Thursday, June 12, 2014

Menjenguk SMRP selepas 36 tahun meninggalkannya

CATATAN PERISTIWA                                                                        

Sebahagian Alumni SMRP bergambar kenangan.
Kebanyakan daripada kita apabila tamat belajar di sesebuah sekolah atau institusi, sama ada sekolah rendah, menengah, atau universiti, apabila kita melangkah keluar membawa kejayaan(?), kita tidak akan menoleh lagi ke laman tempat kita menimba ilmu itu.

Kita akan pergi menjauhinya, dan sesekali pun tidak mahu mengenang apa-apa yang berlaku atau yang pernah kita lalui di situ. Lebih dahsyat lagi ia merenggangkan kita dengan laman itu bagaikan kita tidak pernah mengenalinya sebelum ini dan tidak ada kena mengena dengan hidup kita.

Kenapa terjadi demikian? Walhal di tempat itulah kita telah mencetak seribu kenangan yang indah "mesra". Di situlah, menerusi pergaulan, pendidikan daripada guru, kita mengenali manusia dan kemanusiaan kita. Mengenali diri sendiri. Kita berjumpa kawan baru yang meluaskan dunia pemusafiran kita di atas alam maya ini sebagai al insan.

Kita berjumpa dengan guru yang menjadi pendidik, berkawan dengan mereka, mereka adalah pembuka jalan dan pemberi "key" perjalanan yang hakiki kepada kita.

Selama antara lima hingga enam tahun kita berada di sesebuah perteduhan ilmu (sekolah) telah menghadirkan seribu kenangan untuk kita. Sebagai remaja, di mana perasaan kita kian berkembang dengan berbagai emosi dan perasaan, kadang kala ada dalam kalangan kita menjalin percintaan, menumpahkan kasih kepada rakan sekelas yang kemudian membenihkan rasa cinta luhur dan akhir membawa ke jinjing pelamin.

Kebanyakan yang hadir dari batch pertama 1965 - 1969.
Tetapi kenapa kita boleh mengalpakan saja segala kenangan itu tanpa meraikannya? Kealpaan itu atau tanpa kepedulian kepada sekolah tempat kita menimba ilmu adalah satu tindakan yang zalim?

Saya sendiri menjalani hukuman itu. Selepas meninggalkan laman sekolah Sekolah Menengah Rantau Panjang (SMRP) pada tahun 1977, tidak pernah sekali pun mendatangi sekolah berkenaan. Walhal jarak antara rumah atau kampung saya dengan sekolah kira-kira 3 km sahaja. Selalu juga melewatinya apabila sekali sekala ke bandar Rantau Panjang atau pun ketika dalam perjalanan ke negara jiran. Tetapi ia sekadar melihat atau menceritakan kepada anak-anak, inilah sekolah ayah dahulu tatkala melewatinya.

Cikgu Setapo mengimbau masa lampau SMRP.
Tidak lebih dari itu. Namun untuk masuk dan menjengukinya tidak terlintas di dalam hati. Tidak ada keperluan mendesak untuk ke situ. Kebetulan pula anak-anak membesar dan mendapat ilmu di ibu kota. Semacam satu kesalahan pula kerana mengheret kehidupan anak dan isteri ke ibu kata sehinggakan menjauhi dengan laman yang indah dan penuh nostalgik itu, SMRP.

Walhal seperti dinyatakan tadi, di sekolah itu telah mencetak dan merakamkan seribu kenangan indah kepada saya sebagai seorang murid. Mengaturkan saya dengan langkah pertama bagi membuka seribu langkah dalam kehidupan. Bagaimana pun syukurlah, tanggal 7 Jun 2014 lalu, selepas 36 tahun saya kembali menjejak kaki ke laman SMRP.

Tersirat darah di seluruh tubuh dan dada menjadi sebak, sebaik memasuki ke laman SMRP. Satu perasaan menyelinap halus dalam jiwa saya. Ia seolah saya mendatangi semula sesuatu yang telah lama saya ditinggalkan. Iya sungguh menyentuh perasaan dan terharu.

Ternyata laman tempat menandah ilmu dan berhilai tawa dengan kekawan itu sudah jauh berbeza. Hampir semuanya berubah. Suasannya semacam telah melindungi kenangan saya selama lima tahun di situ kerana kesombongan saya untuk mengunjunginya. Dan terasa panoramanya yang kamil dengan diri saya 36 tahun lalu menjadi begitu asing dan terbuang.

Betapa tidak, arus pembangunan turut melanda SMRP, khasnya dari segi infrastrukutur. Bangunan sekolah yang dulu hanya ada dua blok kini sudah bertambah menjadi beberapa blok. Padang bola yang dulu digunakan untuk berolahraga kini sudah disendaki dengan bangunan baru.

Kalau dahulu sekolah itu hanya mampu menampung pelajar setakat tingkatan lima, kini ia sudah diperluaskan ke Tingkatan 6 Bawah dan Tingakatan 6 Atas serta dilengkapi dengan bangunan asrama. Dari segi kemudahan pembelajaran SMRP tidak jauh tertinggal berbanding dengan sekolah di bandar.

Seorang Alumni menceritakan kenangannya.
Kepesatannya menyebabkan saya merasakan akan tersesat, kedudukan bangunan yang tidak berstruktur tambah memungkin itu. Kata seorang guru, kalau pun yang tidak berubah hanya kantin. Memang keadaan kantin masih belum berubah sama seperti tiga setengah dekad lalu, cuma ada sedikit tambahan atau pun penendarnya sahaja bertukar tangan.

Kehadiran saya menemui semula SMRP yang dilupakan itu adalah kerana majlis penubuhan Almuni SMRP. Majlis itulah yang memanggil saya untuk pulang. Entah kenapa tiba-tiba jiwa terpanggil sungguh untuk hadir sebaik menerima undangan. Pertemuan dengan cikgu Abdul Karim Hussein di Kuala Lumpur serta percakapan dengan cikgu Syed Ahmad Syed Abdullah menambahkan lagi keinginan untuk pulang.

Perjumpaan dengan cikgu Karim menyelamatkan saya terbabas dari menghadiri majlis itu. Saya kira tarikh pertemuan itu pada 7 Julai sempena hari raya, kerana biasanya majlis re-union atau pun pertemuan bekas pelajar lazimnya diadakan sempena hari raya.

Ternyata kepulangan itu memberi makna dan erti besar buat saya. Pertamanya mendekatkan semula saya dengan sekolah. Mungkin kalau tidak kerana majlis itu saya tidak mendatangi sekolah tercinta itu. Iya hanya sekadar ada dalam ingatan. Tetapi apabila diadakan majlis itu memberikan peluang dan kesempatan untuk menjejak bumi sejuk dan teduhnya.

Perjumpaan itu dihadiri kira-kira 60 orang. Kebanyakan adalah pelajar batch pertama tahun 1965 hingga 1969. Kebetulan pula kebanyakan mereka menjadi guru dan sempat mengajar di sekolah itu. Ada yang selepas tamat Maktab Perguruan terus dihantar mengajar di sekolah berkenaan.

Cikgu Karim adalah orang yang mereka lencana SMRP.
Mereka yang satu batch dengan saya tidak ramai yang hadir. Yang saya jumpa hanya Nik Abdul Malik Nik Yusuf dan Termizi Mohamad. Ke mana yang lain? Begitu juga dengan adik-adik junior yang lain tidak ikut sama memesrakan pertemuan itu. Kenapa?

Biasalah bila berjumpa rakan-rakan lama apa lagi di tempat sama-sama menuntut banyaklah cerita "ceriti"nya. Tidak genap masa rasanya. Paling seronok mendengar, kakak dan abang-abang (senior) berjumpa dan bersembang sesama mereka, menceritakan perihal sekolah dan masa-masa selepas persekolahan. Masing-masing mengingati kembali zaman lampau. Paling teruja apabila ada senior yang kini berada di Sabak Bernam dan Seremban sanggup pulang semata-mata untuk meraikan pertemuan itu.

Pengkisahan sejarah sekolah yang kini sudah berusia setengah abad oleh cikgu Setopa Mahmood "menderaa"kan bulu roma. Pengkisahan itu menyebabkan semua yang hadir terhimbau kembali ke era 36 tahun lalu. Antara yang diceritakan oleh cikgu Setopa macam mana SMRP peringkat awal yang berada dalam keadaan dhaif sehinggakan jamban pun tidak ada. Bayangkan betapa sulitnya untuk kencing atau buang air besar terpaksa bergegas ke sungai yang jaraknya kira-kira 800 meter dari sekolah atau pun menumpang jamban di sekolah Inggeris.

Peringkat awal bilik darjah SMRP terpaksa berkongsi dengan sekolah Inggeris yang terletak sepagar dengan SMRP. Kerana ketiadaan bilik darjah menyebabkan sekolah diadakan dua sessi. Tingkatan satu dan dua petang manakala tingkat tiga dan lima sebelah pagi.

Ah.. banyaklah cerita lama dan kisah lampau yang dibuka oleh cikgu Setopa. Manakala pelajar senior lain juga yang rata-rata sudah bergelar nenek dan datuk ikut berkongsi cerita. Semuanya gembira dan seronok kerana dapat menceritakan sesuatu yang dilalui bersama rakan-rakan seangkatan.

Pertemuan itu akhirnya berjaya menubuhkan persatuan Alumni SMRP dengan Pengetua sekarang ini Haji Abdullah Yaakob dilantik menjadi presiden. Seperti mana dijelaskan antara tujuan Alumni ditubuhkan selain menjalini silatursahim sesama bekas pelajar dan guru, ia adalah bertujuan membantu pembangunan pendidikan di sekolah. Dengan adanya Alumni sudah pasti sedikit sebanyak dapat memberi idea atau pun setidak-tidak sokongan moral untuk memajukan SMRP yang disayangi.

Saya secara peribadi amat berharap kepada bekas-bekas pelajar SMRP dari semua batch, bergabung dengan Alumni ini. InysAllah dengan gabungan tenaga dan semangat sekolah yang kita syanagi akan bergerak ke depan setanding dengan sekolah-kolah lain. Tidak salah kalau kita menabur sedikit budi kepada sekolah yang membentuk kita menjadi manusia. Kalau tidak kita siapa lagi? [wm.kl.9:47 pm 11/06/14]

No comments: