Wednesday, August 29, 2007

Susupan Pagi

Sedih Pusara Mat Kilau Tidak di Jaga

MSO

HANYA jauhari saja yang mengenali manikam. Begitu juga orang yang benar-benar mempunyai jiwa perjuangan yang dapat menyelami kegigihan dan keberanian seseorang pejuang lain.

Atas hakikat itulah mungkin menyebabkan jiwa Ibrahim Ali terus tersentuh sebaik saja melihat suasana pusara Mat Kilau yang tidak dijaga sepatutnya sesuai dengan penobatan rakyat terhadap Almarhum selaku seorang pahlawan bangsa.

Ibrahim seolah tidak percaya apa yang disaksikan, dan selama ini apa yang beliau fikir pusara Mat Kilau dan juga sejarah perjuangannya senantiasa dipelihara dan dikenang oleh orang ramai khasnya oleh rakyat Pahang sendiri.

Tetapi apabila beliau menatap sendiri, baru dia menyedari bahawa sangkaan itu jauh meleset. Seolah-olah perjuangan Mat Kilau yang menentang Inggeris itu tidak penting lagi untuk dikenang sebagai penyuntik semangat bangsa.

Kubur Mat Kilau yang teletak di kampung Pulau Tawar, kira-kira 20 km dari Jerantut itu biasa sahaja malahan tidak layak untuk dikatakan sebagai pusara seorang pejuang yang banyak berjasa. Suasana sekitar kuburan itu gelap gelita tidak ada sebiji lampu.

Keadaan ini menyebabkan ia sukar untuk dikunjungi waktu malam. Jalan menunju ke pusara itu juga dipenuhi dengan tahi lembu yang mengaromakan bau yang kurang menyenangkan.

Atas rasa prihatin dan juga sebagai mengenang jasa-jasa pahlwan keramat itu, bekas Ketua Umno Bahagian Pasir Mas itu, bermurah hati menghulurkan derma sebanyak RM5,000 untuk kerja-kerja pemuliharaan dan penjagaan pusara serta sejarah perjuangan Mat Kilau.

Derma itu disampaikan kepada Pas Kawasan Jerantut malam tadi sebaik sahaja beliau selesai menyampaikan ceramah Merdeka di Pulau Tawar.

Sebelum ini Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa yang pernah mengunjungi ke perkampungan Mat Kilau itu turut merasa sedih dan kesal atas sikap sesetengah pihak berkuasa di Pahang yang tidak mengambil berat terhadap sejarah dan perjuangan Mat Kilau serta segala peninggalannya.

Misalnya masjid tempat Mat Kilau belajar ilmu agama dan juga mengajar para pengikutnya yang terletak di pinggir sungai Jerantut terbiar dan usang tanpa dimanfaatkan dengan sebarang aktiviti berfaedah. Sewajarnya masjid itu dipelihara sebagai bahan sejarah yang akan menjadi bukti bahawa orang Melayu bertanggungjawab menghalau penjajah dari negara ini.

Selain dari masjid itu terdapat juga beberapa rumah (pemondokan) para para pengikut Mat Kilau dan juga orang kampung yang sudah tinggal kerangka tidak dipedulikan.

Dalam kunjungan itu Husam turut sama menghulurkan derma bagi memelihara dan membaiki masjid berkenaan. [jkt.29/08/07].

No comments: