Monday, November 26, 2007

Ulasan Semasa

Apa Ertinya Semua Ini Kalau Bukan Niat Jahat?

MAHKAMAH Sesyen Klang hari ini telah membebaskan tiga orang pemimpin Hindu Rights ActionForce (Hindraf) daripada tuduhan dibawah Akta Hasutan 1948. Mereka ialah P Uthayakumar, P Waythamoorthy dan V Ganapathy Rao.

Mereka dihadap ke mahkamah itu atas tuduhan di bawah akta hasutan kerana dikatakan menyampaikan ucapan berupa hasutan di Kuala Selangor beberapa hari menjelangnya perhimpunan 10,000 masyarakat India di hadapan Kedutaan British Ahad lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Zunaidah Mohd Idris memerintah mereka dibebaskan tanpa dilepas kerana pendakwaan gagal mengemukakan terjemahan di dalam bahasa Tamil mengenai dakwaan kononnya mereka berucap menghasut orang ramai.

Walaupun ketiga pemimpin Hindraf itu tidak dilepaskan dan boleh didakwa pada bila-bila masa. Namun pembebasan itu memberi tamparan hebat kepada pihak polis dan sekaligus menyerlahkan kelemahan pihak pendakwaan.

Apa yang dapat disimpulkan dengan perintah mahkamah itu bahawa penangkapan dan pendakwaan ke atas ketiga pemimpin Hindraf itu dibuat secara suka-suka dengan tujuan menyusahkan mereka.

Ia juga semakain jelas dan nyata pendakwaan itu dibuat bertujuan untuk menakut-nakutkan masyarakat India daripada terus berhimpun kerana ketiga mereka adalah orang penting disebalik perancangan itu. Ketiga mereka juga mulai Ahad lalu dikenali sebagai hero baru kaum India.

Apa yang berlaku itu dakwaan pembangkang sejak kesekian lama bahawa polis sering bertindak diluar batas, menyalahgunakan kuasa dan menjadi perkakas kepada pihak tertentu ada benar dan tepat. Seolah-olah polis hari ini bukan mengawal dan menjaga keselamatan rakyat sebalik menyusah dan menghura-harakan rakyat.

Sekiranya pihak polis dan pendakwaan bertindak atas tangungjawab sebenar, mereka tidak akan buat tindakan melulu dan menyusahkan orang ramai sebaliknya akan bertindak ke atas apa-apa yang boleh memberi kesenangan kepada rakyat. Mahkamah atau pendakwaan pula tidak akan mudah untuk gagal mengemukakan bukti di mahkamah kalau mereka serius untuk menegakkan keadilan.

Apabila sesuatu bukti atau pendakwaan ditolak secara mentah-mentah begitu nyatalah pendakwaan ke atas mereka bertiga itu dibuat kerana arahan pihak tertentu dan bukan bertindak atas landasan undang-undang sebenarnya. Tepatnya pendakwaan itu untuk menyusahkan mereka saja.

Polis di dalam kes ini jelas sekali telah menjadi alat dan perkakas buruk kepada pihak berkenaan. Mengenangkan ini polis jangan merasa marah kalau ada orang mengatakan bahawa mereka kini bukan lagi menjaga keselamatan negara, mengawal kententeraman awam, sebaliknya tanggungjawab dan tugas utama mereka kini ialah menjaga pihak tertentu terutamanya parti yang sedang memerintah.

Kita tidak tahu apakah tujuan dan akta polis diwujud di parlimen dulu termaktub di dalamnya antara tugas dan tanggungjawabnya ialah untuk menjaga keselamatan dan keutuhan kekuasaan parti pemerintah, khususnya Umno. Kalaulah benar dakwaan ini maka kehadiran polis kini tidak ada gunanya lagi dan eloklah dibubarkan sahaja! [vestan.htl 2:00 pm 26/11/07]


No comments: