara automatik menjelaskan konvensyen itu berjaya. Kejayaan itu tentulah digeruni oleh UBN kerana ia boleh menjejaskan kerajaan pada pilihan raya akan datang. Paling bererti lagi apabila UBN kini sedang menghadapi krisis ketanggunjawaban di kalangan ahli Parlimen mereka.

Kalau konvensyen itu 'biasa-biasa' saja ia tentu tidak akan menjadi perhatian media massa kroni dan cakap-cakap merendahkan usaha Pakatan Rakyat itu. Tetapi kerana ia memberi impak besar maka hendak tidak hendak dakyah untuk meremehkannya mesti dilakukan.

Empat dasar yang akan menjadi landasan kepada kerajaan Pakatan Rakyat telah dibincang dan dicapai pada konvensyen berkenaan. Dasar inilah juga merupakan tawaran untuk direnung, difikir dan dikajikan oleh rakyat negara ini. Menerusi dasar-dasar ini rakyat akan membuat perbadingan antara pembaharuan dan perubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.


Empat dasar itu ialah;


1. Demokrasi telus dan tulen.


2. Memacu ekonomi berprestasi tinggi mampan dan adil.


3. Keadilan sosial dan pembangunan insan, dan


4. Hubungan persekutuan dan dasar luar negara.


Nampaknya tidak ada pertentangan dalam menerima dasar berkenaan. Ketiga-tiga parti sedia mengenepikan soal prinsip dan dasar peribadi dengan memfokaskan kepada mencari ikhtiar ke arah kejayaan bersama. Persetujuan dan persepakatan ini menjelaskan parti-parti Pakatan Rakyat mempunyai iltizam tinggi untuk berpadu demi mencapai kekuasaan bagi membentuk semangat Malaysia Baru.

Kehadiran kesemua pemimpin-pemimpin tertinggi parti berkenaan, menunjukkan kekompatan mereka. Ini ditambah lagi dengan kehadiran para peserta seramai 1,500 yang tentunya terhad itu. Ada beberapa foto kandit yang menyeronok untuk dilihat apabila pemimpin yang berlaga angin sebelum ini dapat duduk semeja, berbincang dan gelak bersama seperti pengerusi DAP, Karpal Singh dengan Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun foto-foto kandit pada konvensyen itu diterjemahkan oleh pihak UBN sebagai sebuah sandiwara Pakatan Rakyat, namun itu adalah hakikat yang terjolor di depan mata. Mungkin banyak orang di luar sana mengharapkan peristiwa yang bermula dengan sandiwara dan retorik itu akan berakhir dengan kejayaan Pakatan Rakyat mengejutkan umum.

Apakah konvensyen semalam akan memulakan persepakatan lebih erat dan bererti lagi membawa kepada Pakatan Rakyat akan bertanding atas satu lambang pada pilihan raya umum akan datang? Itulah tampaknya yang sangat diharapkan dan masih belum ada kata putus. Mungkin juga kata putus ini belum ada kerana kedudukan Pakatan Rakyat didaftarkan sebagai parti masih belum mendapat kelulusan?

Memahami keseluruhan konflit antara satu sama lain antara ketiga parti berkenaan yang tidak ditimbulkan ini bermakna mereka bersetuju melupai hal samping an dan mengutamakan soal dasar. Apa yang perlu digapai ialah kemenangan dan masalah yang timbul akan diselesaikan kemudian, selepas berkuasa. Dalam konteks hari ini Pakatan Rakyat memerlukan mandat penuh dari rakyat untuk menyelesaikan masalah-masalah berbangkit.
Pun begitu dalam hal ini timbul sedikit persoalan apakah kekecauan tidak akan berlaku selepas tercapai kemenangan kelak? Jika diperhatikan kepada beberapa masalah dan pertikaian timbul antara parti berkenaan di beberapa buah kerajaan negeri kini, ia berlaku selepas Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan di negeri berkenaan.

Hendaknya rakyat meletakkan kepercayaan atas persepakatan yang telah termeterai semalam. Selepas ini barang kali perlu diadakan satu lagi konvenyen yang akan merancang dan membincangkan secara konprehensif dan mendalam lagi agar ia tidak menjadi masalah selepas kemenangan diraih kelak. Satu perkara perlu diingat hakikat meraih kemenangan itu lebih mudah daripada mempertahankannya. Dan perkara paling pokok apa juga persefahaman, persepakatan dan konsensus biarlah diputuskan oleh rakyat (ahli) dan bukan dari kalangan pemimpin saja. [wm.kl. 11:25 am 20/12/09]

Wednesday, December 16, 2009

Selepas Subuh

Apakah Ada Perancangan Nak Malukan Najib?

SAYA rasa orang lain juga sefaham dengan saya, bahawa tuduhan Tengku Adnan Mansor mengatakan pembangkang mengamalkan politik samseng menggunakan Bajet 2010 bagi menggulingkan kerajaan adalah satu kenyataan tidak berasas dan keluar dari mulut manusia yang sombong dan tidak pernah tunduk ke bumi. Kenyataan itu juga menggambarkan kecetakan dan kebuas jiwa Tengku Adnan.

Apakah tindakan pembangkang meminta diadakan undi belah bahagi sebagai samseng? Kitab politik mana yang dibaca dan dihafalkan oleh Setiausaha Agung Umno itu untuk berkata demikian? Apakah peluangnya menjadi Ahli Parlimen selama ini tidak mengenalkan beliau dengan peraturan Parlimen?

Apakah beliau tidak faham bahawa sistem undi belah bahagi dibolehkan atas permintaan mana-mana ahli Dewan? Ada peruntukan dalam proses pengundian di Parlimen. Permintaan pembangkang kelmarin bukannya salah. Mereka menjalankan hak dan tanggungjawab mereka mengikut lunas-lunas Parlimen. Kalau peruntukan itu tidak ada masakan Yang Dipertua Dewan membenarkannya. Perkara ini sangat mudah untuk difahami.

Apa yang perlu dianggap samseng ialah wakil UBN kerana tidak hadir yang menyebabkan kerajaan mereka nyaris-nyaris menanggung malu besar. Akibat merasa selesa dan tidak pernah terfikir sesuatu kejadian buruk boleh berlaku menyebabkan masing-masing (ahli parlimen UBN), dalam keadaan riliks dan situasi ini sudah diambil kesempatan oleh MP pembangkang yang senantiasa komited dengan tugas mereka sebagai ahli Dewan.

Janganlah pula disebabkan kebebalan diri sendiri maka ia hendak ditunding kepada orang lain. Rakyat boleh ditipu tetapi bukan untuk sepanjang masa. Tengku Adnan tidak sepatutnya melemparkan tuduhan tidak berasas dan tak masuk akal itu kepada pembangkang. Sebaliknya beliau kena kutuk dan kecam ahli Parlimen UBN yang tidak hadir.

Menuduh pembangkang kerana hendak melindungi kebusukan diri bukan sikap terpuji. Itu munafik namanya. Sesekali ada baiknya juga kalau Umno mengakui kelemahan mereka. Benar kata Nazri Aziz apa yang berlaku di Parlimen malam kelmarin itu satu pengajaran besar kepada BN. Kejadian itu harus dikaji dan bukannya dijadikan peluang untuk mengeji pembangkang.

Di Parlimen malam semalam seperti mana dilaporkan UBN hampir malu besar apabila Bajet untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) hampir ditolak apabila sokongan mengikut undi belah bahagi terhadap Bajet itu menang dengan satu undi saja. Sebanyak 63 menyokong dan 62 menolak. Manakala pengundi belah bagi diperingkat Jawatankuasa pula menang dengan tiga undi saja, 68 menyokong dan 62 menolak.

Keadaan itu katanya sungguh mencemas dan menimbulkan kemarahan Perdana Menteri. Merah padam muka Najib Razak dengan kejadian itu. Wajar kalau Najib merasa marah dan malu kerana ia menyentu wibawanya. Justeru Najib tidak patut melihat kejadian itu satu kebetulan saja. Apa yang beliau kena fikirkan apakah kejadian itu disengajakan. Bahawa sudah ada perancangan halus untuk memalukannya.

Betapa kalau Bajet itu ditolak ia menunjukkan kerajaan pimpinan Najib sangat lemah. Penolakan Bajet itu bermakna kerajaan dan kepimpinan Najib ditolak. Risiko kepada penolakan itu boleh menyebabkan Yang Dipertua Agong menitahkan untuk membentuk kerajaan baru dari kalangan pembangkang.

Adalah diharapkan Najib tidak membiarkan apa yang berlaku melainkan melihat ianya satu perbuatan sebotaj oleh ahli Parlimen UBN sendiri terhadap kerajaannya. Mengenai kemungkinan ada perancangan nak jatuhkan Najib saya akan ulas di lain masa. [wm.kl. 7:15 am 16/12/09]

Tuesday, December 15, 2009

"Berok Atas Pokok"

Bila Tulisan Saya 300% Palsu!

CATATAN saya dibawa; Betulkah Ustaz Mat Bodohkan Peniaga, mendapat reaksi berbagai-bagai. Tidak semua saya lepaskan reaksi/komen kerana sesetengah pengomen terlebih emosi. Apa yang kita cari adalah kebenaran demi kebaikan bersama. Penjenguk bernama Arif yang mengaku dia salah seorang ahli persatuan peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Uda menyangkal catatan saya sebagai tidak benar, sampai 300%.

Saya tidak mahu menyangah balik apa yang disangahkan itu sebalik saya siarkan kronologi yang berlaku di pejabat TMB tempoh hari menurut versi Arif. Arif ini saya harap wujud dan bukan halimunan. Dapat kiranya selepas ini kalau beliau memberikan identitinya dan foto sekali lagi bagus.

Adalah baiknya kalauArif dapat menjelaskan mengenai butiran lanjut berhubung kejadian itu, seperti surat panggilan (temu janji) oleh TMB untuk berjumpa dengan 11 orang ahli persatuan itu atau apa-apa dokumen yang lain seperti gambar dan sebagainya.

Arif juga mengaku pihaknya ada berkasar sedikit, elok kalau beliau menjelaskan bagaimanakah bentuk kekasaran itu. Apakah mungkin kerana kekasaran yang dikatakan itu menjadi punca kepada gagalnya pertemuan itu.

Arif juga kesal kerana seolah saya turut mengatakan para peniaga itu bodoh. Saya tidak nampak dari baris mana saya cuba merendah-rendahkan para peniaga itu. Malahan saya melahirkan simpati kepada mereka.

Apa yang saya cuba olah berdasarkan apa yang disiarkan dalam sebuah blog dan juga maklumat yang disampaikan kepada saya. Jelas daripada kronologi yang diberikan Arif, Ahmad Yaacob tidak mengatakan “bodoh” kepada seiapa. Apa yang diucapkan “kecek bodoh” mungkin beliau berpandukan kepada sikap dan tindak tanduk mereka yang berjumpa dengannya itu.

Mengatakan “kecek bodoh” dengan “orang bodoh” berbeza sama sekali! Kerja bodoh ialah kerja yang tidak mengikut sistem, peraturan dan sebagainya. Manakala “kece bodoh” bercakap tidak mengikut peraturan dan tidak tahu sistem. Tidak dapat mentafsirkan sesuatu juga termasuk dalam kerja bodoh!

Dibawah ini saya siarkan sepenuhnya sanggahan dan penjelasan orang bernama Arif untuk dinilai dan dipertimbangkan. Walhualam. - MSO.

Salam MSO, Saya adalah penjengok setia blog MSO,tapi bab Ust Mat ni terasa MSO telah mendapat maklumat yang salah.Tolong betulkan cerita ini kerana Allah Maha Mengetahui.Saya wakil peniaga yang hadir pada 6/12/09 dan alami sendiri peristiwa "bodoh" tersebut.

Berikut kronologi untuk makluman MSO:

1 ) 11 orang wakil peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked UDA hadir ke pejabat TMB pd 6/12/09 pukul 10.00 pagi setelah dimaklumkan oleh pegawai TMB bahawa TMB sedia berjumpa kami setelah kami menghantar surat untuk bertemu bertarikh 25/11/09.

2 ) TMB mulakan mesyuarat dengan Alfatihah.Ucapan alu2an oleh wakil peniaga disanggah oleh TMB kerana pertemuan tersebut diminta oleh pihak kami,bukan TMB yang panggil untuk bertemu.Memang betul persatuan kami yang meminta untuk berjumpa.

3 ) majlis awalnya berjalan dengan mesra dan kami berpeluang cerita masalah kami ( Bazaar Tok Guru ),cuma bila TMB cerita pasal struktur bangunan di sarawak yang rakyatnya lebih suka berniaga ditingkat 1...kami katakan bahawa orang sarawak tak berpelajaran.Duduk atas pokok,TMB kata "BEROK" dok atas pokok.

4 ) Lepas tu TMB maklum untuk adakan mesyuarat penuh dihadiri Exco berkenaan,MPKB,SUK dan Setpol TGNA dan wakil setiap peniaga.Kami minta setiap persatuan hantar 2 orang tapi dibantah oleh TMB.Seorang dah cukup katanya.

5 ) Kami tak setuju dan cuba mendesak...lepas tu TMB kata kecek BODO,lalu bangun bawa fail dan terus masuk bilik.TMB bagi isyarat kat Setiausaha Sulit "setakat ni jah " Majlis berhenti setakat tu tanpa penutup,sebahagian wakil peniaga balik setelah TMB tiada.

Kami harap MSO betulkan balik apa yang ditulis...Kami bukan serbu TMB,kehadiran kami diterima setelah membuat temujanji.Kami mungkin sedikit kasar tetapi ini bukan kali pertama kami bermesyuarat,sudah beberapa siri kami bertemu Exco ( Takiyudin,Husam,Anuar Tan MPKB, PMBK).Takde masalah pun,tegang dalam mesyuarat biasa kerana kami bukan golongan lepasan universiti.Tolong jaga maruah kami,cukuplah TMB kata kami "BODO",harap MSO siasat betul sebelum tulis.Demi Allah dan Rasul apa yang saya katakan dialami sendiri,bukan dengar cakap.

Harap MSO jangan tulis berdasar sentimen,yang benar tetap benar tanpa mengira siapapun.Tolong betulkan artikel tuan kerana apa yang ditulis itu 300% palsu,bukankah perkara bathil itu menjauhkan kita dari jalan yang lurus.Sekian,semoga kita semua diberkati Allah kerana benar. [wm.kl. 9:20 am 15/12/09]

Monday, December 14, 2009

Susupan Tengah Malam

Betulkah Ustaz Mat Bodohkan Peniaga?

SEBENARNYA saya tidak suka masuk campur dengan apa yang ditulis oleh bloger lain apa lagi kalau perkara itu sensitif. Sebab itu saya jarang membaca blog orang tertentu kerana tidak mahu mengetahui apa yang ditulis dan dikarainya hatta mengenai saya.

Tetapi kerana beriya benar seorang penjenguk blog saya dari Kelantan meminta saya membuka blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kicdefella), saya tidak dapat mengelak untuk tidak membukanya dan menghayati catatan terbaru Tuan Syed itu.

Saya baca posting Syed Azidi dibawah tajuk "Dari Bazar Tok Guru Jadi Busut Almenantunya" yang terbaru. (Nampaknya Syed Azidi terus menyerang Ariffhami!) Sewaktu membaca intro catatan Syed Azidi ini baru saya faham kenapa penjenguk berkenaan meminta saya membaca dan menganalisa posting terbaru Syed Azidi itu.

Mudah saja, intro tulisan itu memberi gambaran sikap Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaacob (Ustaz Mat) sebagai kasar, tidak bertatasusila dan menghina tetamunya. Mesej itulah yang penjenguk berkenaan minta saya mengulasnya.

Intro tulisan itu pada pandangan saya adalah sesuatu yang tidak kena dan ada motif yang tersirat di sebaliknya. Ia sungguh mengejutkan dan sungguh tidak munasbah sekali. Rasanya bukan saja saya, pembaca lain juga mengenali siapa dia Ustaz Mat tidak percaya dengan apa yang ditulis Syed Azidi itu.

Menurut Syed Azidi, Ustaz Mat telah mengeluarkan kata-kata bodoh kepada para peniaga yang menjadi tetamu tidak diundang yang datang (menyerbu) ke pejabat Timbalan Menteri Besar berkenaan.

“Kamu bodoh...” begitulah gambaran yang diberikan Syed Azidi. Kononnya Ustaz Mat mengatakan bodoh dan enggan bermesyuarat dengan tetamu yang terdiri dari para peniaga itu.

Petikan sebahagian intro tulisan Syed Azidid:

“Dato’ Ahmad Yakob telah diamanahkan oleh mesyuarat exco untuk bertemu dengan pihak berkenaan. Mesyuarat bermula dengan langkah kiri apabila Dato’ Ahmad menafikan ucapan terimakasih wakil peniaga Pasar Lama MPKB-BRI.

“Kami ucap terima kasih kerana Dato’ TMB sudi berjumpa kami….” Kata wakil peniaga itu.
“Bukan saya yang nak jumpa, kamu yang nak jumpa saya….” jawab Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Bermula dari situ suasana mesyuarat beransur tegang sehingga setelah beberapa ketika sahaja, Dato’ Ahmad Yakob yang terkenal dengan sikap ramah dan berbudi pekerti tinggi itu bangun dan berkata “bodoh!” ke arah wakil peniaga lalu menoleh ke arah pegawainya dan berkata, “cukup sampai sini saja mesyuarat…” lalu melangkah keluar hanya kembali semula ke dalam mesyuarat setelah sebahagian dari ahli mesyuarat meningalkan majlis itu.”

Saya jadi terkulat dan terkejut membaca intro diatas. Minda saya terus menolak apa yang Syed Azidi tuliskan itu. Masakan Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas itu tergamak mengeluarkan perkataan demikian. Ustaz Mat seorang Ustaz yang pernah berhadapan dengan ribuan murid, setahu saya tidak pernah ada anak muridnya atau ibubapa khasnya di Sekolah Menengah Rantau Panjang mengadu yang Ustaz ini biadap atau mengatakan anak muridnya sebagai bodoh.

Semua orang Kelantan kenal dengan Ustaz Mat, seorang yang lemah lembut, pendiam dan tidak suka kepada publisiti. Hatta beliau dipermainkan atau diremehkan, beliau tidak peduli dan biarkan saja. Beliau banyak mengalah dan menyerahkan dirinya kepada takdir. Beliau tidak pandai pasang poster untuk mempublisitikan dirinya. Adalah tidak munasabah kalau dengan perangai yang dikenali itu, beliau tergamak mengeluarkan perkataan demikian. MasyaAllah.

Jadi apakah sebenrnya yang berlaku di pejabat beliau tempoh hari? Di sini saya tidak mahu menafikan apa yang didedahkan Syed Azidi berhubung dengan projek Bazar Tok Guru itu. Ia semuanya betul, baik fakta dan urutan ceritanya serta pengeksploitasian terhadapnya demi keuntungan besar.

Memang kerajaan Kelantan menerusi Tok Guru Nik Aziz sendiri berjanji dengan para peniaga. Bahawa peniaga yang akan dipindahkan dari Aked Uda akan diberikan tingkat bawah dengan harga RM40,000 seunit dan bukan tingkat 1 dan 2 dengan harga RM92,000 seunit. Ini janji Tok Guru dan janji ini dirakam dalam bentuk audio visual.

Jadi wajar kalau para peniaga marah kepada kerajaan negeri kerana kerajaan tidak berpegang kepada janji. Bukan saja para peniaga itu sesiapa pun marah kalau janji tidak betul dan pemimpin bersikap munafik, mereka akan dibenci dan dimarah.

Cuma apa yang ingin dijelaskan di sini seperti mana maklumat yang saya tahu, versi yang berlaku di pejabat TMB seperti mana dikarai oleh Syed Azidi itu bukan seperti itu. Laporan Syed Azidi itu kurang tepat. Hal ini Syed Azidi sendiri meraguinya! Saya syorkan agar beliau menghubungi sendiri Ustaz Mat bertanyakan apa yang berlaku sebenarnya. Cara Syed Azidi merakam peristiwa itu seakan sengaja mahu memburukkan Ustaz Mat?

Sebenarnya yang mengatakan kamu “bodoh”, bukan Ustaz Mat sebaliknya beberapa orang perniaga yang menyerbu ke biliknya. Sebaik perniaga itu masuk ke bilik TMB itu mereka terus memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kerajaan ‘penipu’ dan ‘bodoh’ berhubung mungkir janji mengenai pembahagian lot bazar berkenaan. Yang yang dimaksudkan peniaga itu ialah bukan kepada Ustaz Mat tetapi kepada seluruh pemimpin Pas Kelantan.

Memang perniaga itu berhak marah dan memaki hamun demikian kerana mereka merasa kena tipu menerusi projek berkenaan. Itu tidak boleh dinafikan dan para peniaga tidak boleh disalahkan. Tetapi apa yang dikesalkan Ustaz Mat ialah sikap perniaga itu bertindak tanpa hujung pangkal menyebabkan Ustaz Mat merasa kesal dan terkejut.

Cara mereka menyerbu bilik Ustaz Mat itu, memang tidak kena dan bukan cara para peniaga yang berakhlak dan perangai orang Islam. Adat bertamu diketepikan. Gara-gara itulah kalau benar Utsaz Mat terpaksa menghentikan pertemuan yang tidak dirancang itu kerana kurang senang dengan sikap berlebihan itu.

Katanya kehadirian para peniaga itu tidak diketahui langsung oleh Ustaz Mat. Kumpulan itu muncul dengan tiba-tiba. Ustaz Mat mengetahuinya sebaik beliau beredar dari bilik mesyuarat Exco.

Jadi wajar kalau Ustaz Mat tidak mahu berjumpa dengan mereka. Pertama beliau tidak tahu mengetahui bagaimana kedudukan projek berkenaan kerana ianya diuruskan oleh Exco lain. Beliau hanya baru diberikan tanggungjawab oleh mesyuarat Exco untuk menanganinya. Keduanya pertemuan itu tidak dibuat apa-apa temu janji.

Ustaz Mat terpaksa bertanggungjawab untuk menyelesaikan pertikaian projek itu apabila mesyuarat Exco meminta beliau menguruskannya. Mulanya mesyuarat Exco terus meminta Exco yang sebelum ini menguruskan projek berkenaan melengsaikan pertikaian itu. Malangnya Exco berkenaan tidak mahu dan melepaskan tanggungjawab kepada Ustaz Mat. Menjadi amalan Exco berkenaan bila ada sesuatu masalah atau terkapit dia akan melepaskan tanggungjawab kepada orang lain. Sikap tidak bertanggungjawab ini nampaknya berterusan.

Ustaz Mat tidak ada pilihan selain daripada menerima tanggungjawab berkenaan. Sikap diambil oleh Ustaz Mat adalah sikap tanggungjawab bersama. Yang lebih penting lagi mungkin beliau tidak mahu menyusahkan Tok Guru kebetulan pula beliau adalah timbalan menteri besar.

Mesyuarat Exco hari itu bukan membincang masalah itu secara detail, melainkan melakukan pertukaran tanggungjawab saja dari Exco berkenaan kepada Ustaz Mat. Jadi mustahillah kalau tiba-tiba Ustaz Mat boleh terus berjumpa dengan peniaga dan menyelesaikan masalah itu.
Persoalan disini timbul dan boleh dikaji ialah kenapa para perniaga itu menyebu Ustaz Mat?

Siapakah yang memberi tahu bahawa projek berkenaan kini bertukar tangan kepada Ustaz Mat, sedangkan pertukaran tanggungjawab itu hanya baru berlaku. Di sini apa yang dapat diagakkan sudah tentu ada polong yang memberi tahu ataupun mengarahkan para peniaga berkenaan berjumpa dengan Ustaz Mat? Seakan kedatangan peniaga itu sudah dirancang terlebih dahulu. Motif di sini jelas, ianya untuk menyusah dan memburukan batang tubuh Ustaz Mat.

Dalam konteks ini para peniaga berkenaan tidak boleh disalahkan. Mereka melakukan itu kerana mereka diberi green light. Para peniaga juga tidak tahu yang Ustaz Mat tidak tahu menahu dengan apa yang berlaku – projek berkenaan. Yang perlu dipersalah dan dimaki di sini ialah si polong yang meminta para peniaga berjumpa dengan Ustaz Mat.

Apa yang penting di sini para peniaga seharusnya memahami isu ini sebenarnya. Mereka tidak boleh marahkan Ustaz Mat tanpa usul periksa. Dan saya yakin Ustaz Mat sedia untuk berunding dengan para peniaga itu selagi ianya dijalankan secara beradab. Lagipun menjadi polisi dan dasar kerajaan berunding dengan sesiapa saja untuk kepentingan rakyat.

Kesimpulanya yang berlaku di bilik Ustaz Mat tempoh hari yang mengatakan Ustaz Mat mengatakan peniaga “bodoh” seperti mana dikarai oleh Syed Azizi itu adalah tidak benar dan mungkin ia juga mempunyai motif yang Syed Azidi sendiri yang mengetahuinya. Apakah Syed Azidi masih terus ditunggang, sama-samalah kita menganalisa apa yang berlaku dan carilah jawaban sendiri. Yang jelasnya sedikit sebanyak dengan catatan (intro) tulisan itu Syed Azidi berjaya menimbulkan persepsi buruk mengenai Ustaz Mat. [wm.kl. 1:05 am 14/12/09]

Sunday, December 13, 2009

Falsafah Ahad

Bila Pula PR Hendak Adakan Anugerah Untuk Wartawan?

MALAM tadi telah berlangsung majlis penyampaian anugerah Malam Penghargaan Media Massa Umno 2009 anjuran Umno. Nampaknya Umno mendahului parti-parti politik lain dalam melayan, meraikan dan memberi penghargaan kepada para wartawan dan petugas media massa negara ini.

Kalau langkah Umno itu sebagai mewakili BN, bermakna BN menyedari akan hakikat ini dan BN telah mendahului Pakatan Rakyat (BN) dalam bermesra dan bermanja dengan para wartawan.

Malam tadi berbagai hadiah dan anugerah telah disampaikan kepada para pemenang. Semuanya dari media massa yang menjadi penjilat buntut kerajaan UBN. Jelas anugerah itu hanya untuk kalangan yang menyokong UBN saja. Maka wartawan yang mengkritik, memberi pandangan menentang parti berkenaan bukan saja tulisan mereka tidak berpeluang dinilai, diundang pun tidak.

Jangan persoalkan kebebasan dalam hal ini. Kebebasan hanya retorik dan boleh dicakap saja tetapi sulit untuk mengamalkannya. Untuk melaksanakan kebebasan penuh profesional sesuatu yang bukan mudah malahan mungkin tidak akan berlaku sampai khiamat. Hal ini tidak terkecuali kepada parti memerintah saja, parti pembangkan juga dua kali lima saja.

Sebelum ini parti pembangkang – Pakatan Rakyat ada juga mengadakan majlis meraikan wartawan, tetapi tidaklah sampai memberi penghargaan dalam bentuk material ribu-ribu ringgit. Tetapi sekadar meraikan dalam majlis makan-makan atau majlis berbuka puasa.

Wartawan dan penulis diundang dan datang ramai-ramai untuk makan. Sambil makan mereka dihidangkan dengan pidato pengukuhan politik oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Setakat itu saja.

Betul.. wartawan tidak mengharapkan apa-apa imbuhan. Mereka bertugas bertolak dari rasa keimanan kepada Allah dan tanggungjawab sosial mereka kepada negara yang berdasarkan bakat dan minat mereka. Tetapi sebagai manusia apa salahnya kalau kerja (profesyen) mereka dinilai dan diberikan pengikhtirafan dan dihargai.

Kini Pakatan Rakyat sudah ada empat kerajaan; Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Apalah salahnya kalau keempat buah negeri ini bersatu tenaga untuk mengadakan majlis grand untuk meraikan wartawan dan petugas media yang pro pembangkang. Kalau tidak setiap tahun, boleh buat tiap dua tahun sekali.

Dalam majlis itu boleh disampaikan penghargaan dan sedikit habuah berupa wang ringgit kepada wartawan yang berkualiti dan memberi sumbangan besar kepada perjuangan PR. Kalau nilainya tidak semahal kereta Kancil tetapi cukup kalau nilainya untuk membolehkan wartawan memiliki laptop baru ataupun membeli peralatan penulisan seperti kemera digital kecil.

Mereka yang pro PR bukan kecil-kecil anak. Pengorbanan dan tanggungjawab mereka lakukan cukup besar. Adakalanya gara-gara pendedahan untuk membantu PR menyebabkan diri mereka terbakar, di saman dan dihadap ke mahkamah. Dicemuh dan dimaki usah dikiralah itu sudah asam garam. Kadang kadang sesama sendiri pun dicaci dan dimaki dan dituduh dengan pelbagai gelaran dan peranan.

Apakah penulis seperti ini tidak boleh diberikan anugerah sebagai mengenang jasa-jasanya? Mungkin anugerah itu tidak memberi erti besar kepada mereka tetapi setidak-tidaknya ia menandakan kerajaan Pakatan Rakyat juga mengenang kaum wartawan dan penulis.

Kalau tidak silap saya semasa meledaknya era refomasi dulu pernah diadakan sebuah jawatan kuasa untuk mengenal pasti para penulis dan wartawan yang beperanan membantu menggerak reformasi. Jawatankuasa itu bercadang untuk mengenal pasti dan memberi pengikhtirafan kepada para penulis reformasi khasnya mengenai penerbitan buku politik, kartun dan sebagainya.

Malangnya cadangan itu berakhir tanpa kubur. Hangat diawal saja. Seharusnya idea itu dikembangkan kepada pihak kerajaan Pakatan Rakyat kini. Atau pihak kerajaan dalam bidang bersangkutan mengambil alih tugas menjayakan idea berkenaan.

Sesuai dengan hari ini dimana berlaku ledakan blog politik dan perjuangan, maka wajar kalau para penulis blog dan pengusaha blog dan portal juga turut sama dinilai dan diberikan penghormatan. Penghormatan ini tentulah akan merangsangkan lagi para bloger untuk menulis dengan lebih bertanggungjawab, rajin dan competant.

Sekali lagi dikatakan, saya mengira penulis dan wartawan pro Pakatan Rakyat memahami akan masalah kewangan dan prasarana kerajaan-kerjaan negeri PR dalam mengadakan majlis ini. Justeru itu mereka tidak begitu mengharap. Tetapi kepada pihak kerajaan dan pemimpin tertentu harus mengambil inisiatif untuk mewujudkan majlis anugerah itu, kalau pun bukan untuk digahkan tetapi sekurang-kurangnya bagi menunjukkan Pakatan Rakyat juga mempunyai komitment yang sama dengan kerajaan UBN khususnya Umno itu. [wm.kl.9:50 am 13/12/09]

Saturday, December 12, 2009

Ulasan Isu

Perlukah Kod Etika Kepada Bloger?

Perdana Menteri, Mohd Najib Razak menyarankan agar kod etika kepada blogger diwujudkan. Katanya kod ini perlu diwujudkan untuk menjamin bahan yang disiarkan dalam blog bermutu dan bagi menjaga wibawa ruang atau media baru yang semakin digilai dewasa ini.

Beliau sendiri mengakui blog merupakan ruang baru yang semakin diminati dan menjadi bahan rujukan para pemerhati politik khasnya dari kalangan yang celik IT.

Sehubungan itu beliau melihat kepada beberapa keperluan berikut perlu dijadikan paduan kepada penulis blog untuk menjamin media baru ini sihat dan dapat berfungsi dengan baik. Antaranya:

Penulis blog perlu jujur dan adil dalam mendapatkan, melapor dan menginterpretasi maklumat.

Penulis blog jangan sesekali menciplak dari blog lain apa lagi bahan yang disajikan itu tidak boleh dipertanggungjawab.

Penulis blog harus mengenal pasti dan membuat pautan pada sumber apabila sesuai dan boleh dilaksanakan.

Penulis blog jangan sesekali menyiarkan maklumat yang diketahui tidak tepat dan jika menyiarkan maklumat yang boleh dipersoalkan, pastikan dijelaskan akan keraguan tentang maklumat tersebut.

Penulis blog juga perlu tahu antara sokongan, komentar dan maklumat berdasarkan fakta. Bukan menulis sembarangan ikut suka hati saja.Penulis blog juga kena sedia mengakui akan kesilapan dan membetulkannya dengan segera untuk mengelakkan catatan atau bahan yang didedah menimbulkan masalah.

Penulis blog perlu perlihatkan cita rasa yang baik. Elakkan daripada memenuhi kehendak rasa ingin tahu yang mengerikan atau sensasi kerana mengharap kepada hit yang tinggi.

Penulis blog hendaklah jelas setiap misi blog dan alu-alukan dialog dengan khalayak ramai tentang kandungan dan cara pengendaliannya oleh penulis blog.

Penulis blog juga diharap memathui piawaian yang tinggi yang sama seperti mana yang mereka harapkan daripada pihak lain.Secara umumnya pandangan dan saranan Najib itu baik demi menjaga wibawa media baru ini dan juga bagi memastikan ia membawa impak baik.
Tetapi persoalannya perlukan kod etika ini? Sekiranya ia digubal sejauh manakah kod etika ini akan dihormati. Apakah kita dapat menjamin bloger akan memathuinya kerana blog ini tidak ada sesiapa yang bertindak sebagai pemantau dan hak peribadi pemiliknya.

Kita tahu dunia blog dunia bebas, tanpa pintu dan jendela. Sesiapa saja dapat menulis dan mengisi menerusi blog yang tidak memerlukan bayaran ataupun lesen. Kebebasan ini kita tuntut dan hormati. Cuma dalam bebas itu biarlah ia beretika untuk menjamin mutu dan kualiti blog itu sendiri.

Dalam kebebasan ini kita lihat pendedahan sesetengah blog langsung tidak beretika. Ia bukan saja bersifat fitnah tidak berasas tetapi kadang-kadang nampak jelas ianya sengaja diadakan. Hal ini bukan saja terbatas kepada catatan tetapi gambar (superimpose) juga kadang-kadang menjijikkan.

Disebabkan tidak waspada ini menyebabkan ada sesetengah blog yang menjadi penyokong kepada parti politik telah menimbulkan masalah disebabkan kurang cermat. Dalam keadaan kita tidak faham apakah tujuan penulisan atau bloger berkenaan?

Jelas penulisan dan catatan seperti ini dibuat oleh bloger yang tidak faham mengenai kod etika penyiaran dan mengetahui sedikit sebanyak ilmu kewartawanan. Kalau mereka faham dan ada sedikit pengalaman perkara-perkara yang buruk ini dapat dielakkan.

Adalah sangat baik kalau saranan yang dikemukakan Najib itu dihayati oleh semua pemerhati IT khasnya para bloger. Marilah kita bersikap bebas yang beretika dan bukannya secara sambrono sehingga akhirnya orang tidak akan mempercayai lagi kepada apa yang diblogkan. [wm.kl.7:50 pm 12/12/09]

Kegiatan Hujung Minggu

PKR Dun Gombak Setia Anjur Khatan Beramai-ramai

HIDUP ini penuh nostalgia. Kenangan di zaman kanak-kanaklah paling menyeronokkan. Sebagai lelaki salah satu peristiwa yang mesti ditempuhi ialah berkhatan. Selalu dikatakan berkhatan untuk membolehkan seseorang itu memasuki alam remaja dan dewasa. Orang tua-tua dalu sering mengusik kalau tidak berkhatan tidak boleh kahwin! Betul ke?

Menghadiri majlis berkhatan ramai-ramai anjuran 12 ranting PKR dalam DUN Gombak Setia, Selangor, di Kampung Salak, Batu 10 Jalan Gombak sekejap tadi sungguh menghiburkan. Selain daripada seronok melihat telatah anak-anak ada yang menggelatar menghadapi amalan sunnah itu para hadirin juga dihidangkan dengan masakan istimewa tiga jenis gulai lembu.

Paling istimewa lagi gulai berkenaan dicicah dengan lemang yang disediakan oleh Mazlan Rashid, atau Lan Lemang. Lemang Mazlan memang terkenal di sekitar Gombak.

Kira-kira 200 para jemput hadir. Majlis berkenaan dilanjutkan sampai jam jam 4:00 petang.

Manakala seramai 40 orang anak-anak yang mengambil bahagian pada majlis itu. Menurut jurucakap penganjur, Abu Bakar Ninggal kebanyakan peserta berkhatan yang datang adalah anak ahli Pakatan Rakyat dan penduduk setempat.

Bagaimana pun sayang sedikit majlis itu tidak diraikan oleh mana-mana pemimpin besar Pakatan Rakatan, baik dari Pas maupun PKR. Adun Gombak Setia yang juga Exco Kerajaan Serlangor, Dr Hasan Ali yang dijemput untuk merasmikan majlis berkenaan tidak dapat hadir dan hanya menghantar wakil Cikgu Radzi yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas, Gombak.

Ketua PKR Gombak, Mohd Azmi Ali juga dikatakan tidak dapat hadir kerana baru balik dari Makkah. Kalau mengikut orang zaman dulu jemaah yang baru pulang dari tanah suci berpantang tidak dibenarkan keluar rumah selama 40 hari. Apakah kerana pantang itu Azmi tidak dapat hadir? Menurut Abu Bakar, Azmin hanya mengirim SMS mengucap selamat dan tahniah atas majlis berkenaan.

Tak mnegapalah kalau pemimpin-pemimpin besar Pakatn Rakyat tidak dapat hadilr. Mungkin mereka bertindih dengan majlis yang lebih besar lagi. Beberapa pemimpin PKR dan Pas Dun Gombak, termasuk pengerusi tetap PKR Gombak, cikgu Shamsuddin dan lain-lain yang sudi menghadiri diri sudah memberi erti besar kepada anak-anak yang mengambil bahagian terutamanya ibu bapa mereka.

Setidak-tidaknya ibu bapa kanak-kanak yang mengambil bahagian dapat mengenali mana pemimpin yang mudah dipanggil dan mana yang culas dan hanya datang sewaktu terdesak menjelang pilihan raya saja.

Inisiatif yang dibuat oleh ranting PKR Dun berkenaan seharusnya dipuji kerana tanpa bantuan mana-mana wakil rakyat atapun pihak tertentu mereka dapat berdikari sendiri. Majlis berkhatan berama-ramai ini khabarnya menjadi acara tahunan PKR Dun berkenaan sebagai meneruskan amalan kebaijkan dilakukan Mazlan Rashid sejak beberapa tahun lalu.

Mudah-mudahan acara dan majlis seumpama ini akan diteruskan pada tahun akan datang dan ditiru oleh ranting atau Dun PKR yang lain. Diharap juga semoga pemimpin Pakatan Rakyat yang dikenali sebagai pemimpin suka mendekati rakyat dan mudah berkira tidak akan menguzurkan diri untuk sama-sama meraikan dan memberkati majlis berkenaan pada masa akan datang. Semoga! [wm.kl. 12 t/hari 12/12/09]