Monday, October 1, 2012

Esok Perarakan Mega Tuntutan Royalti Petroleum Bermula...

MERENTA SIANG 

Esok 2 September 2012 akan berlangsung perarakan mega menuju ke Putrajaya untuk menuntut royalti petroleum dari kerajaan pusat. Walaupun perarakan itu adalah untuk kepentingan umum tetapi ia lebih terkhusus kepada untuk Kelantan. Perarakan itu bermula di Kelantan berakhir di Shah Alam dan dijangka disertai lebih 500 buah kereta.

Perarakan ini dikira terbesar kerana ia melibatkan seluruh negara. Mungkin ia akan mencatat dalam Guinness book of records sebagai konvoi terbesar dalam menuntut royalti.

Penjelajahan yang berakhir di Putrajaya itu terlebih dahulu akan menjelajahi seluruh negara. Sepanjang berlangsung perarakan ini jalan raya dan highway dijangka akan dipenuhi dengan kereta yang mengibarkan bendera "R" manakala para pesertanya semua mengenakan baju berwarna merah.

Pesertanya bukan saja dari Kelantan atau negeri-negeri yang mempunyai minyak, tetapi negeri lain juga turut bergabung sama untuk menunjukkan sokongan dan simpati kepada rakyat Kelantan yang dipersenda-sendakan oleh kerajaan UBN.

Gabungan ini bagi memberi impak besar bahawa penganiayaan kerajaan Pusat terhadap Kelantan bukan sahaja dideritai atau dikesali rakyat Kelantan tetapi rakyat negeri lain juga.

Perarakan atau konvoi mega dengan kereta itu dianjurkan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti), yang lebih dikenali sebagai "R".  Pengarah program Nazri Deraman yang juga presiden R.

Penafian royalti minyak ke atas rakyat Kelantan itu adalah simbolik bahawa demikian kezaliman kerajaan terhadap rakyat. Justeru wajar esok semua mereka yang merasai teraniaya dalam bentuk apa juga bergabung dengan konvoi "R" ini tanpa mengira fahaman politik. Bukan saja para penyokong dan ahli Pas tetapi semua rakyat Kelantan yang merasakan mereka dianiaya dan dinafikan hak wajar ikut menyertainya.

Mengikut tentatif perarakan di Kelantan ia bermula di Kota Bharu di mana para peserta akan berhimpun di lokasi yang tetapkan dan akan bergerak menuju ke ibu negara. Pada masa sama juga perarakan dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ikut sama bergerak menuju ke Kuala Lumpur dan mereka akan berhimpun dalam majlis kenduri perdana di Kuala Lumpur selepas Asar.

Pada malamnya diadakan ceramah mega tuntutan royalti petroleum bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. Majlis itu akan dipenuhi dengan ceramah mega oleh Anwar Ibrahim, Husam Musa. Hadir sama nanti ialah wakil-wakil dari Sabah dan Sarawak, Ibrahim Menudin korporat yang baru menyertai PKR (Sabah) dan Ali Biju (Sarawak).

Banner "R" dibawa sampak Sabah.
Turut hadir sama Khalid Ibrahim mewakili Selangor, Lim Kit Siang Penasihat DAP manakala Abdul Hadi Awang dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat juga akan hadir sama.

Himpunan dan perarakan ini akan diteruskan lusa 3 Oktober dengan penyerahan 150,000 tanda tangan dan referandum rakyat Kelantan yang menuntut royalti petroleum dan pendaratan gas kepada perdana menteri.

Kemuncak perarakan itu 4 Oktober satu piket aman dan penyerahan memorandum kepada perdana menteri dan ketua pembangkang di bangunan Parlimen sempena sidang belanjawan Malaysia.

Rakyat Kelantan perlu merasa bangga atas inisiatif Ngo ini yang cuba mengetengahkan aspirasi rakyat Kelantan untuk mendapat hak mereka. Kesungguhan Ngo ini patut dipuji. Mereka bukan saja mengeleggakkan gelanggang di Kelantan saja bahkan sampai ke Sabah mereka membawa hasrat rakyat Kelantan. €[wm.kl.8:34 pm 01/10/12]

No comments: