Thursday, February 11, 2010

Surat Kepada Politik Perak

Pakatan dan UBN Perlu Ikhlas Untuk Tenangkan Perak

"Proglog - saya menulis ini diluar kotak sentimen dan rasa hati dan perasaan orang Pakatan Rakyat di Perak. Jauh sekali atas kedirian saya sebagai orang Pakatan Rakyat. Jadi kalau catatan ini tidak 'belaga angin', maaflah. Saya mennyatakannya sebagai rekod dan jika ada yang baik bolehlah direnung sedalamnya sebelum untuk bersetuju dengan apa yang saya lontar atau ulaskan."

SYARAT yang dikenakan oleh Pakatan Rakyat untuk berkerjasama dengan UBN Perak adalah sesuatu yang munasbah. Semestinya dalam kedudukan Pakatan dalam phobia kerana kerajaannya berusia setahun dicuri, mereka memerlukan syarat untuk bekerjasama. Pakatan perlu berwaspada sebelum menerima pelawaan atau membuat tawaran.

Saya rasaUBN yang menawarkannya. Kerana kalau Pakatan yang terhingin, tentulah syarat itu tidak dikenakan. UBN pula seharusnya tidak menolak apa lagi prejudis kononnya Pakatan ada agenda atas hasratnya itu. Permudahkan jalan untuk kerjasama demi politik Perak dan orang Melayu amnya. Selagi ada perasaan buruk sangka itu maka selama itu kebaikan tidak akan tercapai.

Perbalahan berlanjutan tidak ada gunanya. Perak memerlukan masa rehat. Main bola sepak juga ada masa rihat 15 dalam sebelum cukup tempoh 90 init. Dalam masa rihat inilah kedua pihak perlu mahasabah diri mencari kebaikan untuk agama, bangsa dan tanah air.

Membawa permainan terlalu panjang meletihkan rakyat. Mana-mana rakyat yang tidak faham dan alergik dengan politik akan cemuh menyebabkan mereka akan berpaling tadah. Perubahan sokongan rakyat merugikan mana-mana pihak. Manakala sokongan rakyat pula bukan sesuatu yang kekal mereka akan membuat penilaian sokongan mereka mengikut perkembangan semasa.

Tiga syarat yang dikenakan oleh Pakatan seperti mana disebut Mohamad Nizar Jamaluddin ialah, antaranya, mahukan Sivakumar dilantik sebagai speaker yang sah, mahukan dana untuk wakil rakyat Pakatan dan minta kebenaran untuk menggunakan dewa serba guna. Tentunya bagi membolehkan kegiatan parti mereka dijalankan di permis itu.

Dua syarat itu adalah sangat ringan, cuma cadangan agar melantik Sivakumar sebagai speaker itu agak berat sedikit. Cadangan itu seolah Nizar sengaja mahukan UBN tolak cadangan perbaikan itu. Bagaimana pun kalau UBN dan Zambry Abdul Kader ikhlas ingin meredahkan pergolakan politik Perak beliau perlu menerima saja syarat berkenaan dan tidak melihat maksud di sebalik cadangan itu. UBN tidak perlu berifkir panjang dan melihat Pakatan ada agenda di sebalik desakan agar Sivakumar dilantik sebagai speaker. Tentulah Nizar dalam hal ini mahu menguji sejauh mana kesediaan di sebelah Zambry.

Dan sekiranya dengan perlantikan Sivakumar itu Pakatan mengkhinati atau cuba menimbulkan huruhara semula, UBN boleh gugurkan semula speaker berkenaan. Di sini apa yang penting Zambry harus memberi peluang untuk Pakatan menunjukkan kerjsama mereka.

Manakala syarat kedua itu, walaupun Nizar tidak memintanya, ia perlu dilaksanakan. Menjadi kewajiban kerajaan UBN yang melaungkan keadilan dan sikap telus memberi dana kepada kesemua wakil rakyat Perak tanpa mengira anutan ideologi. Perlu disedar wakil rakyat adalah pilihan rakyat manakala parti adalah pakaian atau simbol saja. Di mana-mana ceruk dan relung rakyat tidak boleh disisihkan.

Wang yang akan disalurkan bukan wang parti tetapi wang kerajaan. Bila wang kerajaan bermakna ia menjadi hak untuk semua wakil rakyat. Tetapi malang di negara ini sudah menjadi perecedent bahawa mana-mana wakil rakyat pembangkang tidak akan diberikan peruntukan atau geran pembangunan. Sebenarnya amalan ini salah dan bertentangan dengan semangat federalisme, perlembagaan negara dan semanagta demokrasi.

Cuma sekiranya Zambry bersedia memenuhi syarat-syarat berkenaan termasuk melantik Sivakumar sebagai spekaer, Pakatan janganlah menjadikan speaker sebagai kuasa dalam DUN Perak. Sudah tentu kalau Sivakumar menjadi speaker ia akan dilihat sebagai spekaer Pakatan Rakyat. Peranan dan kuasa seorang speaker adalah besar dan luas dalam Dewan mengatasi kuasa MB dan ahli Yang Berhormat yang lain.

Bagaimana pun pada saya sukar untuk UBN memenuhi syarat yang satu ini. Pakatan pula perlu mengugurkan syarat itu kalau mereka ikhlas untuk membawa ketenangan kepada politik Perak. Adalah munasabah kalau Nizar Jamaluddin meminta untuk mengisi mana-mana jawatan kuasa atau agnesi kerajaan atau meminta kerusi Exco daripada mencadangkan agar Sivakumar dilantik menjadi speaker.

Seperkara lagi dalam mencari titik temu dan damai ini, inilah masanya untuk Nizar Jamaluddin menguji sejauh mana penerimaan para pemimpin DAP kepada mereka. Umum tahu sebelum ini banyak polisiyang digarapkan semasa beliau menjadi MB adalah demi memenuhi aspirasi perjuangan DAP. Maka kali ini untuk mencari damai, giliran Nizar pula untuk meminta DAP agar menyokong aspirasinya.

Nizar boleh uji sejauh manakah DAP jujur dengannya. Kenapa saya berkata begitu kerana perdamaian tidak akan berlaku kalau Pakatan menjadikan DAP sebagai ketua. Perdamaian akan berlaku bila mana Pakatan menerima Nizar Jamaluddin sebagai ketua dan patuh kepada pendekatan ataupun semangat yang bakal beliau tuangkan dalam kejasama dengan UBN itu. Sedar atau tidak sedar pertentangan politik di Perak hari ini bukan antara Pakatan dengan UBN tetapi antara pengundi Melayu dan pengundi Cina yang mewakil parti berkenaan.

Alangkah damainya kalau cadangan ini diterima oleh kedua-dua pihak. Kita akan melihat politik Perak yang kalut akan tenang. Seharusnya semua pihak berusaha untuk membawa Perak ke arah itu. Bagi Pakatan masa tenang ini bolehlah digunakan menyusun jentera parti seperti mana saran Anwar Ibrahim untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Pakatan tidak perlu kesal dan terlalu kecewa dengan apa berlaku. Yang berlaku biarlah jadi sejarah yang akan dikenang dan dijadikan teladan berguna. Sekiranya mereka yakin rakyat menyokong mereka, masa depan menanti mereka untuk menghukum UBN. Pilihan raya ke - 13 kelak adalah mahkamah sejati yang bakal menentukan apakah, UBN atau Pakatan atau mana-mana pihak lain yang dikatakan campur tangan dalam krisis politik Perak yang berhak. Pilihan itu juga juga akan menjadi tali gantung untuk menggantung mana-mana mereka yang curang dan khianat.

Saya yakin kalau Pakatan mengambil sikap terbuka dan profesional itu rakyat akan lebih simpati kepada mereka daripada mereka terus membuat onar dan menyusun strategi untuk menganggu pentadbiran Zambry. [wm.kl.1:30 pm 11/02/10]

1 comment:

Unknown said...

setuju dengan saranan MSO..usahlah diganggu-gugat lagi kerajaan Dr Zambri..biarlah dia bertugas..
Rakyat dah penat dengan politiking yang keterlaluan..
Rakyat sedar siapa yg mencuri kerajaan rakyat..
Lagi satu Ir Nizar sepatutnya menjadi ketua pembangkang di Dewan DUN perak...DAP harus menyokong Ir NIZAR..jika tidak..PAS bercerai je lah dari pakatan..