Saturday, September 17, 2011

Bidasan Petang

Tirulah Nik Aziz
Ketetepannya Dalam Perjuangan Tidak Berubah


BANYAK perkara yang boleh ditiru atau dalam istilah dunia media massa kini copy page daripada Tok Guruku Nik Abdul Aziz Nik Mat. Allah s.w.t. menurunkan beliau dan kesediaan memasuki buana politik sebagai model untuk diteladani dan dihayati bukan saja untuk dipuja dan puji.

Untuk mencari contoh terbaik Nik Aziz ini memerlukan mata yang cerah dan jilah. Kalau mata kabur, terutamanya mata batin buta maka tidak akan ditemuilah rahsia dan hikmah kenapa Allah turunkan dan restui Nik Aziz jadi pemimpin gerakan Islam selama lebih 20 tahun.

Mata batin yang kehilangan manik akan melihat kemunculan Nik Aziz sama dengan penurunan orang lain ke kancah politik yang kebanyakannya untuk mendapat kuasa dan kedudukan atau berglamour.

Sejak dari dulu hingga kini Nik Aziz istiqamah dalam bercerita sebab dan mula beliau menerjunkan diri dalam politik. Sejak saya mendampingi dan membicarakan isu-isu politik nasional termasuk sejarah bagaimana beliau menginjak kaki ke buana politik (Pas) Nik Aziz tidak pernah 'mereng' dalam ceritanya, menjelaskan bahawa beliau menyertai politik kerana merasa hina diri.

"Ana rasa hina diri sendiri apabila melihat ustaz dan ulama lain ditangkap dan dipenjara kerana demi memperjuangkan agama Allah. Di sinilah timbul dalam kepala ana, apa aku harus buat. Masakan aku hendak melihat begitu saja mereka itu ditangkap dan dikurung sedangkan mereka berjuang untuk Allah," demikian cerita Nik Aziz 20 tahun lalu.

Jelas beliau, beliau tidak senang duduk apabila beberapa orang tok guru dan ustaz dari Pas ditangkap dan disumbat dalam penjara menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Penangkap itulah menyebabkan beliau bermahasabah dan bertanya dirinya kenapa beliau tidak ditangkap sedang beliau juga memperjuangkan agama. Waktu itu pada fikirannya tangkapan merupakan satu pengikhtirafan bahawa dia adalah pejungan Islam tulen.

"Jadi bila ana berada diluar mereka di dalam (penjara) ana merasakan seperti tidak berjuang dan bersalah. Walhal ana perlu menyambung tugas mereka," tegasnya. Selepas berfikir begitulah beliau telah menyertai gerakan politik dan menjadi calon Pas pada pilihan raya kecil Parlimen Pengkalan Chepa tahun 1967.

Dalam kata mudah Nik Aziz menyertai politik kerana merasa tercabar dengan tindakan kerajaan UBN yang ketika itu Perikatan dibawah pimpinan Tun Razak Hussein dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang melakukan penzaliman terhadap para pemimpin Pas terdiri dari ustaz dan tok guru pondok.

Beberapa orang ustaz dan tok guru pondok yang menyokong Pas yang ditangkap termasuklah Tuan Guru Haji Mohamad Abdullah (Pasir Mas), Tok Guru Haji Omar Daud Pohon Buluh, (Pasir Mas) Tok Guru Haji Yaakob Ishak (Tumpat), Tok Guru Haji Daud Kubang Pak Amin (Pasir Mas).

Tok Guru Haji Sulaiman Omar (Tumpat) dan beberapa orang wakil rakyat termasuk Nik Abdullah Arsahd, Pengkalan Chepa, Haji Hassan Haji Ismail, Saufi Idris, Ahmad Tabrani Harun, Haji Mohd Noor Haji Abdullah dan Ahmad bin Yatim Rantau Panjang.

Mereka ini ditangkap dibrainwash supaya meninggalkan Pas dan menyertai Perikatan. Mereka semua dikurung dan tidak dibawa ke mahakamh untuk orang ramai mengetahui apakah kesalahan yang mereka lakukan sehingga ditahan.

Kesan kepada kejadian itulah menyebabkan Nik Aziz merasa bersalah dan memutuskan untuk terjun ke arena politik secara aktif menyertai pilihan raya.

Hari ini ketika membuat ulasan berhubung pemansuhan ISA oleh Najib Razak, Nik Aziz masih menyebut akan kisah sebermula beliau menerjun diri ke dalam politik seperti mana beliau ceritakan kepada saya itu. Katanya kerana kekejaman ISA yang menahan tok guru Paslah menyebabkan dia aktif dalam politik.

Apa yang hendak ditekankan disini, pendirian dan sikap berani Nik Aziz itu patut dicontohi oleh semua orang Pas terutamanya yang bercita-cita hendak jadi pemimpin. Mereka yang kini berangan-angan untuk menjadi calon dalam pilihan raya perlu ada satu pendirian tegas kenapa mereka ingin bertanding. Mereka harus menetapkan matlamat mereka sebelum menawarkan diri bertanding dalam pilihan raya.

Sekiranya ada yang ditawarkan oleh mana-mana pihak juga perlu menilik ke dalam diri sebaik mungkin apakah mereka wajar, bersedia dan mampu untuk menjadi pemimpin. Janganlah kesanggupan atau keinginan untuk jadi calon itu kerana semata-mata untuk memegang jawatan itu sebagai punca rezeki atau punca pencarian untuk memelihara anak-anak dan isteri. Dan jangan juga kerana kita didesak oleh orang lain.

Setiap dari mereka kena tanya, kenapa aku perlu bertanding dan jadi wakil rakyat. Apakah sebab musabab maka aku perlu bertanding. Kalau Nik Aziz takala awal menjadi wakil rakyat kerana merasa tercabar atas perbuatan kejam dan zalim kerajaan ke atas pemimpin Pas, nah kita (kamu) apakah yang mencabar sehingga kamu tergila-gila untuk bertanding?

Begitu juga kepada mereka yang sudah menjadi wakil rakyat khususnya yang lebih dari dua penggal harus bermuhasabah diri sendiri. Apakah selama lebih kurang 15 tahun berkhidmat itu diri masing-masing sudah dapat membantu perjuangan. Perlu dianalis sebaik mungkin apakah jasa-jasa dan bakti kepada agama, masyarakat dan parti?

Ikhlaslah dalam perjuangan. Kalau kita dapat merasakan jasa dan bakti kita tidak sejauh mana, undurlah secara terhormat. Berilah laluan kepada orang lain yang dirasakan lebih mampu daripada kita. Jangan ingat kerana kita Yang Dipertua kawasan maka kita wajib bertanding. YDP hanya jawatan yang dipilih oleh instrument yang memihak kepada kita. YDP tidak semestinya automatik perlu bertanding.

Sekali lagi dikatakan prinsip yang dipancang oleh Nik Aziz itu perlu diambil iktibar. Jadikan ianya sebagai contoh dan teladan. Kalau benar kita semua (kamu) sayangkan kepada Nik Aziz perbuatlah apa yang beliau telah laksanakan selama ini. Dalam pilihan raya ini sama-sama kita tengok berapa orang yang sedia untuk berundur diri dengan cara terhormat dan mengakui kelemahan dan ketidakmampuan diri sendiri.

Kalau tetap masih ada yang merasakan dia masih larat, atau dia masih patut jadi pemimpin dan wakil rakyat kerana kedudukan dan memegang jawatan dalam parti, ternyata orang-orang itu adalah munafik. Dalam bahasa modennya mereka adalah sang hipokrasi. Sekiranya para munafik ini dibiarkan sudah pasti natijah dan bahanannya akan menimpa parti. [wm.kl.2:10 pm 18/09/11]

No comments: